Background

Bengkel penulisan dan keperluan kepada editor

Dinsman (Artikel 255, 30/9)
Bengkel penulisan dan keperluan kepada editor

Sebahagian mereka menyebutnya bengkel penulisan kritis. Azizi Hj Abdullah (Allahyarham) yang mula menyebutnya begitu. Memang ia agak menekankan aspek kritis, yakni bahawa penulis itu perlu berfikiran kritis. Tetapi saya rasa kelainan bengkel itu bukan sahaja pada penekanan aspek pemikiran kritis itu. Ada kelainan lain lagi.

Apabila diadakan pertemuan susulan kepada bengkel Titihayun itu pada 23-24 September lalu, di Teras Jernang, Bangi, dan ketika mendengar peserta melaporkan perkembangan diri masing-masing selepas bengkel enam hari dulu itu, saya terasa betul kelainannya. Mereka bercerita hal-hal yang tidak pernah kita dengar demikian dalam pertemuan-pertemuan penulis yang biasa diadakan.

Memang mereka itu demikian. Latar belakang mereka sangat pelbagai. Dan nampaknya sebahagian mereka begitu sekali komited dan dedikasi dengan bidang-bidang mereka, sehingga nampak seolah-olah penulisan tidak begitu penting bagi mereka. Selesai Titihayun masing-masing bertebaran ke merata-rata, ada yang ke luar negeri, menjalankan tugas masing-masing, yang bukan di bidang penulisan.

Tetapi mengapakah mereka menghadiri bengkel penulisan, dan hadir lagi dalam bengkel susulannya? Tentulah kerana minat. Malah sebahagiannya juga sangat berbakat. Ada yang sudah agak berpengalaman dan sudah ada karya yang diterbitkan, termasuk buku. Namun ada juga yang masih tidak menulis walaupun setelah menjalani bengkel enam hari, dan ada yang hanya menumpu pada menulis pantun sahaja.

Tidak tahu di mana kelainan masing-masing itu mencapai titik pertemuan di antara mereka. Atau mungkin tidak ada dan tidak perlu titik pertemuan, kecuali yang terjadi kerana menghadiri satu bengkel, itu sahaja. Dan memang dialog serta perbincangan dalam bengkel itu sangat menjadi, hinggakan soal apakah Ustaz Azizan Razak sebagai Menteri Besar Kedah itu patut dikritik ataupun tidak, pun diperdebatkan agak hangat.

Tumpuan yang diberikan kepada peserta yang masih tidak menulis itu, pun diperdebatkan juga apakah perlu diperpanjangkan soal itu atau dibiarkan begitu saja. Menariknya, ramai yang mengemukakan pelbagai idea dan teknik bagi membantu, agar peserta tersebut boleh menulis, yakni menuliskan idea dan pemikirannya sendiri yang ternyata sering dizahirkannya dengan baik sekali melalui percakapan/lisan.

Ahkarim menimbulkan soal media yang akan menerbitkan karya-karya graduan Titihayun, dan beberapa orang mencadangkan supaya Paksi mewujudkan media sendiri. Saya mengakui keterbatasan kemampuan Paksi untuk mewujudkan media itu, di samping mengimbas kembali pandangan Hishamuddin Rais dalam pertemuan Paksi yang pertama, tiga tahun lalu, bahawa media untuk menerbitkan karya bukan lagi isu pada hari ini. Semua orang boleh mencipta medianya sendiri, katanya, iaitu melalui internet.

Pandangan Hishamuddin itu tidak ditolak tetapi dipersoalkan keberkesanannya. Maka terjadilah perdebatan yang hangat lagi. Apakah kita benar-benar memerlukan media, dan media bagaimanakah yang kita perlukan, dan apakah benar kita tidak mampu mencipta media kita sendiri walaupun secara kecil tetapi berkesan?

Ternyata keghairahannya bukan lagi keghairahan untuk menulis, tetapi untuk peringkat yang selepas menulis. Sepertinya soal menulis itu bukan lagi menjadi masalah (kecuali untuk seorang dua).

Maka secara diam-diam saya teringat pada keazaman seorang Amni Jagat, yang pernah dengan yakin mencalonkan dirinya menjadi orang ke-31 apabila saya mengatakan di Malaysia hari ini hanya ada 20-30 orang sahaja penulis pejuang kebenaran seperti A Samad Said, Prof Shaharir dan Azizi Hj Abdullah. Ini dinyatakannya sebelum hadir ke Teras Jernang. Dan nampaknya tekadnya itu disokong oleh beberapa hasil penulisannya yang semakin rancak akhir-akhir ini.

Memang dia bukan tumbuh di Titihayun. Sama seperti yang lain-lain juga. Asreemoro misalnya sudah menghasilkan ‘Tausug’nya. Hanya mereka hadir untuk bergabung dengan kawan-kawan dan saling mengambil manfaat di situ, untuk terus menjalar, mengalir dan membuka kepak meneruskan kembara masing-masing.

Saya sangat teruja mendengar Nasser Mohamad menceritakan bukunya dalam proses penerbitan. Demikian juga Muharsafa Kirana. Malah Amni Jagat juga akan menerbitkan buku baru. Alhamdulillah!

Bengkel penulisan bukanlah untuk mencipta penulis. Tetapi tentulah ada sesuatu yang istimewa di sana maka penulis yang sudah mempunyai buku kumpulan cerpen sebaik ‘Mou Sumi’ itupun masih sudi menghadirinya, dan hadir lagi bengkel susulannya. Mungkin kerana ingin menimba pengalaman A Samad Said yang bermurah hati hadir tiga hari bercerita pengalaman dan mencurahkan ilmunya di sana.

Atau mungkin ada faktor lain. Saya masih mencuba mencari di mana kekuatan dan di mana kelemahan bengkel tersebut, sebagai panduan untuk yang akan datang. (Paling dekat ialah di Simpang Renggam, 2 Oktober).

Sementara itu mengingat kembali sesi akhir perbincangan di Teras Jernang, saya seperti merumuskan bahawa apa yang seterusnya diperlukan bagi merealisasikan hasrat untuk melihat tampilnya beberapa orang penulis daripada bengkel penulisan CAP-Paksi itu ialah: seorang editor pengasuh, yang bertanggungjawab mengedit/menyunting tulisan-tulisan graduan itu, dan seterusnya menguruskannya hingga diterbitkan.

Barangkali ini rumusan daripada debat hangat yang mempersoalkan masalah keperluan kepada media itu. Ternyata editor juga berperanan penting dalam usaha untuk ‘melahirkan’ penulis. Dan melihat pada banyaknya karya yang perlu diedit dan diuruskan, nampaknya Paksi (dan CAP) seperti memerlukan seorang editor sepenuh masa. Dan barangklai editor inilah yang akan menentukan kejayaan bengkel penulisan itu.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply