Background

Apa itu Madrasah Seni?

Dinsman (Artikel 298, 16/3) Apa itu Madrasah Seni?

 Apa itu Madrasah Seni? Tiba-tiba soalan itu melintas dalam kepala saya. Bukan saya tidak tahu akan ‘Madrasah Seni’ yang telah dirasmikan oleh SN A Samad Said di surau Kg Bandar Dalam (KBD), 10 Mac lalu itu. Mustahil saya tidak tahu kerana saya sendiri pun terlibat dengannya, bahkan terlibat juga mengasaskannya bersama kawan-kawan lain. Tetapi soalan itu melintas juga dalam fikiran saya – Apa itu Madrasah Seni? 

 Ya memang, idea asalnya Madrasah Seni di surau KBD itu hanya sebuah bengkel penulisan, yang dibuat secara tetap atau bersiri pada setiap bulan, pada hari Ahad minggu ke-4. Itu saja. Kemudian anak-anak muda yang terlibat dalam bengkel penulisan itu mencadangkan nak kembangkannya dengan beberapa bengkel seni yang lain. Dan akhirnya kami bersetuju dan menamakannya ‘Madrasah Seni’. 

 Itu cerita tertubuhnya Madrasah Seni di surau KBD itu. Hanya kini saya terfikir – apa itu Madrasah Seni? Apakah hanya bengkel penulisan dan bengkel lukisan sebulan sekali itu sahaja? Memang, seperti diakui ‘Pengetua’nya Cikgu Ishak Surin, apabila dua bengkel ini berjalan lancar, akan ditambah pula dengan bengkel-bengkel yang lain lagi – seni khat, seni suara, seni kraf dan sebagainya. 

 Tetapi pun saya masih berfikir juga – itu sahajakah ‘Madrasah Seni’ itu? Bukan Madrasah Seni yang di surau KBD itu, tetapi Madrasah Seni yang pada umumnya, maksud yang sesungguhnya daripada kata “Madrasah Seni” itu sendiri. Maka mulalah datang beberapa gambaran jawapannya dalam fikiran saya. Tentunya tidak sekadar bengkel penulisan dan bengkel lukisan dan lain-lain bengkel yang telah dirancang itu begitu dan begitu sahaja. 

Tentunya lebih daripada itu. Namanya pun ‘Madrasah Seni’. (Ini Benz Ali dengan Paksi Anak Mudanya itulah yang pandai-pandai mencadangkan nama ini. Sekarang otak saya pula dirangsang supaya memikirkannya.) Apakah ia dinamakan ‘Madrasah Seni’ hanya kerana bengkel-bengkel seni itu dibuat di madrasah (surau)? Pada hakikatnya memanglah ya, begitu. Tetapi apabila bengkel-bengkel seni itu dibuat di madrasah/surau, tentulah ia tidak sekadar bengkel-bengkel seni yang biasa. Ia mestilah membawa ciri-ciri Islamnya. 

 Ya memang pun. Seniman Paksi Rakyat itu sendiri pun memang membawa ciri-ciri Islam. Itu tak perlu risau. Cuma ada fikiran yang singgah di kepala saya mengatakan bahawa yang namanya ‘Madrasah Seni’ itu sepatutnya tidak hanya bengkel-bengkel itu sahaja. Mestilah ada yang lain lagi selain daripada bengkel-bengkel. Teringat peristiwa sambutan Rakyat Bantah PPSMI yang berlangsung di surau itu Sabtu lalu. Orang yang hadir memang tidak ramai seperti yang diharapkan. Tetapi rupa-rupanya, seperti kata A Samad Said ketika berucap dalam majlis itu, bukan jumlah yang hadir itu yang penting. 

Makna atau kualitinya itu yang penting. Dan barangkali hal itu juga yang mengusek-usek fikiran saya. Melihat bagaimana ruang perpustakaan surau itu pada petang itu telah bertukar menjadi majlis pertemuan tokoh-tokoh penting bahasa, sastera dan buku; dan juga telah berlangsungnya suatu percakapan penting mengenai pemikiran dan perancangan bahasa, sastera dan budaya kita di situ. Sasterawan Negara A Samad Said dengan amanatnya yang disifatkan oleh kawan-kawan bukan lagi sekadar seorang penulis, tetapi telah mencapai taraf negarawan. 

Kemudian Profesor Shaharir, seorang saintis Melayu yang banyak menghasilkan buku-buku sains bertaraf dunia, tetapi tetap memperjuangkan bahasa Melayu. Profesor Emiritus Abdullah Hassan yang bukan sahaja pakar bahasa tetapi juga komunikasi. Ainon Mohamad pakar teknik berfikir dan seorang usahawan yang berjaya, iaitu Pengerusi dan tuanpunya penerbitan PTS. 

 Dan paling tidak diduga ialah Dr Awang Sariyan, yang ucapannya petang itu cuba menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan kawan-kawan, seperti suatu taklimat mengenai perancangan yang akan dilaksanakannya sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Memang dia mencetuskan harapan baru. Sungguh mengujakan! Dan itu semua berlaku di situ. Bukankah di situ itu adalah Madrasah Seni? Dan barangkali saya juga terkesan dan terpengaruh dengan satu lagi sesi wacana ilmu yang berlaku sehari selepas itu, bersama Prof Shaharir dan Dr Alinor (serta Dr Zainal Ab Aziz dan Mohd Zaidi Abdullah) yang berlangsung dengan jayanya, dan memuaskan, di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam, Ahad lalu. Maka itulah yang muncul dalam fikiran saya. 

Majlis-majlis wacana ilmu yang seperti itu, perlulah menjadi sebahagian daripada pengisian Madrasah Seni. Terus saya lontarkan idea itu kepada kawan-kawan. Hasni Abas paling cepat menangkapnya, langsung dengan cadangan untuk memperkatakan salah sebuah buku karya A Samad Said, dalam bulan ini juga. Soleh, anak muda yang menguruskan Madrasah Seni juga segera bersetuju dan menyatakan sanggup menguruskannya. 

Cikgu Ishak bukan sahaja bersetuju, malah menggalakkannya. Maka ditetapkanlah hari dan waktunya – Sabtu minggu ke-4, selepas solat Zuhur. Pun dalam fikiran saya masih ada lagi gambaran-gambaran yang lain lagi, terbit daripada kata ‘Madrasah Seni’ itu. Seperti ingin melihat seniman-seniman berkarya pula di situ. Teringat yang Hasni sudah beberapa kali mencadangkan dibuat sesi Baca Puisi bulanan di situ. Tetapi nampaknya belum menjadi, kerana memerlukan persiapan dan kesanggupan anak-anak muda menguruskannya, barangkali. 

 Dan terlintas juga dalam fikiran saya – kenapa Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) tidak dipentaskan di Madrasah Seni? Ia telah dipentaskan di beberapa masjid dan surau yang lain, di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Johor. Telah lebih 50 kali dipentaskan di merata tempat, dan masih lagi dipentaskan (terakhir di UIA Gombak 6 Mac lalu), tetapi kenapa tidak di Madrasah Seni ini? 

 Ya, ya, kenapa tidak?

Categories: Share

Leave a Reply