MAHFUZ & 'KUASA BUDAYA DUNIA'
Dinsman
(Artikel 391, 22/7)
Mahfuz dan ‘Kuasa
Budaya Dunia’
Baca
isinya. “Dato’ Mahfuz Omar (PAS – Pokok Sena) berharap agar Kerajaan BN
khususnya melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewujudkan Institut
Diplomasi Budaya bagi mewujudkan perpaduan masyarakat serta pembinaan tamadun
daripada pelbagai aspek bangsa dan budaya.
“Katanya,
tidak cukup jika kerajaan sekadar berbangga mahu mewujudkan Malaysia sebagai negara yang
berbudaya tetapi gagal mengangkat negara selama ini sebagai kuasa budaya dunia.
“Beliau
berkata, untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agar sukar tetapi untuk
menjadikan Malaysia
sebuah negara yang menguasai budaya agak mudah, kerana negara ini merupakan sebuah
negara yang terkumpul tamadun besar dunia di dalamnya.”
Lagi
memeranjatkan! “..sebagai kuasa budaya dunia” Hebat! Mahfuz Omar, Naib Presiden
PAS itu bercakap pasal “kuasa budaya dunia” – Malaysia patut diangkat menjadi
sebuah ‘kuasa budaya dunia’. Dan penjelasannya yang walaupun dilaporkan pendek
sahaja, satu para sahaja, tapi cukup menarik:
“..untuk
memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang menguasai budaya, agak mudah.”
Setuju!
Memang saya setuju. Tapi sejak bila pula Mahfuz menjadi seorang tokoh politik
yang berminat dengan budaya ini? Ingatan saya segera menyemak beberapa rekodnya
sebelum ini. Ya, memang, waktu dia jadi Ketua Dewan Pemuda dulu ada beberapa
program berbentuk budaya pernah dianjurkannya, dan melibatkan saya juga dalam
program-program itu.
Tetapi
selepas itu sudah lama kita tak dengar berita dia buat apa-apa yang berhubungan
dengan seni-budaya. Barangkali ada, cuma saya yang tak dengar, tak tahulah.
Tetapi mengapa ditimbulkan itu? Kalau 15 Julai lalu dia membangkitkan isu
budaya di Parlimen, dan bercakap pula mengenai Malaysia yang sepatutnya diangkat
menjadi sebuah ‘kuasa budaya dunia’, tidakkah itu suatu yang sangat penting?
Pada
saya itu idea yang sangat penting. Idea mengenai ‘kuasa budaya dunia’ itu.
Mengenai Institut Diplomasi Budaya tadi agak kurang jelas. Kata kawan saya, ia
agak mengelirukan. Mengapa “diplomasi budaya”? Tidakkah Institut Pemikiran
Budaya atau Institut Pemahaman Budaya lebih sesuai dan tepat maksudnya? Apakah
kita hendak menggunakan budaya untuk tujuan berdiplomasi antara kaum?
Tak
mengapalah. Apa pun, di samping sekalung tahniah untuk Mahfuz, saya kira Dr
Mujahid Yusoff dan Dr Hatta Ramli juga patut kita ucap tahniah, kerana mereka
juga telah bangun menyokong idea Mahfuz itu, di Parlimen. Dr Mujahid malah
mencadangkan supaya rakyat Malaysia
tidak lagi dipanggil dengan nama kaum atau keturunan masing-masing, tetapi
cukup dengan panggilan bangsa Malaysia ,
atau orang Malaysia .
Dr
Hatta Ramli pula menimbulkan isu kerakusan pihak berkuasa Umno-BN yang telah,
sedang dan akan memusnahkan satu demi satu warisan budaya kita, kononnya kerana
hendak ‘membangun’. Sahlah orang-orang Umno-BN dan konco-konco mereka itu tidak
nampak nilai tinggi warisan ‘budaya dunia’ yang ada di negara kita, seperti
yang Mahfuz telah nampak itu.
Okey,
setelah menyuarakannya di Parlimen, apa pula selanjutnya? Inilah persoalan yang
penting difikirkan, kalau kita menganggap isu yang disuarakan oleh Mahfuz itu
satu perkara yang penting. Yakni isu ‘kuasa budaya dunia’ itu.
Mengenai
cadangan penubuhan Institut Diplomasi Budaya itu, kerana ia dicadangkan kepada
kerajaan Najib, saya tidak fikir Najib akan menerimanya. Kalau diterima pun,
kata seorang lagi kawan saya dalam Paksi, sudah ada tokoh-tokoh budaya Gapena
yang sedang menunggu untuk menjawat jawatan Ketua Pengarahnya; dan seterusnya
akan jadilah institut budaya itu satu lagi komponen Umno-BN. (Fahamlah ‘kan!)
Maka
kalau Mahfuz serius hendakkan sebuah institut budaya itu, kata kawan saya, eloklah
ditujukan cadangan itu kepada pihak Pakatan Rakyat. Ya, mengapa tidak? Kalau
kita mahu, Pakatan Rakyat boleh menubuhkannya. Tidak perlu tunggu kita
menguasai Putrajaya baru kita hendak melakukan apa-apa yang perlu kita lakukan
itu. Perkara seperti institut budaya ini, misalnya, boleh kita tubuhkan
sekarang.
Dan
idea mengenai ‘kuasa budaya dunia’ itupun bolehlah diterapkan secara
beransur-ansur melalui institut tersebut.
Saya
memang tertarik dengan pandangan Mahfuz bahawa “untuk memulihkan ekonomi yang
merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
menguasai budaya, agak mudah.” Saya pernah berhujah dengan jalur fikiran yang
hampir sama begitu ketika saya mengkritik formula pentadbiran Dr Mahathir dalam
buku saya “Gawat: Gagalnya Formula
Mahathir” (1998) dulu.
Kini,
alhamdulillah, kalau Mahfuz seorang Naib Presiden PAS berfikiran begitu, maka
perjuangan seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) selama ini
nampaknya akan menjadi agak mudah.
Insya
Allah, mari kita ambil idea ‘kuasa budaya dunia’ oleh Mahfuz ini, untuk kita
tekuni bersama, untuk kita perkembangkannya, perjelaskannya, dan melihatnya
dalam pelbagai aspek dan pelbagai kemungkinan, dan kita jadikannya agenda
penting kita bersama. Harap-harap Mahfuz bersetuju, dan Mujahid serta Hatta
Ramli juga akan menyokong.
(Penulis
boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)