Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu
Dinsman
(Artikel 299, 19/3)
Muzakarah Bahasa dan
Persuratan Melayu
Sempena
memulakan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr
Awang Sariyan menganjurkan Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu, dengan
beberapa kelompok penulis, seniman, ilmuan, profesional dan keagamaan, pada 14
dan 15 Mac, di Menara DBP, Kuala Lumpur. Tujuannya untuk mendapatkan pandangan,
harapan dan cadangan pihak-pihak tersebut, mengenai apa yang perlu dan patut
dibuat oleh DBP.
Saya
sempat hadir pada sesi kedua pagi Khamis, iaitu bersama dengan kelompok NGO,
seniman, karyawan dan belia; dan pada sesi petangnya bersama kelompok
keagamaan. Alhamdulillah, kedua-dua sesi itu nampaknya berjalan dengan baik,
walaupun tidak ada apa-apa yang baru dan luar biasa dapat didengar daripada
mereka yang hadir dan bercakap.
Memang
pun tidak ada apa-apa yang baru dan luar biasa yang perlu diharapkan daripada
sesi dialog atau muzakarah itu. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini
mengenai harapan kepada Dr Awang Sariyan sebagai Ketua Pengarah baru DBP, bukanlah
kita mengharapkan sesuatu idea yang baru dan luar biasa. Kita hanya
mengharapkan DBP mempunyai seorang Ketua Pengarah yang faham keperluan bahasa,
sastera dan keilmuan dalam konteks kehidupan masyarakat dan rakyat Malaysia
hari ini.
Masalah
yang paling ketara dan disebut dalam kedua-dua sesi itu misalnya ialah masalah
penerbitan majalah-majalah DBP yang suatu masa tak berapa lama dulu pernah
menjadi majalah-majalah yang paling diminati oleh masyarakat kita (Dewan Masyarakat, Dewan Siswa), tetapi
hari ini telah hilang dari pasaran. Itu sama sekali tak perlukan idea baru.
Yang
perlu ialah tindakan bagi mengatasi masalah yang menyebabkan terjadinya mala
petaka itu, dan berusaha untuk kembalikan semula majalah-majalah itu kepada
statusnya yang pernah dicapai dulu. Selepas itu barulah difikirkan bagaimana
hendak memajukannya melebihi status yang pernah dicapainya itu.
Manakala
majalah yang telah sengaja dihentikan penerbitannya, ialah Dewan Agama dan Falsafah, hendaklah dihidupkan semula.
Mengenai
penerbitan buku dalam pelbagai bidang dan usaha untuk memperbanyakkan bilangan
judul buku yang hendak diterbitkan – itu bukannya cerita baru. Itu cerita lama
yang selalu diulang-ulang menyebutnya, dan sehingga ini DBP belum pernah pun
mencapai status yang diharapkan itu. Cerita manuskrip yang terpaksa menunggu
bertahun-tahun untuk dicetak (hingga bahan di dalamnya pun menjadi ketinggalan
zaman) masih belum dapat diatasi sejak berpuluh tahun.
Begitu
juga cerita buku yang telah dicetak tetapi terperuk penuh di dalam gudang,
tidak dijual – pun cerita yang sudah terlalu lama, sejak saya mula masuk kerja
di situ tahun 1974 dulu lagi. (Makanya memungkinkan saya mengangkutnya dengan
lori untuk dilambakkan ke atas pentas sebagai set teater Bukun Bunuh Diri, tahun 1974). Sampai sekarang pun tak ada
kemajuan.
Jadi
memang kita sama sekali tidak memerlukan idea baru untuk DBP. Cuba lihat
masalah penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Bahkan hingga ke peringkat
universiti. Isu PPSMI itu! Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris. Apa yang perlu dibuat mengenainya ialah kembali kepada
status tahun-tahun sebelum dasar karut itu dibuat.
Pendek
kata, DBP sudah lama tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Maka yang
diharapkan kepada Awang Sariyan ialah mengembalikan DBP kepada fungsinya yang
sebenar, dan mengembalikannya kepada status terbaik yang pernah dicapainya
dalam sejarahnya sebelum ini.
Dan
dengan mengatakannya demikian saya sama sekali tidak bermaksud bahawa muzakarah
14 dan 15 mac itu tidak penting. Walaupun Ketua Pengarah sebelum ini juga
pernah mengadakan majlis dialog yang kira-kira serupa tetapi selepas itu
bahtera DBP dibawanya hanyut entah ke mana, kita percaya di tangan Awang
Sariyan bahtera baru yang sedang dikemudikannya sekarang tidak akan ikut hanyut
seperti yang dulu itu.
Dalam
ucapan ringkasnya membuka majlis itu dia mengatakan tujuan muzakarah dibuat
ialah untuk “mengembalikan DBP kepada masyarakat, kepada rakyat”, sepertimana
DBP dulu ditubuhkan atas kehendak rakyat dan terus didokong oleh rakyat melalui
persatuan-persatuan dan badan-badan bahasa dan penulis waktu itu.
Mendengar
itu sahaja pun saya sudah gembira. Sebab apa? Itu menunjukkan yang Awang
Sariyan memang benar-benar faham akan kedudukan DBP dan semangat kewujudannya
yang tidak boleh dipisahkan daripada rakyat, khasnya penulis-penulis dan
persatuan bahasa dan sastera.
DBP
hendaklah mengekalkan hubungan baik dan mesranya dengan para penulis dari
seluruh pelosok tanahair. Dialog antaranya dengan para penulis jangan
diputuskan. Seperti suatu waktu dulu, para penulis tidak berasa kekok dan
janggal untuk datang ke DBP pada bila-bila masa sahaja, kerana mereka
menganggap DBP itu adalah kepunyaan mereka. Ini paling ketara sewaktu Usman Awang
masih berkhidmat di DBP.
Tetapi
selepas Usman Awang tidak lagi berkhidmat di situ, hubungan mesra itu sedikit
demi sedikit menjadi hilang. DBP dan para penulis menjadi berjauhan. DBP pun
tidak lagi mahu mendengar suara, harapan dan pandangan penulis.
Sekarang
kita melihat Awang Sariyan ingin kembali kepada hubungan mesra yang seperti
itu. Saya mendengar buat kali keduanya pada 15 Mac itu dia mempelawa penulis
untuk memanfaatkan ruang-ruang tertentu yang tersedia di bangunan DBP itu,
untuk kegiatan-kegiatan bahasa-sastera yang sesuai.
Saya
memang tertarik, terutamanya ruang yang dikatakannya di tingkat 31 itu. Insya
Allah saya akan mengajak kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat bersama kawan-kawan
lain untuk berkreativiti di sana ,
dalam waktu terdekat ini. Kita jumpa di sana !