Background

Zaman tak berprinsip dan buta kebenaran

Dinsman (Artikel 283, 20/1)
Zaman tak berprinsip dan buta kebenaran

Pertamanya saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Pakatan Rakyat kerana menjemput saya mewakili golongan budayawan, untuk berucap di hadapan khalayak orang-orang politik. Semoga dengan ini hubungan antara orang politik dengan orang budaya akan menjadi bertambah baik.

Persoalan yang ingin saya kemukakan dalam kesempatan yang sangat berharga ini, pertamanya persoalan hubungan dan persefahaman antara orang politik dengan orang budaya. Ada beberapa salah faham dan kekurangpedulian orang politik, khasnya pihak Pakatan Rakyat, terhadap budaya dan orang budaya.

Untuk makluman kita semua, di kalangan orang budaya di negara ini – termasuk penulis, seniman, ilmuan, tidak ramai yang menyertai gerakan Reformasi atau menyokong Pakatan Rakyat sejak daripada meletusnya Reformasi September 1998, hingga kini. Baru-baru ini kami kelompok Seniman Paksi Rakyat (Paksi) cuba membuat anggaran berapa ramaikah golongan budayawan yang menyokong pihak Pakatan Rakyat. Dianggarkan tidak lebih daripada 10 peratus sahaja.

Kita boleh bilang dengan jari siapakah seniman, budayawan, ilmuan dan penulis yang bersimpati dengan pihak yang dizalimi, dan menyatakan dengan berani melalui tulisan ataupun tindakan terhadap pihak yang menzalimi, memfitnah, rasuah dan salahguna kuasa itu.

Di kalangan Seniman Paksi Rakyat kami sangat prihatin perkara ini. Kami jadikan motto perjuangan, yang kami terapkan dalam karya dan aktiviti, iaitu “berkata benar”. Tuan-tuan percaya atau tidak, hari ini sangatlah susah untuk menemui orang yang mahu dan berani “berkata benar”. Kebanyakan orang tidak faham pun apa maksud kebenaran. Tuan-tuan puan-puan semua asyik dan sibuk dengan politik, mungkin tuan-tuan tidak sedar perkara ini. Masyarakat kita hari ini jangankan nak berani “berkata benar”, mereka faham pun tidak.

Zaman ini zaman orang tidak berprinsip, kecuali menjadi opportunis dan materislis. Ini kerja Mahathir. Selama 23 tahun memerintah dia pergunakan segala alat, media dan institusi yang ada, hingga berjaya membentuk manusia di negara ini menjadi opportunis dan materislis. Inilah masyarakat kita sekarang, termasuk di dalamnya orang politik, orang budaya dan juga ahli akademik. Opportunis, materialis, dalam kata lain – munafik. Dan kami perhatikan kebanyakan orang politik PR pun terperangkap dalam kemunafikan ini.

Dalam program-program yang bersifat kempen politik, mereka tahu siapa penyair dan tokoh budaya yang sanggup datang untuk membantu mereka berkempen dalam pilihanraya, walaupun tanpa peruntukan kewangan. Tetapi di luar program kempen ada pelbagai program budaya yang lain, yang memerlukan peruntukan dan yang ada peruntukan, penulis dan tokoh budaya yang diundang adalah daripada sebelah sana, yang nyata mereka itu penyokong Umno, tetapi mereka diundang konon untuk menunjukkan yang kerajaan PR ini adil, tidak diskriminasi, dan tidak mengira fahaman politik.

Akibatnya budayawan yang berani berkata benar tadi, budayawan yang berprinsip, yang faham makna kebenaran, daripada dulu hingga sekarang masih boleh dibilang dengan jari. Sebab apa? Sebab layanan yang diberikan oleh pihak kerajaan PR sendiri. Maksudnya pihak kerajaan PR dalam kesibukannya berpolitik, mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya lebih mengiktiraf dan mengutamakan penulis, budayawan, ilmuan dan terutamanya wartawan yang daripada pihak penyokong Umno-BN, ataupun pihak yang oportunis munafik itu.

Tak lama lagi akan berlangsung Hari Sastera anjuran bersama Gapena dengan Kerajaan Negeri Kedah. Tuan-tuan kenal Gapena itu siapa? Penyokong-penyokong kuat Umno belaka! Mereka tak kenal siapa penzalim siapa dizalimi. Mereka tak peduli pun siapa ambil rasuah siapa seleweng wang rakyat. Mereka tak faham pun makna kebenaran. Tetapi mereka itulah yang terus diiktiraf oleh kerajaan PR. Kalau di bawah Hasan Ali di Selangor dulu lagilah, tak ada seorang pun budayawan dari kalangan kita yang diiktiraf oleh Hasan Ali.

Seni-budaya fungsinya untuk keharmonian hidup, untuk keseimbangan dalam kehidupan. Supaya jangan kita keterlaluan berpolitik. Kita sekarang ini keterlaluan berpolitik. Hampir segala-galanya di negara ini hendak dipolitikkan. Hingga kadang-kadang kita menjadi kurang rasional. Banyak kebijaksanaan dan kearifan dalam hidup ini semakin kita tinggalkan, disebabkan keterlaluan kita berpolitik.

Marilah kita kembali kepada kebijaksanaan dan kepada hidup yang berprinsip. Seniman Paksi Rakyat percaya salah satu perkara yang diperlukan masyarakat, untuk kembali kepada kehidupan yang lebih harmoni, sejahtera dan bijaksana, ialah golongan penulis yang berprinsip. Hari ini semakin ramai orang yang terdidik menjadi penulis. Ada pelbagai program yang membina penulis, tetapi penulis yang bagaimana?

Allah berfirman dalam surah asy-Syu’araa’ (ayat 224-227), maksudnya: “Dan para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (Di sini penyair juga bermaksud seniman, budayawan, penulis). Tidakkah engkau melihat mereka berkelana di lembah-lembah, dan mereka berkata apa yang tidak mereka praktikkan; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan selalu mengingati Allah. Mereka mendapat kemenangan setelah dizalimi.”

Mahathir telah membina masyarakat yang rosak – opportunis, materialis, buta kebenaran. Sekarang marilah kita membina semula masyarakat, membina insan-insan yang berprinsip. Kerana penulis yang tidak berprinsip dan tidak berpegang pada kebenaranlah maka terjadinya fitnah yang berleluasa dalam masyarakat kita.

Seandainya para penulis yang menjadi editor-editor akhbar dan media berita kita adalah penulis-penulis yang berprinsip, yang “allaziina aamanuu wa ‘amilus-solihaati wa zakarullaaha kathiira”, seperti yang ditegaskan ayat al-Quran tadi, nescaya orang-orang politik jahat di pihak Umno takkan berjaya membohongi rakyat dengan segala fitnah yang mereka sebarkan selama ini.

Seniman Paksi Rakyat sedang berusaha membina generasi penulis baru yang berprinsip ini. Kami mengharapkan para pimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sudi membantu. Antaranya kita perlu tonjolkan tokoh penulis atau ikon untuk menjadi ikutan. Saya sebutkan di sini tiga orang tokoh penulis yang jelas memperjuangkan kebenaran, yang patut dijadikan ikutan, iaitu Sasterawan Negara A Samad Said, Prof. Dr Shaharir Mohd Zain, dan novelis yang baru meninggalkan kita, Azizi Hj Abdullah.

Azizi Hj Abdullah, berdasarkan karyanya beliau selayaknya diberi anugerah Sasterawan Negara. Tetapi oleh kerana beliau memilih untuk menjadi sasterawan yang berprinsip, beliau telah dinafikan hak untuk anugerah tersebut. Sekarang beliau telah tiada. Namun kita masih boleh menghargai jasanya. Seniman Paksi Rakyat dengan ini memohon pada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sudilah menganugerahkan beliau gelaran Sasterawan Rakyat, dengan hadiah antara lainnya wang tunai sebanyak RM60,000, setaraf dengan Sasterawan Negara. Ini boleh dikongsi bersama oleh empat negeri PR – Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Akhirnya saya akhiri ucapan ini dengan sekali lagi ucap terima kasih kepada pihak Pakatan Rakyat dan Kerajaan Negeri Kedah.

(Teks penuh ucapan di Konvensyen Pakatan Rakyat 2012, mewakili budayawan, di Alor Setar, 14 Januari 2012)

Categories: Share

Leave a Reply