Background

MENGAPA HARUS UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA TEATER?

Dinsman (Artikel 242, 29/7)
Mengapa harus ucap selamat tinggal kepada teater?

Tak semena-mena, tiba-tiba saya menerima mesej yang menyarankan agar saya berfikir semula mengenai penglibatan dalam teater – apakah perlu diteruskan ataupun wajar dihentikan saja, demi untuk memberi perhatian kepada hal-hal lain yang kiranya lebih perlu pada usia yang sudah berada di hujung.

Dan mesej itu meminta saya memikirkannya secara serius. Bukan kerana hukumnya dalam Islam yang ada sebahagian ulama kurang menyenanginya, tetapi kerana prioriti, kerana ada urusan atau perkara lain yang difikirkan lebih penting, khasnya di usia yang semakin menipis ini – misalnya di sana masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang belum sempat diteliti, dan begitu juga hadis-hadis Nabi.

Cukuplah penglibatan setakat yang telah berlangsung itu, katanya. Walaupun ada tiga lagi skrip yang belum sempat dipentaskan, biarkanlah begitu. Sementara maut belum bertandang. Kalau maut sudah bertandang, katanya, tidak akan ada maknanya lagi perbahasan ini. Segala-galanya sudah dengan sendirinya berhenti di situ. Biar apa pun pemikirannya. Tinggal kosong sahaja.

Ya memang betul hujahnya. Berhujah dengan maut memang tidak ada hujah lagi. Tetapi sekarang ini sementara maut belum bertandang. Kenapakah teater mesti dihentikan? Dia mengemukakan alasan prioriti pada usia yang sudah melepasi angka 60, sedangkan di sana masih banyak lagi teks al-Quran dan hadis yang belum diteliti, apatah lagi dihayati.

Saya bangkitkan usaha meneliti dan menghayati teks al-Quran dan hadis yang saya lakukan dengan berteater, dengan menghasilkan skrip “Teater Nabi Yusuf” dan “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) itu. Dan betapa MDKT itu telah menyebarkan pemahaman dan penghayatan hadis di kalangan begitu ramai orang, khasnya anak-anak muda yang sebelumnya tidak mengenali hadis pun. Mengapakah usaha itu tidak wajar diteruskan?

Dia tidak membalas hujah itu. Hanya ada sedikit sahaja senyuman. Aneh, bisik hati saya. Dia tidak mahu berdialog. Dia hanya meminta supaya fikirkan dengan serius akan cadangan supaya menghentikan aktiviti saya berteater.

Ada banyak lagi aktiviti seni budaya yang lain selain berteater, katanya. Cuba tumpukan pada penulisan! Ujarnya, berupa cadangan. Tetapi fikiran saya masih tidak mahu berganjak daripada memikirkan kenapa mesti berhenti berteater. Di mana salahnya berteater? Kalau ia tidak salah di usia muda hingga 50-an, kenapa ia mesti dihentikan di usia 60-an?

Kalau berhujah dengan maut yang mungkin bertandang, maut bukan sahaja bertandang pada usia 60-an. Maut juga bertandang pada usia 30-an, 40-an dan 50-an. Tak ada bezanya usia bagi maut.

Tetapi dia enggan berhujah. Tinggal saya sendiri yang berfikir. Apakah rasionalnya menghentikan aktiviti yang berfaedah itu, sedangkan tidak ramai orang yang dikurniakan bakat dan mahu menggerakkan aktiviti begitu. Tidakkah saya akan mensia-siakan bakat yang dikurniakan Allah?

Teringat kepada Samad Said, yang usianya sudah mencapai 76 tetapi masih aktif dalam aktiviti-aktiviti di lapangan, dan tidak lagi hanya menulis. Seni tidak harus diam di atas kertas sahaja, katanya. Seni juga mesti bertindak. Dan seni bertindaknya yang akhir-akhir ini sangat aktif itu pun tidaklah menghalang dia daripada menekuni buku-buku agama. Dan dia pun menjadi semakin religius juga.

Saya tidak menerima apa-apa respons lagi daripada pihak yang mengemukakan mesej itu. Hanya mesej itu sendiri sahaja yang terus dihadapkan kepada saya. Agak pelik juga sedikit, memang saya pun kebetulan terfikir juga perkara itu. Sambil mengatur beberapa perancangan pementasan teater MKDT yang dicadangkan untuk dipentaskan dalam bulan Ramadhan sementara menanti waktu berbuka puasa, memang pemikiran begitu sekali dua melintas di ruang minda saya.

Menjelang bulan Ramadhan yang dikatakan penuh keberkatan, apakah tidak ada ibadah lain yang lebih afdhal dilakukan daripada berteater, mengatur persiapan untuk pementasan, dan berfikir mengenai teater?

Saya teringat kepada beberapa perancangan aktiviti teater yang telah dibincangkan dengan kawan-kawan. Misalnya suatu pertemuan di kalangan aktivis-aktivis teater negeri Selangor, untuk merealisasikan perancangan menjadikan Shah Alam sebagai Pusat Teater Melayu, memandangkan Kuala Lumpur dengan Istana Budayanya gagal memajukan teater Melayu.

Dengan peruntukan yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada Hari Ilmu Selangor 26 Jun lalu sebanyak RM2.5 juta itu, tentulah tidak sukar lagi untuk melaksanakan program pementasan sebuah teater baru pada setiap bulan di Shah Alam.

Itu satu daripada aktiviti teater yang telah dirancang. Selain itu ada pula bengkel penulisan skrip teater Islam yang hendak dibuat. Ada cadangan hendak mementaskan skrip “Apocalipso”. Dan ada beberapa lagilah perancangan teater. Tetapi semua itu tiba-tiba seperti tidak bermakna apa-apa lagi sekarang, dengan hadirnya mesej yang menuntut saya memberi ucap selamat tinggal kepada aktiviti teater.

Apakah ini kesan daripada obsesi saya yang agak kuat kepada kisah perjalanan hidup Imam Ghazali yang pernah mengisi ruang imaginasi dan pemikiran saya selama beberapa tahun, yang pernah saya cuba ungkapkannya menjadi skrip teater tetapi tak mahu menjadi kerana kekurangan bahan, pernah juga saya cuba menjalani penggambaran untuk memilemkannya tetapi tergendala kerana kematian rakan kongsi, dan….

Saya masih mencari-cari corak kehidupan yang dijalani oleh Al-Ghazali selepas dia meninggalkan jawatan profesor di universiti dan berkelana di masjid-masjid dan berkhalwat mencari kedamaian dan kebahagiaan hakiki, lalu menemui kaedah tasawufnya dan seterusnya…

Apakah kerana obsesi itu, menjelang Ramadhan yang menjanjikan keberkatan, keampunan dan keredhaan Allah, maka saya tiba-tiba terpanggil untuk memikirkan secara serius akan sebuah mesej yang berkali-kali dikemukakan kepada saya itu? Semoga Ramadhan yang qudus dan syahdu akan dapat memberikan jawapan hendaknya!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply