Background

ACARA TETAP BICARA BUKU SETIAP BULAN DI PPAS

Dinsman (Artikel 254, 26/9)
Acara tetap Bicara Buku setiap bulan di PPAS

Selasa 4 Oktober ini bermulalah, suatu agenda budaya yang baru, di sebuah perpustakaan negeri yang baru, di Shah Alam. Agenda yang dimaksudkan ialah “Bicara Buku” – sebuah agenda atau program yang sudah lama dikenali oleh masyarakat kita, tetapi kurang diberi perhatian.

Mengapa saya katakan ia suatu agenda budaya yang baru? Saya katakan demikian kerana ia akan dijadikan suatu acara tetap. Setiap bulan, akan ada satu program Bicara Buku di perpustakaan tersebut – Perpustakaan Raja Tun Uda, atau lebih dikenali dengan PPAS (Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor).

Ini suatu budaya yang baru. Atau akan memulakan suatu budaya yang baru. Memang saya sangat teruja dengan keputusan yang dibuat oleh Pengarah PPAS, Mastura Muhamad ini. Ia bukanlah sesuatu yang hebat mana pun. Hanya sebuah majlis bicara buku sahaja. Sebuah majlis biasa sahaja. Cuma yang tak biasanya ialah ia dijadikan acara tetap pada setiap bulan. Inilah yang barunya.

Setahu saya, belum pernah lagi program Bicara Buku dijadikan satu acara tetap bulanan oleh mana-mana pihak pun di negara kita. Tak tahulah kenapa. Mungkin kerana orang tidak pernah memikirkan faedah atau manfaatnya.

Ya, untuk apa? Ada orangkah nak datang? Berapa orang yang minat nak dengar orang bercakap tentang buku? Usahkan nak dibuat setiap bulan, yang dibuat sekali-sekala itu pun hanya beberapa orang saja yang hadir. Boleh dikira dengan jari.

Itulah yang selalu dikatakan atau dihujahkan apabila kita cuba timbulkan perkara ini. Jangankan nak buat setiap bulan! Kita cadangkan supaya dibuat sekali saja pun, macam-macam soalan yang seperti itu akan dihunjamkan ke muka kita. Kononnya ia suatu acara yang khas, yang hanya sesuai dibuat di kalangan peminat-peminat buku sahaja. Dan kebanyakan orang itu (yakni pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan) beranggapan bahawa dalam dunia ini hanya ada beberapa kerat manusia sahaja yang berminat dengan buku.

Itulah masalahnya. Salah tanggapan di pihak yang sepatutnya berfikir untuk memajukannya. Hal ini sangat banyak terjadi dalam masyarakat kita. Bukan sahaja dalam perkara budaya ilmu dan khasnya program Bicara Buku, tetapi juga dalam perkara-perkara lain. Tapi tak mahulah saya bercakap pasal perkara-perkara lain itu di sini. (Lain kalilah). Di sini saya nak bicara pasal Bicara Buku sahaja dulu.

Anda fikirkanlah. Kalau orang-orang yang sepatutnya berfikir bagi memajukan budaya ilmu itu sendiri beranggapan salah seperti itu, apa akibatnya? Akibatnya ialah seperti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari inilah. Yang terus dipupuk dan terus dimajukan ialah budaya pop murahan itulah!

Kemudian dalam masa yang sama orang-orang dalam kelompok yang sama itu juga sesekali kedengaran mereka bercakap soal merebaknya gejala sosial negatif yang sukar dibendung dalam masyarakat kita dan seumpamanya. Alangkah lucu dan kelakarnya ya! Tetapi itulah realitinya, kalau saja kita rajin merenunginya, dengan tidak menggunakan tanggapan yang salah tadi.

Memang, seperti telah saya katakan sebelum ini pun, acara Bicara Buku ini bukanlah satu acara atau agenda yang besar. Ia suatu acara kecil-kecilan sahaja. Tetapi faedah dan manfaatnya sangatlah besar. Ia suatu wadah untuk dakwah, untuk menyebarkan ilmu, untuk membina masyarakat yang cinta buku dan gemar membaca, dan untuk memajukan budaya ilmu.

Dan apabila masyarakat kita menjadi masyarakat yang cinta buku, gemar membaca dan suka ke perpustakaan, kata Mastura Muhamad, (yang saya suka mengulanginya): “dengan sendirinya akan berkurangan gejala sosial dan kadar jenayah di negara kita.”

Tetapi orang jarang melihatnya dengan kacamata yang dilihat oleh Mastura itu. Apatah lagi untuk melihat peranan budaya ilmu itu sendiri, yang lebih luas, seperti saya sebut dalam keluaran lalu: “dapat meningkatkan kematangan manusia dan menyuntik kewarasan kepada pemikiran dan tindak-tanduk manusia, sekaligus menjernihkan iklim dan suasana dalam masyarakat.”

Tak mengapalah. Apa pun, sekarang marilah kita cuba perbetulkan tanggapan salah kita (khasnya pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan) supaya tidak terus terperangkap dalam lingkaran setan pemikiran popular yang terus-terusan memupuk dan memajukan budaya pop murahan seperti yang 24 jam dipromosikan oleh pelbagai saluran media televisyen yang terdapat dalam rumah kita itu.

Kita mulakan dengan perkara sekecil Bicara Buku ini sahaja dulu. PPAS telahpun memulakannya sebagai agenda tetap bulanan. Maka hendaknya pihak-pihak lain pun akan turut memikirkan perkara ini. Tidak perlulah sebagai acara tetap bulanan. Hanya sesekali pun tidak mengapa.

Agenda ini perlu dipupuk. Ia tidak akan tumbuh dan berkembang sendiri kalau ia tidak dipupuk. Dan untuk memupuknya tidaklah susah. Hanya pilih sebuah buku atau beberapa buah buku yang sesuai, dan dapatkan orang yang berkemampuan untuk membicarakannya, dan hebahkanlah kepada orang ramai, serta jemputlah kawan-kawan dan orang-orang yang dikenali sebagai peminat buku dan ilmu, supaya hadir.

Kali pertama mungkin tidak ramai yang hadir. Tidak mengapa. Kita pun tidak perlu berbelanja besar untuk menganjurkan majlis Bicara Buku ini. Apalah sangat belanjanya. Hanya sediakan tempat yang dikira sesuai untuk majlis diskusi atau perbincangan, yang muat sekitar 50 orang. Lebih kecil pun boleh, sekitar 20-30 orang pun boleh. Apa salahnya? Untuk permulaan. Dan sedikit bayaran kepada orang yang dijemput menjadi pembicara. Serta sedikit minum ala kadar.

Tetapi kalau nak buat secara agak besar sedikit seperti yang disediakan oleh PPAS ini, lagi baguslah. Kali pertama kita buat dulu hadirinnya tidak kurang 200 orang. Memang bagus. Kita harap pada 4 Oktober ini pun akan seramai itu jugalah yang hadir. Tambahan pula ini buku mengenai kepemimpinan, dan kepemimpin Tok Guru Nik Aziz. Kita mengharapkan ramai kalangan pemimpin PR, peringkat tinggi, sederhana dan rendah, akan hadir.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

2 ulasan:

  1. salam..boleh saya tahu dgnlanjut berkenaan bicara buku ini,saya mencari-cari iklan atau poster berkenaannya..harap dapat diberitahu

    BalasPadam
  2. "Setahu saya, belum pernah lagi program Bicara Buku dijadikan satu acara tetap bulanan oleh mana-mana pihak pun di negara kita."


    Tuan Dinsman,

    PENA dengan kerja sama alumni Minggu Penulis Remaja sudah lama memulakan acara Borak Buku setiap bulan. Sedari awal tahun lagi (Januari 2011), acara itu sudah dijalankan secara berkala, pada setiap hari Ahad minggu ketiga. Bahkan iklan mengenai acara Borak Buku itu, serta laporan program setelah ia berlangsung, sudah banyak kali disiarkan dalam akhbar Berita Harian.

    Maklumat lanjut tentang program Borak Buku anjuran PENA dan alumni Minggu Penulis Remaja boleh didapatkan di sini: http://minggupenulisremaja.blogspot.com/2011/07/borak-buku.html

    BalasPadam