Dinsman
(Artikel 301, 26/3)
Anwar ‘Menyurat Kepada
Sahabat’
Apabila
melihat buku “Menyurat Kepada Sahabat:
Warkah-warkah peribadi 1975-2002” oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan,
saya terus terpikat dengannya. Mengapa saya terpikat? Ada beberapa sebab. Pertama, ia sesuatu yang
baru. Bukan bukunya baru diterbitkan tetapi buku jenis ini, yang memuatkan
kumpulan surat-surat peribadi, bukan sesuatu yang selalu kita temui.
Saya
kurang pasti apakah buku sepertinya ada dalam khazanah sastera kita sebelum
ini, selain Warkah Eropah (1991) dan Warkah kepada Salmi Manja (1965) oleh A
Samad Said itu. Ada sebuah oleh Mansur Ahmad
Saman (saya lupa judulnya) tetapi itu seperti sebuah buku esei yang ditulis
dalam gaya surat
panjang kepada seorang sahabat (Baha Zain), bukannya kumpulan surat-surat.
Buku
terbaru oleh Anwar Ridhwan ini adalah kumpulan surat-surat yang ditulisnya
kepada beberapa orang sahabat (juga kepada anak-anaknya, bondanya dan
kakaknya), sejak tahun 1975 hingga 2002. Atau sebenarnya hingga 1998 sahaja, kerana
selepas itu hanya ada sepucuk sahaja yang ditulis pada tahun 2002. Tidak ada
yang ditulis pada 1999-2001.
Yang
paling banyak sekali ialah yang ditulisnya dari London, antara 16 Mei hingga 30
Jun 1991, iaitu sewaktu dia menyiapkan disertasi PhDnya (dengan Universiti
Malaya), dan dia mendapatkan bimbingan khas daripada Prof Dr E.U. Kratz di
School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London.
Nampak
seperti dia memang merancang untuk menulis surat
pada setiap hari sewaktu berada di London
itu, untuk merekodkan aktivitinya sepanjang berada di luar negara. Tidak banyak
surat-surat itu mendedahkan cerita mengenai hubungan peribadi antara pengarang
dengan sahabat-sahabatnya, yang kebanyakannya adalah nama-nama yang kita kenali
dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, seperti Rahman Shaari, Suratman
Markasan, Hashim Awang, Sahlan Mohd Saman, Kemala, A Samad Said, Muhammad Hj
Salleh, Hamzah Hamdani, Zainal Kling, Abdullah Tahir, Dino SS, Ladin Nuawi,
Zakaria Ariffin, Farid Onn, Firdaus Abdullah, Goh Hin San, Baha Zain, Latiff
Mohidin, Jamdin Buyong dan Zaini Ozea.
Barangkali
ini adalah memoir dalam bentuk surat-surat kepada sahabat. Barangkali, kerana
isi kandungan surat-surat itu (kebanyakannya pendek-pendek, satu halaman
setengah sahaja), walaupun dikatakan ‘warkah peribadi’, lebih bercerita
mengenai hal-hal ‘rasmi’ dalam dunia kesusasteraan Melayu, termasuk yang
berhubungan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena (sewaktu beliau menjadi
Setiausaha Agung Gapena).
Manakala
surat kepada A
Ghani Abdullah, Setiausaha Satu PENA (7 Januari 1989) mengingatkan kita kepada
peristiwa pergolakan di dalam PENA sewaktu dipimpin oleh Yahya Ismail, dimana
ramai ahli termasuk ahli seumur hidup telah dipecat kerana tidak bersetuju
dengan tindakan pimpinan PENA menganjurkan “Kongres Perpaduan Melayu”. Saya pun
turut dipecat pada waktu itu. Tak sangka pula Anwar Ridhwan menulis surat membantah tindakan
memecat keahlian itu.
Satu
surat pendek
yang agak menarik ialah kepada Editor majalah Dewan Sastera (18 Februari 1989). “Saya amat kecewa apabila
mendapati tulisan saya ‘Sastera dalam Pendidikan’ turut lenyap bersama kolum
‘Prisma Sastera’, mulai Dewan Sastera
Mac 1989, tanpa diberitahu terlebih dahulu sebab-sebabnya.
“Saya
dengan ini tidak membenarkan tulisan saya ‘Sastera dalam Pendidikan’ disiarkan
dalam Dewan Sastera yang akan
datang.”
Menarik
bukannya kerana apa, kerana saya tak tahu yang Anwar Ridhwan pun pernah dilayan
seperti itu oleh majalah Dewan Sastera.
Dan menarik juga kerana ketegasan yang ditunjukkan oleh Anwar itu. Di sebalik
kelembutan perwatakannya yang kita kenal itu rupa-rupanya dalam hal seperti itu
dia begitu tegas sekali. Lihatlah, suratnya pun sangat ringkas.
Hanya
terasa, dalam tiga contoh di atas itu, barangkali lebih baik kalau disertakan
juga nota atau catatan menceritakan latar belakang peristiwa-peristiwa
tersebut. Misalnya kita ingin tahu kenapa sebenarnya tulisan dan kolum ‘Prisma
Sastera’ itu diberhentikan.
Satu
lagi yang menarik juga pada saya ialah surat
kepada “Keluarga Drama ‘Intan’” (10 Julai 1975). Menarik, kerana saya pun
terlibat sama dalam keluarga drama Intan itu. Saya yang mengarah drama yang
diadaptasi dari novel karya Abdullah Hussein, yang pementasannya dianjurkan
oleh Gapena itu. Tetapi saya tidak ingat pula ada masalah ‘saguhati’ seperti
yang disebut dalam surat
itu.
Iyalah,
tahun 1975, sudah lebih 36 tahun yang lalu. Tak hairanlah kalau saya tak ingat
lagi peristiwa itu, ‘kan !
Apa
pun, buku yang diterbitkan oleh Strategic
Information and Research Development Centre (SIRD) ini memang memikat.
Sebuah bacaan yang santai. Boleh dihabiskan dengan sekali duduk sahaja,
walaupun setebal 284 halaman. Banyak suratnya. Ditujukan kepada pelbagai orang.
Walaupun kebanyakannya kita kenal, tetapi ada juga sahabat Anwar itu yang kita
tak kenal. Jadi, membacanya tidaklah diganggu rasa jemu.
Banyak
juga maklumat mengenai Anwar Ridhwan yang mungkin buat pertama kalinya kita
mengetahuinya melalui surat-suratnya ini. Memang tidak ada cerita yang luar
biasa atau rahsia yang didedahkan melalui ‘kumpulan surat-surat peribadi’ ini,
tetapi cukuplah apa yang ada itu.
Mungkin
kebanyakan maklumat dalam buku ini bukan perkara asing bagi saya. Tetapi bagi
orang lain mungkin hampir semuanya adalah pendedahan perkara baru. Jadi eloklah
baca! Harganya pun RM30 saja.