Cuba tanya mereka makna ‘kebenaran’!
Dinsman (Artikel 284, 23/1)
Terima kasih Azmin. Alhamdulillah, walaupun saya belum pasti apakah itu bermakna beliau juga bersetuju anugerah itu diberikan bersama dengan wang berjumlah RM60,000 seperti yang dicadangkan. Harap-harap demikianlah!
Respon yang lain ialah terhadap teguran kepada Kerajaan Negeri Kedah yang bekerjasama dengan Gapena menganjurkan Hari Sastera 2012 akhir bulan ini. Banyak orang terkejut dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah itu. “Kenapa nak bekerjasama dengan pengampu dan penyokong kuat Umno itu?” Mereka bertanya?
Namun ada yang memberi maklumat tambahan mengatakan ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri Kedah berbuat demikian. Sudah acap kali. Seorang kawan memberitahu baru-baru ini Kolej Universiti Insaniah menganjurkan seminar di Langkawi, dan dia dijemput membentang kertas.
“Tahu siapa yang merasmikan seminar itu?” Tanya dia, dan dia juga menjawab: “Dr Mahathir.”
Dr Mahathir bagi saya adalah orang yang bertanggungjawab merosakkan masyarakat Malaysia . Seperti saya sebut dalam ucapan itu: “Mahathir telah membina masyarakat yang rosak – opportunis, materialis, buta kebenaran.”
Tidak cukup lagikah kerosakan yang telah dilakukannya? Apa dia kerosakan itu? Melahirkan manusia-manusia yang tidak berprinsip, yang opportunis, materialis dan buta kebenaran. Inilah jenis manusia yang dimiliki oleh Malaysia hari ini, termasuk para budayawan dan juga ilmuannya. Orang-orang politiknya jangan ditanyalah, sehinggakan di dalam parti PAS sendiri pun, yang para pemimpinnya dianggap sebagai paling kuat berpegang pada prinsip itu, pun hampir-hampir menjadi kucar-kacir juga baru-baru ini.
Sungguhlah menghairankan kalau para pemimpin Pakatan masih tidak dapat membaca kerosakan yang dimaksudkan. Itulah, kalau mereka terlalu asyik dan sibuk dengan berpolitik dan kurang mempedulikan hal-hal seni-budaya, itulah jadinya. Mereka tidak sedar pun kerosakan-kerosakan yang terjadi dalam masyarakat.
Inilah bahayanya. Di kalangan segelintir penulis dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), sejak kami serius dengan prinsip “berani berkata benar” dan cuba menghidupkan perbincangan mengenainya dalam pelbagai kesempatan di mana-mana, kami dapati rakyat Malaysia kebanyakannya tidak lagi memahami erti “kebenaran”.
Faham pun tidak, maka bagaimanakah nak timbul soal “berani berkata benar”? Makna kebenaran itu sendiri pun sudah tidak difahami lagi pada hari ini.
Iya! Kalau anda tak percaya, cubalah anda sendiri tanya. Tanya sesiapa sahaja yang anda temui. Tanya orang-orang di sekitar anda. Tanya pelajar-pelajar sekolah. Apa yang mereka faham bila dikatakan “berani berkata benar”.
Anda akan bertemu dengan pelbagai macam dan ragam pemahaman mengenai makna kata “benar” dan “kebenaran” itu. Anda pun mungkin akan terkeliru dengannya. Barangkali anda baru akan sedar, rupa-rupanya kehidupan sudah berkembang dan berubah sedemikian jauh, sehingga kata “benar” dan “kebenaran” pun sudah mempunyai pelbagai makna dan tafsirannya.
Seorang anak muda boleh tiba-tiba tampil di hadapan khalayak umum, mengadakan sidang media dan mengisytiharkan kepada dunia bahawa dirinya telah diliwat oleh seorang tokoh pemimpim masyarakat yang terkenal, dan dia dikatakan menuntut haknya untuk mempertahankan moral dan kehormatannya, melalui institusi mahkamah, dan dakwaannya itu diraikan oleh segala lapisan masyarakat termasuk para pemimpin politik, pemimpin agama, pemimpin media, juga pemimpin akademik.
Bagaimanakah kita melihat ‘kebenaran’ dalam kes atau situasi tersebut?
Demikianlah gawatnya situasi kehidupan hari ini. Namun terdapat golongan yang langsung tidak merasai wujudnya kegawatan itu. Hari ini ada golongan yang menganggap situasi tersebut sebagai biasa sahaja. Dan mereka tidak mempedulikannya pun. Sebab apa? Sebab mereka menganggap itu bukan masalah mereka, dan bukan urusan mereka.
Kalau ditanya mereka mengenai kebenaran, mereka tak peduli pun.
Sewaktu memulakan bengkel penulisan dalam program Madrasah Seni di surau Kg Banda Dalam, Ahad lalu, seorang peserta bertanya mengenai persamaan antara teater Menunggu Kata Dari Tuhan dengan Waiting for Godot karya absurd yang terkenal itu.
Saya kata tidak ada persamaan antara dua karya tersebut. Menunggu Kata Dari Tuhan adalah penantian yang penuh dengan keyakinan; manakala Waiting for Godot adalah penantian yang tanpa harapan dan penuh kehampaan. Namun saya teringat pada latar kehidupan di Eropah yang melahirkan sastera absurd pada waktu itu, sebagai bandingan kepada latar kehidupan harian kita di Malaysia hari ini, yang masyarakatnya seperti tidak lagi mempedulikan pada ‘kebenaran’.
Maka saya dan Kassim jadi terkejut apabila seorang kawan (yang kami kira memahami makna kebenaran) tiba-tiba memuji seorang menteri Umno kerana tahu menghormati majlis budaya. Apakah kerja jahat menteri tersebut merampas hak rakyat sekian banyak itu boleh dilupakan begitu saja? Amboi! Kebenaran yang kehilangan makna!