Background

PERTEMUAN ISENG-ISENG DI PALEMBANG

Pertemuan Iseng-Iseng di Palembang


Oleh  RAZALI ENDUN

          Pertemuan Penyair Nusantara ke-V selama tiga hari di Palembang Julai lalu sebenarnya tidak menepati pengisian kelesuan dunia sastera di Nusantara. Tiga hari hanya diisi dengan pembicaraan puisi secara iseng-isengan, walaupun pertemuan itu mendapat restu pemerintah wilayah Sumatera Selatan. Malah pembentangan kertas kerja yang sepatutnya berlangsung pada hari kedua tidak dimanfaatkan dengan bijaksana.

        Acara dimulai dengan majlis perasmian oleh Gabenor Sumatera Selatan (Sumsel) bapak Ir. H. Alex Noerdin di Griya Agung, Jalan Demang Lebar Daun, Palembang. Selain ucapan perasmian oleh bapak gabenor, majlis juga diisi dengan pelancaran buku, ‘Akulah Musi,’antologi puisi Nusantara hasil karya para penyair dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand. Pelancaran disempurnakan oleh isteri gabenor, Nyonya Alex Noerdin.

       Seramai kira-kira 500 orang menyertai Pertemuan ini dengan Indonesia menghantar paling ramai peserta, kira-kira 300 orang. Malaysia menghantar kira-kira 100 peserta terdiri  dalam dua kelompok, sekitar 70 orang di bawah Pena dan 30 orang di bawah E-Sastera. Selebihnya disertai oleh peserta Singapura, Brunei dan Thailand.

          Hari kedua sebelah pagi ialah acara pembentangan kertas kerja yang bertemakan, “Potret Puisi Nusantara Mutakhir.”  Empat orang tokoh penyair masing-masing dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia diberi tugasan berat ini. Dr. Jeffri Arif dari Brunei membicarakan, ‘Estetika dan gaya puisi Nusantara,’ Jamal Tukimin dari Singapura membicarakan, ‘Menempuh obsesi dalam pencarian dan proses kreatif,’ Prof. Dr. Muhamad Hj. Salleh wakil Malaysia dengan, ‘Ke manakah hilang kritikan puisi,’ dan Taufik Ismail dari Indonesia dengan tajuk, ‘Model pengajaran puisi yang ideal.’

         Sayangnya majlis wacana ilmu yang sangat signifikan dengan dunia sastera telah tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penganjur dan para pemakalah. Pembentangannya sangat hambar malah kandungannya tidak membawa kepada kecenderungan untuk berfikir. Tambah menyulitkan apabila kertas kerjanya tidak diedarkan kepada para peserta untuk ditelaah. Ditokok lagi oleh Taufik Ismail yang tidak membentangkan kertasnya, sebaliknya membacakan puisi panjangnya sebagai ganti.

       Kertas Prof. Muhamad Hj. Salleh mungkin menarik perhatian yang memberi tumpuan kepada lenyapnya kritikan sastera di Nusantara. Kekhuatiran beliau terhadap kerancakan kritikan sastera semakin pudar harus diberi perhatian oleh khalayak sastera seluruh Nusantara. Kepupusan kritikan sastera semakin ketara bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di Indonesia sendiri kelesuannya semakin terasa apabila H.B Yasin, Mokhtar Lubis, W.S. Rendra sudah meninggal dunia.

         Di Malaysia dunia kritikan sastera semakin parah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menghapuskan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, yang diberi tugas khusus bersangkutan dengan  teori  dan kritikan sastera Melayu. Semenjak ketiadaan Bahagian ini, tidak lagi berlangsung seminar berkaitan Teori dan Kritikan Sastera diadakan oleh DBP. Malah bicara tokoh seperti ‘Pemikiran Sasterawan Negara’ sudah tidak begitu rancak lagi dalam susun atur acara sastera DBP. Akibatnya, dunia kritikan sastera semakin lesu dan lembab menjurus ke arah kepupusannya.

        Ini ditambah lagi dengan ketiadaan ruangan kritikan sastera dalam media cetak seperti dalam Utusan/Mingguan Malaysia dan Berita Harian/Minggu. Ruangan ulasan cerpen dan sajak dalam Majalah Dewan Sastera terbitan DBP juga sudah lama ditiadakan. Fenomena ini menjurus kepada kerancakan dunia kritikan sastera semakin hilang pengaruh dan peranannya dalam jagat sastera tanah air.

         Sudah tidak terdengar lagi kritikan dan polemik sastera dalam media utama negara. Kalau ada pun sesekali disiarkan dalam akhbar tabloid seperti Siasah dan Harakah. Namun kerancakan dan ketajaman kritikannya semacam sudah hilang taringnya. Justeru kerana itu Prof Dr. Muhamad Hj Salleh menyarankan supaya peranan ini diambil oleh dunia siber. Beliau telah meminta Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, pengasas e-Sastera supaya mengambil insiatif ini sebagai alternatif agar peranan kritikan tidak terus pupus.

           Apabila ruangan kritikan tidak disediakan, maka pastinya aktiviti kritikan akan terbantut. Inilah yang terjadi dalam dunia sastera tanah air sekarang, di mana tidak terdengar lagi kritikan sastera secara rinci dan serius dibincangkan dalam dada akhbar-akhbar tempatan. Oleh kerana itu kita sudah tidak punya pengkritik sastera yang berwibawa seperti Kassim Ahmad, Yahaya Ismail, Shahnoh Ahmad dan yang lain  yang berani mengkritik secara terbuka karya-karya para pengarang sastera.

           Tahun depan Jambi telah dipilih sebagai tuan rumah Pertemuan Panyair ke-VI. Pertemuan tahun depan seharusnya diperluaskan lagi skop pembicaraannya iaitu dunia sastera secara keseluruhannya, mencakupi semua bidang termasuk novel, cerpen, puisi, drama dan sastera tradisional. Teori dan kritikan serta kajian sastera juga seharusnya dimasukkan dalam agenda perbincangan. Puisi hanya segmen sastera yang luas lapangannya. Apa juga bentuk segregasi sastera adalah suatu tindakan yang tidak  bijaksana.   

          Khalayak sastera telah maklum, sebelum istilah sastera digunakan secara meluas, istilah persuratan telah lama digunapakai dalam dunia karang mengarang. Pendita Zaaba merupakan pelopor persuratan Melayu moden, malah buku kaedah karang mengarang beliau menjadi teks di sekolah-sekolah Melayu suatu ketika dulu.

        Kini ada saranan supaya kita kembali kepada penggunaan istilah persuratan kerana ada beberapa pihak berpendapat istilah sastera tidak menepati makna sebenar persuratan  yang antara kriterianya karya-karya seharusnya mengandungi ilmu sebenar. Manakala sastera hanya lebih tertumpu kepada keindahan bahasa tanpa ilmu sebagai paksi, maka dengan demikian ianya diklasifikasikan sebagai karya picisan.

         Dua pendapat bertentangan ini seharusnya didebat dan dibincangkan dalam upacara pertemuan sebesar ini, iaitu Pertemuan Sasterawan Nusantara pada tahun depan di Jambi.  Skop sastera tidak seharusnya dikotak-kotakkan dalam kelompok-kelompok  berasingan. Ianya mesti dilihat dalam kerangka yang lebih luas agar dapat dicari suatu rumusan yang konkrit sebagai landasan membina falsafah kesusasteraan Nusantara.

         Isu antara Persuratan dan Sastera seharusnya menjadi titik tolak untuk mencari serta mencungkil pengertian ilmu sebenar  di dalam karya-karya sastera/persuratan. Mungkin Gagasan Persuratan Baru yang diperkenalkan oleh Mohd Affandi Hassan boleh dijadikan landasan perbincangan secara telus, jujur dan akademik oleh para sarjana sastera Nusantara. Pertemuan tahun depan boleh dimanfaatkan dengan perbincangan gagasan ini.
.

Leave a Reply