Background

Seperti ada yang belum selesai di Felda itu

Dinsman (Artikel 280, 6/1)
Seperti ada yang belum selesai di Felda itu

Shukur Harun (dalam kolumnya Cetusan Idea, 30.12.11) menganggap himpunan seniman di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor pada 23 Disember lalu sebagai himpunan karyawan atau penggiat seni yang terbesar pernah dialaminya. Beliau sendiri hadir sejak petang, sempat sembang-sembang di warong bersama A Samad Said, Ishak Surin dan ramai lagi penulis sebelum menyertai dialog santai ketika hujan renyai-renyai, kemudian ke rumah seorang peneroka untuk rehat dan solat maghrib, dan kemudian turut membaca puisi dalam acara persembahan seni pada malamnya.

Saya tidak pasti apakah benar itu himpunan seniman-budayawan yang terbesar pernah berlaku, atau himpunan sebelumnya di Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2010 itu yang lebih besar. Oleh kerana Shukur Harun tidak hadir dalam himpunan yang pertama itu, maka bagi dia memang betullah, himpunan di Sg Tengi itulah yang terbesar.

Tidak mengapa. Mana-mana satu yang lebih besar pun tidak mengapa. Kedua-duanya adalah inisiatif dan anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Yang pertama kerana menyokong penduduk-penduduk Kg Banda Dalam (KBD) dan enam buah kampung lagi, berjuang mempertahankan hak untuk mengekalkan status kampung mereka sebagai kampong warisan. Manakala yang kedua kerana menyokong perjuangan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) untuk mempertahankan hak mereka ke atas 360,000 hektar tanah Felda yang akan diapungkan di Bursa Malaysia melalui penyenaraian syarikat Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Memang ramai penulis dan seniman dari genre lain juga hadir di Sg Tengi pada petang dan malam itu, walaupun hujan turun sejak tengahari hingga ke malam. Rahmat Harun dan Yeoh serta kawan-kawannya tiba sekitar jam 3 petang, lalu memulakan aktiviti melukis bersama kanak-kanak, di Dataran Sg Tengi. Dan Rahmat tunggu hingga akhir program, dan dia menjadi pembaca puisi terakhir malam itu.

Seperti pada himpunan pertama di Madrasah Tarbiyah KBD dulu, ada beberapa orang yang sepatutnya membaca puisi telah tidak sempat membaca, dan ada tokoh yang sepatutnya berucap pun tidak sempat dijemput untuk berucap. Bukan tertinggal atau sengaja ditinggalkan, tetapi memang tidak sempat, kerana ramai yang hadir. Dan ini pula adalah program “himpunan”, dimana kita memang menggalakkan supaya ramai yang hadir, dan ramai mengambil bahagian.

Kepada mereka yang ‘tertinggal’ dan tidak sempat dijemput untuk membaca atau berucap itu saya memohon ribuan kemaafan. Saya sendiri pun tidak baca pada malam itu. Pun saya mohon maaf kepada yang mengharapkan saya membaca. Dan kepada Syed Shahir yang datang mewakili pihak Kerajaan Negeri, pun saya mohon maaf kerana gagal memberikan ruang untuknya.

Lebih daripada itu sebenarnya saya amat menghargai Syed Shahir, kerana tanpa mewakili Kerajaan Negeri pun dia memang selalu hadir program-program budaya yang dianjurkan oleh Paksi. Malah dia sendiri telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan program “Merakyatkan Budaya”, sebagai mengimbangi program “Merakyat-kan Ekonomi”. (Dan cadangan yang disuarakannya pada 6 Februati 2010 itu telahpun saya rakamkan dalam buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, terbitan terbaru Paksi).

Segala kelemahan itu tentulah kerana kelemahan saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap susunan program, manakala kejayaan keseluruhan program adalah kerana kerja keras yang disumbangkan oleh pihak PAS Kawasan Hulu Selangor dan wakil-wakil penduduk Felda Sg Tengi sendiri. Terima kasih kepada Hj Wahid dan Nahar, yang walaupun terdapat beberapa halangan namun acara tetap berjalan seperti yang dirancang.

Misalnya di saat-saat akhir kontraktor yang berjanji akan memasang pentas telah membatalkan janjinya, kerana diarah oleh pihak lain yang lebih berkuasa di situ. Maka terpaksalah mereka membina pentas itu dengan menyusun tong-tong gas dan sebagainya. Demikian juga acara dialog santai sekitar seni yang dirancang hendak dibuat di sebuah dewan di situ, terpaksa diubah tempatnya kerana pihak lain tiba-tiba mahu menggunanya untuk suatu yang dikatakan program kerajaan pusat.

Ada lagilah beberapa perkara yang sengaja didiamkan, oleh kerana ada gangguan yang sedemikian itu. Maka Hishamuddin Rais pun beberapa kali bertanya dengan suara lantangnya ketika menyampaikan “stand-up comedy”nya – “Mana perginya semua anak-anak muda di sini? Saya tak nampak pun muka anak-anak muda di sini. Mereka pergi mana?”

Di kalangan Paksi pun memang kami tanya-bertanya juga soalan itu, dan masih tidak mendapat jawapannya. Maka ada di kalangan kami yang bercadang untuk pergi lagi ke Sg Tengi, kerana merasakan seperti “masih ada lagi yang belum selesai” di situ.

 Kami melihat kawasan Felda adalah suatu kawasan yang unik tersendiri, yang memerlukan suatu pendekatan tertentu. Misalnya selain bertanyakan di mana menghilangnya anak-anak muda itu, kami juga bertanya kenapa dakwah penghayatan Islam seperti kurang diberikan perhatian. Sedangkan kawasan yang “unik tersendiri” seperti itu sepatutnya adalah dengan sendirinya suatu kemudahan untuk membangunkan masyarakat yang menghayati Islam seperti yang (sepatutnya) menjadi perjuangan PAS. (Atau PAS sendiri pun kini berpolitik melebih-lebih dan kurang berdakwah?)

Apa pun, Mazlan Aliman, Presiden Anak, orang yang memungkinkan terjadinya peristiwa seniman-seniman bertemu dengan masyarakat Felda ini, telah menyatakan hasratnya untuk meneruskan lagi program seumpama di Sg Tengi itu, ke Felda-Felda di tempat lain pula. Yang terdekat ialah di Bera, Pahang, pada 28 Januari ini. Mungkin bukan acara “himpunan” atau “Budayawan Bersama Rakyat” (seperti yang diistilahkan oleh PAS Hulu Selangor), tetapi yang seakan-akan dengan itu.

Maka bagaimanakah pula dengan yang “masih ada lagi yang belum selesai” di Felda Sg Tengi itu? Ke manakah pergi anak-anak mudanya? Apakah di sana memang tidak ada langsung bakat dan minat seni-budaya? Kenapakah tidak dimantapkan penghayatan Islam masyarakat di Felda? dan seterusnya dan seterusnya…

Categories: Share

Leave a Reply