Background

PBT dan Lanskap Minda & Jiwa

Dinsman (Artikel 286, 30/1)
PBT dan Lanskap Minda & Jiwa

PBT atau Pihak Berkuasa Tempatan di sini dimaksudkan ialah Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya. Tak kiralah di mana pun di Malaysia ini. Ada banyak Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran. Majlis Bandaraya ada beberapa sahaja.

Saya ingin mencadangkan supaya pihak majlis-majlis (PBT) ini menjadi penggerak aktiviti seni-budaya. Sebelum ini pun pernah saya menyatakan idea ini, tetapi kali ini saya ingin berbicara khusus dan fokus kepada perkara ini.

“Lanskap Tanah & Pokok” dan “Lanskap Minda & Jiwa”. Kita pernah bincang mengenai dua jenis lanskap ini (dalam kolum ini). Pihak majlis perbandaran dan bandaraya di seluruh Malaysia didapati sangat prihatin dengan keindahan lanskap taman dan pohon-pohon di sekitar jalan. Pokok-pokok bunga sentiasa dijaga dan sering ditukar yang baru supaya sentiasa kelihatan segar dan tidak nampak layu.

Demikian juga pokok-pokok di pinggir jalan. Mana-mana yang dahannya tumbuh meliar dan memanjang akan segera dipotong dan dirapikan. Entah berapa juta RM diperuntukkan pada setiap tahun bagi mencantikkan “Lanskap Tanah & Pokok” ini. Alhamdulillah, ia tidak menjadi masalah kepada pihak Kewangan Negeri, kerana memang tersedia peruntukannya. Sudah menjadi sebahagian daripada rutin pentadbiran negeri.

Yang menjadi masalah ialah “Lanskap Minda & Jiwa”, iaitu merujuk kepada minda dan jiwa manusia, penduduk dalam daerah PBT berkenaan. Apakah PBT mempunyai program dan peruntukan untuk menjaga minda & jiwa manusianya supaya sentiasa “subur, bersih, indah dan rapi”, tidak kotor dengan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar”, iaitu gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak.

Saya tidak tahu apakah selama ini terdapat pihak PBT yang memikirkan bahawa penjagaan ‘Lanskap Minda & Jiwa’ juga adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab mereka, sepertimana mereka menganggap penjagaan ‘Lanskap Tanah & Pokok’ sebagai tugas dan tanggungjawab mereka. Namun berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, kita dapati belum ada pihak PBT yang memikirkannya demikian.

Apakah atau bagaimanakah yang dimaksudkan dengan menjaga ‘Lanskap Minda & Jiwa’ itu? Maksudnya di sini ialah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seni-budaya. Sebenarnya ada berbagai-bagai cara lagi yang boleh dilakukan untuk menjaga ‘Lanskap Minda & Jiwa’. Pendidikan formal di sekolah adalah caranya yang utama, di samping pendidikan agama. Itu tidaklah dinafikan. Tetapi seperti yang terbukti realitinya itu sahaja tidak lah mencukupi.

Lalu ada orang yang akan mengatakan kalau yang dimaksudkan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar” bagi Lanskap Minda dan Jiwa itu ialah gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak, maka yang bertanggungjawab membersihkannya ialah pihak polis.

Nampaknya memang demikianlah yang menjadi persepsi umum kita selama ini. Kita membiarkan tugas dan tanggungjawab itu dipikul oleh pihak polis sahaja, padahal pihak polis hanya bertugas membanterasnya apabila ia telah berlaku. Tidak berusaha menjaganya supaya sentiasa subur, bersih, indah, rapi dan tidak kotor.

Manakala pihak agama pula dengan permasalahan mereka sendiri, yang nampaknya memang gagal untuk bertindak seperti yang sepatutnya, dan mereka pula kelihatan selesa dalam keadaan yang tidak sepatutnya itu.

Maka saya jadi amat tertarik apabila bertemu dengan seorang Pengarah Perpustakaan Negeri yang melihatnya dari sudut pandangan yang sama seperti yang disebut itu. Dengan beraninya beliau, Mastura Hj Muhamad, mengemukakan idea itu dalam rasional penjenamaan semula (rebranding) rangkaian perpustakaan di negeri Selangor. Bahawa antara kesan yang menjadi sasaran mereka ialah mengurangkan kadar jenayah dan gejala sosial, yang diterjemahkannya dalam kira-kira ringgit dan sen.

Hanya Mastura, sesuai dengan jabatannya iaitu perbadanan perpustakaan, maka aktivitinya ialah menyediakan kemudahan untuk membaca. Dengan rasional apabila ramai orang menghabiskan lebih banyak waktu untuk membaca maka dengan sendirinya akan mengurangkan waktu mereka untuk aktiviti lain yang kurang berfaedah, dan juga membentuk minda dan jiwa yang lebih suka kepada aktiviti-aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Namun perpustakaan hanya dapat mengisi sebahagian sahaja daripada keperluan ‘Lanskap Minda dan Jiwa’ yang kita maksudkan. Ada banyak lagi ruang “keperluan minda dan jiwa” manusia yang perlu diisi, yang boleh diisikan oleh PBT.

Memang ada sebahagian PBT yang sudah pun ada Jabatan Kesenian dan Kebudayaannya. Hanya selama ini jabatan itu diisi dengan aktiviti muzik, nyanyian dan tarian sahaja. Sedangkan yang kita maksudkan dengan aktiviti seni-budaya di sini ialah aktiviti-aktiviti seperti (1) persembahan puisi dan lagu, (2) persembahan teater, (3) bicara buku, (4) pameran lukisan, (5) kuliah dan seminar ilmu, (6) bengkel seni (penulisan dan sebagainya), dan (7) konsert muzik dan lagu yang berkualiti.

Saya terfikir, kalau idea menjaga ‘Landskap Minda & Jiwa’ manusia (penduduk) agar tidak kotor dengan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar” (gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak), seperti yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)  itu telah diterima oleh pihak Kerajaan Negeri, mengapa tidak pemikiran yang sama itu juga diperkembangkan kepada majlis perbandaran, majlis bandaraya dan majlis daerah?

Saya telahpun menerbitkan sebuah buku yang boleh digunakan untuk maksud ini, iaitu Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya (156 ms). Sebuah buku yang diterbitkan khas untuk perhatian para pemimpin di Malaysia, agar dapat memperbaiki kefahaman terhadap seni-budaya dan kepentingannya dalam masyarakat, di samping memperbetulkan banyak salahfaham terhadap seni-budaya selama ini.

Categories: Share

Leave a Reply