Dinsman (Artikel 297, 12/3)
Isu PPSMI: Siapa nak betulkan salah faktanya?
“Tidaklah mustahak sangat. Lagipun ia perkara kecil sahaja.” Kita biasa menganggapnya demikian, lalu melupakannya, hinggalah apabila jarak masa telah jauh meninggalkan peristiwa bersejarah itu, baharulah kita akan menyedarinya apabila kajian mendalam mula dilakukan ke atas perkara tersebut. Malah ada kemungkinan kesilapan fakta yang dianggap kecil itu akan terus tidak disedari, walaupun apabila suatu hari kemudian perkara kecil itu sudah menjadi perkara besar dan penting.
Misalnya ada beberapa kesalahan fakta mengenai sejarah awal Asas 50 (sebuah pertubuhan dan gerakan sastera-budaya yang penting di zaman 1950-an), yang terus-terusan disebut oleh beberapa orang pengkaji yang menyalinnya berdasarkan satu sumber yang dianggap benar, hinggalah tampil salah seorang tokoh Asas 50 sendiri memperbetulkannya.
Saya terfikirkan perkara ini apabila Razali Endun membisikkan sesuatu kepada saya dalam Seminar Wacana Pemikiran Datuk Hassan Ahmad, apabila ada pemakalah membincangkan peranan Datuk Hassan Ahmad dalam perjuangan menuntut pemansuhan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris). Wacana tersebut berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, 6 Mac lalu, anjuran Persatuan Penulis Budiman dan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.
Hassan Ahmad diakui oleh semua pemakalah dalam wacana tersebut sebagai seorang pemikir dan pejuang bahasa Melayu yang penting. Prof Teo Kok Seong (UKM) menganggapnya sebagai ‘linguis nasionalis’. Ada yang menyebut penglibatan Hassan Ahmad dalam isu PPSMI sebagai kemuncak perjuangan bahasanya, yang telah berjaya menggembleng rakyat dalam jumlah besar turun ke jalanraya bersama dengannya bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar tersebut.
Razali Endun terkesan seperti ada yang menganggap Hassan Ahmad sebagai penggerak atau pencetus gerakan yang berjaya menghimpun sekitar 100 ribu rakyat berarak di jalanraya pada 7 Mac 2009 itu. Anggapan yang lahir berdasarkan peranannya sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Hal itulah yang dibisikkannya kepada saya.
Sebenarnya ada peristiwa lain lagi sebelum ini yang menyebabkan Razali menjadi bimbang. Ada pihak-pihak tertentu yang telah mengisytiharkan bahawa dasar PPSMI itu telah disetujui oleh kerajaan Malaysia untuk dimansuhkan (secara bertahap-tahap) adalah hasil daripada perjuangan pihak mereka (bukannya pihak GMP yang dipimpin oleh Hassan Ahmad bersama dengan beberapa orang budayawan anti kerajaan Umno-BN itu).
Demikianlah situasi keliru dan mengelirukan yang sedang mewarnai masyarakat kita hari ini. Masyarakat yang sejak Reformasi 1998 telah berpecah dan dipisahkan pula oleh peranan pihak media yang membuat laporan memihak kepada pihak masing-masing, atau memihak kepada “kebenaran” pihak masing-masing, hingga kebenaran itu sendiri pun telah dikelirukan maknanya. (Di sana ada banyak lagi kes atau peristiwa yang mengelirukan).
Yang dimaksudkan dengan pihak masing-masing itu pada umumnya ada dua pihak, iaitu pihak yang menyokong kerajaan Umno-BN, dan pihak yang tidak menyokong kerajaan Umno-BN (atau yang menyokong pihak Pakatan Rakyat).
Dalam kes gerakan membantah dasar PPSMI situasinya agak unik dan berbeza, kerana yang menyokong dan tidak menyokong dasar itu bukannya pihak yang sama dengan yang dikenali sebagai pihak yang menyokong dan tidak menyokong kerajaan Umno-BN. Dalam kes ini kebanyakan budayawan dan rakyat yang menyokong kerajaan Umno-BN pun turut bersama-sama dengan pihak yang tidak menyokong kerajaan Umno-BN, membantahnya. Yang menyokongnya ialah para pimpinan Umno-BN dan rakyat yang berkepentingan tertentu serta tidak mempunyai kesedaran jatidiri Melayu.
Dan Hassan Ahmad dipilih oleh sekumpulan penggerak awal gerakan mansuhkan PPSMI untuk memimpin GMP adalah kerana dia tidak jelas memihak kepada mana-mana dua pihak tersebut, disamping faktor penting yang lain iaitu dia diakui sebagai tokoh bahasa berwibawa, oleh semua pihak termasuk para pimpinan Umno-BN dan juga pimpinan Pakatan Rakyat.
Dengan latar sosio-politik-budaya yang sedemikian itu maka mudahlah (dan hampir dengan sendirinya) terjadi beberapa kekeliruan fakta sebenar di sekitar perjuangan memartabatkan semula bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah, atau pemansuhan PPSMI itu.
Wacana di UPSI memang tidak diharapkan untuk menjelaskan hal tersebut, kerana ia bukanlah perkara yang penting dalam konteks pemikiran Hassan Ahmad. Namun saya membangkitkannya di sini hanya sebagai sebuah catatan peribadi, seperti pendekatan Prof Emeritus Abdullah Hassan yang mencatatkan beberapa kelemahan Hassan Ahmad dalam penterjemahan novel Dunia Sofie, padahal pencapaian dan sumbangannya melalui penterjemahan novel itu adalah jauh lebih besar.
Abdullah Hassan mengemukakan penilaiannya terhadap kerja terjemahan Hassan Ahmad, yang menterjemah novel falsafah Dunia Sofie karya Jostein Gaarder. Selain Abdullah dan Teo Kok Seong, pemakalah yang turut membentangkan kajian dan pemerhatian mereka dalam wacana itu ialah Awang Sariyan (DBP), Raja Masittah (UPM), Mana Sikana (UPSI) dan Jaafar Ab Rahim. Manakala Zainal Abidin Borhan (Yayasan Karyawan) menyampaikan ucaptama.
Paling menarik pada saya ialah perhatian yang diberikan oleh Zainal Abidin Borhan kepada usaha Hassan Ahmad menerokai alam fikiran atau minda Melayu, khasnya melalui makalah yang berjudul “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu mencipta makna dan membentuk Epistemologinya”, yang kemudian diterbitkan sebagai monograf itu (oleh Akademi Pengajian Ketamadunan, Sungai Ramal Dalam, 2003).
Kolum ini memang tidak memungkinkan saya mengulas lanjut Wacana Pemikiran Datuk Hassan itu. Banyak perkara yang menarik mengenai pemikiran Hassan Ahmad sebenarnya. Maka kita harap wacana di UPSI itu hanya satu permulaan usaha untuk mengangkat pemikiran Hassan Ahmad, yang akan diikuti oleh usaha-usaha selanjutnya lagi selepas ini.