Background

MKDT dan gelombang kebangkitan pelajar

MKDT dan gelombang kebangkitan pelajar

Suasana kebangkitan mahasiswa dan anak muda memperjuangkan keadilan dan kebebasan akademik yang marak apinya menjulang tinggi di depan kampus UPSI Tanjung Malim pada awal pagi 1 Januari itu (diabadikan oleh penyair Benz Ali dalam puisinya “Malam Berdarah Itu”), memang tidak saya rasakan kewujudannya ketika berdepan dengan kira-kira 700 orang pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bangi, pada malam 7 Januari.

Memang suasananya berbeza sama sekali. Saya berhadapan dengan pelajar-pelajar KUIS itu dalam suasana santai menikmati persembahan kesenian, teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) lakonan Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin. Tetapi kehangatan respons sebahagian pelajar dan keghairahan mereka bertanya itu-ini selepas tamat pementasan malam itu, adalah luar biasa.

Saya tidak menduga sama sekali yang pelajar-pelajar KUIS itu begitu sekali berminat dengan teater. Soalan-soalan yang mereka kemukakan dalam sesi dialog selepas persembahan itu menunjukkan mereka bukanlah pelajar yang tidak pernah menonton teater. Sebaliknya mereka seperti berpengalaman menonton, berpengetahuan dalam teater dan malah ada yang sudahpun menghasilkan skrip teater.

Misalnya dalam pengalaman pementasan MKDT kira-kira sudah 50 kali, dan berdialog dengan penonton, hanya sekali dua sahaja orang bertanya kepada Sani Sudin bagaimana dia menghayati watak atau peranannya untuk melahirkan muzik yang dipersembahkannya dalam MKDT.

Hanya orang yang betul-betul menghayati persembahan teater itu sahaja, atau orang yang betul-betul meminati muzik secara serius, akan bertanya soalan sedemikian. Dan pada 7 Januari lalu seorang pelajar KUIS bertanya demikian.

Tidak cukup dengan perbincangan dalam sesi dialog itu saya dikerumuni lagi selepas keluar dewan persembahan, oleh beberapa pelajar secara berkumpulan dan bersendirian. Satu lepas satu. Pelbagai soalan dikemukakan, hingga kepada teknik-teknik pementasan dan penulisan skrip yang biasanya hanya ditanya oleh orang yang sudah berpengalaman atau mempunyai minat yang begitu mendalam.

Belum pernah saya dikerumuni demikian dalam pengalaman 50 kali pementasan MKDT. Apakah ini suatu kebetulan atau ada hubungannya dengan gelombang kebangkitan baru mahasiswa kita? Saya tidak pasti. Tetapi saya pasti sahabat saya Kassim akan sangat gembira kalau dia hadir dan menyaksikan bagaimana tema dan mesej ‘berkata benar’ dalam teater ini telah diterima baik dan kelihatannya seperti merangsang sebahagian pelajar untuk mengambil teater dan kesenian sebagai medium berdakwah.

Alhamdulilah, kalau itu yang mereka nampak dan terkesan dari pementasan itu. Malah ada pelajar yang menggesa supaya MKDT diterjemahkan kepada beberapa bahasa agar ia dapat dipentaskan juga di luar negara, bagi menunjukkan bagaimana kita boleh menghasilkan teater yang baik dan menarik berdasarkan pada sebuah Hadith Rasulullah SAW.

Maka pulang dari pementasan itu saya pun mulai berfikir secara serius akan hal tersebut, iaitu mengambil teater sebagai medium berdakwah. Bukanlah sebelum ini tidak pernah idea berdakwah melalui teater itu difikirkan atau ditimbulkan. Pernah. Bahkan selalu juga hal tersebut dibincangkan. Malah ada pihak yang mendakwa mereka berdakwah melalui teater atau teater mereka adalah teater dakwah dan sebagainya.

Teater MKDT sendiri pun. Sudah sekian lama berdakwah, dan dakwah MKDT adalah berasaskan kepada teks sebuah Hadis sohih, dengan tema dan persoalan ‘berkata benar’, yang menunjukkan betapa tingginya nilai berkata benar itu di sisi Allah SWT, hingga Allah SWT sendiri menghadirkan wahyu-Nya bagi menyelesaikan persoalan manusia berkenaan.

Maksudnya, dakwah yang jelas kesahihannya, dan kesesuaiannya dengan syari’at.

Dan apabila melihat keghairahan pelajar-pelajar KUIS itu bertanya itu-ini seolah-olah mereka akan menubuhkan kumpulan teater sendiri dan akan mengaktifkan aktiviti teater sebagai aktiviti dakwah, saya terfikirkan sesuatu yang lebih terorganisasi, atau sesuatu yang perlu diinstitusikan.

Saya sendiri pun belum begitu jelas lagi bagaimana sebenarnya. Tetapi saya dapat merasakan ada sesuatu yang penting di sana, untuk dilanjutkan pemikiran dan usahanya.

Misalnya secara kebetulan Ahad lalu Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bermesyuarat dengan pihak Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, mengenai perancangan untuk menjalankan kelas seni di surau tersebut, secara tetap setiap dua minggu, yang dinamakan “Madrasah Seni”, yang akan kami mulakan pada 15 Januari ini.

Antara pengisian Madrasah Seni atau sekolah seni dalam madrasah ini nanti ialah teater. Mengikut Cikgu Islak Surin, Imam surau tersebut, apabila disebut teater kepada ahli-ahli qariah, kebanyakan mereka masih beranggapan bahawa teater adalah permainan anak muda yang kurang sesuai dengan amalan syari’at Islam.

Jadinya, perlu ada usaha untuk menonjolkan teater jenis yang sesuai dengan syari’at Islam. MKDT adalah satu contohnya.

Pementasan di KUIS itu juga seperti telah menimbulkan kesan keghairahan untuk berteater di kalangan pelajar dan anak muda. Hal yang seperti ini tidak pernah terkesan pada pementasan-pementasan sebelumnya. Ini yang menyebabkan saya berfikir – kenapa terjadi demikian? Apakah ia suatu tanda kebangkitan semangat baru di kalangan pelajar?

Namun apa pun, tidak mengapalah. Mungkin ia suatu kebetulan. Tapi kebetulan yang sangat menggembirakan kita. Alhamdulillah!


Categories: Share

Leave a Reply