Background

DBP: Harapan kepada Awang Sariyan


ABD SHUKUR HARUN


Seperti dramatis/penyair Dinsman dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pimpinannya, saya juga menggantungkan harapan tinggi terhadap Dr Awang Sariyan yang telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memulihkan semula semangat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Di masa lalu harapan ini terhempas oleh keadaan, lemahnya daya juang dan permainan politik yang tidak menentu serta lemahnya pemikiran dan daya juang penggiat sastera dan budaya kita. Kini seperti, kata Dinsman, tiba-tiba saja seperti harapan kembali pulih dan segar apabila diberitahu mengenai perlantikan Dr Awang Sariyan. Tahniah kepadanya.

Pemimpin DBP yang baru ini, yang secara kebetulan sama dengan saya berasal dari Pontian, Johor digantungkan harapan tinggi untuk memulihkan kembali keghairahan terhadap institusi penting itu di mana pada masa lalu menjadi tempat berkumpul, berbincang di kalangan para penulis, budayawan dan intelektual.

Maka harapan saya terhadap Dr. Awang Sariyan, lebih jauh dari itu, namun suasana dan keadaan masa kini sangat jauh berbeza dari masa lalu dalam semua bidang kehidupan. Tentu saja diharapkan beliau memahami situasi yang wujud sakarang.


DBP kini berada di tengah-tengah rempuhan budaya siber yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai maklumat dan  tidak lagi terkongkong menerima maklumat dari sumber media tradisional.

Selain itu, perkembangan yang berlaku dalam masyarakat sendiri, malah di luar negara, ilmu-ilmu baru yang ditemui dan pelbagai lagi telah membentuk sikap baru masyarakat dalam pelbagai aspek, termasuk dunia keintelektualan.

Oleh itu zaman penuh romantis dan bernostalgia mengenai masa lampau yang gemilang, serta mengelus-ngelus kehebatan masa lalu hampir-hampir tidak releven lagi dengan keadaan masa kini. Bagaimanapun ini bukan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa gundah gulana dan kekecewaan.

Pejuang bahasa masa lalu, para sasterawan dan budayawan yang telah memberikan sumbangan dalam perjuangan jatidiri bangsa dan bahasa masih tetap dikenang dan kekal berharga dalam lipatan sejarah, justeru tugas generasi masa kinilah yang akan meneruskan perjuangan itu.

Adapun yang sangat wajar diberikan perhatian oleh Dr. Awang Sariyan ialah bahawa DBP sewajarnya menjadi prime mover, penggerak utama ke arah membentuk masyarakat yang bebas berfikir, tidak terkongkong kepada suatu dogma pemikiran yang sempit dalam segala bidang kehidupan.


DBP mestilah menjadi pusat percambahan pemikiran yang dinamik, tidak terbenam dalam timbunan pemikiran perkauman dan agama yang sempit dan tidak habis-habisnya memikirkan glory masa lampau. Ia sewajarnya memberi ruang luas kepada kebebasan berkarya, tidak terikat dengan mehnah jalur politik yang bersifat mengongkong, hambatan birokrasi yang mecemaskan. Biarkanlah pelbagai pemikiran dan idea berkembang bebas.

DBP hanya akan dilihat berfungsi dan memenuhi tanggungjawabnya jika ia dilihat sangat terbuka dan bebas memberi ruang kepada pelbagai percambahan minda, sehingga akan lahir nanti - dengan dorongan DBP - para penulis, budayawan dan intelektual yang bukan saja kreatif dan rajin, tetapi juga berfikiran bebas dan kritis.

Minda mereka tidak terperangkap dalam budaya ‘Carma – Cari Makan, semata-mata - seperti kata Saterawan Negara, A. Samad Said.

Para penulis baru – atau mungkin juga  yang lama – sewajarnya didedahkan dengan perkembangan dan jalur pemikiran terkini yang sedang berkembang, termasuk di bidang politik, agama, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

DBP mempunyai peranan untuk mendorong penulis dan budayawan ‘keluar’ dari kepompong cara berfikir lama. Maksudnya, mereka mesti penjadi pencetus pemikiran baru dan besar dan ikut serta berperanan dalam membuat perubahan dalam masyarakat. Mungkin penulis atau budayawan tidak berminat menyertai politik kepartian, itu hak mereka.


Namun mereka mesti didorong untuk mempunyai sikap tertentu dalam pergolakan yang berlaku. Ertinya bukan menjadi penulis naif yang hanya terkebil-kebil mata melihat hal yang berlaku dalam masyarakat.

Saya dapat mengertikan bahawa tidak semudah itu Dr. Awang Sariyan untuk melaksanakan harapan tinggi itu, memandangkan DBP sendiri adalah sebuah organisasi kerajaan yang terikat dengan pelbagai peraturan dan dogma birokrasi, malah hambatan politik.

Namun saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa ketokohan pemimpin baru DBP ini mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan kepada DBP. Sepanjang yang saya mengenalinya, beliau mempunyai sikap terbuka, tenang tetapi tegas, luas pergaulan di kalangan intelektual dalam dan luar negara serta pelbagai golongan masyarakat, tenang tetapi tegas. Tentu ia bersedia menerima pelbagai pandangan untuk membuat perubahan.

Saya yakin Dr. Awang Sariyan bersama stafnya akan selalu mengadakan wacana ilmu dan dialog dengan para penulis dan budayawan untuk menyegarkan kembali suasana seperti ini yang pernah wujud di masa lalu. Sifat wacana itu tidak terlalu rasmi-rasmian, protokol dan sebagainya. Juga tidak hanya mengenengahkan tokoh akademik/sastera terkenal untuk berbicara, sementara penulis biasa hanya diminta mendengar. Yang diperlukan ialah sebuah perbincangan yang terbuka.


Kami di dalam Paksi, sering mengadakan dialog seumpama ini secara yang amat sederhana di sebuah ‘Warung Rakyat’ dan ternyata perbincangan yang diadakan amat terbuka, jujur, tidak  bersifat mengampu, tetapi menyegarkan minda dalam mencari kebenaran.

Apabila kita bercakap mengenai kebebasan berkarya, penulis dan budayawan yang dinamik, tidak bermakna kita menuntut DBP melahirkan para tokoh seperti ini justru saya menyedari bahawa pemikiran besar di kalangan penulis dan budayawan – di mana-manapun dan tidak pernah dalam sejarahnya - dibentuk oleh sesuatu institusi, justeru ia bergantung kepada kemampuan seseorang penulis dan budayawan itu berusaha ke arah itu. Oleh itu bukanlah tugas DBP sebenarnya untuk melahirkan golongan penulis dan budayawan yang hebat.

Namun apa yang boleh dilakukan oleh DBP ialah menjadi mendorong dan menyediakan  ruang seluas-luasnya kepada penggiat dan pemikir budaya mengucapkan pemikiran yang segar, bebas dan dinamik.

Categories: Share

Leave a Reply