Teater Ibnu Sina pakar perubatan
Dinsman
(Artikel 351, 26/10)
Teater Ibnu Sina pakar
perubatan
Ketika
saya sedang berfikir bahawa teater kanak-kanak adalah satu aktiviti yang patut
diaktifkan, terutama di kawasan-kawasan kediaman yang sesak seperti di rumah
pangsa dan sebagainya, tiba-tiba seseorang mencadangkan kepada saya untuk
menghasilkan sebuah teater mengenai ilmuan Islam di zaman kegemilangannya dulu.
Segeralah
saya menjawab bahawa memang saya telah menulis skrip mengenai Al-Ghazali,
beberapa tahun dulu, tetapi tergendala kerana sebab-sebab tertentu. Barangkali
saya boleh hidupkan semula usaha itu. Tetapi nampaknya ‘seseorang’ itu kurang
berminat dengan Al-Ghazali. Dia mencadangkan Ibnu Sina. Apakah kerana kebetulan
dia seorang doktor dan Ibnu Sina pun terkenal di bidang kedoktoran dan
perubatan, saya tak pasti, dan tak penting pun hal itu.
Yang
pentingnya selepas itu saya pun membaca beberapa buah buku mengenai Ibnu Sina,
dan saya pun terus bersetuju untuk mengusahakan sebuah teater mengenainya, dan
langsung saya membayangkan teater itu adalah teater kanak-kanak.
Memang
sesuai untuk teater kanak-kanak. Barangkali kalau ‘seseorang’ itu bersetuju
dengan teater Al-Ghazali, ia tentulah tidak sesuai sebagai teater kanak-kanak.
Sebab apa? Sebab cerita kehidupan tokoh-tokoh itu sendiri. Menariknya kehidupan
Al-Ghazali ialah konflik dalaman dirinya sebagai seorang pencari kebenaran yang
hakiki. Manakala Ibnu Sina pula menariknya kerana dia telah menjadi doktor ketika
berumur 16 tahun dan menjadi ‘doktor pakar’ ketika berumur 18 tahun.
Saya
katakan ‘doktor pakar’ kerana dia dijemput oleh dua orang doktor diraja yang
adalah gurunya sendiri di bidang perubatan, untuk merawat raja yang sakit.
Memang Ibnu Sina seorang yang genius. Kecerdasan otaknya luar biasa. Disamping
belajar sendiri dengan membaca buku, dia juga berguru dengan dua orang doktor
yang bertugas di istana raja waktu itu. (Nuh bin Mansur nama raja itu, di
Bukhara, dalam Uzbekistan
sekarang).
Bayangkan,
kedua-dua orang doktor diraja itu, yang adalah guru kedoktoran Ibnu Sina sendiri,
tidak mampu menyembuhkannya, dan mereka percaya yang Ibnu Sina boleh
menyembuhkannya. Menunjukkan betapa hebatnya kecerdasan Ibnu Sina. Dan memang
betul, dia berjaya menyembuhkan raja itu.
Apabila
raja hendak memberinya hadiah sebagai balasan menyembuhkannya, dia memohon agar
dibenarkan dia bebas membaca buku-buku yang terdapat dalam perpustakaan diraja.
Khabarnya perpustakaan itu sebuah perpustakaan yang besar dan penuh dengan
buku-buku dalam pelbagai bidang.
Bayangkan
seorang anak muda yang gembira dibenarkan membaca buku-buku dalam sebuah
perpustakaan besar waktu itu. Satu demi satu buku-buku ilmu itu dibacanya
dengan penuh minat; dan diberitakan bahawa dia bukan sahaja membaca buku-buku
yang banyak itu tetapi dia juga menghafal kebanyakannya.
(Memang
Ibnu Sina gila membaca. Dalam suatu catatan peribadinya dia mengaku membaca
buku Metaphysics karya Aristotle itu
sebanyak 40 kali, kerana tidak dapat memahaminya, hinggalah dia membaca tulisan
Al-Farabi mengenai buku tersebut, barulah dia faham.)
Dan
sejarah mencatatkan bahawa perpustakaan itu kemudiannya terbakar. Habis semua
buku-buku itu terbakar. Tetapi kebanyakan ilmunya sudah selamat tersimpan dalam
ingatan Ibnu Sina. Maka adalah orang yang menuduh Ibnu Sina sendiri yang
membakarnya. Dan ada pula yang mengatakan itu adalah fitnah orang-orang yang
dengki dengan keistimewaan Ibnu Sina itu.
Bagi
kita, itu bukanlah hal yang penting. Saya berbincang dengan Ladin Nuawi, orang
yang akan mengarah teater ini (memang dia seorang yang ahli dalam teater kanak-kanak),
apakah peristiwa perpustakaan terbakar itu sesuatu yang menarik untuk
diungkapkan dalam teater kanak-kanak?
Boleh,
kata Ladin, boleh dibuat dengan menarik. Tetapi secara umumnya kita mengelak
daripada mengungkapkan hal-hal yang negatif. Elok kita utamakan
peristiwa-peristiwa yang boleh memberi kesan positif kepada jiwa anak-anak,
katanya.
Memang
banyak peristiwa yang boleh memberi kesan positif dalam sepanjang kisah hidup
tokoh perubatan Islam ini. Bahawa dia merupakan seorang tokoh perubatan di
zamannya (980 – 1037 M), yang diiktiraf oleh Eropah hingga beberapa abad
lamanya, dikenali dengan nama Avicenna – itu sahaja pun satu perkara yang
positif.
Tidak
banyak orang kita sendiri pun yang tahu mengenai kejayaan dan pencapaian orang
yang bernama Abu Ali al-Husayn ibn Abdullah ibn Sina ini. Dia
bukan sahaja seorang ilmuan di bidang perubatan, tetapi juga di bidang
falsafah, logik, sains, fizik, agama dan puisi. Dia menulis lebih daripada 200
buah buku, dan sebahagian besarnya masih tersimpan dalam
perpustakaan-perpustakaan di Eropah dan Timur Tengah.
Bayangkan
di zaman yang belum ada mesin taip itu, dia menulis sebanyak 50 muka surat pada satu hari.
Memang luar biasa kebolehan para ilmuan Islam di zaman itu. Maka inilah yang
kami akan cuba
kemukakan kepada umat kita hari ini, melalui teater ini.
Persembahan
teater kanak-kanak biasanya dibuat sekitar 75 minit sahaja, kata Ladin. Kalau
lebih panjang daripada itu ia akan menimbulkan rasa jemu dan gelisah di
kalangan kanak-kanak yang menonton. Walaupun sasaran teater ini bukan sahaja
kepada khalayak kanak-kanak, tetapi kepada golongan remaja dan dewasa juga,
namun faktor kanak-kanak itu perlu diberi perhatian.
Latihan
dijadualkan akan dimulakan pada awal November, dan persembahan dijangka akan
mulai dibuat pada pertengahan Disember. Beberapa peristiwa menarik daripada
kehidupan tokoh ini sudahpun kami pilih, misalnya bagaimana dia mengesan
pesakit yang mengalami tekanan perasaan akibat rindu yang kuat, bagaimana dia
mengatasi kegilaan seorang kerabat diraja yang merasakan dirinya seekor lembu
yang mahu disembelih, dan sebagainya.
Semoga
Allah mempermudahkan usaha ini. Amiin!
InsyaAllah, moga berjalan lancar! Usaha yang baik Pak Dinsman.
BalasPadam