LATIHAN TEATER KANAK-KANAK DALAM MASJID
Dinsman
(Artikel 342, 17/9)
Latihan teater
kanak-kanak dalam masjid
Secara
kebetulan, barangkali, teater kanak-kanak adalah antara perkara yang menghuni
dalam fikiran saya sejak beberapa bulan lalu; khasnya sejak membuat bengkel
penulisan bulanan di Unisel, yang kebetulan kebanyakan pelajar yang
menyertainya adalah pelajar-pelajar kursus pra-sekolah, maka saya terfikir
adalah wajar diperkenalkan penulisan skrip teater kanak-kanak kepada mereka.
Kemudian
minggu lalu pula saya menemui sejenis kelompok masyarakat rumah pangsa yang
menyebabkan saya terfikir juga kepada keperluan teater kanak-kanak. Sekitar
masa yang sama juga seorang peserta bengkel penulisan di Rawang menyatakan
kepada saya bahawa dia bersama jawatankuasa masjid dalam qariahnya sedang
merancang untuk memulakan latihan teater kanak-kanak di masjid mereka, sebagai
satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda ke masjid.
Jadi
nampaknya pemikiran mengenai teater kanak-kanak akan terus menemani saya untuk
beberapa waktu ini. Cadangan daripada masjid di Rawang itu misalnya, perlu
diperhatikan, kerana mereka meminta kerjasama kita untuk melaksanakannya.
Perkara
pertama yang difikirkan apabila hendak mengadakan teater kanak-kanak ialah –
siapakah yang akan menyertai atau mengambil bahagian bagi menjayakan teater itu? Tentulah kanak-kanak. Betul, tetapi umur mereka mungkin dari
kelompok sekolah Tadika atau sekolah rendah atau mungkin juga kelompok sekolah
menengah. Atau campuran ketiga-tiga kelompok tersebut.
Itu
tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalahnya ialah campuran peserta lelaki
dengan peserta perempuan. Kalau setakat kelompok anak-anak Tadika, mungkin tak
menjadi masalah, kerana mereka masih anak-anak kecil. Tetapi kalau kelompok
anak-anak sekolah rendah dan menengah, ia menjadi masalah. Takkan anak-anak
yang bercampuran lelaki-perempuan itu nak dibuat latihan di dalam masjid?
Kebiasaannya
teater kanak-kanak memang bercampur lelaki dan perempuan. Sama seperti teater
dewasa jugalah. Kebiasaannya memang ada percampuran lelaki dan perempuan. Hanya
sesekali ada kekecualiannya, sesuai dengan keperluan skrip. Tetapi teater
kanak-kanak agak berbeza, kerana pelakonnya ramai.
Apakah
untuk keperluan teater kanak-kanak yang akan dibuat latihannya di masjid ini
maka pesertanya hanya diambil dari kelompok anak-anak lelaki sahaja, atau
kelompok anak-anak perempuan sahaja?
Kalau
program ini dibuat di tempat-tempat biasa, maksudnya bukan di masjid, tentulah
perkara percampuran lelaki-perempuan ini tidak timbul. Misalnya waktu saya
berfikir untuk menubuhkan kumpulan teater kanak-kanak di rumah pangsa yang
dibincangkan dalam WB keluaran lalu, saya tidak terfikir pun masalah ini. Hanya
apabila memikirkan ia akan dibuat di dalam masjid maka perkara ini timbul, dan
perlu difikirkan penyelesaiannya.
Maka
apakah penyelesaiannya? Ada
orang mungkin bertanya apakah ini persoalan hukum bagi aktiviti berlakon (dan
latihannya) secara umum, ataupun ini hukum khusus bagi aktiviti berlakon (dan
latihannya) di dalam masjid sahaja? Kerana setakat ini rasanya belum pernah ditimbulkan
lagi masalah lakonan bercampur antara lelaki dan perempuan – boleh atau tidak
(mengikut hukum Islam)?
Kerajaan
Negeri Kelantan dan Tok Guru Nik Aziz pun nampaknya ada menganjurkan aktiviti
yang meraikan pelakon dan filem-filem yang ada percampuran lelaki-perempuan
(dari Indonesia dan Iran), iaitu filem-filem yang lakonannya dianggap tidak
melanggar hukum akhlak Islam. Ertinya bercampur lelaki dan perempuan dalam
lakonan itu dibolehkan, asalkan tidak melanggar batas-batas tertentu.
Apakah
pula batas-batas tertentu itu? Saya tidak mahu lanjutkan lagi perbincangan ini
di sini, sehingga saya mendapat jawapannya daripada orang yang lebih berwibawa.
Sementara
itu hasrat pihak masjid berkenaan itu akan saya sambut dengan usaha-usaha yang
sesuai, sementara menunggu fatwa berkenaan. Sekurang-kurangnya pun kita
bolehlah mulakan dengan kelompok anak-anak lelaki sahaja dulu, buat sementara. Dan
kalau fatwanya tidak boleh ada percampuran lelaki-perempuan, maka akan
berterusanlah kumpulan teater kanak-kanak masjid itu dengan kelompok anak-anak
lelaki sahaja.
Tidak
ada masalah, kalau memang itulah hukumnya. Kita boleh beraktiviti dalam
batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu. Gunakanlah imaginasi
dan kreativiti kita, setakat yang termampu.
Manakala
idea dan hasrat pihak masjid tersebut hendak menganjurkan aktiviti seni-budaya
berkenaan itu sebagai satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda datang ke
masjid – amatlah saya alu-alukan dan hormati. Bagi pihak Seniman Paksi Rakyat
(Paksi) saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak masjid berkenaan.
Ini suatu pengiktirafan yang mulia kepada seni-budaya!
Walau
bagaimanapun, oleh kerana sifatnya teater kanak-kanak ini tidak sama dengan
teater dewasa, misalnya dengan teater Menunggu
Kata Dari Tuhan (MKDT) yang sudah banyak kali dimainkan dalam masjid itu,
saya akan lebih berhati-hati melakukannya. Misalnya suasana dan mood teater kanak-kanak biasanya adalah mood yang riang; yang mungkin melibatkan
muzik yang riang juga. Apakah itu sesuai dibuat di dalam masjid? Dan
sebagainya.
Jawapannya
– bukanlah saya begitu sekali mengagung-agungkan aktiviti seni-budaya itu
sehingga hendak mencemarkan kesucian masjid dengannya, tetapi saya hendakkan
kepastian dan kejelasan hukum mengenainya, samada ia dibuat di luar masjid
mahupun di dalam masjid. Ramai orang Islam yang terlibat dengan aktiviti
seni-budaya. Maka biarlah kita jelas dengan hukumnya!