Background

JBS-3 berkenduri kahwin di Tg Karang


Dinsman (Artikel 358, 10/12)
JBS-3 berkenduri kahwin di Tg Karang

Alhamdulillah, Jelajah Budaya Selangor 2 (JBS-2) di Masjid Nurul Iman Rawang telah berjaya dilangsungkan (30 Nov – 2 Dis) dengan kualiti yang lebih baik daripada yang pertama (di Klang, 10-11 Nov). Faktor penggabungannya dengan program “Karnival Jom P Masjid” anjuran masjid berkenaan menyebabkan ia menjadi lebih meriah dan berkualiti.

Turut menyumbang kepada peningkatan kualitinya ialah kehadiran Tokoh Budaya Selangor Daerah Gombak, menerima sendiri anugerah yang disampaikan kepadanya oleh Sasterawan Negara A Samad Said (bagi pihak Kerajan Negeri Selangor). Tokoh yang dipilih itu ialah Prof Dr Siti Zainon Ismail. (Di Klang penerima anugerah itu, Rominah Sidek, tak dapat hadir).

Faktor lain yang turut menyumbang ialah tambahan satu lagi acara, iaitu “Sepetang Bersama Zunar”, dimana Zunar menunjukkan cara bagaimana melukis kartun-kartun politik, sambil dia berceloteh politik dan menjawab soalan daripada hadirin. Persembahan ‘live’ oleh Kopratasa bersama ahli barunya (Saidin, ganti Siso) juga sesuatu yang mempesonakan pada ‘Malam Jelajah Budaya’ di pekarangan masjid itu.

Dialog budaya bersama Tian Chua juga menarik. Tapi itu cerita JBS-2. Sudah berlalu. Sekarang datang pula JBS-3. Lain lagi daripada yang satu dan yang dua itu. Yang ketiga ini Jelajah Budaya bergabung dengan suatu majlis kenduri kahwin, di sebuah kampung di Tanjung Karang. Kampung bernama Seri Tiram Jaya, di rumah kepunyaan Encik Torin bin Pejoh, Lot 4692 Jalan Persatuan. Ini pasti hebat!

Kenduri itu memang kenduri betul-betul. Bukan kenduri yang dibuat istimewa untuk program Jelajah Budaya. Tidak. Memang Encik Torin hendak mengadakan kenduri bagi melangsungkan perkahwinan anaknya.

Ceritanya begini: Kira-kira dua bulan yang lalu, awal Oktober, kami berbincang dengan Yahya Sahri dan Kamarul Bahrin untuk mengadakan program Jelajah Budaya di daerah Tanjung Karang. Yahya Sahri sebagai Penyelaras DUN Permatang, Parlimen Kuala Selangor. (Tanjung Karang berada dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor).

Ketika kami memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan program JBS ini, Yahya agak risau untuk mengadakannya dalam bulan Disember atau akhir November. (Waktu itu JBS di Rawang belum ditetapkan). Sebab apa? Sebab November dan Disember ialah musim kenduri kahwin, sempena cuti sekolah hujung tahun.

“Kenduri kahwin di Tanjung Karang tak sama dengan kenduri kahwin di Kuala Lumpur,” kata Yahya. “Di Kuala Lumpur orang datang makan sekejap kemudian balik. Di Tanjung Karang orang bukan datang makan sahaja, orang datang dan duduk di situ daripada pagi hingga ke malam. Itu mereka panggil ‘rewang’, suatu adat resam orang kampung berkumpul dan bergotong royong mengadakan kenduri bersama.”

“Pendek kata, kalau ada kenduri, kita buat program lain memang tak ada orang datang. Tak ramai. Orang berkumpul di tempat kenduri,” kata Yahya lagi.

“Kalau begitu kita buat saja program kita ni di tempat orang kenduri,” secara spontan saya melontarkan idea. Tidak fikir secara serius pun. Saja-saja bermain dengan idea. Tetapi rupa-rupanya ia membuka fikiran Yahya, dan Yahya terus menyambutnya. Dan kami berjabat tangan tanda setuju. Dari situlah bermulanya.

Beberapa hari kemudian Yahya memberitahu dia sudah bertemu dengan orang kampung yang akan membuat kenduri kahwin dan bersetuju dengan cadangan untuk bergabung dengan program Jelajah Budaya. Kebetulan pula tarikh kenduri yang dicadangkan itu bersesuaian dengan jadual A Samad Said, yang berkelapangan dan setuju hadir.

Beberapa hari kemudian saya bersama Nasser memandu kereta ke Tanjung Karang, dibawa oleh Yahya ke rumah Encik Torin. Kami bermesyuarat dengan beberapa pihak lain lagi, termasuk JKKK dan sebagainya. Terima kasih Encik Torin dan isteri. Kelihatannya mereka gembira dengan cadangan kami, dan bersedia untuk menerima tetamu-tetamu yang bukan undangan mereka hadir ke jamuan kenduri mereka nanti.

Bagaimanakah jadinya nanti apabila sebuah kenduri kahwin digabungkan dengan beberapa acara seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi)? Inilah dia – kami memang teruja dengan program ini. Acara kenduri kahwin itu sendiri pun, khasnya adat istiadat berkahwin dan bersanding  – adalah suatu acara seni-budaya yang memang asli sebagai warisan seni-budaya Melayu. (Dikatakan juga diwarisi daripada adat dan budaya Hindu. Itu cerita lain lagi).

Acara-acara dalam Jelajah Budaya itu sendiri tetap seperti biasa. Kita membawa dan memperkenalkan para budayawan dan seniman kepada masyarakat/rakyat di daerah berkenaan. Seperti diakui seorang AJK Masjid Nurul Iman Rawang, 2 Disember: “Belum pernah saya melihat budayawan sebegini ramai.”

Itulah tujuan dan objektif utama Paksi – merakyatkan seni-budaya, sambil berusaha menonjolkan aspek yang positif daripada seni-budaya kepada masyarakat, bagi mengubah tanggapan mereka terhadap seni-budaya. Bahawa seni-budaya itu mempunyai sumbangannya yang positif dan membina dalam masyarakat. (Terima kasih jua sekali lagi kepada Tian Chua, yang menyatakan kefahamannya mengenai seni-budaya, kira-kira sama seperti yang dipromosikan oleh Paksi).

Hanya, sehingga wacana ini ditulis kita belum tahu lagi siapa-siapakah yang boleh disenaraikan sebagai calon-calon untuk penerima anugerah Tokoh Budaya Selangor bagi daerah Tanjung Karang; dan apakah dua kumpulan kesenian yang paling aktif di daerah tersebut, untuk diangkat membuat persembahan pada 15 Disember nanti.

Herman Tino misalnya, telah disebut sebagai seorang seniman di daerah Tanjung Karang, yang wajar diikut-sertakan dalam program ini. Tetapi khabarnya beliau sudah ada komitmen lain. Tidak mengapa. Ada beberapa kumpulan kesenian yang dikatakan mempunyai ciri-ciri menarik di daerah ini. Insya Allah, kenduri Torin bin Pejoh akan menjadi suatu peristiwa yang sungguh bermakna dan bersejarah!

Categories: Share

Leave a Reply