Background

Himpunan Terbesar Karyawan Paksi di FELDA

Himpunan terbesar karyawan Paksi di Felda

ABD SHUKUR HARUN

Hati berdebar ketika saya dan Nasser, penggiat seni dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi), melihat awan menghitam ketika memasuki kawasan tanah rancangan Felda Sungai Tengi Hulu Selangor untuk menyertai Himpunan Seniman di sana.
Ketika sampai di dataran tempat berhimpun itu hujan renyai-renyai dan beransur lebat. Namun semua kerisauan itu menghilang ketika kami memasuki warung di situ dan disambut mesra oleh ramai penulis dan budayawan yang sedang minum dan makan kuih kampung seadanya – jauh dari makan di hotel ternama bersama pembesar negara.
Perhimpunan anjuran Paksi bersama persatuan peneroka (Anak) yang dipimpin oleh saudara Mazlan Alimin itu diselenggarakan oleh PAS Kawasan Hulu Selangor
Sangat terasa segarnya ukhuwah yang dibina atas semangat dan cita-rasa bersama di antara sesama penggiat seni untuk cuba menyelami dan mengertikan perjuangan para peneroka dan tempatnya pula di tengah jantung Felda itu sendiri, yang sangat banyak diperkatakan di masa kini.
Di sana bertemu penyair/dramatis Dinsman, Barajiwa, Razali Endun, wartawan Harakah, Tarmizi Mat Jan, Cikgu Ishak Surin dan lain-lain. Kemudian datang Sasterawan Negara, A. Samad Said dan isteri, Hasni Abas dan lain-lain, berkongsi kopi dan teh panas.
Perbincangan di tengah hujan renyai itu begitu santai sekali. A. Samad Said yang berada di tengah para penggiat seni itu seperti ;penghulu’ di tengah anak buahnya. Dia mengesyurkan kepada saya supaya karya kreatif saya selama ini – cerpen, novel dan drama – dibukukan dan diberi kata pengantar baru.
Demikian juga, katanya, pelbagai rencana saya selama ini sangat wajar dibukukan. Saya menjawab, ‘Insya-Allah’ sedang saya usahakan. Tetapi, kata saya, saya dan Paksi tidak ada wang untuk menerbitkan, justru Paksi sebuah badan penulis yang miskin demikian juga saya. Beliau tertawa dan seorang penulis lain menyambut, “Penulis dan badan penulis yang kayapun tidak banyak karya yang diterbitkan oleh mereka.”
Ketika menjelang Maghrib, para karyawan dibawa berehat, mandi dan solat di rumah peneroka di kawasan berdekatan dan beramah mesra dengan tuan rumah yang begitu ramah dengan menghidangkan minuman. Di ruang tamu di rumah mereka yang besar, bergantungan potret putera puteri mereka ketika menerima ijazah dari pelbagai universiti. Putera Puteri anak peneroka ini adalah generasi kedua dan ketiga Felda yang mungkin berbeza persepsi dengan orang tua mereka. 
Kemudian di tengah hujan renyai juga, selepas Isyak, majlis dimulakan dengan lagu-lagu  Melayu rentak ghazal. Hujan mulai berhenti, seolah-olah mahu memberi laluan kepada persembahan para penyair untuk mendeklamasikan puisi mereka. Pak Saleh Bakar, seperti biasa dengan gelombang suaranya yang bergetar menyampaikan sajak dan pantun yang sangat kritis. Kemudian disusul oleh persembahan puisi pendek saya – Anak-Anak Peneroka Yang Dikasihi - disusuli penyair/dramatis Dinsman, Sasterawan Negara, A. Samad Said, Dr. Irwan Abu Bakar, Dr. Ibrahim Ghafar, juga lagu puisi Anbakri.
Lagu-lagu Ito dari Blues Gang yang berunsur agama sangat menyegarkan ditambah dengan ceramah Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dan malam yang dingin itu disegarkan dengan kata-kata dan aksi Hishamudin Rais.
Dinsman memberitahu saya bahawa Paksi sangat terharu dengan kehadiran begitu ramai peneroka dan anak peneroka Felda, memberi isyarat bahawa mereka menerima baik kedatangan dan persembahan anak-anak seni ini.
Beliau dan beberapa tokoh Paksi – Hasni Abas, Barajiwa - malah A. Samad Said sendiri menganggap himpunan karyawan di tengah jantung Felda malam itu adalah himpunan terbesar para penggiat seni dan ini mencerminkan betapa para seniman dari pelbagai genre ikut serta dalam membina gelombang perubahan untuk rakyat.
Malam Himpunan di Felda itu bukan saja menemukan para seniman dengan masyarakat Felda, tetapi lebih dari itu mereka mendengar sendiri bisikan hati nurani peneroka dalam perbualan dengan mereka sejak petang lagi.
Saya percaya, inilah pertama kali himpunan seperti ini diadakan oleh para karyawan seni dari pelbagai genre di tengah kawasan rancangan Felda yang demikian luas, menunjukkan bahawa kalangan karyawan seni juga memberikan perhatian kepada peneroka.
Memang sejak dulu lagi, beberapa sasterawan rakyat seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Azizi Haji Abdullah dan beberapa orang lagi sentiasa merakamkan perjuangan petani dan peneroka dalam karya mereka dan kini kelihatannya dilanjutkan oleh beberapa karyawan Paksi.
Bagi saya, golongan peneroka ini bukanlah sebuah masyarakat tertutup yang hanya menerima maklumat dari media tradisional – TV dan akhbar – tetapi mereka juga sudah menerima maklumat dari pelbagai sumber maklumat. Anak-anak mereka yang bekerja di bandar member input maklumat yang berbeza dengan apa yang diberi oleh media tradisional.
Dalam pertemuan kami dengan beberapa peneroka, nyatalah perubahan bahawa pemikiran sudah kelihatan di kalangan peneroka, walaupun belum menyeluruh. Dengan kata-kata lain, peneroka ini bukanlah lagi ‘simpanan tetap’ Umno/BN seperti persepsi masa lalu. Dalam hal ini, tahniah kepada Mazlan Aliman yang memimpin Anak, yang memahami dan berjuang membawa perubahan dalam Felda.
Dengan keramahan dan sambutan hangat peneroka pada malam Himpunan tersebut membuktikan bahawa tiada dinding yang boleh memisahkan peneroka dengan golongan karyawan yang turut berjuang ke arah masyarakat adil, demokratik, saksama, bersih dari rasuah dan penyelewengan.
InsyaAllah, Paksi dan Anak akan menganjurkan perhimpunan yang sama secara besar-besaran di Pahang, di Kota Kinabalu dalam masa terdekat dan Paksi mengharapkan karyawan seluruh negara akan bersama-sama Paksi dalam program rakyat untuk rakyat ini.
Paksi dan Anak akan terus mempererat hubungan dan kegiatan bersama, justeru dua badan ini mempunyai citarasa dan aspirasi yang sama untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Categories: Share

Leave a Reply