Background

Dinsman (Artikel 301, 26/3)
Anwar ‘Menyurat Kepada Sahabat’

Apabila melihat buku “Menyurat Kepada Sahabat: Warkah-warkah peribadi 1975-2002” oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, saya terus terpikat dengannya. Mengapa saya terpikat? Ada beberapa sebab. Pertama, ia sesuatu yang baru. Bukan bukunya baru diterbitkan tetapi buku jenis ini, yang memuatkan kumpulan surat-surat peribadi, bukan sesuatu yang selalu kita temui.

Saya kurang pasti apakah buku sepertinya ada dalam khazanah sastera kita sebelum ini, selain Warkah Eropah (1991) dan Warkah kepada Salmi Manja (1965) oleh A Samad Said itu. Ada sebuah oleh Mansur Ahmad Saman (saya lupa judulnya) tetapi itu seperti sebuah buku esei yang ditulis dalam gaya surat panjang kepada seorang sahabat (Baha Zain), bukannya kumpulan surat-surat.

Buku terbaru oleh Anwar Ridhwan ini adalah kumpulan surat-surat yang ditulisnya kepada beberapa orang sahabat (juga kepada anak-anaknya, bondanya dan kakaknya), sejak tahun 1975 hingga 2002. Atau sebenarnya hingga 1998 sahaja, kerana selepas itu hanya ada sepucuk sahaja yang ditulis pada tahun 2002. Tidak ada yang ditulis pada 1999-2001.

Yang paling banyak sekali ialah yang ditulisnya dari London, antara 16 Mei hingga 30 Jun 1991, iaitu sewaktu dia menyiapkan disertasi PhDnya (dengan Universiti Malaya), dan dia mendapatkan bimbingan khas daripada Prof Dr E.U. Kratz di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London.

Nampak seperti dia memang merancang untuk menulis surat pada setiap hari sewaktu berada di London itu, untuk merekodkan aktivitinya sepanjang berada di luar negara. Tidak banyak surat-surat itu mendedahkan cerita mengenai hubungan peribadi antara pengarang dengan sahabat-sahabatnya, yang kebanyakannya adalah nama-nama yang kita kenali dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, seperti Rahman Shaari, Suratman Markasan, Hashim Awang, Sahlan Mohd Saman, Kemala, A Samad Said, Muhammad Hj Salleh, Hamzah Hamdani, Zainal Kling, Abdullah Tahir, Dino SS, Ladin Nuawi, Zakaria Ariffin, Farid Onn, Firdaus Abdullah, Goh Hin San, Baha Zain, Latiff Mohidin, Jamdin Buyong dan Zaini Ozea.

Barangkali ini adalah memoir dalam bentuk surat-surat kepada sahabat. Barangkali, kerana isi kandungan surat-surat itu (kebanyakannya pendek-pendek, satu halaman setengah sahaja), walaupun dikatakan ‘warkah peribadi’, lebih bercerita mengenai hal-hal ‘rasmi’ dalam dunia kesusasteraan Melayu, termasuk yang berhubungan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena (sewaktu beliau menjadi Setiausaha Agung Gapena).

Ada beberapa warkah itu yang mengingatkan kita kepada peristiwa penting tertentu dalam dunia kesusasteraan kita. Misalnya surat kepada S.Othman Kelantan, bertarikh 11 Jun 1975, mengingatkan peristiwa Persatuan Penulis Kelantan (PPK) bertindak keluar daripada Gapena. Anwar menulis surat kepadanya seperti cuba memujuknya dengan cara yang bijaksana sebagai intelektual, mengajak berunding untuk mencari penyelesaian dan kembali ke dalam gabungan.

Manakala surat kepada A Ghani Abdullah, Setiausaha Satu PENA (7 Januari 1989) mengingatkan kita kepada peristiwa pergolakan di dalam PENA sewaktu dipimpin oleh Yahya Ismail, dimana ramai ahli termasuk ahli seumur hidup telah dipecat kerana tidak bersetuju dengan tindakan pimpinan PENA menganjurkan “Kongres Perpaduan Melayu”. Saya pun turut dipecat pada waktu itu. Tak sangka pula Anwar Ridhwan menulis surat membantah tindakan memecat keahlian itu.

Satu surat pendek yang agak menarik ialah kepada Editor majalah Dewan Sastera (18 Februari 1989). “Saya amat kecewa apabila mendapati tulisan saya ‘Sastera dalam Pendidikan’ turut lenyap bersama kolum ‘Prisma Sastera’, mulai Dewan Sastera Mac 1989, tanpa diberitahu terlebih dahulu sebab-sebabnya.

“Saya dengan ini tidak membenarkan tulisan saya ‘Sastera dalam Pendidikan’ disiarkan dalam Dewan Sastera yang akan datang.”

Menarik bukannya kerana apa, kerana saya tak tahu yang Anwar Ridhwan pun pernah dilayan seperti itu oleh majalah Dewan Sastera. Dan menarik juga kerana ketegasan yang ditunjukkan oleh Anwar itu. Di sebalik kelembutan perwatakannya yang kita kenal itu rupa-rupanya dalam hal seperti itu dia begitu tegas sekali. Lihatlah, suratnya pun sangat ringkas.

Hanya terasa, dalam tiga contoh di atas itu, barangkali lebih baik kalau disertakan juga nota atau catatan menceritakan latar belakang peristiwa-peristiwa tersebut. Misalnya kita ingin tahu kenapa sebenarnya tulisan dan kolum ‘Prisma Sastera’ itu diberhentikan.

Satu lagi yang menarik juga pada saya ialah surat kepada “Keluarga Drama ‘Intan’” (10 Julai 1975). Menarik, kerana saya pun terlibat sama dalam keluarga drama Intan itu. Saya yang mengarah drama yang diadaptasi dari novel karya Abdullah Hussein, yang pementasannya dianjurkan oleh Gapena itu. Tetapi saya tidak ingat pula ada masalah ‘saguhati’ seperti yang disebut dalam surat itu.

Iyalah, tahun 1975, sudah lebih 36 tahun yang lalu. Tak hairanlah kalau saya tak ingat lagi peristiwa itu, ‘kan!

Apa pun, buku yang diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) ini memang memikat. Sebuah bacaan yang santai. Boleh dihabiskan dengan sekali duduk sahaja, walaupun setebal 284 halaman. Banyak suratnya. Ditujukan kepada pelbagai orang. Walaupun kebanyakannya kita kenal, tetapi ada juga sahabat Anwar itu yang kita tak kenal. Jadi, membacanya tidaklah diganggu rasa jemu.

Banyak juga maklumat mengenai Anwar Ridhwan yang mungkin buat pertama kalinya kita mengetahuinya melalui surat-suratnya ini. Memang tidak ada cerita yang luar biasa atau rahsia yang didedahkan melalui ‘kumpulan surat-surat peribadi’ ini, tetapi cukuplah apa yang ada itu.

Mungkin kebanyakan maklumat dalam buku ini bukan perkara asing bagi saya. Tetapi bagi orang lain mungkin hampir semuanya adalah pendedahan perkara baru. Jadi eloklah baca! Harganya pun RM30 saja.


Dinsman (Artikel 300, 23/3)
‘Han wei!’ Pertahankan Warisan kita!

Ahad 18 Mac saya mengikuti satu program anjuran bersama kumpulan Cikgu Ishak Surin dan Soleh, dengan satu kumpulan Cina yang berjuang mempertahankan warisan. Kali ini Cikgu Ishak dan Soleh tidak bergerak atas nama Madrasah Tarbiyah KBD, tetapi atas nama Majlis Permuafakatan Perkampungan Warisan Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat); manakala kumpulan Cina berkenaan ialah Petaling Street Community Art Project.

Program tersebut dinamakan Jelajah Warisan, iaitu melawat lima buah tempat strategik di Kuala Lumpur dan sekitarnya, yang dianggap oleh kumpulan ini sebagai tempat-tempat warisan, dan mendengar penerangan mengenai kedudukan tempat-tempat tersebut yang sedang diancam kemusnahan oleh agen-agen pembangunan kapitalis. Lima tempat tersebut ialah Kampung Kerinchi, Jalan Sultan, Kampung Baru, Kampung Banda Dalam (KBD), dan Tokong Mee Thor Gan, Ampang.

Acara bermula pukul 8.30 pagi, bertolak dengan bas di pekarangan Madrasah Tarbiyah KBD, menuju ke Kg Kerinchi. Bas yang boleh muat 44 orang itu penuh dengan peserta, termasuk anak-anak muda pasukan kompang KBD. Di Kg Kerinchi kami bertemu dengan peserta dari Jalan Sultan, satu bas penuh juga. Kami berjalan kira-kira 700 meter menuju ke surau rumah pangsa Kg Kerinchi, dengan membawa dua kain rentang “Pertahankan Warisan” yang agak panjang, berwarna hitam, diiringi paluan kompang.

Kebanyakan penghuni rumah pangsa empat tingkat yang berusia kira-kira 40 tahun itu sudahpun mengosongkan rumah mereka dan berpindah ke tempat baru, setelah masing-masing ditawarkan pampasan RM73,000. Namun terdapat 35 buah keluarga lagi yang mempertahankan hak mereka di situ. Merekalah yang menyambut rombongan kami, dan memberi taklimat mengenai kedudukan kediaman mereka yang tidak selamat itu.

Cikgu Ishak berucap bukan sahaja mewakili Muafakat, tetapi sebagai ketua rombongan. Dia juga mengumumkan penubuhan satu ‘ormas’ baru, yang menggabungkan persatuan-persatuan yang terlibat, dinamakan “Pertahankan Warisan Kita”. (Ormas ialah ‘organisasi massa’, istilah Cikgu Ishak bagi menggantikan NGO).

Majlis sambutan di Kg Kerinchi berakhir dengan sarapan nasi lemak. Dan sebelum berlepas untuk ke destinasi kedua, rombongan bergambar beramai-ramai. Ketika inilah Cikgu Ishak melaungkan dengan penuh semangat kata-kata “Pertahankan Warisan Kita”, berselang-seli dengan ungkapan bahasa Cinanya, “Han wei! Wen hua yi chan!” yang disambut gemuruh oleh semua peserta jelajah.

Kira-kira 9.45 kami bertolak menuju ke Jalan Sultan. Dua buah bas penuh dan ditambah dengan orang-orang Kg Kerinchi yang ikut berkonvoi dengan tiga buah kereta mereka.

Bas berhenti di hujung Jalan Sultan berhampiran Stesen Bas Kelang. Dari situ kami berjalan kaki menyusuri Jalan Sultan yang berusia lebih 100 tahun itu, melintas di hadapan Petaling Street, menuju ke Jalan Hang Jebat, diiringi paluan kompang anak-anak muda KBD.

Di sepanjang berjalan itu seorang anak muda Cina berambut panjang, Chong Keat Aun, memberi penerangan mengenai bangunan-bangunan kedai bersejarah yang kami lalui, bermula dengan hotel dan kopitiam Lok Ann, diikuti kedai foto Pak Tai, kedai jahit Kwong Fook Wing dan berakhir dengan dewan teater Yan Keng. Masing-masing ada cerita masing-masing yang bersejarah. (Turut disebarkan juga risalahnya).

Saya terpesona dengan sebuah dinding bangunan di depan tempat letak kereta di Jalan Sultan itu, yang dihiasi dengan pelbagai lukisan poster yang sangat menarik. Tentulah itu hasil usaha para seniman dari Petaling Street Community Art Project, saya fikir. Tidak sempat saya bertanya sesiapa untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kerja seni itu, tetapi sempat saya mengenali wajah SN A Samad Said pada salah satu poster.

Dan ketika meneruskan perjalanan, agar tidak tertinggal, saya berharap akan datang lagi ke situ untuk menikmati hasil kerja seni itu, barangkali sambil mengadakan pembacaan puisi pada suatu petang, mungkin bersama Rahmat Harun, Pyanhabib, Siti Zainon, Nur Hanim, Benz, Yeoh dan kawan-kawan dari PSC Art Project.

Seterusnya mendaki tangga ke sebuah dewan teater kepunyaan Persatuan Drama Kebajikan Yan Keng, yang ditubuhkan pada tahun 1920, bagi menampung aktiviti drama, opera dan koir, yang masih aktif. Sekali lagi secara lebih teratur, dibantu oleh visual yang dipancarkan melalui pemancar video, Chong Keat Aun menerangkan sejarah beberapa bangunan warisan yang terdapat di sepanjang Jalan Sultan.

Kunjungan ke sini diakhiri dengan sesi bergambar ramai di hadapan gereja Gospel Hall, dimana Cikgu Ishak mengulangi laungan “Pertahankan Warisan Kita” dan “Han wei! Wen hua yi chan!” yang diikuti dengan gemuruh suara peserta Jelajah Warisan.

Destinasi berikutnya: Kampung Baru. Di sini saya terasa kelainannya. Walaupun cerita penduduk Kampung Baru tidak puas hati dengan cara-cara kerajaan hendak memajukan atau membangunkan kampung warisan orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur ini sudah banyak kita baca dan dengar, tetapi saya dapati tidak ada pun penduduk kampung yang menyambut ketibaan rombongan Jelajah Warisan. Yang ada ialah orang-orang politik dari kelompok PAS Wilayah Persekutuan.

Maka otak saya jadi tertanya-tanya – kenapakah tadi di Jalan Sultan itu komuniti Cinanya begitu sekali bersiap sedia dengan segala alat penerangan mereka, bagi meyakinkan pihak-pihak tertentu termasuk media, bahawa di situ terdapat banyak warisan sejarah yang patut kita sama-sama pertahankan, untuk genarasi akan datang menjadi generasi yang punyai sejarah dan jatidiri yang boleh dibanggakan.

Dan di sini, di kampung Melayu yang sepatutnya warisan budayanya tentulah lebih lagi bersejarah daripada warisan di Jalan Sultan itu, namun tidak ada pun suatu badan yang boleh bekerjasama dengan Muafakat dan PSC Art Project, bagi mengangkat kepentingan warisan di sini, untuk membuka kesedaran para pimpinan kita di peringkat tinggi.

Saya tidak kemukakan hal kemusykilan ini kepada Cikgu Ishak. Saya terasa sesuatu yang menyedihkan. Maka selesai solat Zuhur, ketika rombongan menaiki bas untuk ke Ampang, saya terasa keletihan untuk meneruskan jelajah. Saya berhenti di situ sahaja. 

Dinsman (Artikel 299, 19/3)
Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu

Sempena memulakan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan menganjurkan Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu, dengan beberapa kelompok penulis, seniman, ilmuan, profesional dan keagamaan, pada 14 dan 15 Mac, di Menara DBP, Kuala Lumpur. Tujuannya untuk mendapatkan pandangan, harapan dan cadangan pihak-pihak tersebut, mengenai apa yang perlu dan patut dibuat oleh DBP.

Saya sempat hadir pada sesi kedua pagi Khamis, iaitu bersama dengan kelompok NGO, seniman, karyawan dan belia; dan pada sesi petangnya bersama kelompok keagamaan. Alhamdulillah, kedua-dua sesi itu nampaknya berjalan dengan baik, walaupun tidak ada apa-apa yang baru dan luar biasa dapat didengar daripada mereka yang hadir dan bercakap.

Memang pun tidak ada apa-apa yang baru dan luar biasa yang perlu diharapkan daripada sesi dialog atau muzakarah itu. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini mengenai harapan kepada Dr Awang Sariyan sebagai Ketua Pengarah baru DBP, bukanlah kita mengharapkan sesuatu idea yang baru dan luar biasa. Kita hanya mengharapkan DBP mempunyai seorang Ketua Pengarah yang faham keperluan bahasa, sastera dan keilmuan dalam konteks kehidupan masyarakat dan rakyat Malaysia hari ini.

Masalah yang paling ketara dan disebut dalam kedua-dua sesi itu misalnya ialah masalah penerbitan majalah-majalah DBP yang suatu masa tak berapa lama dulu pernah menjadi majalah-majalah yang paling diminati oleh masyarakat kita (Dewan Masyarakat, Dewan Siswa), tetapi hari ini telah hilang dari pasaran. Itu sama sekali tak perlukan idea baru.

Yang perlu ialah tindakan bagi mengatasi masalah yang menyebabkan terjadinya mala petaka itu, dan berusaha untuk kembalikan semula majalah-majalah itu kepada statusnya yang pernah dicapai dulu. Selepas itu barulah difikirkan bagaimana hendak memajukannya melebihi status yang pernah dicapainya itu.

Manakala majalah yang telah sengaja dihentikan penerbitannya, ialah Dewan Agama dan Falsafah, hendaklah dihidupkan semula.

Mengenai penerbitan buku dalam pelbagai bidang dan usaha untuk memperbanyakkan bilangan judul buku yang hendak diterbitkan – itu bukannya cerita baru. Itu cerita lama yang selalu diulang-ulang menyebutnya, dan sehingga ini DBP belum pernah pun mencapai status yang diharapkan itu. Cerita manuskrip yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk dicetak (hingga bahan di dalamnya pun menjadi ketinggalan zaman) masih belum dapat diatasi sejak berpuluh tahun.

Begitu juga cerita buku yang telah dicetak tetapi terperuk penuh di dalam gudang, tidak dijual – pun cerita yang sudah terlalu lama, sejak saya mula masuk kerja di situ tahun 1974 dulu lagi. (Makanya memungkinkan saya mengangkutnya dengan lori untuk dilambakkan ke atas pentas sebagai set teater Bukun Bunuh Diri, tahun 1974). Sampai sekarang pun tak ada kemajuan.

Jadi memang kita sama sekali tidak memerlukan idea baru untuk DBP. Cuba lihat masalah penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Bahkan hingga ke peringkat universiti. Isu PPSMI itu! Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Apa yang perlu dibuat mengenainya ialah kembali kepada status tahun-tahun sebelum dasar karut itu dibuat.

Pendek kata, DBP sudah lama tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Maka yang diharapkan kepada Awang Sariyan ialah mengembalikan DBP kepada fungsinya yang sebenar, dan mengembalikannya kepada status terbaik yang pernah dicapainya dalam sejarahnya sebelum ini.

Dan dengan mengatakannya demikian saya sama sekali tidak bermaksud bahawa muzakarah 14 dan 15 mac itu tidak penting. Walaupun Ketua Pengarah sebelum ini juga pernah mengadakan majlis dialog yang kira-kira serupa tetapi selepas itu bahtera DBP dibawanya hanyut entah ke mana, kita percaya di tangan Awang Sariyan bahtera baru yang sedang dikemudikannya sekarang tidak akan ikut hanyut seperti yang dulu itu.

Dalam ucapan ringkasnya membuka majlis itu dia mengatakan tujuan muzakarah dibuat ialah untuk “mengembalikan DBP kepada masyarakat, kepada rakyat”, sepertimana DBP dulu ditubuhkan atas kehendak rakyat dan terus didokong oleh rakyat melalui persatuan-persatuan dan badan-badan bahasa dan penulis waktu itu.

Mendengar itu sahaja pun saya sudah gembira. Sebab apa? Itu menunjukkan yang Awang Sariyan memang benar-benar faham akan kedudukan DBP dan semangat kewujudannya yang tidak boleh dipisahkan daripada rakyat, khasnya penulis-penulis dan persatuan bahasa dan sastera.

DBP hendaklah mengekalkan hubungan baik dan mesranya dengan para penulis dari seluruh pelosok tanahair. Dialog antaranya dengan para penulis jangan diputuskan. Seperti suatu waktu dulu, para penulis tidak berasa kekok dan janggal untuk datang ke DBP pada bila-bila masa sahaja, kerana mereka menganggap DBP itu adalah kepunyaan mereka. Ini paling ketara sewaktu Usman Awang masih berkhidmat di DBP.

Tetapi selepas Usman Awang tidak lagi berkhidmat di situ, hubungan mesra itu sedikit demi sedikit menjadi hilang. DBP dan para penulis menjadi berjauhan. DBP pun tidak lagi mahu mendengar suara, harapan dan pandangan penulis.

Sekarang kita melihat Awang Sariyan ingin kembali kepada hubungan mesra yang seperti itu. Saya mendengar buat kali keduanya pada 15 Mac itu dia mempelawa penulis untuk memanfaatkan ruang-ruang tertentu yang tersedia di bangunan DBP itu, untuk kegiatan-kegiatan bahasa-sastera yang sesuai.

Saya memang tertarik, terutamanya ruang yang dikatakannya di tingkat 31 itu. Insya Allah saya akan mengajak kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat bersama kawan-kawan lain untuk berkreativiti di sana, dalam waktu terdekat ini. Kita jumpa di sana!
Dinsman (Artikel 298, 16/3) Apa itu Madrasah Seni?

 Apa itu Madrasah Seni? Tiba-tiba soalan itu melintas dalam kepala saya. Bukan saya tidak tahu akan ‘Madrasah Seni’ yang telah dirasmikan oleh SN A Samad Said di surau Kg Bandar Dalam (KBD), 10 Mac lalu itu. Mustahil saya tidak tahu kerana saya sendiri pun terlibat dengannya, bahkan terlibat juga mengasaskannya bersama kawan-kawan lain. Tetapi soalan itu melintas juga dalam fikiran saya – Apa itu Madrasah Seni? 

 Ya memang, idea asalnya Madrasah Seni di surau KBD itu hanya sebuah bengkel penulisan, yang dibuat secara tetap atau bersiri pada setiap bulan, pada hari Ahad minggu ke-4. Itu saja. Kemudian anak-anak muda yang terlibat dalam bengkel penulisan itu mencadangkan nak kembangkannya dengan beberapa bengkel seni yang lain. Dan akhirnya kami bersetuju dan menamakannya ‘Madrasah Seni’. 

 Itu cerita tertubuhnya Madrasah Seni di surau KBD itu. Hanya kini saya terfikir – apa itu Madrasah Seni? Apakah hanya bengkel penulisan dan bengkel lukisan sebulan sekali itu sahaja? Memang, seperti diakui ‘Pengetua’nya Cikgu Ishak Surin, apabila dua bengkel ini berjalan lancar, akan ditambah pula dengan bengkel-bengkel yang lain lagi – seni khat, seni suara, seni kraf dan sebagainya. 

 Tetapi pun saya masih berfikir juga – itu sahajakah ‘Madrasah Seni’ itu? Bukan Madrasah Seni yang di surau KBD itu, tetapi Madrasah Seni yang pada umumnya, maksud yang sesungguhnya daripada kata “Madrasah Seni” itu sendiri. Maka mulalah datang beberapa gambaran jawapannya dalam fikiran saya. Tentunya tidak sekadar bengkel penulisan dan bengkel lukisan dan lain-lain bengkel yang telah dirancang itu begitu dan begitu sahaja. 

Tentunya lebih daripada itu. Namanya pun ‘Madrasah Seni’. (Ini Benz Ali dengan Paksi Anak Mudanya itulah yang pandai-pandai mencadangkan nama ini. Sekarang otak saya pula dirangsang supaya memikirkannya.) Apakah ia dinamakan ‘Madrasah Seni’ hanya kerana bengkel-bengkel seni itu dibuat di madrasah (surau)? Pada hakikatnya memanglah ya, begitu. Tetapi apabila bengkel-bengkel seni itu dibuat di madrasah/surau, tentulah ia tidak sekadar bengkel-bengkel seni yang biasa. Ia mestilah membawa ciri-ciri Islamnya. 

 Ya memang pun. Seniman Paksi Rakyat itu sendiri pun memang membawa ciri-ciri Islam. Itu tak perlu risau. Cuma ada fikiran yang singgah di kepala saya mengatakan bahawa yang namanya ‘Madrasah Seni’ itu sepatutnya tidak hanya bengkel-bengkel itu sahaja. Mestilah ada yang lain lagi selain daripada bengkel-bengkel. Teringat peristiwa sambutan Rakyat Bantah PPSMI yang berlangsung di surau itu Sabtu lalu. Orang yang hadir memang tidak ramai seperti yang diharapkan. Tetapi rupa-rupanya, seperti kata A Samad Said ketika berucap dalam majlis itu, bukan jumlah yang hadir itu yang penting. 

Makna atau kualitinya itu yang penting. Dan barangkali hal itu juga yang mengusek-usek fikiran saya. Melihat bagaimana ruang perpustakaan surau itu pada petang itu telah bertukar menjadi majlis pertemuan tokoh-tokoh penting bahasa, sastera dan buku; dan juga telah berlangsungnya suatu percakapan penting mengenai pemikiran dan perancangan bahasa, sastera dan budaya kita di situ. Sasterawan Negara A Samad Said dengan amanatnya yang disifatkan oleh kawan-kawan bukan lagi sekadar seorang penulis, tetapi telah mencapai taraf negarawan. 

Kemudian Profesor Shaharir, seorang saintis Melayu yang banyak menghasilkan buku-buku sains bertaraf dunia, tetapi tetap memperjuangkan bahasa Melayu. Profesor Emiritus Abdullah Hassan yang bukan sahaja pakar bahasa tetapi juga komunikasi. Ainon Mohamad pakar teknik berfikir dan seorang usahawan yang berjaya, iaitu Pengerusi dan tuanpunya penerbitan PTS. 

 Dan paling tidak diduga ialah Dr Awang Sariyan, yang ucapannya petang itu cuba menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan kawan-kawan, seperti suatu taklimat mengenai perancangan yang akan dilaksanakannya sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Memang dia mencetuskan harapan baru. Sungguh mengujakan! Dan itu semua berlaku di situ. Bukankah di situ itu adalah Madrasah Seni? Dan barangkali saya juga terkesan dan terpengaruh dengan satu lagi sesi wacana ilmu yang berlaku sehari selepas itu, bersama Prof Shaharir dan Dr Alinor (serta Dr Zainal Ab Aziz dan Mohd Zaidi Abdullah) yang berlangsung dengan jayanya, dan memuaskan, di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam, Ahad lalu. Maka itulah yang muncul dalam fikiran saya. 

Majlis-majlis wacana ilmu yang seperti itu, perlulah menjadi sebahagian daripada pengisian Madrasah Seni. Terus saya lontarkan idea itu kepada kawan-kawan. Hasni Abas paling cepat menangkapnya, langsung dengan cadangan untuk memperkatakan salah sebuah buku karya A Samad Said, dalam bulan ini juga. Soleh, anak muda yang menguruskan Madrasah Seni juga segera bersetuju dan menyatakan sanggup menguruskannya. 

Cikgu Ishak bukan sahaja bersetuju, malah menggalakkannya. Maka ditetapkanlah hari dan waktunya – Sabtu minggu ke-4, selepas solat Zuhur. Pun dalam fikiran saya masih ada lagi gambaran-gambaran yang lain lagi, terbit daripada kata ‘Madrasah Seni’ itu. Seperti ingin melihat seniman-seniman berkarya pula di situ. Teringat yang Hasni sudah beberapa kali mencadangkan dibuat sesi Baca Puisi bulanan di situ. Tetapi nampaknya belum menjadi, kerana memerlukan persiapan dan kesanggupan anak-anak muda menguruskannya, barangkali. 

 Dan terlintas juga dalam fikiran saya – kenapa Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) tidak dipentaskan di Madrasah Seni? Ia telah dipentaskan di beberapa masjid dan surau yang lain, di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Johor. Telah lebih 50 kali dipentaskan di merata tempat, dan masih lagi dipentaskan (terakhir di UIA Gombak 6 Mac lalu), tetapi kenapa tidak di Madrasah Seni ini? 

 Ya, ya, kenapa tidak?
Dinsman (Artikel 297, 12/3) Isu PPSMI: Siapa nak betulkan salah faktanya?

 “Tidaklah mustahak sangat. Lagipun ia perkara kecil sahaja.” Kita biasa menganggapnya demikian, lalu melupakannya, hinggalah apabila jarak masa telah jauh meninggalkan peristiwa bersejarah itu, baharulah kita akan menyedarinya apabila kajian mendalam mula dilakukan ke atas perkara tersebut. Malah ada kemungkinan kesilapan fakta yang dianggap kecil itu akan terus tidak disedari, walaupun apabila suatu hari kemudian perkara kecil itu sudah menjadi perkara besar dan penting. 

 Misalnya ada beberapa kesalahan fakta mengenai sejarah awal Asas 50 (sebuah pertubuhan dan gerakan sastera-budaya yang penting di zaman 1950-an), yang terus-terusan disebut oleh beberapa orang pengkaji yang menyalinnya berdasarkan satu sumber yang dianggap benar, hinggalah tampil salah seorang tokoh Asas 50 sendiri memperbetulkannya. 

 Saya terfikirkan perkara ini apabila Razali Endun membisikkan sesuatu kepada saya dalam Seminar Wacana Pemikiran Datuk Hassan Ahmad, apabila ada pemakalah membincangkan peranan Datuk Hassan Ahmad dalam perjuangan menuntut pemansuhan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris). Wacana tersebut berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, 6 Mac lalu, anjuran Persatuan Penulis Budiman dan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI. 

 Hassan Ahmad diakui oleh semua pemakalah dalam wacana tersebut sebagai seorang pemikir dan pejuang bahasa Melayu yang penting. Prof Teo Kok Seong (UKM) menganggapnya sebagai ‘linguis nasionalis’. Ada yang menyebut penglibatan Hassan Ahmad dalam isu PPSMI sebagai kemuncak perjuangan bahasanya, yang telah berjaya menggembleng rakyat dalam jumlah besar turun ke jalanraya bersama dengannya bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar tersebut. 

 Razali Endun terkesan seperti ada yang menganggap Hassan Ahmad sebagai penggerak atau pencetus gerakan yang berjaya menghimpun sekitar 100 ribu rakyat berarak di jalanraya pada 7 Mac 2009 itu. Anggapan yang lahir berdasarkan peranannya sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Hal itulah yang dibisikkannya kepada saya. 

 Sebenarnya ada peristiwa lain lagi sebelum ini yang menyebabkan Razali menjadi bimbang. Ada pihak-pihak tertentu yang telah mengisytiharkan bahawa dasar PPSMI itu telah disetujui oleh kerajaan Malaysia untuk dimansuhkan (secara bertahap-tahap) adalah hasil daripada perjuangan pihak mereka (bukannya pihak GMP yang dipimpin oleh Hassan Ahmad bersama dengan beberapa orang budayawan anti kerajaan Umno-BN itu). 

 Demikianlah situasi keliru dan mengelirukan yang sedang mewarnai masyarakat kita hari ini. Masyarakat yang sejak Reformasi 1998 telah berpecah dan dipisahkan pula oleh peranan pihak media yang membuat laporan memihak kepada pihak masing-masing, atau memihak kepada “kebenaran” pihak masing-masing, hingga kebenaran itu sendiri pun telah dikelirukan maknanya. (Di sana ada banyak lagi kes atau peristiwa yang mengelirukan). 

 Yang dimaksudkan dengan pihak masing-masing itu pada umumnya ada dua pihak, iaitu pihak yang menyokong kerajaan Umno-BN, dan pihak yang tidak menyokong kerajaan Umno-BN (atau yang menyokong pihak Pakatan Rakyat).

 Dalam kes gerakan membantah dasar PPSMI situasinya agak unik dan berbeza, kerana yang menyokong dan tidak menyokong dasar itu bukannya pihak yang sama dengan yang dikenali sebagai pihak yang menyokong dan tidak menyokong kerajaan Umno-BN. Dalam kes ini kebanyakan budayawan dan rakyat yang menyokong kerajaan Umno-BN pun turut bersama-sama dengan pihak yang tidak menyokong kerajaan Umno-BN, membantahnya. Yang menyokongnya ialah para pimpinan Umno-BN dan rakyat yang berkepentingan tertentu serta tidak mempunyai kesedaran jatidiri Melayu. 

 Dan Hassan Ahmad dipilih oleh sekumpulan penggerak awal gerakan mansuhkan PPSMI untuk memimpin GMP adalah kerana dia tidak jelas memihak kepada mana-mana dua pihak tersebut, disamping faktor penting yang lain iaitu dia diakui sebagai tokoh bahasa berwibawa, oleh semua pihak termasuk para pimpinan Umno-BN dan juga pimpinan Pakatan Rakyat. 

 Dengan latar sosio-politik-budaya yang sedemikian itu maka mudahlah (dan hampir dengan sendirinya) terjadi beberapa kekeliruan fakta sebenar di sekitar perjuangan memartabatkan semula bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah, atau pemansuhan PPSMI itu. 

 Wacana di UPSI memang tidak diharapkan untuk menjelaskan hal tersebut, kerana ia bukanlah perkara yang penting dalam konteks pemikiran Hassan Ahmad. Namun saya membangkitkannya di sini hanya sebagai sebuah catatan peribadi, seperti pendekatan Prof Emeritus Abdullah Hassan yang mencatatkan beberapa kelemahan Hassan Ahmad dalam penterjemahan novel Dunia Sofie, padahal pencapaian dan sumbangannya melalui penterjemahan novel itu adalah jauh lebih besar. 

 Abdullah Hassan mengemukakan penilaiannya terhadap kerja terjemahan Hassan Ahmad, yang menterjemah novel falsafah Dunia Sofie karya Jostein Gaarder. Selain Abdullah dan Teo Kok Seong, pemakalah yang turut membentangkan kajian dan pemerhatian mereka dalam wacana itu ialah Awang Sariyan (DBP), Raja Masittah (UPM), Mana Sikana (UPSI) dan Jaafar Ab Rahim. Manakala Zainal Abidin Borhan (Yayasan Karyawan) menyampaikan ucaptama. 

 Paling menarik pada saya ialah perhatian yang diberikan oleh Zainal Abidin Borhan kepada usaha Hassan Ahmad menerokai alam fikiran atau minda Melayu, khasnya melalui makalah yang berjudul “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu mencipta makna dan membentuk Epistemologinya”, yang kemudian diterbitkan sebagai monograf itu (oleh Akademi Pengajian Ketamadunan, Sungai Ramal Dalam, 2003). 

Kolum ini memang tidak memungkinkan saya mengulas lanjut Wacana Pemikiran Datuk Hassan itu. Banyak perkara yang menarik mengenai pemikiran Hassan Ahmad sebenarnya. Maka kita harap wacana di UPSI itu hanya satu permulaan usaha untuk mengangkat pemikiran Hassan Ahmad, yang akan diikuti oleh usaha-usaha selanjutnya lagi selepas ini.
Dinsman (Artikel 296, 9/3)
Kenapa Paksi anjur wacana sains Shaharir?

Pada 11 Mac ini, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan bekerjasama dengan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi), menganjurkan satu majlis ilmu yang bertajuk “Wacana Kritikan Terhadap Teori Kenisbian dan Teori Quantum”. Wacana ini dibuat berdasarkan buku terbaru Prof Dr Shaharir Mohd Zain, berjudul Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum (ASASI, 2011).

Ini bukan wacana seni atau wacana budaya. Ini wacana ilmu Sains. Membicarakan Teori Kenisbian dan Teori Quantum. Kata Dr Alinor, buku Dr Shaharir ini penting kerana ia adalah buku kedua dalam dunia yang mengkritik teori Einstein. Buku pertama dalam bahasa Polandia, ditulis oleh Michal Gryzinski.

Paksi tertarik dengan buku ini kerana beberapa sebab. Antaranya ia ditulis dalam bahasa Melayu. Buku yang membincangkan satu topik ilmu Sains yang penting dalam perkembangan ilmu di peringkat dunia ini, ditulis oleh seorang saintis Melayu dengan komitmen yang tinggi terhadap perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bertaraf dunia.

Ada orang bertanya: Bagaimana pula Paksi sebuah badan penulis dan seni-budaya boleh mengambil inisiatif menganjurkan suatu wacana ilmu sains yang mungkin tidak difahami pun oleh ahli-ahli Paksi sendiri? Apa sumbangan wacana ini terhadap kemajuan seni-budaya kita, atau terhadap para penulis?

Jawapan saya begini: Ini wacana ilmu, dan ilmu adalah bahagian terpenting daripada budaya, tak kira ilmu apa pun – sains, sastera, agama, ekonomi, senilakon, apa jua, asalkan ilmu, ia sangat penting untuk penulis. Apatah lagi apabila ilmu yang tinggi-tinggi seperti ini ditulis dalam bahasa Melayu

Tapi bukanlah itu sahaja sebabnya mengapa Paksi anjurkan wacana ini. Sebabnya yang lebih utama ialah kerana ia berdasarkan buku karangan Prof Dr Shaharir Mohd Zain. Bagi Paksi, Dr Shaharir bukan sahaja seorang saintis dan pakar Matematik, tetapi yang lebih pentingnya adalah dia seorang penulis, dan penulis yang sangat prolifik. Banyak tulisannya dan banyak bukunya. Tak henti-henti dia menulis. Dan bidangnya pula tidak terhad kepada matematik dan fizik sahaja, tetapi merangkumi juga bidang bahasa, budaya, sejarah, kepemimpinan dan pengurusan dan sebagainya.

Tak ramai ilmuan kita yang sepertinya, meminati ilmu dalam pelbagai bidang, dan tekun membuat kajian. Dan lebih penting lagi, berjiwa rakyat dan kuat jatidiri Melayu-Islamnya. Hal ini menyebabkan dia sangat serasi dengan Paksi. Maka banyaklah juga dia terlibat dengan aktiviti Paksi, bermula dengan kempen mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) yang diadakan di Kuala Terengganu sempena kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari 2009.

Bermula dari situ banyaklah aktiviti Paksi yang dihadirinya. Kebetulan pula dia menjadi Timbalan Pengerusi GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) sewaktu GMP dipimpin oleh Datuk Hassan Ahmad, dan apabila Datuk Hassan meninggal dunia dia pula dilantik menjadi Pengerusi GMP. Manakala GMP dengan Paksi sangat rapat. Hasni Abas menjadi Setiausaha GMP, dan juga Setiausaha Paksi. Beberapa orang AJK Paksi juga menjadi AJK GMP.

Selain itu waktu Paksi terlibat dengan dialog mengenai novel Interlok anjuran Pemuda PAS Pusat bersama wakil-wakil NGO India, di Bangi, Shaharir juga ikut mengambil bahagian. Dan dia juga hadir dalam satu program persembahan seni Paksi di Warong Rakyat, depan bangunan lama DBP itu.

Melihat senarai buku dan artikelnya dalam pelbagai bidang yang demikian banyak itu, dan komitmennya yang luar biasa terhadap perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, serta sikap “berani berkata benar”nya, maka Paksi pun mencadangkan namanya untuk dipilih sebagai Tokoh Penulis Selangor apabila diminta oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2011. Dan Shaharir pun terpilih sebagai Tokoh Penulis Selangor 2011, dan hadir menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor itu sempena Hari Ilmu Selangor, 26 Jun 2011.

Paksi bekerjasama dengan ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia) melalui Setiausaha Agungnya Dr Mohd Alinor Ab Kadir, mengusahakan wacana ilmu pada 11 Mac ini. Memang ini bukan bidang Paksi. Maka Paksi berterima kasih kepada Alinor, yang seperti Dr Shaharir juga, telah banyak bersama dengan aktiviti-aktiviti Paksi. Malah kami menganggap mereka juga sebagai ahli Paksi.

Wacana ilmu kali ini agak berbeza sedikit daripada yang pernah dibuat oleh Paksi sebelum ini, iaitu ia bersifat agak eksklusif, boleh dihadiri 30 orang sahaja. Maksudnya, majlis ilmu ini benar-benar untuk orang yang berminat dan memiliki ilmu dalam bidang berkenaan sahaja.

Sudah lama Paksi bercita-cita untuk menganjurkan majlis wacana ilmu yang bersifat eksklusif seperti ini. Tujuannya ialah untuk menghidupkan perbincangan yang serius mengenai sesuatu ilmu, dan supaya semua yang hadir dapat mengambil bahagian dalam perbincangan. Dengan cara ini kita percaya sesuatu ilmu itu dapat dimajukan dengan lebih berkesan.

Majlis akan dimulakan pukul 9 pagi dan berakhir pukul 12.30 tengahari. Ia akan diisi dengan perbicaraan oleh empat orang sarjana, sebelum dibuka kepada perbincangan umum. Pembicara pertama ialah Dr Shaharir Mohd Zain sendiri, yang akan membentangkan pendapatnya, rumusan daripada bukunya Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum itu.

Kemudian pandangan Dr Shaharir akan diulas oleh pakar fizik teori, Prof Madya Dr Zainal Ab Aziz daripada Jabatan Matematik, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Diikuti dengan ulasan dari sudut matematik oleh Dr Mohd Alinor (penyelidik Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia); dan ulasan dari sudut falsafah dan sejarah sains oleh seorang yang berlatarbelakang ilmu agama, iaitu Mohd Zaidi Abdullah.

Paksi mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menghadiri wacana ilmu ini. Ia dibuat di bangunan Perpustakaan Negeri Selangor yang baru, di Jalan Kelab Golf, Seksyen 13, Shah Alam. Sudilah menghubungi pihak kami terlebih dahulu (016-6724825 – Dr Alinor), supaya kami dapat menyediakan tempat untuk anda. 

DBP: Harapan kepada Awang Sariyan


ABD SHUKUR HARUN


Seperti dramatis/penyair Dinsman dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pimpinannya, saya juga menggantungkan harapan tinggi terhadap Dr Awang Sariyan yang telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memulihkan semula semangat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Di masa lalu harapan ini terhempas oleh keadaan, lemahnya daya juang dan permainan politik yang tidak menentu serta lemahnya pemikiran dan daya juang penggiat sastera dan budaya kita. Kini seperti, kata Dinsman, tiba-tiba saja seperti harapan kembali pulih dan segar apabila diberitahu mengenai perlantikan Dr Awang Sariyan. Tahniah kepadanya.

Pemimpin DBP yang baru ini, yang secara kebetulan sama dengan saya berasal dari Pontian, Johor digantungkan harapan tinggi untuk memulihkan kembali keghairahan terhadap institusi penting itu di mana pada masa lalu menjadi tempat berkumpul, berbincang di kalangan para penulis, budayawan dan intelektual.

Maka harapan saya terhadap Dr. Awang Sariyan, lebih jauh dari itu, namun suasana dan keadaan masa kini sangat jauh berbeza dari masa lalu dalam semua bidang kehidupan. Tentu saja diharapkan beliau memahami situasi yang wujud sakarang.


DBP kini berada di tengah-tengah rempuhan budaya siber yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai maklumat dan  tidak lagi terkongkong menerima maklumat dari sumber media tradisional.

Selain itu, perkembangan yang berlaku dalam masyarakat sendiri, malah di luar negara, ilmu-ilmu baru yang ditemui dan pelbagai lagi telah membentuk sikap baru masyarakat dalam pelbagai aspek, termasuk dunia keintelektualan.

Oleh itu zaman penuh romantis dan bernostalgia mengenai masa lampau yang gemilang, serta mengelus-ngelus kehebatan masa lalu hampir-hampir tidak releven lagi dengan keadaan masa kini. Bagaimanapun ini bukan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa gundah gulana dan kekecewaan.

Pejuang bahasa masa lalu, para sasterawan dan budayawan yang telah memberikan sumbangan dalam perjuangan jatidiri bangsa dan bahasa masih tetap dikenang dan kekal berharga dalam lipatan sejarah, justeru tugas generasi masa kinilah yang akan meneruskan perjuangan itu.

Adapun yang sangat wajar diberikan perhatian oleh Dr. Awang Sariyan ialah bahawa DBP sewajarnya menjadi prime mover, penggerak utama ke arah membentuk masyarakat yang bebas berfikir, tidak terkongkong kepada suatu dogma pemikiran yang sempit dalam segala bidang kehidupan.


DBP mestilah menjadi pusat percambahan pemikiran yang dinamik, tidak terbenam dalam timbunan pemikiran perkauman dan agama yang sempit dan tidak habis-habisnya memikirkan glory masa lampau. Ia sewajarnya memberi ruang luas kepada kebebasan berkarya, tidak terikat dengan mehnah jalur politik yang bersifat mengongkong, hambatan birokrasi yang mecemaskan. Biarkanlah pelbagai pemikiran dan idea berkembang bebas.

DBP hanya akan dilihat berfungsi dan memenuhi tanggungjawabnya jika ia dilihat sangat terbuka dan bebas memberi ruang kepada pelbagai percambahan minda, sehingga akan lahir nanti - dengan dorongan DBP - para penulis, budayawan dan intelektual yang bukan saja kreatif dan rajin, tetapi juga berfikiran bebas dan kritis.

Minda mereka tidak terperangkap dalam budaya ‘Carma – Cari Makan, semata-mata - seperti kata Saterawan Negara, A. Samad Said.

Para penulis baru – atau mungkin juga  yang lama – sewajarnya didedahkan dengan perkembangan dan jalur pemikiran terkini yang sedang berkembang, termasuk di bidang politik, agama, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

DBP mempunyai peranan untuk mendorong penulis dan budayawan ‘keluar’ dari kepompong cara berfikir lama. Maksudnya, mereka mesti penjadi pencetus pemikiran baru dan besar dan ikut serta berperanan dalam membuat perubahan dalam masyarakat. Mungkin penulis atau budayawan tidak berminat menyertai politik kepartian, itu hak mereka.


Namun mereka mesti didorong untuk mempunyai sikap tertentu dalam pergolakan yang berlaku. Ertinya bukan menjadi penulis naif yang hanya terkebil-kebil mata melihat hal yang berlaku dalam masyarakat.

Saya dapat mengertikan bahawa tidak semudah itu Dr. Awang Sariyan untuk melaksanakan harapan tinggi itu, memandangkan DBP sendiri adalah sebuah organisasi kerajaan yang terikat dengan pelbagai peraturan dan dogma birokrasi, malah hambatan politik.

Namun saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa ketokohan pemimpin baru DBP ini mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan kepada DBP. Sepanjang yang saya mengenalinya, beliau mempunyai sikap terbuka, tenang tetapi tegas, luas pergaulan di kalangan intelektual dalam dan luar negara serta pelbagai golongan masyarakat, tenang tetapi tegas. Tentu ia bersedia menerima pelbagai pandangan untuk membuat perubahan.

Saya yakin Dr. Awang Sariyan bersama stafnya akan selalu mengadakan wacana ilmu dan dialog dengan para penulis dan budayawan untuk menyegarkan kembali suasana seperti ini yang pernah wujud di masa lalu. Sifat wacana itu tidak terlalu rasmi-rasmian, protokol dan sebagainya. Juga tidak hanya mengenengahkan tokoh akademik/sastera terkenal untuk berbicara, sementara penulis biasa hanya diminta mendengar. Yang diperlukan ialah sebuah perbincangan yang terbuka.


Kami di dalam Paksi, sering mengadakan dialog seumpama ini secara yang amat sederhana di sebuah ‘Warung Rakyat’ dan ternyata perbincangan yang diadakan amat terbuka, jujur, tidak  bersifat mengampu, tetapi menyegarkan minda dalam mencari kebenaran.

Apabila kita bercakap mengenai kebebasan berkarya, penulis dan budayawan yang dinamik, tidak bermakna kita menuntut DBP melahirkan para tokoh seperti ini justru saya menyedari bahawa pemikiran besar di kalangan penulis dan budayawan – di mana-manapun dan tidak pernah dalam sejarahnya - dibentuk oleh sesuatu institusi, justeru ia bergantung kepada kemampuan seseorang penulis dan budayawan itu berusaha ke arah itu. Oleh itu bukanlah tugas DBP sebenarnya untuk melahirkan golongan penulis dan budayawan yang hebat.

Namun apa yang boleh dilakukan oleh DBP ialah menjadi mendorong dan menyediakan  ruang seluas-luasnya kepada penggiat dan pemikir budaya mengucapkan pemikiran yang segar, bebas dan dinamik.

Dinsman (Artikel 295, 5/3)
Ariffahmi, Nik Aziz dan imej PAS kini

Awal pagi itu saya terima panggilan daripada seorang sahabat dari Kota Bharu. Agak lama tak jumpa dan tak berhubungan telefon, kadang-kadang sekadar bertanya khabar, kerana saya pun sudah agak lama juga tak ke Kelantan. Saya menjawab macam biasa. Tapi rupa-rupanya sudah ada berita yang tersebar dalam media, yang saya tak tahu, kerana saya pun sudah lama membuang rutin membaca akhbar harian atau menonton berita televisyen.

Sahabat saya itu Ariffahmi namanya. Anda pun tentu ingat lagi nama yang pernah mencetuskan kontroversi, sebagai menantu Menteri Besar yang memegang jawatan CEO di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang dituduh terlibat rasuah itu. Dia menghubungi saya untuk menyatakan syukur dan terima kasihnya kerana pihak SPRM telah mengumumkan dia bebas dan bersih daripada tuduhan berkenaan. Tidak ada bukti untuk dia didakwa.

Alhamdulillah, saya pernah mencatat (melalui ruangan ini) beberapa cerita sekitar dia dan peristiwa yang panas dan heboh waktu itu (akhir November 2009), tanpa memberi implikasi negatif kepada mana-mana pihak. Sekadar sudut pandangan seorang sahabat, (walaupun kami pernah mengalami saat-saat tegang dalam hubungan kerja). Rupa-rupanya dia menghargai keikhlasan bersahabat itu lebih daripada urusan kerja.

Terbuktilah, walaupun pihak SPRM telah mengambil masa begitu lama, akhirnya kebersihan dan keutuhan pentadbiran pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan selama 21 tahun itu terus dapat dipertahankan. Padahal cerita-cerita yang tersebar waktu itu, yang diceritakan kepada saya oleh pihak-pihak yang sukar untuk tidak dipercayai, sangatlah merisaukan, dan menyedihkan.

Selama hampir 20 tahun waktu itu, imej pentadbiran Nik Aziz yang bersih-rasuah itu saya anggap sebagai satu pencapaian yang sangat penting dan besar ertinya bagi umat Islam hari ini. Saya bercita-cita (seperti telah berkali-kali saya sebut di ruangan ini dan di tempat lain) untuk menghasilkan sebuah video/filem dokumentari mengenai Nik Aziz sebagai seorang pemimpin Islam zaman ini, yang perlu ditonjolkan kepada pengetahuan dan perhatian masyarakat dunia. Ia adalah satu pencapaian penting, bukan sahaja kepada kita atau kepada PAS, tetapi juga kepada umat Islam di seluruh dunia.

Anda bayangkanlah betapa sedih-pilu-risaunya saya waktu itu memikirkan sekiranya betullah segala cerita rasuah yang melibatkan keluarga Nik Aziz itu! Memikirkan bahawa Nik Aziz juga adalah seorang manusia biasa, maka kemungkinan beliau pun boleh terlibat dengan rasuah itu tidaklah boleh ditepis sebagai fitnah begitu sahaja. Keadaannya begitu rumit dan komplikated sekali waktu itu. Dan dikatakan yang menyebabkan Tok Guru itu akhirnya terjerumus juga ke lembah mungkar itu ialah Ariffahmi menantunya ini.

Demikianlah kini terbukti sudah, cerita-cerita rasuah yang pelbagai rupa dan bentuk yang diheboh-heboh dan dibisik-bisikkan lebih dua tahun dulu itu, hanya sekadar cerita-cerita sahaja. Imej penting Tok Guru Nik Aziz sebagai pemimpin Islam berwibawa yang ingin saya angkat ke persada dunia itu, masih tetap utuh. Tetapi hanya waktu sahaja yang semakin bergerak pantas, meninggalkan banyak perkara dan membawa pula banyak perkara baru, hingga cita-cita saya itu pun nampaknya semakin tertinggallah juga.

Tak mengapa. Kalau cita-cita saya itu tertinggal pun tak mengapa. Yang pentingnya bukan cita-cita itu. Yang pentingnya ialah pencapai pimpinan Tok Guru Nik Aziz itu. Dan yang penting juga ialah pengajaran daripada peristiwa itu sendiri. Apa pengajarannya?

Pengajarannya ialah kepada PAS. Agar berani bertindak! Jangan biarkan masalah hingga menjadi parah, berdarah dan hancur, baharu hendak bertindak. Jaga dan peliharalah imej Islam yang kita bawa dan junjung itu. Jangan pandai bercakap sahaja Islam itu dan Islam ini, Islam begitu dan Islam begini, tetapi yang kita praktikkan lain sekali, hingga tertonjol nampak kepada umum bahawa apa yang kita jaja ke sana-sini itu rupa-rupanya tidak ada pada kita tetapi ada pada pihak yang bukan Islam. Aduuh! Malunya!

Bukanlah nak mengata. Tetapi eloklah waspada! Pilihanraya umum semakin dekat. Dan nampaknya masalah yang menimpa PAS dan PKR semakin menjadi. Orang Melayu semakin dikelirukan. Dengan masalah yang dibawa oleh Hassan Ali-nya, dengan masalah Anwar iktiraf Israel dan PAS tak ikriraf-nya, dengan masalah krisis kepimpinan di Kedah itu, dan sebagainya.

Apabila ada masalah, kenapa kita selalu berusaha menyembunyikannya dan menghukum sesiapa yang cuba menegur dan memberi nasihat, dengan menempelak orang lain semua sebagai jahil dan sebagainya? Sedangkan itu bukanlah cara yang diajar oleh Islam!

Seperti saya sebut tadi – Tok Guru Nik Aziz itu pun manusia biasa, yang tidak sempurna, dan kemungkinan untuk berbuat salah. Tetapi selama lebih 21 tahun dia telah menunjukkan teladan yang baik. 21 tahun itu bukannya waktu yang pendek untuk dia bertahan melalui pelbagai cabaran dan dugaan. Maka itu dia telah berjaya melakarkan satu imej Islam yang cukup kuat.

Tetapi sayangnya mengapa pemimpin-pemimpin PAS yang lain tidak mahu mencontohinya? Khasnya dalam berakhlak. Kerana akhlak adalah satu perkara yang sangat dipentingkan oleh Islam. Dan bersikap terbuka, hingga tidak menimbulkan imej yang dia itu pantang ditegur orang, misalnya.

Tentulah secara kebetulan sahaja kes Ariffahmi diumumkan penyelesaiannya pada waktu dan ketika ini, pada saat-saat kita bersiap sedia untuk masuk ke medan PRU-13 dan tiba-tiba persediaan itu terganggu-gugat oleh beberapa peristiwa yang kurang menyenangkan. Tetapi walaupun ia suatu kebetulan, saya melihat ada pengajarannya yang perlu diperhatikan!

Bersikap terbukalah wahai para pemimpin. Dan sebagai pemimpin, kita janganlah sombong. Kerana kita pun manusia biasa juga, yang berkemungkinan untuk buat silap. Beranilah untuk mendengar dan menerima teguran! Bukanlah suatu kelemahan kalau kita masih mahu belajar dengan orang seperti Tok Guru Nik Aziz itu.