MEMIKIRKAN PENGUNDURAN TOK GURU NIK AZIZ
Dinsman
(Artikel 380, 20/5)
MEMIKIRKAN PENGUNDURAN
TOK GURU NIK AZIZ
Namun
semua itu berbanding cerita di negeri Kelantan, saya lebih tertarik dengan
cerita di negeri Kelantan khasnya di sekitar keputusan Tok Guru Nik Aziz
mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar. Saya sudah menulis mengenainya
dalam keluaran lalu tetapi saya masih merasakan ada banyak lagi yang hendak
ditulis.
Apapun,
biarlah saya tidak menyentuh permasalahan Datuk Husam Musa yang tidak terlantik
dalam kabinet baru kerajaan negeri itu. Biarlah permasalahan itu ditangani
dengan sebijak-bijaknya oleh pihak mereka yang berkenaan. Kita percaya itu
bukanlah masalah besar sangat. Dan kita berharap bakat dan kebolehan istimewa
Datuk Husam tetap akan dimanfaatkan untuk pembangunan kerajaan Islam Kelantan
seterusnya.
Sehingga
ini Tok Guru Nik Aziz hanya mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar; dan
dia menyatakan akan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri juga, kerana
jawatan itu selayaknya dipegang oleh Menteri Besar. Tetapi Presiden PAS sendiri
Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah berjumpa dengannya dan meminta beliau kekal
memegang jawatan Pesuruhjaya itu, walau apapun alasannya untuk melepaskannya.
Manakala
jawatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS pula akan terus dipegangnya lagi buat masa
ini. Dan itulah harapan kita. Janganlah TG Nik Aziz melepaskan jawatan
Mursyidul ‘Am itu. Jawatan Mursyidul ‘Am itu penting. Sebelum ini pun, beberapa
tahun lalu, saya pernah mencadangkan melalui sebuah tulisan agar TG Nik Aziz
melepaskan jawatan Menteri Besar, supaya dia dapat menumpukan perhatian kepada
parti, selaku Mursyidul ‘Am.
Kebijaksanaan
kepemimpinannya cukuplah sudah dicurahkannya kepada negeri Kelantan. Dua puluh
tiga tahun. Curahkanlah pula kebijaksanaan itu kepada parti dan ahli-ahli parti
di seluruh negara.
Kita
pun faham masalah kesihatannya dan umurnya yang lanjut. Dengan perletakan
jawatan Menteri Besar itu rasanya tidaklah terlalu membebankan lagi kalau Tok
Guru sekadar meneruskan tugas sebagai Mursyidul ‘Am. Itu pun sekadar yang
diizinkan oleh kesihatan dirinya sahajalah. Kita pun tidaklah hendak
membebankannya.
Dan
ini pun sekadar kita menyatakan harapan sahaja. Namun kalau Tok Guru sendiri
merasakan apa yang telah disumbangkannya kepada parti selama berpuluh tahun itu
sudah mencukupi dan sekarang dia ingin menikmati sedikit lagi sisa hidupnya
bersama dengan keluarganya, kita pun akur dan tidak akan mendesak. Ya
sememangnya kita mengakui jasa dan sumbangannya selama ini pun sudah cukup
besar.
Sekarang
terpulanglah kepada dirinya. Sebenarnya kewujudan dirinya sebagai seorang Tok
Guru Nik Aziz itu sahaja pun sudah mencukupi untuk melanjutkan impaknya kepada
umat hari ini. Dirinya sudah mencapai ke peringkat sebuah institusi tersendiri.
Dan sebagai seorang Tok Guru kita percaya dia sama sekali tidak akan
menghentikan aktivitinya mengajar, memberi tazkirah dan berceramah; yang sudah
menjadi sebati dengan dirinya itu.
Sebagai
seorang Tok Guru dan pendakwah – itulah tugas dan peranan sejatinya Nik Aziz
bin Nik Mat. Dia melaksanakan tugas dan peranan ini lama sebelum menjadi Menteri
Besar, dan tugas/peranan ini diteruskananya dengan tidak dikurangkannya sedikit
pun sewaktu menjadi Menteri Besar, dan tentunya tugas dan peranan ini akan
diteruskannya walaupun setelah dia berundur daripada jawatan Menteri Besar.
Bercakap
khusus mengenai jawatan Mursyidul ‘Am ini, seperti yang dilaporkan akhbar, TG
Nik Aziz mengatakan ia suatu tugas dan tanggungjawab yang lebih berat, iaitu
untuk melaksanakan pentadbiran Islam menguikut cara Nabi saw. Apakah yang
dimaksudkannya? Mungkinkah ada pembaharuan-pembaharuan yang akan dilakukannya
ke atas perjalanan parti PAS sebagai suatu organisasi dakwah dan politik?
Ini
tentulah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan perkembangannya.
Mengenali peribadi dan perwatakan TG Nik Aziz, kita tidak berfikir
pengundurannya dari kerusi Menteri Besar itu bererti dia akan mengundurkan diri
sepenuhnya daripada arus perkembangan sosio-politik umat hari ini. Sebaliknya
kita tetap menunggu sesuatu yang kita jangka penting dan menarik akan
dilakukannya.
Sementara
itu bekas-bekas yang telah ditinggalkannya kepada masyarakat, selaku seorang
Tok Guru, semenjak dia mula mengajar hingga ke hari ini, sedemikian banyaknya
di sana sini di
merata tempat berserakan tidak terkumpul. Usaha untuk mengumpul pengajaran dan
pemikirannya yang tercurah selama ini, pun akan mengambil masa yang lama dan
tenaga yang banyak.
Maka
kita menyambut baik pengumuman Datuk Ahmad Yaakob selaku Menteri Besar (baru) mengenai
penubuhan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz itu. Sedemikian cepatnya
pengumuman itu dibuat! Barangkali Ahmad Yaakob pun sudah lama memikirkan
keperluan ini, maka sebaik sahaja menjadi Menteri Besar beliau pun segera menubuhkan
institut tersebut.
Memang
saya sangat bersetuju dan mengakui keperluan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru
Nik Aziz ini. Yang agak mengejutkan saya ialah sedemikian cepatnya Ahmad Yaakob
bertindak menubuhkannya. Tentunya beliau mempunyai agenda tertentu yang sudah
lama difikirkannya. Apakah agendanya itu? Ini pun juga membuatkan kita tertunggu-tunggu
untuk menyaksikan ‘pembaharuan’ yang akan diperkenalkan oleh Menteri Besar baru
ini.
Maka
sudah ada dua perkara menarik yang boleh kita tunggu dari Kelantan sekarang.
Ditambah satu lagi daripada Husam Musa, jadi tiga! Sama-samalah kita perhatikan.
(Dan saya juga menunggu ‘pembaharuan’ yang akan dibawa oleh seorang exco
barunya – Mumtaz Md Nawi).