Background
Dinsman (Artikel 242, 29/7)
Mengapa harus ucap selamat tinggal kepada teater?

Tak semena-mena, tiba-tiba saya menerima mesej yang menyarankan agar saya berfikir semula mengenai penglibatan dalam teater – apakah perlu diteruskan ataupun wajar dihentikan saja, demi untuk memberi perhatian kepada hal-hal lain yang kiranya lebih perlu pada usia yang sudah berada di hujung.

Dan mesej itu meminta saya memikirkannya secara serius. Bukan kerana hukumnya dalam Islam yang ada sebahagian ulama kurang menyenanginya, tetapi kerana prioriti, kerana ada urusan atau perkara lain yang difikirkan lebih penting, khasnya di usia yang semakin menipis ini – misalnya di sana masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang belum sempat diteliti, dan begitu juga hadis-hadis Nabi.

Cukuplah penglibatan setakat yang telah berlangsung itu, katanya. Walaupun ada tiga lagi skrip yang belum sempat dipentaskan, biarkanlah begitu. Sementara maut belum bertandang. Kalau maut sudah bertandang, katanya, tidak akan ada maknanya lagi perbahasan ini. Segala-galanya sudah dengan sendirinya berhenti di situ. Biar apa pun pemikirannya. Tinggal kosong sahaja.

Ya memang betul hujahnya. Berhujah dengan maut memang tidak ada hujah lagi. Tetapi sekarang ini sementara maut belum bertandang. Kenapakah teater mesti dihentikan? Dia mengemukakan alasan prioriti pada usia yang sudah melepasi angka 60, sedangkan di sana masih banyak lagi teks al-Quran dan hadis yang belum diteliti, apatah lagi dihayati.

Saya bangkitkan usaha meneliti dan menghayati teks al-Quran dan hadis yang saya lakukan dengan berteater, dengan menghasilkan skrip “Teater Nabi Yusuf” dan “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) itu. Dan betapa MDKT itu telah menyebarkan pemahaman dan penghayatan hadis di kalangan begitu ramai orang, khasnya anak-anak muda yang sebelumnya tidak mengenali hadis pun. Mengapakah usaha itu tidak wajar diteruskan?

Dia tidak membalas hujah itu. Hanya ada sedikit sahaja senyuman. Aneh, bisik hati saya. Dia tidak mahu berdialog. Dia hanya meminta supaya fikirkan dengan serius akan cadangan supaya menghentikan aktiviti saya berteater.

Ada banyak lagi aktiviti seni budaya yang lain selain berteater, katanya. Cuba tumpukan pada penulisan! Ujarnya, berupa cadangan. Tetapi fikiran saya masih tidak mahu berganjak daripada memikirkan kenapa mesti berhenti berteater. Di mana salahnya berteater? Kalau ia tidak salah di usia muda hingga 50-an, kenapa ia mesti dihentikan di usia 60-an?

Kalau berhujah dengan maut yang mungkin bertandang, maut bukan sahaja bertandang pada usia 60-an. Maut juga bertandang pada usia 30-an, 40-an dan 50-an. Tak ada bezanya usia bagi maut.

Tetapi dia enggan berhujah. Tinggal saya sendiri yang berfikir. Apakah rasionalnya menghentikan aktiviti yang berfaedah itu, sedangkan tidak ramai orang yang dikurniakan bakat dan mahu menggerakkan aktiviti begitu. Tidakkah saya akan mensia-siakan bakat yang dikurniakan Allah?

Teringat kepada Samad Said, yang usianya sudah mencapai 76 tetapi masih aktif dalam aktiviti-aktiviti di lapangan, dan tidak lagi hanya menulis. Seni tidak harus diam di atas kertas sahaja, katanya. Seni juga mesti bertindak. Dan seni bertindaknya yang akhir-akhir ini sangat aktif itu pun tidaklah menghalang dia daripada menekuni buku-buku agama. Dan dia pun menjadi semakin religius juga.

Saya tidak menerima apa-apa respons lagi daripada pihak yang mengemukakan mesej itu. Hanya mesej itu sendiri sahaja yang terus dihadapkan kepada saya. Agak pelik juga sedikit, memang saya pun kebetulan terfikir juga perkara itu. Sambil mengatur beberapa perancangan pementasan teater MKDT yang dicadangkan untuk dipentaskan dalam bulan Ramadhan sementara menanti waktu berbuka puasa, memang pemikiran begitu sekali dua melintas di ruang minda saya.

Menjelang bulan Ramadhan yang dikatakan penuh keberkatan, apakah tidak ada ibadah lain yang lebih afdhal dilakukan daripada berteater, mengatur persiapan untuk pementasan, dan berfikir mengenai teater?

Saya teringat kepada beberapa perancangan aktiviti teater yang telah dibincangkan dengan kawan-kawan. Misalnya suatu pertemuan di kalangan aktivis-aktivis teater negeri Selangor, untuk merealisasikan perancangan menjadikan Shah Alam sebagai Pusat Teater Melayu, memandangkan Kuala Lumpur dengan Istana Budayanya gagal memajukan teater Melayu.

Dengan peruntukan yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada Hari Ilmu Selangor 26 Jun lalu sebanyak RM2.5 juta itu, tentulah tidak sukar lagi untuk melaksanakan program pementasan sebuah teater baru pada setiap bulan di Shah Alam.

Itu satu daripada aktiviti teater yang telah dirancang. Selain itu ada pula bengkel penulisan skrip teater Islam yang hendak dibuat. Ada cadangan hendak mementaskan skrip “Apocalipso”. Dan ada beberapa lagilah perancangan teater. Tetapi semua itu tiba-tiba seperti tidak bermakna apa-apa lagi sekarang, dengan hadirnya mesej yang menuntut saya memberi ucap selamat tinggal kepada aktiviti teater.

Apakah ini kesan daripada obsesi saya yang agak kuat kepada kisah perjalanan hidup Imam Ghazali yang pernah mengisi ruang imaginasi dan pemikiran saya selama beberapa tahun, yang pernah saya cuba ungkapkannya menjadi skrip teater tetapi tak mahu menjadi kerana kekurangan bahan, pernah juga saya cuba menjalani penggambaran untuk memilemkannya tetapi tergendala kerana kematian rakan kongsi, dan….

Saya masih mencari-cari corak kehidupan yang dijalani oleh Al-Ghazali selepas dia meninggalkan jawatan profesor di universiti dan berkelana di masjid-masjid dan berkhalwat mencari kedamaian dan kebahagiaan hakiki, lalu menemui kaedah tasawufnya dan seterusnya…

Apakah kerana obsesi itu, menjelang Ramadhan yang menjanjikan keberkatan, keampunan dan keredhaan Allah, maka saya tiba-tiba terpanggil untuk memikirkan secara serius akan sebuah mesej yang berkali-kali dikemukakan kepada saya itu? Semoga Ramadhan yang qudus dan syahdu akan dapat memberikan jawapan hendaknya!

Dinsman (Artikel 241, 25/7)
‘Membeli-belah ilmu’ di Perpustakaan Selangor

Hari itu beberapa orang penulis Paksi ada perbincangan dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), bertempat di bangunan Perpustakaan Negeri Selangor yang baru, di kawasan taman yang indah bersebelahan Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, (jalan masuknya bersebelahan dengan Kolej PTPL).

Puan Mastura Muhamad, Pengarah PPAS menyambut kami dengan mesra dan ramah. Tidak terus dibawanya kami ke bilik perbincangan, tetapi dibawa dulu melihat-lihat sekitar ruang dan tempat-tempat menarik dalam perpustakaan itu, bermula daripada ruang untuk kanak-kanak membaca dan berekreasi, hingga ke dewan menonton filem 6D, dan ruang gimnasium untuk lelaki dan untuk wanita.

Sungguh menarik dan menawan sekali. Shukur Harun pun seperti tidak sabar lagi hendak membawa cucu-cucunya datang ber‘main’ di ruang rekreasi yang bukan sahaja cantik itu, tetapi boleh merangsang kreativiti anak-anak.

Hari itu perpustakaan belum lagi dikunjungi oleh para penggunanya. (Ia mulai dibuka untuk kegunaan awam pada hari Jumaat 22 Julai). Maka sambil berjalan melihat-lihat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk pembaca, dan bagi mencapai objektif perpustakaan yang maksimum itu, kami terfikir juga akan kedudukan lokasinya yang agak jauh dari capaian orang awam, kecuali bagi mereka yang berkenderaan sendiri.

Bagi Mastura, itu adalah cabaran yang akan dihadapinya dengan penuh percaya akan potensinya yang cerah. Dia umpamakannya dengan kompleks beli-belah seperti Tesco, Giant dan sebagainya, yang orang akan berduyun-duyun mengunjunginya walaupun lokasinya agak jauh. “Yang pentingnya tarikan daripada kemudahan dan khidmat yang kita sediakan,” katanya dengan yakin.

“Ya, ini pun macam kompleks beli-belah juga,” sambut Shukur Harun. “Kita jadikan perpustakaan ini sebagai tempat membeli-belah ilmu.”

Ya, suatu idea yang sangat menarik. “Membeli-belah ilmu”!

Memang. Duduk di bahagian tengah bangunan itu, samada di tingkat satu atau tingkat empatnya, dan anda dapat melihat keseluruhan tingkatnya, anda akan terasa seperti berada di kompleks beli-belah mewah yang baru dibuka. Ya, peralatan dan perabutnya memang kelihatan mewah.

(Dan anda pasti terkejut apabila Mastura memberitahu kosnya. Dan anda pun akan ucapkan tahniah kepadanya, kerana berusaha mendapatkan barang-barang yang semewah itu, dengan kos yang begitu rendah! Bagaimana dia melakukannya? Itu satu cerita lain.)

Bayangkanlah, anda membeli-belah ilmu di sebuah pusat beli-belah yang mewah, dan anda tidak perlu pun mengeluarkan wang untuk belanja beli-belah ini!

Hari itu kami tidak sempat membelek judul-judul buku yang tersusun rapi di rak-rak pelbagai kategori ilmu yang disediakan oleh perpustakaan baru ini. Bukan kerana terpesona dengan panorama pemandangan tasik di hadapannya yang dapat dilihat dari setiap tingkat bangunan, tetapi oleh kerana waktu yang tidak mungkin mengizinkan. Orang seperti Kassim Muhamad (barabarajiwa.blogspot) misalnya, akan sanggup meluangkan masanya berhari-hari kalau bertemu dengan buku-buku yang sedemikian banyak.

Manakala orang seperti saya pula, apabila berada dalam kompleks beli-belah ilmu yang sedemikian istimewa itu – apa yang akan berlompatan dalam taman fikiran saya agaknya? Pertama sekali tentulah acara-acara seni budaya yang sesuai dengan sekitaran di situ.

Apa acaranya? Pertama tentulah teater. Tapi saya tidak mahu bercakap soal teater dulu di sini. (Lain kali kita cakap). Sekarang kita cakap soal buku, kerana ‘perpustakaan’ sehingga hari ini masih lagi disinonimkan dengan ‘buku’. Kandungan utama perpustakaan ialah buku. Himpunan dan sususan buku-buku pelbagai bidang dan pelbagai jenis, dari seluruh dunia, untuk dibaca oleh peminat-peminat buku di sekitarnya.

Maka acara seni budaya yang berkaitan dengan buku ialah bicara buku, diskusi buku, pelancaran buku; seminar, forum, syarahan dan bengkel yang berkaitan dengan buku dan penulis; pameran yang berkaitan dengan buku dan penulis, dan lain-lain yang seumpama dengannya.

Kita ambil program bicara buku dan diskusi buku misalnya. Sehingga kini apakah sudah ada perpustakaan di negara kita yang menjadikan program bicara/diskusi buku sebagai satu aktiviti pentingnya? Setahu saya tidak ada.

Maka ketika Mastura menunjukkan kami bilik-bilik dan dewan-dewan perbincangan dan tayangan yang pelbagai jenis kapasitinya itu (ada untuk empat orang, untuk lapan orang, 10 orang, 20 orang, 100 orang dan sebagainya), itulah yang bermain di fikiran saya. Kalaulah boleh dianjurkan diskusi atau bicara buku pada setiap bulan, misalnya, alangkah bagusnya!

Apatah lagi kalau ia dibuat sebagai acara tetap, sehingga membolehkan peminat-peminat buku dan budaya ilmu yang berada jauh dari Shah Alam pun dapat merancangkan jadual mereka untuk hadir.

Apabila ditunjukkan pula kafe yang terletak di suatu anjung bangunan itu yang menganjur ke tasik, dengan rekabentuknya yang menarik, (kata Mastura ia dibuat mengikut idea Sultan Selangor), saya terfikir mengenai tempat untuk penulis berjumpa kawan-kawan, sambil duduk minum-minum seperti yang dulu pernah berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya.

Sekarang tidak ada lagi tempat yang boleh dituju oleh golongan penulis, seniman dan budayawan apabila mereka ada waktu senggang dan ingin berehat dari membaca dan menulis, sambil berbincang dengan kawan-kawan. Dulu waktu Usman Awang di DBP, institusi itu pernah menjadi tempat tidak rasmi untuk fungsi tersebut.

Manalah tahu, perpustakaan baru PPAS ini boleh menghidupkan semula suasana itu, dengan mengadakan acara-acara ringan baca puisi, sepetang bersama tokoh penulis, persembahan santai lagu puisi atau lagu rakyat, dan yang seumpama itu. (Saya sekadar mencatatkan imaginasi saya yang terangsang apabila berada di tempat yang mempesonakan itu).

(Nota: PPAS akan menyediakan khidmat bas daripada tempat-tempat tumpuan ramai seperti komplek PKNS Shah Alam, untuk dibawa ke Perpustakaan yang baru ini).

Dinsman (Artikel 240, 18/7)
Usman Awang tentunya bahagia disambut begini

Ia sepatutnya dibuat pada 12 Julai, sempena tarikh lahirnya. Tetapi oleh kerana sesuatu yang tak dapat dielakkan, pihak surau itu menundakan tarikhnya kepada 23 Julai, Sabtu.

Sama sahajalah. Yang pentingnya kita mengingatinya. Tepat pada tarikh lahirnya atau beberapa hari terlewat, sama sahaja. Yang membezakannya ialah ingatan kita, iaitu samada kita mengingatnya ataupun tidak.

Terima kasih Siti Zainon Ismail, yang mengingatkan perkara ini. Dan dia memilih untuk bekerjasama dengan surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur. Kebetulan memang itu kampung kelahirannya  Dan kebetulan dia pun sudah beberapa kali membuat acara kesenian bersama dengan surau itu.

Dan kebetulan juga penghulunya serta imamnya di surau itu ialah Cikgu Ishak Surin. Siapa itu Cikgu Ishak Surin? Kata kawan saya Kassim Muhamad: “Kita kena tulis satu buku pasal orang ini. Hebat sekali dia. Tentu banyak yang menarik dalam sejarah hidup dia, yang boleh diambil jadikan contoh oleh anak-anak muda hari ini.”

Itu Cikgu Ishak Surin. Yang pentingnya dia membuka ruang di suraunya itu untuk anak-anak muda membuat aktiviti seni-budaya. Orang seperti Rahmat Harun, Fared Ayam, Nikbinjidan dan ramai lagi. Mereka mempunyai tempat di laman surau itu untuk beraktiviti seni.

Baru-baru ini kita buat pelancaran Saf Anti Fitnah (SAF) di situ. Tak berapa lama kemudian kita lancarkan pula “Kembang”, yang bertujuan untuk menjalankan kempen membaca. Pun di situ. Dan sebelum itu kita anjurkan Himpunan Seniman-Budayawan kerana menyokong penduduk Kampung Bandar Dalam berjuang mempertahankan warisan mereka daripada dicerobohi pihak berkuasa.

Dan sempena dengan itu kita terbitkan sebuah antologi puisi 56 orang penyair, “Kampung Warisan Kuala Lumpur”. (Siapa yang berminat nak miliki buku puisi yang bersejarah ini, silalah hubungi saya. Atau hubungi Pyanhabib pun okey! RM10 saja, tak termasuk pos.)

Sebelum itu Siti Zainon pernah buat pelancaran bukunya oleh A Samad Said, dan dia juga mengadakan pameran seninya di situ. Alhamdulillah! Di Kuala Lumpur kita ada Madrasah Tarbiyah ini, dan di Seberang Perai Pulau Pinang kita ada Masjid Batu, (di Permatang Pauh). Dua institusi ibadah yang aktif dengan aktiviti seni-budaya.

Tentunya kita harap tidak hanya dua ini sahaja institusi surau dan masjid yang mesra seni-budaya di negara ini. Tentu ada lagi yang lain yang mungkin saya tak tahu. Tolonglah maklumkan kepada saya. Mungkin kita boleh saling membantu dan bekerjasama.

Okey, sementara itu kita balik kepada cerita awal tadi, mengenai majlis mengingati Usman Awang, yang diinisiatifkan oleh Siti Zainon Ismail bersama anak Usman Awang sendiri, Lyna Usman. Dibuat di surau. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, misalnya pernah dibuat bersama dengan Institut Terjemahan Negara di laman institut tersebut, di Wangsa Maju. Ada lakonan Rahim Razali yang melakonkan Jebat dalam drama Matinya Seorang Pahlawan dan sebagainya.

Kali ini pula dibuat di ruang perpustakaan sebuah surau. Bagi saya, alhamdulillah. Dalam keadaan institusi bahasa kita yang didanai kerajaan berjuta-juta (dengan duit rakyat) itu sedang memerlukan bacaan Yasin kerana tenatnya, (DBP), apalah yang hendak diharapkan padanya.

Kalaulah itu dilihat sebagai melambangkan betapa lemahnya tenaga batin para ahli bahasa, ahli sastera dan ahli budaya kita, khasnya kelompok yang bernaung di bawah payung Gapena yang gah dan gigih dengan pencarian Melayu mereka itu… Alahailah nasib!

Maka saya amatlah bersyukur Siti Zainon, Lyna dan Cikgu Ishak mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini, yang kebetulan masanya sangat-sangatlah sesuai – sedang panas-panas lagi dengan peristiwa ‘demam kuning’ 9 September itu. Ia memang bertepatan dengan semangat Usman Awang sendiri – seorang pejuang rakyat dan pejuang kemanusiaan!

Usman Awang tentunya bahagia dengan sambutan ulangtahunnya kali ini. Apatah lagi himpunan 100 ribu pejuang yang menuntut pilihanraya bersih dan adil itu pula antara yang berjalan di saf paling depannya ialah sahabat karibnya A Samad Said. (Kalaulah saja Usman Awang masih ada, dan dia berganding bahu dengan A Samad Said. Dua orang Sasterawan Negara memimpin kebangkitan rakyat Malaysia! Oh alangkah hebatnya.)

Barangkali Hishamuddin Rais boleh tolong sambungkan cerita itu pada malam 23 Julai nanti. Hishamuddin pun memang mempunyai ceritanya sendiri dengan Usman Awang, sebelum dia memulakan kembara panjangnya ke luar negeri pada tahun 70-an dulu.

Saya pun tidak pasti bagaimana pengisiannya pada malam itu, kerana belum berbincang dengan Siti Zainon dan Lyna (sewaktu menulis catatan ini). Mengikut katanya, acara bermula sejak petang lagi, dengan pembacaan karya-karya Usman Awang oleh anak-anak muda Kampung Bandar Dalam.

Hanya Cikgu Ishak mengharapkan ramai kawan-kawan seniman dari generasi muda akan hadir seperti pada acara Himpunan Seniman-Budayawan pertama di situ dulu. Mereka yang meminati dan menghargai karya-karya Usman Awang yang menjulang tinggi semangat kerakyatan dan kemanusiaan – datanglah!

Mari kita sama-sama menghidup-segarkan kembali roh dan idealisme perjuangan Usman. Seperti saya sebut tadi, inilah masanya yang paling sesuai untuk kita menghayati semula karya-karya kerakyatan Usman Awang.

Manalah tahu – Rahmat Harun yang baru-baru ini mengejutkan kita dengan persembahan seni solonya di Warong Rakyat – memamah sepiring cili api hingga lumat, segenggam demi segenggam, lalu diluahkan menjadi huruf-huruf D-B-P, sempena baca puisi ulangtahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka itu; akan tampil pula dengan persembahan yang lebih mengejutkan! Siapa tahu!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
Dinsman (Artikel 238, 15/7)
9 Julai dan pemikiran baru: satu renungan

Tengahari 9 Julai yang dinanti-nantikan dengan penuh resah dan debar itu telahpun berlalu. Saya pun sempat mencatatkan resah dan debar pemikiran sendiri melalui Wacana Budaya (WB) 10 Julai, bahawa: “Pemikiran dan suasana selepas 9 Julai tentunya sangat berbeza. Apa yang sebenarnya berlaku pada 9 Julai tentunya sangat mempengaruhi pemikiran dan suasana selepasnya.”

Seterusnya wacana itu mencatatkan: “Apa pun yang berlaku, dan bagaimanapun yang berlaku; suasana politik kita tak akan sama lagi. 9 Julai menjadi garis pemisahnya. Nama Ambiga Sreenevasan dan Samad Said melonjak paling tinggi dan telah terpahat dalam sejarah Malaysia baru. Tak siapa pun terduga hal ini sebulan yang lalu.”

Maka hari ini 11 Julai, saya duduk merenung semula catatan WB itu – apakah telah benar-benar wujud apa yang saya maksudkan sebagai “pemikiran baru selepas 9 Julai” itu? Apakah Himpunan Bersih 2.0 pada hari itu benar-benar telah terjadi seperti yang dijangkakan, atau seperti yang diharap-harapkan? Apakah benar ia “sangat mempengaruhi pemikiran dan suasana selepasnya”?

Malam tadi 10 Julai sengaja saya hadir ceramah ‘Meraikan Kemenangan’ anjuran PAS Kawasan Batu, di Taman Melewar, untuk meninjau pandangan tokoh-tokoh yang bercera-mah – Salahuddin Ayob, Mahfuz Omar, Siti Zailah, Lee Boon Chye, Charles Santiago dan A Samad Said – apakah ada atau telah muncul ‘pemikiran baru’ yang saya maksudkan itu?

Nampaknya seperti tidak ada. Masih seperti pemikiran sebelum 9 Julai juga. Hanya dakwaan-dakwaan mengatakan “Kita telah berjaya”, “Bersih 2.0 mencapai kejayaan”, “Rakyat telah menang”, “Walaupun polis menutup semua jalan ke Kuala Lumpur, 50 ribu rakyat tetap berjaya berhimpun” dan sebagainya. 

Satu perkara yang nampaknya diperkatakan di mana-mana ialah kekasaran dan kebiadapan pihak polis. “Polis lebih kasar kali ini.” Itulah kesan dan impak yang menjadi topik perbualan. Tapi itu bukannya perkara baru. Sama sekali itu bukan pemikiran baru.

Apakah perhimpunan yang terjadi di persimpangan Hentian Pudu dan Menara Maybank, di KL Sentral, KLCC dan di depan jalan ke Stadium Merdeka itu mempunyai kesannya terhadap senario politik Malaysia?

Barangkali masih terlalu awal untuk kita membuat penilaian dan apalagi rumusan. Tetapi walau apa pun, saya percaya demo Bersih 9 Julai itu akan memberikan kesan yang agak besar kepada politik Malaysia. Ada beberapa insiden penting telah berlaku di dalamnya, yang mungkin belum lagi menonjolkan kepentingannya sekarang, tetapi akan menonjol sedikit hari lagi.

Misalnya saya menyaksikan sambutan orang ramai terhadap kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said di hadapan halangan kawat berduri dan barisan polis di jalan masuk ke Stadium Merdeka tengahari itu, sungguh luar biasa. Kebetulan memang tidak ada pemimpin yang dikenali ramai di situ, kecuali Cikgu Azmi (Teras). (Kebanyakan pemimpin sudah ditangkap di KL Sentral). Mereka melaung-laungkan nama Pak Samad. Dan saya lihat wajah-wajah di situ ramai yang bukan Melayu.

Ternyata Samad Said sudah diterima sebagai ‘ikon’ di kalangan rakyat Malaysia hari ini, tanpa mengira kaum. Begitulah juga Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah. Mereka sudah lahir sebagai tokoh-tokoh baru, atau tenaga-tenaga baru dalam politik Malaysia, sedangkan mereka bukan orang politik. Tetapi mereka sedang memberi cabaran yang besar terhadap kepimpinan Najib Tun Razak.

Memang ini satu perkara yang sudah agak lama saya ulang-ulangi dalam tulisan – tentang betapa perlunya orang bukan politik turut memainkan peranan dalam menentukan corak dan arah kehidupan masyarakat; tentang betapa perlunya kita mengurangkan keadaan yang seolah-olah semuanya hendak ‘dipolitikkan’ di negara ini. Bahawa politik bukanlah penyele-saian kepada segala masalah. Bahkan kadang-kadang politiklah yang menyebabkan masalah.

Tidak pasti apakah tokoh-tokoh pendokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil ini akan mampu meneruskan gelombang yang telah mereka wujudkan ini atau tidak? Perhimpunan 9 Julai itu hanya sekadar permulaannya sahaja. Ia mesti diteruskan.

Berbeza dengan Bersih pertama (2007) dulu yang digerakkan oleh orang-orang politik, Bersih 2.0 ini walaupun didokong oleh orang-orang politik juga, tetapi penggeraknya dan yang menentukan perjalanan atau organisasinya adalah bukan orang-orang politik.

Saya sendiri tidak tahu bagaimanakah prosesnya Datuk Ambiga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bersih 2.0, dan bagaimanakah mereka membentuk jawatankuasa tersebut. Memang tidak penting pun untuk tahu perkara itu. Yang pentingnya ialah kita hendak melihat Bersih 2.0 ini meneruskan perjuangannya, hingga tercapai apa yang dituntut dan diperjuangkan, iaitu mewakili tuntutan dan perjuangan rakyat Malaysia yang mahukan pilihanraya bersih dan adil.

Perhimpunan Bersih juga dilaporkan diadakan serentak di beberapa bandaraya penting di seluruh dunia. Ertinya dunia memerhati dan menyokong apa yang dilakukan oleh Bersih. Media-media pro-Umno/BN hanya boleh menipu orang-orang mereka sendirilah sahaja. Mereka – media mereka, polis mereka, hakim mereka, menteri mereka – sedang berjalan di atas jalan yang menuju ke jalan mati. Kita hanya perlu menguruskan gelombang Bersih ini agar ia tidak dicemari atau diselewengkan di tengah perjalanannya. Itu saja.

Seniman-sasterawan sudahpun bangun mengambil tanggungjawab mereka. Para peguam pun semakin ramai yang tampil menghulurkan khidmat mereka kepada perjuangan ini. Hanya kita menunggu golongan cendekiawan dan ulamak pula! Bilakah lagi?

Bilakah akan tampil ulamak dan cendekiawan yang berani dan nekad seperti ditunjukkan oleh Samad Said ketika dia berjalan bersama kira-kira 30 orang lain melalui Jalan Kampung Atap menuju ke arah Istana Negara, dan berdialog dengan pegawai polis yang menyekat perjalanan sambil menunjukkan wajah bengis dan biadap mereka menghalang misi untuk menyampai-kan memorandum kepada yang Dipertuan Agong, pada petang Sabtu itu?

Saya dan kawan-kawan turut berbangga sempat bersama dengannya dan menjadi saksi kepada aksi beraninya itu.

Dan apabila pulang, terfikir satu perkara lalu saya sms kepada kawan-kawan, begini: “Pejuang yang bergerak di saf paling depan memerangi kezaliman penguasa jahat itu ialah sasterawan yang dikatakan novelnya tidak Islamik kerana membela pelacur. Tapi di manakah tokoh sastera yang mengkritik Samad itu, dan sasterawan Islamik serta para agamawan kita yang moralis, ketika Samad sedang bergelut dengan pelbagai risiko bahaya kerana mewakili rakyat mengatakan yang hak kepada penguasa yang zalim agar stop zalim dan berbuatlah yang adil.”

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
Tahniah Tan Sri Khalid Menteri Besar Selangor! Tahniah kerana menerima kritikan yang dibuat secara terbuka di hadapan khalayak umum, tanpa menunjukkan tanda-tanda negatif dan tanpa kecenderungan untuk menafikan kebenaran kritikan dengan mengemukakan alasan-alasan.

Memang itu suatu hal yang tidak mudah untuk dilakukan, kalaulah bukan dengan kejujuran dan sikap terbuka yang sudah sebati dengan diri. Tetapi hari itu Tan Sri Khalid dengan tenang dan gelak ketawa seperti kebiasaannya, menerima setiap kritikan, bukan sahaja daripada saya tetapi juga daripada khalayak penulis yang hadir.

“Jadilah pendengar yang baik,” kata Razali Endun memulakan dialog dan tegurannya. “Be a good listener,” ulangnya dalam bahasa Inggeris pula.

“Jangan hanya pandai cakap saja!” Tegur wartawan veteran Ismas Saring, dalam suasana ceria gelak ketawa penonton. Dan MB pun turut juga menerima teguran orang Jeram itu dengan ceria dan gelak ketawanya.

Begitulah suatu majlis dialog yang berlaku dengan telus dan berterus-terang. “Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang telus,” kata Khalid, menambahkan lagi suasana keterbukaan dialog di Konvensyen Penulis yang diadakan sempena Hari Ilmu Selangor itu. Kira-kira 200 orang penulis dan wartawan hadir.

Sebelum itu, apabila Hajah Mastura Muhamad menceritakan bagaimana dia meyakinkan pihak di pejabat Menteri Besar Selangor mengenai dialog yang dicadangkannya antara Menteri Besar dengan peserta Konvensyen Penulis 26 Jun di Shah Alam itu, saya sudah dapat membaca akan keyakinannya terhadap sikap terbuka Menteri Besar itu.

Dengan saya pun Pengarah Perpustakaan Selangor itu menyatakan alasannya memilih Presiden Paksi untuk menyampaikan ucaptama, adalah kerana pengalaman Paksi menemui pelbagai masalah dan halangan dalam melaksanakan program-program seni-budaya di Selangor. Biar permasalahan yang benar-benar dialami itu dikemukakan dalam dialog dengan Menteri Besar, supaya Konvensyen Penulis yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu benar-benar membuahkan hasil, katanya.

Alhamdulillah. Kepercayaan saya terhadap keyakinan Mastura itu rupa-rupanya ternyata tepat. Selesai saya menyampaikan ucapan yang membawa kritikan pedas terhadap kerajaan pimpinannya, Tan Sri Khalid menghulurkan tangan untuk bersalam dengan muka yang tenang dalam senyuman.

Dan bukan sekadar itu sahaja. Dalam jawapannya selepas itu pun dia mengakui kebenaran kritikan saya itu dan dia menerimanya. Memanglah dia bercerita panjang kisah-kisah bagaimana dia berusaha menambah dana kerajaan negeri, dengan rumusannya di akhir ceritanya itu bahawa untuk menjawab pelbagai permasalahan seni-budaya yang ditimbulkan dalam dialog itu: “Kita mesti ada duit. Kalau tak ada duit macamana kita nak buat apa yang kita nak buat itu?”

Pada waktu itu saya percaya tak ada siapa pun yang terlintas dalam fikirannya bahawa di akhir sesi dialog itu Menteri Besar akan mengumumkan suatu peruntukan khas (yang baru diluluskannya pada waktu itu juga, bukan dari bajet kerajaan negeri tetapi dari MBI atau Perbadanan Menteri Besar), untuk aktiviti seni-budaya di Selangor sebanyak RM2.5 juta, yang terbuka untuk dimohon oleh persatuan-persatuan penulis dan seni-budaya mulai 1 Julai 2011.

Rupa-rupanya begitu caranya Menteri Besar ini memberi penyelesaian kepada masalah-masalah yang dibangkitkan kepadanya. Alhamdulillah.

Saya sebenarnya mengharapkan beliau untuk memahami permasalahan yang dihadapi bukan sahaja oleh golongan penulis dan budayawan di Selangor, tetapi juga yang dihadapi oleh masyarakat kita akibat daripada keterlaluan kita berpolitik dan menumpukan perhatian kepada soal-soal bisnes dan ekonomi sahaja, dengan mengabaikan kepentingan seni dan budaya, bagi mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan.

Namun walau apa pun, seperti kebanyakan penulis dan budayawan yang hadir, saya pun gembira dengan pengumuman tambahan RM2.5 juta untuk aktiviti seni-budaya di Selangor itu. Sekurang-kurangnya inilah suatu hasil yang jelas dan konkrit, yang dicapai oleh Konvensyen Penulis anjuran PPAS dengan kerjasama Paksi itu.

Memanglah, dengan pengumuman itu sahaja tidak bermakna permasalahan seni-budaya di Selangor akan selesai. Tidak. Namun sebagai permulaan itu adalah sesuatu yang menjanjikan masa depan yang positif bagi seni-budaya. Dan Paksi bersyukur hasil perjuangannya telah dapat dinikmati oleh seluruh warga seni dan budaya di Selangor.

Bagi saya, yang pentingnya ialah Menteri Besar telah menunjukkan perhatiannya kepada persoalan seni-budaya. Itu sebenarnya satu permulaan yang lebih penting. Dan beliau sendiri mengakuinya selama ini perhatian memang kurang diberikan kepada seni-budaya.

Tidak kurang pentingnya ialah sikap terbuka untuk menerima teguran yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid dalam sesi dialog berkenaan. Semoga ia menjadi suatu rakaman untuk diteladani oleh ramai lagi pemimpin-pemimpin kita, khasnya dalam Pakatan Rakyat.

Hadir sama dalam majlis dialog itu ialah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Hajah Halimah Ali; dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan, Puan Rodziah Ismail.

Saya percaya kedua-dua Exco berkenaan telah mendapat mesej yang jelas daripada Menteri Besar, untuk masing-masing melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Namun yang lebih mengujakan saya ialah keterbukaan Dr Halimah menjanjikan beberapa program yang akan melibatkan peranan Paksi secara aktif dalam pelaksanaannya.

Apa pun, Paksi berterima kasih kepada Mastura kerana, seperti saya tegaskan dalam ucapan di hari bersejarah itu: “Paksi akhirnya bertemu juga dengan orang yang memahami aspirasi, cita-cita dan perjuangan serta tekad budaya atau cultural will-nya.”