Background

Pengalaman membaca novel Muktamar

Pengalaman membaca novel Muktamar

Muktamar, judul novel itu, karya Wan Ahmad Ismail, seorang aktivis teater di Kuala Terengganu yang banyak menghasilkan teater. Barangkali orang yang paling banyak menghasilkan buku drama di Malaysia – 15 buah. Dan Muktamar ini novelnya yang ke-8.

Ada pengalaman menarik membaca novel ini. Maka saya membuat catatan panjang sambil membaca. Ia dimulakan dengan watak Bidin yang bersedia untuk bergaduh dengan Jidin, ekoran perbalahan yang timbul sewaktu mendengar ceramah Tuan Guru, yang kini menjadi Menteri Besar di negeri Serambi Mekah, setelah parti Cahaya menang dan parti Kanun kalah dalam pilihanraya umum lalu.

Negeri Serambi Mekah itu ialah Terengganu, parti Cahaya itu parti PAS, dan parti Kanun itu Umno. Dengan mudah sahaja kita dapat tahu maksud tersebut. Dan Wan Ahmad Ismail menggambarkan dengan agak rinci latar ceramah Tuan Guru itu. Gambaran ceramah parti PAS sekitar tahun-tahun akhir 1990-an dan awal 2000-an seperti yang dimaklumi atau dialami oleh kebanyakan rakyat Malaysia

Menariknya novel ini ialah buat pertama kalinya cerita negeri Terengganu sewaktu diperintah oleh PAS, selepas pilihanraya umum 1999 itu, dengan isu royalti minyak dan wang ehsan serta isu ISA sebagai isu utama, diangkat ke dalam novel. (Dulu ada sebuah novel politik oleh Alias Ali (Krisis), tapi saya tak berapa ingat lagi bagaimana persoalan dalam novel itu).

Saya ingin melihat bagaimana Wan Ahmad Ismail (bekas kakitangan kerajaan dan bukan orang PAS) mengolah cerita Terengganu di zaman pemerintahan PAS itu, dengan pelbagai isunya (yang benar dan yang direka-reka), ke dalam sebuah novel yang setebal 447 halaman. Bukan sahaja isu royalti minyak dan ISA, tetapi banyak isu lain lagi, termasuk isu JKKK dan JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat) diolah semula sebagai sebuah fiksyen.

Memang menarik membaca novel ini. Banyak aspek yang menarik. Sambil membacanya kita teringat kepada persoalan yang berbangkit di zaman itu, satu demi satu, digarap oleh pengarangnya.

Sebagai seorang yang meminati pentadbiran kerajaan PAS (di Kelantan, Terengganu dan Kedah), kehadiran novel yang seluruhnya menggarap persoalan, konflik dan krisis yang berlaku dalam pentadbiran sebuah negeri yang dipimpin oleh PAS ini, amatlah dialu-alukan. Apatah lagi pendekatan dan penceritaannya pun boleh dianggap baik dan lancar, walaupun terdapat kesilapan dan binaan ayat yang agak pelik di sana-sini.

Boleh dikatakan ia adalah sebuah rekod sejarah mengenai satu penggal pentadbiran kerajaan PAS di Terengganu, yang ditulis dalam olahan kreatif dan imaginatif. Tumpuan penceritaan ialah pada kehidupan rakyat di dua buah kampung di seberang sungai di depan bandar Kuala Terengganu, iaitu kampung Duyung Kecil dan kampung Hulu Belakang yang bersejarah itu.

Saya merasakan pengalaman membaca novel ini agak berbeza daripada pengalaman membaca kebanyakan novel lain. Ini novel politik. Hanya sesekali sahaja bercerita mengenai watak-watak manusia, selainnya adalah mengenai isu-isu dan persoalan-persoalan politik, yang diceritakan atau dibincangkan oleh watak-watak yang menghidupkan novel ini.

Walaupun tidak semuanya yang timbul sewaktu pentadbiran PAS di Terengganu itu dihidupkan semula dalam novel ini, namun sebagai sebuah novel ia boleh dikatakan agak lengkaplah juga. Maka tidak keterlaluan kalau kita ucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Ismail pengarangnya, kerana usahanya memerhati dan meneliti peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman tersebut dan mengolahnya semula itu bukanlah satu usaha yang mudah.

Maka saya teringat kepada Kelantan yang sudah lebih 20 tahun ditadbir oleh PAS itu, belum lagi ada sebuah novel yang ditulis mengenainya. (Bilakah akan ada seseorang yang akan menulisnya seperti yang dibuat oleh Wan Ahmad Ismail ini?)

Sambil membacanya dari satu bab ke satu bab, hingga ke bab 24 (hal.428), saya terfikir barangkali novel ini boleh membuka fikiran sesiapa yang membacanya untuk memahami dan menilai kebaikan dan keburukan parti PAS dan Umno, khususnya dalam mentadbir negeri Terengganu.

Memang ternampak agak jelas yang pengarangnya lebih memihak kepada PAS (parti Cahaya). Tetapi cara pengolahan cerita yang melibatkan kehidupan watak-watak di sekitar Kuala Terengganu itu, seperti mendedahkan cerita sebenar di sebalik pergolakan politik. Siapakah yang benar-benar berbakti untuk rakyat dan siapakah yang lebih mengutamakan kepentingan diri. Manakah parti yang berjuang untuk kebenaran dan keadilan, dan manakah parti yang berjuang untuk kepentingan diri dan kroni. 

Saya terfikir untuk membawa novel ini kepada pihak pimpinan PAS, bagi menunjukkan bagaimana sebuah novel boleh membantu memperjelaskan ke arah memahami perkara-perkara yang mungkin sukar ditembusi melalui politik. Pendek kata, novel boleh mendedahkan kebenaran dan kepalsuan.

Tetapi apabila bacaan masuk ke bab 25 dan bab Penutup novel ini, ghairah dan semangat itu tiba-tiba jadi terjatuh dan agak terkecewa. Aduh, dia memuji-muji Perdana Menteri pulak dah! Anti-klimaks lah! Maka saya hantar mesej kepada pengarangnya: “Sepatutnya novel kau ini 428 mukasurat saja. Dua bab akhir itu boleh merosakkan keseluruhan novel.”

Nasib baik Wan Ahmad Ismail seorang kawan lama saya yang baik hati, dan dapat memahami sikap berterus-terang itu. Saya pun tersedar, tidak sepatutnya saya bersikap celupar begitu dengannya. Bukankah itu sebuah karyanya yang sudah sempurna! Saya suka atau tidak, itu adalah karya dia, hak dia. Mengapa pula saya melebih-lebih!

Tapi, walau apapun, inilah sebuah pengalaman membaca novel yang ada kelainannya. Saya membuat catatan yang panjang mengenai novel ini. Insya Allah suatu hari nanti kita boleh berkongsi catatan tersebut. Walau apapun, sekali lagi tahniah, Wan Ahmad Ismail! (Lepas ini saya akan baca pula novelnya Pulau Tasik, yang terbit serentak bersama Muktamar itu. Insya Allah.).

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply