Background

Ke arah masyarakat yang tanpa kemanusiaan?

Dinsman (Artikel 281, 9/1)
Ke arah masyarakat yang tanpa kemanusiaan?

Februari tahun lalu saya menulis di ruangan ini sebuah tulisan berjudul “12 tahun lebih, di manakah silapnya kita?”. Tulisan itu ditulis kerana saya kebetulan melihat gambar wajah DS Anwar Ibrahim yang kelihatan begitu letih dan penat.

Ya, mengapa tidak? 12 tahun berjuang menghadapi pelbagai halangan, tekanan, fitnah dan pelbagai cubaan untuk memusnahkan dan malah membunuhnya itu, tentulah suatu tempoh yang boleh memenatkan dan meletihkan. Tanpa kesabaran dan kekuatan dalaman tentulah dia sudahpun berserah dan mengaku kalah. Banyak orang pun sudah berserah dan berpaling tadah. ‘Kan?

Dan hari ini, 9 Januari 2012, adalah kemuncak kepada siri tekanan dan fitnah itu. Memang ia suatu perkara yang diserahkan kepada sistem kehakiman dan perundangan kita, yang sepatutnya menjaminkan keadilan dan kebenaran. Dan tidak sepatutnyalah menimbulkan sebarang masalah atau keraguan. Tetapi kenyataannya tidaklah demikian.

Ini pun bukan kali pertama. Ini sebenarnya suatu ulangan. Mereka telah melakukannya dulu, dan mereka telah berjaya menghumbankan Anwar ke dalam penjara, hinggalah apabila Mahathir terpaksa mengundur diri dan Abdullah Badawi menggantikannya, dan Abdullah Badawilah yang dikatakan telah membuat silap “melepaskannya”, hingga mereka terpaksa mengulangi semula proses itu, yang memang mereka percaya boleh menyebelahi mereka lagi.

Itulah bacaan dan tanggapan umum maka terjadinya seperti yang terjadi. Sudah melangkaui 13 tahun kita mengharungi satu situasi kehidupan yang memenatkan dan meletihkan. Dan ini terjadi adalah kerana adanya sistem kebebasan maklumat yang disediakan oleh pencapaian teknologi yang bernama internet itu; yang kita tidak boleh memilih untuk menolak atau menafikannya. Ia sudah sebati masuk ke dalam sistem saraf kehidupan hari ini. Apakah para penasihat Najib dan Rosmah tidak mengambilkira fenomena atau hakikat ini?

13 tahun politik Malaysia seperti tidak ada isu lain yang lebih penting bagi rakyat kecuali isu Anwar Ibrahim atau isu menafikan apa-apa yang ditimbulkan dan dibangkitkan oleh Anwar Ibrahim. Apakah itu tidak memenatkan dan meletihkan dan membosankan?

13 tahun politik Malaysia seperti tidak ada cerita lain selain daripada cerita kotor meliwat dan meliwat yang memenuhi akhbar dan segala media umum di negara ini dan diikuti oleh semua lapisan masyarakat, yang meninggalkan kesannya yang sangat negatif terhadap kehidupan generasi baru kita. Apakah ini tidak memenatkan dan meletihkan dan membosankan dan meloyakan?

Memang. Akibat daripada cengkaman kuasa politik pemerintah yang sedemikian kuat dan zalim itu bukan sahaja terkena ke atas Anwar dan keluarga serta penyokong-penyokongnya, tetapi juga ke atas pelbagai institusi dan nilai yang selama ini jalinannya menguatkan binaan masyarakat kita. Paling merosakkan ialah kesannya ke atas nilai-nilai kemanusiaan sendiri, yang semakin hari semakin terhakis di kalangan kita, tanpa disedari oleh kebanyakan kita.

Ya, pertimbangan kemanusiaan semakin terhakis dalam masyarakat. Orang seperti tidak ada rasa bersalah lagi untuk menipu atau mencuri bahkan merampas dan merompak di depan mata sekalipun, asalkan secara teknikalnya mereka boleh berselindung di sebalik kuasa yang ada di pihak mereka. Demikianlah kuasa itupun menjadi bertambah penting hari ini, iaitu untuk mencipta undang-undang dan peraturan yang boleh menyebelahi mereka walaupun mengikut nilai kemanusiaan dan agama mereka telah membuat salah.

Malah dalam hal dan situasi tertentu, kuasa itu sendiri, yang ada pada sesuatu pihak, boleh mengatasi undang-undang dan peraturan dalam menentukan siapa yang akan didenda dan dihukum, dan siapa yang akan terlepas dari hukuman.

Demikianlah pula walaupun pihak berkuasa itu bertegas menggunakan kuasa yang ada pada mereka secara adil mahupun tidak adil, untuk mengawal tingkah laku dan pergerakan rakyat, namun rakyat yang sudah penat dan letih dengan situasi ketidakadilan mengikut tanggapan mereka itu, yang disokong oleh bukti-bukti dan hujah-hujah yang terdapat dalam media bebas, akan tetap juga menunaikan tanggungjawab kamanusiaan dan keagamaan mereka, tanpa menghiraukan arahan pihak berkuasa.

Memang situasi kita hari ini nampaknya begitu rumit, kelamkabut, kacau dan tidak harmoni lagi. Sejak Perdana Menteri membuat tuduhan aib dan lucah terhadap Timbalannya dan menyingkirkan Timbalannya itu daripada sebarang kekuasaan jawatannya tanpa bukti yang boleh meyakinkan itu, lebih 13 tahun yang lalu. Sejak itulah.

Tetapi sayangnya apabila saya cuba mencari hasil kajian atau analisa yang bersifat ilmiah terhadap situasi atau perkembangan masyarakat Malaysia sejak peristiwa September 1998 itu, seperti yang dimaksudkan di atas, (kerana diminta menulis mengenainya), saya tidak menemuinya. Agak pelik dan menghairankan! Sedangkan perkara itu bukan sahaja menarik sebagai bahan kajian, tetapi ia penting untuk kita memahami masyarakat kita sendiri.

Apakah kejayaan pihak Umno-BN menghalang Anwar Ibrahim daripada mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan menjatuhkan Umno-BN itu, sehingga ini, benar-benar merupakan satu kejayaan Umno-BN ataupun ia bukan satu kejayaan?

Kejayaan sebuah kerajaan tentulah tidak diukur dengan apakah dia boleh menghalang orang lain daripada menjatuhkannya sahaja, ‘kan?

Seperti halnya Malaysia hari ini, hanya sekitar 100 orang sahaja pelajar universiti berkumpul menyambut tahun baru menjelang tengahmalam 1 Januari, di suatu tempat terpencil yang jauh dari ibukota Kuala Lumpur, sambil mereka menyatakan keinginan untuk suasana akademik yang lebih bebas, hanya itu! Dan itu pun pihak pemerintah datang dengan pasukan polisnya, menunjukkan kuasa mereka, dan memaksa pelajar-pelajar itu bersurai.

Itu sahaja. Untuk menyatakan keinginan kepada suasana akademik yang lebih bebas! Memanglah ada akta yang melarangnya. Seperti saya katakan tadilah, apabila ada akta undang-undangnya maka apakah pertimbangan kemanusiaan sudah tidak diperlukan lagi? Tidakkah dengan trend pemerintahan yang seperti ini kita sedang menuju kepada masyarakat yang tanpa kemanusiaan?

Categories: Share

Leave a Reply