Background

Background

Silahkan klik beberapa gambar di bawah ini

  • image1
  • image2
  • image3
  • image4
  • image2
  • image1
  • image4
  • image3

Dinsman (Artikel 377, 3/5)
Ceramah umum Gerakan Intelektual Rakyat, 3 Mei

Kata Prof Shaharir, sekarang sudah ada kira-kira 100 orang menyertai Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), termasuk daripada Universiti Utara Malaysia (UUM); sedangkan pada 23 April ahlinya seramai 38 orang sahaja. Ini suatu perkembangan yang sangat menggalakkan.

Setelah mengadakan sidang akhbar pertamanya pada 23 April, Gatera telah mengeluarkan beberapa kenyataan melalui Youtube, termasuk bacaan puisi. Ada ahlinya yang berceramah di pentas politik sempena kempen PRU. Prof Shaharir sendiri pun berceramah di Putrajaya, bersama Tok Guru Nik Aziz. Saya, Kassim dan Nasser pergi hingga ke Tangkak dan Tanjung Agas, Johor (atas jemputan Yap Hwa daripada LLG Cultural Development).

Berita mengenai penubuhan Gatera ini pun rupa-rupanya menarik perhatian umum juga. Ketika saya ceritakan hal ini dan sebutkan nama-nama yang menyertainya, ada orang jadi begitu teruja kerana tidak menduga. “Oh, dia sudah berubah?” katanya.

Ya, Muhammad Taib lagikan sudah berubah, artis-artis seperti Aishah dan Abby Abadi pun sudah berubah, inikan pula intelektual kita! Tetapi macamana dengan yang ramai-ramai lagi, yang katanya ada 1,600 atau 1,700 orang dalam Majlis Profesor Negara tu?

Ada yang menjangka mereka itu sedikit demi sedikit akan menyertai Gatera juga. “Cuma masalahnya bila? Kita tak mahu mereka menyertai Gatera selepas PR menang dalam PRU-13. Itu sudah tak ada makna,” kata seorang.

“Tak mengapalah, kerana Gatera bukan ditubuhkan untuk PRU ini saja, ‘kan! Selepas PRU pun Gatera akan terus bergerak, ‘kan?” sambut seseorang di dalam bual-bual santai kami.

“Nampaknya kalau PR menang nanti, kita kenalah buat tapisan sesiapa yang nak menyertai Gatera selepas itu,” sambut seorang kawan lagi.

Demikianlah sembang-sembang santai itu. Dan sambil-sambil itu dirancangkan juga satu program menjelang PRU-13. Suatu ceramah umum khas ahli-ahli Gatera akan diadakan di padang awam, Sungai Merab Luar, Sepang (dekat sempadan Putrajaya), pada 3 Mei, mulai 9 malam.

Buat pertama kalinya para intelektual dalam Gatera akan berkumpul dalam suatu program terbuka, bagi menyatakan sikap, pandangan dan pemikiran mengenai situasi politik semasa, sesuai dengan kenyataan medianya sebelum ini, bahawa “Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.”

Antara nama-nama yang sudah disahkan akan tampil di pentas ceramah itu ialah Prof Shaharir Mohd Zain, Prof Emeritus Ahmat Adam, Prof Nazari Ismail, Dr Maszlee Malik, Dr Aida Idris dan Ir Hj Mohd Asari Daud.

Mengikut Prof Shaharir, ada beberapa orang lagi yang akan mengambil bahagian pada malam yang dinamakan Malam “Gerakan Intelektual Rakyat” ini. Program ini dibuat bersama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), yang meneruskan siri “Jelajah Budaya Selangor”nya, dengan kerjasama aktivis PAS tempatan.

Calon-calon yang bertanding bagi kawasan Sepang dan Dengkil, Mohamed Hanipa Maidin dan Borhan Aman Shah, juga akan hadir dalam program ini. Begitu juga calon bagi Putrajaya, Datuk Husam Musa, diharap akan dapat bersama, kerana ramai juga penduduk sekitar Sg Merab Luar yang bekerja dan mengundi di Putrajaya.

Saya melihat pentingnya program ini bukanlah sekadar suatu program kempen pilihanraya. Tidak. Pentingnya program Malam Gerakan Intelektual Rakyat ini ialah kerana pernyataan penglibatan para intelektual yang menggelarkan diri mereka sebagai “Intelektual Rakyat” itu di dalam suatu agenda rakyat. Pilihanraya umum adalah suatu agenda rakyat yang sangat penting.

Ini hanya permulaan. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) melihat program permulaan Gatera ini sangat bermakna, maka ia bekerjasama bagi menjayakannya, dengan harapan akan dapat terus bekerjasama lagi dalam program-program yang akan datang. Paksi sangat berharap bahawa Gatera dapat menghidupkan semula peranan yang perlu dimainkan oleh para intelektual kita, bagi mengisi satu kekosongan atau kelompongan yang terdapat dalam masyarakat kita sekarang.

Seperti kata kenyataan media Gatera itu: “Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah… Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.”

Sememangnya, seperti yang saya katakan dalam keluaran lalu juga, “Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.”

Demikianlah pentingnya Malam Gerakan Intelektual Rakyat pada 3 Mei ini. Marilah kita beramai-ramai menghadirinya, bagi menyaksikan bermulanya suatu era baru gerakan golongan intelektual kita, mendahului perubahan pimpinan politik negara yang dijangkakan melalui pengundian pada 5 Mei 2013. Insya Allah! 

Dinsman (Artikel 376, 29/4)
Tertubuhnya Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera)

Hari Rabu malam, 17 April, telah berlangsung satu pertemuan beberapa orang ilmuwan dan ahli akademik dari universiti serta beberapa orang sasterawan, penulis dan aktivis sosio-budaya, di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kebanyakan yang hadir itu dijemput oleh Prof Dr Shaharir Mohd Zain, seorang ilmuwan yang sangat disegani, kini berkhidmat di Universiti Malaya.

Tidak ramai. Sekitar 20 orang begitu. Ada yang biasa dan ada yang baru. Prof Shaharir, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Dr Alinor, Dr Tajul Ariffin, Hasni Abas, Kassim Muhamad, Kamaruzaman Mohamad, Faisal Aziz – ini nama-nama yang pernah aktif dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dulu. (Faisal Aziz kini dalam AJK Abim).

Syed Ibrahim, nama yang dikenali sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dr Maszlee Malik, dikenali kerana penglibatannya sebagai moderator dalam forum-forum politik anjuran Karangkraf. Manaka Dr Zaid Ahmad (sarjana ketamadunan) dan Mohd Tarmizi Hasrah (sarjana linguistik) pernah terlibat dalam aktiviti anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Mohd Nasser Mohamad pula memang bendahari Paksi.

Prof Muhammad Hj Salleh, seorang Sasterawan Negara. Ini barangkali orang baru dalam gerakan perubahan (reformasi). Begitu juga Prof Wan Ramli (Presiden Akademi Sains Malaysia – Asasi), Prof Mohd Nazari Ismail (sarjana pentadbiran perniagaan antarabangsa), dan Prof Mokhtar Abdullah (sarjana statistik). Atau mereka memang pernah terlibat sebelum ini. Hanya saya yang tak tahu?

Sasterawan Negara A Samad Said tidak dapat hadir pada pertemuan pertama itu, kerana komitmennya dengan Bersih. Begitu juga Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras, yang sibuk dengan pelbagai programnya. Seorang lagi Sasterawan Negara ialah Prof Emeritus Shahnon Ahmad, kerana masalah kesihatan. Namun mereka bersetuju untuk bersama mendokong perjuangan dan tujuan penubuhan Gatera.

Turut dihubungi beberapa orang lagi Sasterawan Negara yang tidak mengalami masalah kesihatan. Ada yang langsung tidak memberi respons. (Tidak pasti samada dia menerima jemputan atau tidak). Seorang mengatakan dia tidak mahu berpihak, manakala seorang lagi mengatakan “biarlah saya dengan cara saya” dan “saya percaya kepada kunfayakun”. (Tak tahulah apa maksudnya, kerana saya pun percaya juga kepada kunfayakun. Dan itu memang kepercayaan orang Islam, ‘kan!).

Tidak mengapalah. Kita pun bukannya hendak memujuk atau mempengaruhi mereka. Kita sekadar bertanya untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka. Itu sahaja. Maka kita sangatlah mengalu-alukan kehadiran Muhamad Hj Salleh ke dalam gerakan atau kumpulan baru ini.

Tidak lama. Seminggu selepas itu, dalam suasana hangat kempen PRU13, pada Selasa 23 April, Gatera pun menyatakan kehadirannya kepada masyarakat umum, melalui sebuah sidang akhbar yang diadakannya di hotel di Jalan Raja Laut itu. Prof Shaharir bertindak sebagai Ketua kumpulan ini – kumpulan intelektual rakyat.

Mari kita perhatikan isi kandungan kenyataan akhbar yang diedarkannya pada sidang akhbar tersebut:

“Gerakan Intelektual Rakyat ditubuhkan pada hari Rabu, 17 April 2013, pukul 10.45 malam di Kuala Lumpur, oleh sekumpulan ilmuwan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat. Ringkasnya gerakan ini dipanggil GATERA, yang bermakna sudut pandangan. Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.

“Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 ini. Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.

“Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun.

“GATERA bertekad tampil ke medan masyarakat untuk mengemukakan segala kebobrokan di atas dan menolak mereka dan amalan yang menghalalkan budaya ini.”

Gerakan Intelektual Rakyat. Sangat menarik namanya. “Intelektual Rakyat” itu – barangkali ini pertama kali ‘intelektual’ diberi katasifat atau adjektif ‘rakyat’. Biasanya ‘intelektual’ itu cenderung sifatnya kepada elitis atau orang-orang istimewa yang terpelajar. Mereka bukannya golongan rakyat biasa. Mereka orang-orang istimewa yang duduknya di ‘menara gading’.

Tetapi dengan lahirnya istilah ‘intelektual rakyat’ ini, yang dicipta sendiri oleh mereka, nampaknya golongan istimewa terpelajar atau ilmuwan ini sudahpun mengambil sikap yang baru, yang berbeza – yakni ingin turun kepada rakyat, atau turun untuk bersama dengan rakyat, atau bersikap peduli rakyat, atau ‘merakyat’.

Alhamdulillah, syukur, dan tahniah Prof Shaharir! Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.

Ada 17 lagi nama yang disenaraikan dalam kenyataan akhbar itu, menjadikan semuanya 38 orang. Mereka termasuklah Prof Emeritus Ahmat Adam, Dr Aida Idris, Ainon Muhamad (usahawan buku), dan Nur Hanim Kamaruddin (pelukis dan kurator).

Dan beberapa orang baru lagi yang hadir dan ikut serta pada pagi sidang akhbar itu. Nampaknya gerakan ini akan segera berkembang. Insya Allah!


Dinsman (Artikel 374, 19/4)
Mengangkat Kelantan dalam sidang serantau


Beberapa orang kawan mengajak bantu mereka berkempen untuk PRU-13 yang sekarang ini sedang rancak di mana-mana. Bukan selepas Parlimen dibubarkan 3 April itu tetapi lebih awal lagi daripada itu. Berceramah, berforum, berpuisi dan sebagainya. Ada yang saya terima dan ada yang tak dapat diterima kerana sebab-sebab tertentu.

Walau bagaimanapun kepada mereka kebanyakannya saya nyatakan bahawa tidak ada kempen yang lebih berkesan boleh saya lakukan melainkan melalui buku yang sengaja saya terbitkan sempena PRU ini, iaitu Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan.

Dulu sempena PRU-12 saya terbitkan buku 100 Fakta Kelantan Mengubah Malaysia. Alhamdulillah, bukan sahaja ia banyak digunakan dalam kempen tersebut tetapi saya menerima maklum balas daripada beberapa orang yang menceritakan keberkesanan buku itu hingga dapat mengubah sikap dan pendirian beberapa golongan pengundi.

Buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan ini pun alhamdulillah, telah banyak disambut melalui majlis-majlis pelancaran dan bicara buku. Dalam siri membincangkan kandungan dan mesej buku ini dengan kawan-kawan, timbul pula idea untuk mengangkat apa yang saya sifatkan sebagai “produk bermutu yang telah dihasilkan oleh kepimpinan Tok Guru Nik Aziz”, iaitu Kelantan sebagai model pentadbiran negara Islam itu – untuk dilihat kualitinya di peringkat antarabangsa.

Idea ini telah banyak kali timbul dalam perbincangan dengan kawan-kawan. Puncanya? Kebanyakan mereka terkejut apabila dikatakan bahawa Kelantan adalah model terbaik pentadbiran negara Islam, dan ia juga adalah pentadbiran negara yang terbaik di dunia pada hari ini. Betulkah? Mereka bertanya. Kau ni serius ke?

Kalau bukan Kelantan, negara mana lagi dalam dunia sekarang yang pentadbirannya boleh kita terima sebagai model pentadbiran Islam terbaik pada hari ini? Tanya saya, menyebabkan mereka terdiam sambil memikirkan jawapannya, dan akhirnya mengakui tidak ada.

Kebanyakan mereka juga mengakui tidak menyedari wujudnya banyak perkara mengenai pentadbiran Islam di Kelantan seperti yang dipaparkan dalam buku Kelantan 22 Tahun itu. Dan mereka pun kehairanan mengapa selama ini mereka tidak menyedarinya.

“Kerana kita tidak mahu mengambil tahu,” kata saya. “Tok Guru Nik Aziz telah bersusah payah membina sebuah pentadbiran Islam, melaksanakan setiap yang diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya dalam pentadbiran negeri; sedangkan kita nak mengambil tahunya saja pun kita malas. Itulah sebabnya.”

Padahal ‘Model Islam Mentadbir’ di Kelantan itu adalah suatu model pentadbiran yang bertaraf dunia – hujah saya lagi. Seperti saya tegaskan dalam buku itu (hal.91): “Dunia hari ini sedang mencari-cari sesuatu yang dapat menyelamatkan tamadun manusia, yang kini sedang menuju kehancuran. Dan ‘Model Islam Mentadbir’ yang telah dibangunkan oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan itu adalah suatu Formula yang dapat digunakan untuk menyelamatkan tamadun manusia hari ini.”

Dan demikianlah, menyedari bahawa Kelantan yang ada sekarang itu adalah suatu produk Islam kontemporari yang sangat berkualiti, saya cuba menimbulkan kesedaran ini pada setiap kesempatan yang ada. Tak kiralah di mana pun dan dalam majlis apa pun, sehingga kawan saya Kassim selalu menyindir – ‘Dinsman dengan Tok Guru Nik Aziznya,’ katanya.

Memang ya, betul, saya seperti obsess dengan perkara ini. Mengapalah ulama, cendekiawan dan para ilmuwan Islam di negara ini tidak menyedari akan suatu hakikat yang wujud nyata di depan mata ini! Kita lebih mudah terpesona dengan sesuatu yang diketahui secara tidak jelas, yang wujudnya jauh di Turkey atau di Iran sana; sedangkan yang di depan mata kita ini adalah jauh lebih baik!

Sekarang ini musim berkempen pilihanraya. Bagi saya inilah bahan kempen yang terbaik untuk PAS. Maka seperti biasa, dalam satu pertemuan dengan seorang sahabat pada suatu pagi Ahad 14 April lalu, saya timbulkan lagi perkara ini. Sahabat ini seorang tokoh yang aktif bergerak dengan beberapa badan NGO peringkat serantau dan antarabangsa. Dengan mudah sahaja dia bersetuju. Ya, mari kita angkat perkara ini ke dalam suatu persidangan serantau.

Persidangan serantau ini akan melibatkan tokoh-tokoh akademik dan penulis yang berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan dari negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Brunei, disamping Malaysia. Buat masa ini persidangan itu dirujuk sebagai “Persidangan Model Kerajaan Islam Dulu dan Kini”.

Persidangan ini tidak sahaja akan menumpukan perbincangannya mengenai pentadbiran negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, tetapi akan melihat juga ciri-ciri pentadbiran di negeri-negeri Islam zaman lampau seperti Acheh di kurun ke-16, Kesultanan Melaka, negara Islam Patani, Campa dan sebagainya.

Mungkin terlalu awal untuk saya hebahkan lebih lanjut mengenai persidangan yang dicadangkan akan dibuat di Kuala Lumpur pada minggu pertama Julai 2013 ini. Tetapi saya begitu teruja dengan prospek persidangan ini, kerana mengharapkan ia akan menimbulkan kesedaran yang lebih luas terhadap pentingnya “negeri Islam Kelantan” itu, untuk dilihat sebagai model sebuah pentadbiran yang patut dicontohi oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.

Mahu saya kalau boleh tentulah sebuah persidangan antarabangsa yang melibatkan wakil-wakil daripada Amerika, London, Jepun, Iran dan sebagainya. Tetapi sedar juga bahawa perkara ini masih di peringkat awal, dan tokoh-tokoh ilmuan di negara kita sendiri pun hanya beberapa kerat sahaja yang menyedarinya. Maka eloklah ia dimulakan di peringkat rantau kita ini dahulu

Inisiatif ini pun dibuat, setakat ini, tanpa pengetahuan pihak kerajaan negeri Kelantan. Tetapi memang mereka akan dimaklumkan. Apa pun, cukuplah dulu maklumat untuk setakat ini. Sekarang musim orang berkempen untuk pilihanraya. Seorang AJK Paksi dikatakan turut bertanding. Tetapi sewaktu saya menulis ini namanya belum diumumkan lagi.


Kuliah di Surau Jenaris Kajang malam 6 April lalu ialah yang keenam dalam siri Kuliah Ilmu Jelajah Budaya Selangor (JBS) yang disampaikan oleh Prof Shaharir Md Zain, berjudul “Bagaimana al-Quran kini menjadi sumber ilmu”. Kuliah yang disampaikan selepas solat maghrib itu dihadiri oleh kira-kira 250 orang. Monograf yang disediakan sebanyak 200 naskah terpaksa difotostat tambah.

Saya mengikuti hampir semua kuliah dalam siri itu, bermula di Klang, diikuti di Rawang, Tg Karang, Kuala Kubu Baru dan Sg Besar. Hanya yang di Sg Besar saya tak hadir. Manakala JBS6 di USJ1 Subang Jaya pada 3 April memang tidak diadakan Kuliah Ilmu. (Mungkin akan diadakan kemudian).

Ada satu perkara disebut oleh Prof Shaharir dalam kuliahnya di Surau Jenaris itu, yang sangat menarik perhatian saya. Ia tidak pernah disebut sebelumnya. Kalau disebut di Sg Besar itu saya tak tahu. Namun apa pun bagi saya itulah pertama kali saya mendengarnya. Shaharir mengatakan bahawa pada pendapatnya sesebuah negara itu dianggap sebagai negara maju bukan kerana pendapatannya tinggi, tetapi kerana masyarakatnya mampu melahirkan ilmu-ilmu baru.

Kuliah Shaharir yang dibawa bersama dalam setiap siri Jelajah Budaya Selangor (JBS) anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu ialah mengenai ilmu, khasnya ilmu di kalangan orang Islam. Sebagai seorang sarjana Shaharir terlebih dahulu menjelaskan makna ilmu dan perbezaannya dengan makna ‘sains’ yang dipelopori oleh masyarakat Barat, dan kebenaran di dalam kedua-duanya serta perbezaan makna kebenaran di antara kedua-duanya.

Pentingnya kuliah Shaharir ini kerana ia membawa penjelasan terhadap suatu perkara yang selama ini tidak disedari oleh umat Islam di zaman moden ini, iaitu kecenderongan di kalangan ramai ilmuwan Islam mencari dalil-dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan penemuan-penemuan oleh ahli-ahli sains Barat, yang kebanyakan mereka (saintis Barat itu) tidak percaya kepada Tuhan.

Shaharir yang banyak menghasilkan buku-buku sains, matematik dan kepemimpinan itu menjelaskan bahawa penemuan di bidang sains bukanlah sesuatu yang pasti benarnya; sedangkan kebenaran yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran itu adalah kebenaran yang pasti, kerana ia wahyu daripada Allah SWT. Maka kenapa kita menggunakan ayat al-Quran untuk membenarkan sesuatu yang belum pasti kebenarannya?

Dan soalan yang lebih penting lagi: Kenapa kita menggunakan kebenaran al-Quran yang mulia dan suci itu untuk menyokong penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh para saintis barat yang tidak percaya kepada Islam?

“Sepatutnya kita menggunakan ayat-ayat al-Quran ini untuk mengkritik penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh saintis bukan Islam itu dan dalam masa sama kita juga hendaklah mengemukakan penemuan atau penyelesaian kita berdasarkan ilmu-ilmu dari al-Quran,” kata Shaharir.

Dan Shaharir bukanlah sekadar bercakap. Dia telahpun membuktikan dan mempraktikkan cakap-cakapnya itu.

Malam 6 April di Surau Jenaris Kajang itu saya dapati Shaharir agak berbeza daripada sebelumnya. Dia bukan sahaja mengkritik dan mempersoalkan sikap ilmuawan-ilmuwan Islam yang selama ini menggunakan ilmu-ilmu al-Quran secara salah, dan menunjukkan jalan betul yang sepatutnya diambil; malah dia juga menyeru agar ilmuwan-ilmuwan Islam mengambil langkah untuk berada di hadapan.

Bukan mentafsir ayat-ayat al-Quran bagi menyokong dan membenarkan penemuan-penemuan yang dibuat oleh saintis Barat, tetapi menggali ilmu-ilmu yang masih rahsia di sebalik ayat-ayat al-Quran itu bagi membuat penemuan-penemuan baru, mendahului para saintis bukan Islam di seluruh dunia.

Dalam konteks itulah Shaharir mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai masyarakat maju selagi kita bersikap sekadar membenarkan penemuan-penamuan ilmu yang dibuat oleh orang lain (bukan Islam). Kita hanya akan mencapai tahap masyarakat maju sekiranya kita mampu untuk melahirkan penemuan-penemuan baru kita sendiri, ataupun melahirkan ilmu-ilmu baru.

Shaharir juga menjelaskan bahawa makna kemajuan dan tahap negara maju itu pun, mengikut al-Quran berbeza dengan yang difahami oleh kebanyakan orang sekarang. Bukan pendapatan tinggi yang menentukan sesebuah negara dan masyarakat itu telah mencapai taraf maju atau tidak. Bagi beliau sendiri, kriteria yang menentukan sesuatu masyarakat itu maju ialah kemampuan masyarakat itu untuk melahirkan ilmu-ilmu baru.

Sebelum itu beliau telah menjelaskan makna dan perbezaan makna ilmu di dalam Islam dan di dalam tamadun Barat. Di dalam Islam, kata Shaharir, ilmu itu mendekatkan manusia kepada Tuhan. Maka masyarakat yang maju itu ialah masyarakat yang mampu melahirkan ilmu-ilmu baru, yang boleh mendekatkan manusia kepada Tuhan (Allah)

Memang Shaharir menyampaikan kuliahnya itu berdasarkan teks yang telah disediakannya, yang diterbitkan oleh Paksi dalam bentuk monograf, dan disebarkan kepada khalayak pada setiap sesi kuliahnya. Namun sebagai seorang sarjana yang kreatif Shaharir tidaklah bergantung sepenuhnya kepada teks yang disediakan lebih awal itu. Teks itu hanya panduan sahaja kepadanya, dan supaya menjadi rujukan kepada khalayaknya.

Barangkali khalayak di Surau Jenaris itu pun agak berbeza juga daripada khalayak-khalayak sebelum ini. Terdapat ramai golongan ilmuwan juga di kalangan khalayak surau itu. Itulah agaknya yang mendorong Shaharir untuk mewarnai kuliahnya seperti yang saya jelaskan di atas itu.

Apa pun, malam itu saya melihat Shaharir telah menanam suatu benih yang saya percaya akan tumbuh dan membesar untuk memberi manfaat kepada umat Islam hari ini. Shaharir juga telah membuka suatu medan baru untuk kita. Apakah itu dilakukannya sempena dengan menjelangnya PRU13? Wallahu-ak’lam!

Dinsman (Artikel 372, 8/4)
Berkempen atau berekspresi seni?

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 3 April disambut dengan begitu bersahaja oleh rakyat Malaysia yang telah letih menunggu. Tidak ada kejutan dan tidak ada keceriaan. Sesuailah agaknya dengan wajah suram-muram yang ditunjukkan oleh Najib sendiri sewaktu membuat pengumuman itu.

Kenapa muka Najib begitu suram-muram? Ia menjadi bahan perbualan kawan-kawan ketika minum-minum selepas acara “Santai Seniman Rakyat” di Flat Seri Angsana, USJ1, Subang Jaya, pada malam itu. Senator Syed Shahir antara yang perasan dengan warna wajah Najib sewaktu membuat pengumuman itu.

“Seolah-olah ada tekanan supaya dia bubar.” “Macam bukan kehendak dia sendiri.” Itu antara pandangan. Namun apa pun biarlah hal itu begitu. Sampingan saja. Yang pentingnya parlimen telah dibubar. Dan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia menarik nafas lega setelah sekian lama menunggu dan berteka-teki bodoh.

Sekurang-kurangnya sudah berlalulah suatu musim yang penuh kedunguan, kekarutan dan kebengongan itu. Lama sungguh kita dipaksa berteka-teki hal yang sebenarnya tak perlu itu. Dan kebetulan pula ia bersesuaian sangat dengan tema Malam Jelajah Budaya Selangor (JBS-6), yang dipilih oleh Syed Shahir iaitu “Malam Santai Seniman Rakyat”. Memang suasana santai itu terasa sepanjang persembahan yang diisi dengan bacaan puisi, lagu dan muzik dan celoteh serta ceramah pendek.

Sengaja Paksi (Seniman Paksi Rakyat) memilih kawasan flat, dan membuat persembahan di kawasan letak kereta di tengah-tengah antara bangunan-bangunan flat, bagi program Jelajah Budaya Selangor ke-6, di daerah Petaling. Sebahagian besar rakyat Selangor memang tinggal di rumah flat. Dan suasana tempat itu memang patut dimanfaatkan dengan persembahan seperti yang dibuat pada 3 April lalu itu (konsep persembahan santai).

Ia dimulakan dengan persembahan muzik oleh kumpulan band yang dianggotai oleh orang-orang muda yang tinggal di flat itu sendiri (diketuai Jalani Hussin). Memang mereka bukan pemuzik profesional. Peralatan mereka pun, termasuk sistem bunyinya juga tidaklah bertaraf profesional. Tetapi cukuplah, untuk memeriahkan suasana dan menarik perhatian penghuni-penghuni flat yang lapan menara (blok) 12 tingkat itu.

Selepas band itu memainkan dua lagu, ditampilkan seorang pemuda tempatan juga, yang membaca sebuah ‘warkah’ (katanya). Kemudian S/U Paksi sendiri, Kassim Muhamad, menyampaikan beberapa buah pantun dan sajak. Dan kemudian tampil penyanyi lagu-lagu reformasi yang pernah saya perkenalkan di ruangan ini akhir Februari lalu – Nik Jidan.

Saya perkenalkannya begini: “Setelah mendengarnya berulang kali dan berulang kali, saya jadi bertambah yakin – inilah album untuk PRU13. Nik Jidan – “Dendang Anak Muda”. Album wajib. Mesti diperdengarkan ke seluruh negara. Nik Jidan mesti dibawa ke seluruh negara untuk memperdengarkan jeritan-laungan-dendangannya melalui enam lagu reformasi ini.”

Memang tujuan kami hendak menggemakan protes, jeritan dan pernyataan fakta kejahatan penguasa Umno-BN yang terkandung dalam lagu-lagu Nik Jidan itu. Kami fikir inilah cara paling berkesan bagi menyampaikan mesej ke arah perubahan yang kita hasratkan. Kita gemakan di tengah-tengah ruang letak kereta itu. Sebahagian mereka hadir di depan pentas. Lebih ramai lagi yang menjenguk atau mengintai di balik tingkap rumah mereka.

Apa pun kedudukan mereka, kita pasti mesej itu sampai ke pendengaran mereka. Dan memang ada suara jerit-pekik mereka yang nakal cuba mengganggu perjalanan persembahan santai itu. Tak mengapa. Kita pun sudah biasa dengan gangguan nakal begitu. Asalkan tidak berebihan, ia menambahkan suasana meriah sahaja.

Kemudian tampil pula anak muda berambut panjang dari Johor, yang memang sudah dikenali di pentas-pentas politik dan seni-budaya alternatif, dengan serak suaranya yang tinggi dan sedap itu. Siapa lagi? Amni Jagat. Dengan sajaknya “Satu Malaysia Sia Sia” yang sudah tiga kali saya dengar dia membacanya, tapi masih lagi saya mahu mendengarnya.

Maka barulah Bob Lokman naik ke pentas. Sepatutnya dia naik sejak awal lagi sebagai pengacara. Tetapi dia memaklumkan akan sampai agak lewat sebab selepas solat maghrib tadi dia menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Puchong. Tugasnya sebagai pengacara digantikan sementara oleh seorang pemuda berbakat di situ, Azmarul Ab Aziz.

Setelah berceloteh, bercerita mengenai lagu-lagu Melayu yang tercipta dari kehidupan lelaki dan perempuan, dia kemudian menjemput Rozan Azen membaca puisi. Selepas Rozan membaca beberapa buah puisi, Senator Syed Shahir pula dijemput “membaca 15 puisi” – kata Bob Lokman berjenaka.

Syed Shahir selaku tuan rumah menyampaikan ucapan aluan yang ringkas sahaja dan kemudian melafazkan sebuah puisi spontan bertajuk “Musim Apakah Ini?” Kemudian saya membaca sebuah puisi “yang mudah difaham”, kata saya, berjudul “Bangun Pagi Setiap hari”; membuatkan Prof Shaharir (duduk di kerusi depan) tergelak mendengar judul yang mudah difaham itu.

Dan malam santai itu diakhiri dengan penampilan Nik Jidan sekali lagi. Kali ini dia bergabung kreativiti dengan kumpulan band Flat Seri Angsana, menyampaikan lagu “Subhanallah” dan “Asal Bukan Umno”. Memang riuhlah jadinya apabila lagu “Asal bukan Umno, kami ikut” itu didendangkan dengan jeritan blues oleh Nik Jidan.

Mesejnya terus menusuk ke dalam minda dan jiwa. Anda bersetuju atau tidak, terpaksa dengar. Terus terang tanpa selindung. “Umno memerintah cara kuku besi!” Bersetuju atau tidak, tapi itulah kata Nik Jidan. “Umno membunuh imam di Memali,” jeritnya lagi.

Adakah kami sudah mula berkempen untuk Pakatan Rakyat pada malam itu, sempena pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri siangnya? Iyakah? Berkempenkah itu? Atau itu sekadar ekspresi seni para seniman rakyat? Syed Shahir dan Prof Shaharir tentu boleh menyimpulkan jawapannya.

Dinsman (Artikel 370, 22/3)
Nik Aziz, teater dan artis hijrah 


Agak lama juga saya tak muncul di ruangan Wacana Budaya ini. Beberapa orang kawan bertanya – mengapa? Penyair Puzi Hadi dari Alor Setar sms: “Eh sibuk-sibuk PRU13, Harakah beri cuti untuk ruangan sdr dan halaman Sastera.”

Saya jawab Puzi: “Bukan Harakah suruh saya cuti, tapi saya yang kebetulan sibuk siapkan teater yang baru dipentaskan di Kota Bharu kemarin dulu, 15 Mac. Akan datang akan tulis semula, insya Allah.”

Kali terakhir saya tulis kira-kira sebulan lalu, mengenai album 6 lagu Nik Jidan; dan sebelum itu saya menyentuh sedikit mengenai teater yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz – “Pengisytiharan Abul ‘As, Menantu Nabi”.

Ya, kesibukan menyiapkan teater itulah, yang cetusan awal perancangannya dibincangkan dengan Wan Nik (Setpol MB) di sebuah hotel di Chow Kit pada awal Januari, dan baru pada 4 Mac pertemuan pertama dengan para artis pelakon dapat diadakan, untuk mulai latihan, dan pementasannya dijadualkan di Kota Bharu dalam tempoh 10 hari daripada situ.

Dan alhamdulillah, pementasan itu pun telah berjaya dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan, 15 Mac, bertempat di hotel Grand Riverview Kota Bharu, dengan pelakon-pelakon utama terdiri daripada Zack Idris, Abby Abadi, Abu Bakar Juah, Aishah, Bob Lokman dan Nizam Yamin.

Sani Sudin memimpin muzik yang dimainkan bersama dengan tiga orang pelajar berbakat dari Aswara. Nor Amani (pelajar Universiti Malaya) menyiapkan rekaan set, bersama kawan-kawannya. (Saya menjemputnya kerana suka dengan set rekaannya untuk teater Tamu Dari Medan Perang, Disember 2012). Zali Sapiin menyediakan sistem bunyi dan pencahayaan.

Pementasan yang memakan waktu satu jam itu dikatakan sebagai suatu pratonton yang akan diikuti dengan beberapa pementasan pula selepas ini. TG Nik Aziz yang hadir menonton malam itu, dan kemudian memberikan komennya dalam ucapan selepas pementasan, rupa-rupanya telah mengejutkan ramai penulis dan orang teater di Kota Bharu. (Mereka hadir kerana malam itu juga ada acara anugerah untuk karyawan seni Kelantan).

Apa yang mengejutkan ramai penulis dan orang teater Kelantan itu? Kata mereka, inilah pertama kali mereka melihat TG Nik Aziz menonton teater dan menontonnya dengan penuh penghayatan sehingga boleh memberi komen yang agak terperinci.

Sebenarnya ini bukanlah pertama kali TG Nik Aziz menonton teater. Sebelum ini misalnya pementasan perdana Menunggu Kata Dari Tuhan pun dibuat di hadapan beliau (dan Sultan Kelantan), pada 30 Mac 2009. Dan kalau tak salah saya TG Nik Aziz juga pernah menonton teater yang dipentaskan oleh tokoh teater terkenal di Kota Bharu, Hasan Jali.

Tak mengapalah. Tapi apabila aktivis teater di Kota Bharu seperti Jihan Megha itu pun beranggapan TG Nik Aziz tidak pernah menonton teater begitu sebelum ini – saya rasa macam ada sesuatu yang perlu diperhatikan di situ. Ada perkara yang perlu dibuat di kalangan aktivis seni-budaya di Kelantan, supaya mereka mendapat maklumat yang sepatutnya mereka dapat.

Apa pun, berbalik kepada persembahan teater “Pengisytiharan Abul ‘As Menantu Nabi” itu, ia memang satu peristiwa penting dalam perkembangan seni-budaya kita. Sebab apa penting? Sebab pertama kali TG Nik Aziz sebagai seorang ulamak yang berwibawa di negara ini bersetuju membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas pentas yang ditonton orang ramai, lelaki dan perempuan. Bahawa lakonan yang demikian itu dibenarkan oleh Islam.

Itulah sebenarnya antara soalan pertama saya kemukakan kepada Wan Nik, apabila beliau menyampaikan pesan TG Nik Aziz supaya saya menulis skrip dan membuat pementasan ini. Bolehkah pelakon perempuan berlakon bersama pelakon lelaki? Jawabnya: “Boleh, asalkan dijaga batasan adab sopannya, dan tidak ada bersentuhan.”

Sebelum ini, ketika sambutan 50 tahun PAS diadakan di Putik, Kota Bharu, saya pernah menguruskan satu pementasan teater yang diarah dan ditulis oleh Faisal Chal, kisah kezaliman akta ISA. Pada waktu itu PAS tidak membenarkan penglibatan pelakon wanita. Maka adegan yang melibatkan pelakon wanita terpaksa dirakamkan dalam video, dan ditayangkan video itu.

Ketegasan TG Nik Aziz membenarkan penglibatan pelakon wanita (Abby Abadi dan Aishah) dalam teater “Pengisytiharan Abul ‘As” itu adalah satu titik tolak yang penting dalam perkembangan seni-budaya Islam di negara ini. Itu satu hal yang sangat baik.

Ada beberapa lagi hal baik dapat saya perhatikan pada pementasan ini. Satu daripadanya mengenai kewangan. Daripada awal lagi saya memilih untuk tak mahu fikirkan soal kewangannya. Sebab, sudah banyak saya mendengar cerita mengatakan artis-artis hijrah yang terkenal itu mengenakan bayaran yang tinggi setiap kali mereka dijemput untuk berceramah, bersantai dan sebagainya.  

Bagaimanakah produksi teater ini akan membayar mereka? Saya cuba congak-congakkan (walaupun saya memilih untuk tak mahu fikirkan hal itu) dan saya jangka ia akan melibatkan jumlah yang terlalu besar. Rupa-rupanya jangkaan saya tidak meleset. Dan di situ rupa-rupanya terdapat beberapa lagi persoalan besar yang perlu ditangani oleh pihak PAS. (Nanti kita bincang dalam kesempatan lain).

Dan pihak Kerajaan Negeri Kelantan pula, yang saya jangka mempunyai sumber kewangan yang terhad itu, rupa-rupanya sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berkenaan. Demikianlah akhirnya segalanya dapat ditangani dengan baik. Kebijaksanaan Kerajaan Negeri Kelantan menguruskan hal kewangan amat saya sanjungi.

Namun soal teater ini menjangkaui lebih jauh daripada soal kewangan. Tentu ada sebabnya maka TG Nik Aziz sendiri turut terlibat. Kita menunggu perkembangan selanjutnya.



Serba salah juga saya sebenarnya. Sebab, takut orang kata saya duk syok puji diri. (Semoga Allah menjauhkan saya daripada sifat tersebut). Tak mahu tulis pasal itu pun, saya rasa ia perlu ditulis, sebagai rekod atau catatan seni-budaya. Dan lagipun memang saya nak kempen supaya buku terbaru saya itu dibeli oleh orang ramai.

Okey, mari kita berterus terang saja. Saya tulis buku “Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan” itu memang untuk dijual kepada orang ramai, supaya orang ramai membacanya, dan selepas itu mereka bersetuju dengan pendapat saya bahawa Kelantan adalah produk terbaik daripada PAS setakat ini, dan produk itu memang best, dan oleh itu kita hendaklah memberi sokongan kepada PAS.

Kita tak ada sebab untuk tak sokong PAS pimpinan Tok Guru Nik Aziz itu. Tengoklah apa yang telah berjaya mereka usaha dan perjuangkan di Kelantan – sebuah negeri yang ditadbir mengikut lunas-lunas Islam, selama 22 tahun, dan kini boleh diambil sebagai “Model Pentadbiran Islam”. Itulah dia matlamat perjuangan PAS sebenarnya.

Mudah saja nak katanya. Bahawa Kelantan adalah contoh sebuah negeri atau negara yang ditadbir secara Islam. Tapi bukan itu sahaja. Jangan salah faham. Kelantan juga sebenarnya adalah sebuah pentadbiran negeri (atau negara) yang terbaik dalam dunia pada hari ini. Ha, ini yang susah nak kata sebenarnya. Bukan susah macam mana tetapi susah nak bagi orang faham dan terima hakikat ini. Pasal apa? Tak tahulah. Dan inilah sebabnya maka saya terpaksa tulis juga macam ini walaupun saya berasa serba salah.

Ada beberapa orang yang faham maksud saya. Ada yang hantar sms ucap terima kasih kerana saya terus mengangkat isu ini walaupun, katanya, ramai orang Kelantan dan orang PAS sendiri pun tidak menyedarinya. Seorang muslimah di meja makan malam di Kulim itu kata, dengan buku itu sekarang kalau nak tahu pentadbiran negara Islam tak payah tengok jauh-jauh, tengok Kelantan saja. Ridzuan dari Selangor kata ia “very enlightening”.

Memang. Inilah satu perkara yang sukarnya. Sesuatu yang ada di depan mata, maka orang tidak menyedarinya. Memang pelik. Dan buku ini cuba untuk mengatasi hal yang pelik inilah.

Beberapa minggu lalu, empat-lima hari setelah buku ini terbit, saya menghadiahkan senaskah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Kedah, Hj Zohdi Saad. Kebetulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) ada program di Kulim pada 18-21 Januari, dan Hj Zohdi belanja Paksi makan tengahari Sabtu itu.

Dan malam Sabtu itu, kebetulan juga, pihak PAS Kulim mengadakan satu program di dewan bersebelahan dengan tempat program Paksi, di Kulim Inn. Kesempatan itu mereka jemput saya baca puisi atau berucap sedikit dalam program mereka. Atas desakan Pak Salleh Bakar, saya pun bersetuju, dan mengambil kesempatan itu memperkenalkan buku baru ini. Itulah kali pertamanya buku “Kelantan 22 Tahun” diperkenalkan kepada umum, dan di situlah berlakunya jualan awalnya, di luar perancangan.

Mengikut perancangannya ia akan dibuat pelancaran awal di Masjid Batu (Permatang Pauh) pada malam berikutnya (oleh Taib Azamuddin yang berceramah di situ), dan pelancaran rasminya di Taman Melewar (KL) pada 27 Januari (oleh Datuk Husam Musa). Memang apa yang dirancang itu pun dilaksanakan. Hanya yang di Kulim Inn itu tidak dirancang.

Dan tanpa pengetahuan saya rupa-rupanya Hj Zohdi secara diam-diam merancangkan satu lagi pelancaran. Kebetulan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) akan mengadakan “Makan Malam Bersama Ahli-Ahli Majlis 2013”. Sempena dengan itu akan dilancarkan sebuah buku A3RC, “Save The Nature For Future Generation”, hasil karya seorang Ahli Majlis. Kesempatan itu digunakannya untuk melancarkan juga buku saya “Kelantan 22 Tahun” oleh Datuk Hj Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Ini yang saya nak rakamkan sebenarnya – bagaimana seorang YDP sebuah Majlis Perbandaran boleh mengambil inisiatif menganjurkan majlis pelancaran buku, dan apatah lagi buku seperti “Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan” ini. Dalam sebuah majlis makan malam rasmi yang sangat gilang gemilang. Segala-galanya dipersiapkan dengan begitu rupa. Saya memang terharu dan menyanjung tinggi inisiatifnya ini, walaupun ia mungkin suatu acara yang ditambah sahaja kepada acara lain yang telah dirancangkan terdahulu.

Dalam majlis itu juga pihak MPKK telah memberi pengiktirafan rasmi kepada sasterawan terkenal dari Kulim yang telah meninggal dunia pada 21 Ogos 2011, Azizi Hj Abdullah, sebagai Sasterawan Rakyat. Ini adalah sesuatu yang diperjuangkan oleh Paksi secara berterusan sejak sebelum meninggalnya Azizi lagi.

Perjuangan Paksi agar gelaran itu diberikan kepada Azizi oleh pihak kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dengan nilai wang yang tidak kurang daripada yang diberikan kepada Sasterawan Negara (RM60 ribu). Sehingga ini pihak kerajaan-kerajaan PR belum lagi merealisasikannya, walaupun ada yang sudah berjanji. Maka kita bersyukur dan mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak MPKK, kerana sudi menyahut seruan kita walaupun di peringkat Majlis Perbandaran sahaja (dan dengan hadiah wang sebanyak RM3 ribu).

Dan pelancaran buku itu, apa pun ia sebenarnya bukanlah suatu acara yang selalu berlaku ataupun mudah dilakukan. Sebuah Majlis Perbandaran (atau Majlis Daerah, atau Majlis Bandaraya), yakni sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mengambil inisiatif menganjur-kan perasmian atau pelancaran buku baru. Bilakah kita pernah ada majlis seperti itu?

Memang mudah sahaja membuatnya. Kalau kita mahu buat. Soalnya siapakah yang mahu membuatnya? Itulah soalannya yang sehingga kini hanya Hj Zohdi Saad sahaja yang mahu tampil menjawabnya.


Dinsman (Artikel 366, 4/2)
JBS ubah tanggapan negatif kepada positif

Ada banyak hal yang menarik sepanjang tiga hari dua malam Jelajah Budaya Selangor siri ke-4 (JBS-4) di Kuala Kubu Baru, 29-31 Januari. Ia anjuran bersama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan Persatuan Seni dan Sastera Malaysia (SESAMA), dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Tak tahu yang mana nak saya wacanakan dalam tulisan ini. Sembilan program atau acara, berlangsung di enam lokasi berbeza; dan ada lagi acara sampingan, seperti ziarah ke rumah pelukis Mansor Ab Aziz melihat koleksi lukisan-lukisan cat airnya itu, ziarah ke rumah Antares (Kit Lee) di perkampungan orang asli di Pertak; juga ziarah ke rumah Hj Mohd Idris Mohd Yusoff, rumah Tok Empat Hairi Mohd Sab dan rumah Dr Napie Mat sebagai sebagian proses kajian mencari Tokoh Budaya Daerah.

Kisah perjalanan hidup Hj Idris Mohd Yusoff yang dipilih sebagai Tokoh Budaya Daerah Hulu Selangor itu sendiri pun, sangat menarik. Dan hebat kisahnya. Dia pernah menjalankan usaha penerbitan album lagu-lagu Melayu di bawah labelnya sendiri, syarikat Gedung Muzik Nusantara. Penyanyi-penyanyinya seperti Taufik Hj Ali, Nik Sinar Suria, S Ahmad. Dan sekarang di usia 78 tahun masih gigih mengusahakan kraf tulisan khat di atas daun ara.

Kisahnya panjang, seperti dibacakan oleh Kassim Muhamad dari tulisan Nasser Mohamed pada ‘Malam Jelajah Budaya’ yang dilangsungkan di atas jalanraya pekan Kuala Kubu Baru, 29 Januari, dalam suasana pasar malam itu. Anugerah disampaikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor sendiri, Tukiman Nail – seorang pentadbir yang minatnya terhadap seni-budaya sangat terserlah dalam penglibatannya menjayakan JBS-4.

Demikian juga dengan komitmen Ridzuan Mohd Idris dari persatuan Sesama – daripada detik dia mencetuskan idea untuk membawa JBS ke Kuala Kubu Baru dua bulan dahulu hinggalah ke saat dia memeluk saya sebaik sahaja selesai sesi terakhir pada tengahari Khamis (Himpunan Rumpun Melayu), kerana berasa sangat lega dan gembira berakhirnya kerisauan dan kebimbangan mendepani pengurusan program ini.

Dialah, dengan dokongan kuat YDP Tukiman Nail, faktor utama yang mencorakkan kelainan program JBS di Kuala Kubu. Tanpa mereka berdua tak mungkin ada acara seperti Pameran Lukisan, Himpunan Rumpun Melayu, dan juga Majlis Pelancaran (yang disempurnakan oleh YB Senator Syed Shahir Syed Mohamud).  

Banyaklah sebenarnya perkara yang menarik dan penting telah kami kutip dan rekodkan sepanjang program di Kuala Kubu, juga sepanjang empat siri JBS setakat ini. Lebih banyak daripada yang dijangkakan. Saya jadi sedar perkara ini ketika berbincang santai dalam sesi Dialog Budaya yang diadakan di Rumah Rehat KKB, petang hari pertama. Turut hadir Prof Shaharir Mohd Zain, yang sebelum itu telah menyempurnakan sesi kuliah ilmunya di Darul Quran.

Memang banyak cabarannya. Dan setiap kali kami berbincang bagi menghadapi cabaran-cabaran itu, Ridzuan selalu menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikannya. Terima kasih Ridzuan!
 
Sesi berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar KKB, bersama Siti Zainon Ismail, Kassim Muhamad, Pyanhabib dan Nasser Mohamed, dalam sesi Wacana Buku di Perpustakaan KKB, juga suatu pengalaman yang sangat menarik, meriah dan berfaedah. Pertama kali diadakan dalam JBS, dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Menyemai bibit-bibit cintakan sastera, bahasa yang indah, di kala mereka masih rebung – ternyata suatu program yang perlu diteruskan lagi dalam siri JBS seterusnya.

Teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) yang sudah berkali-kali dipentaskan itupun, mendapat kesegarannya kembali di Auditorium Darul Quran malam 30 Januari, walaupun itu mungkin kali yang ke-60 ia dipentaskan. Mengapa? Pertama, kerana ia dilakonkan oleh seorang pelakon baru yang sangat berbakat; dan kedua, kerana ia tidak diarahkan oleh Dinsman tetapi kali ini diarahkan oleh Sani Sudin (yang sudah 60 kali bermain bersama Sabri Yunus dan Bob Lokman).

Saya sudah melihat bakat besar pelakon baru ini, Nizam Yamin, sewaktu dia melakonkan watak Sultan dalam teater Tamu Dari Medan Perang awal Disember lalu. Maka saya menawarkan dia watak Kaab dalam MKDT. Dia menyambutnya, tetapi saya pula kebetulan tak dapat memberikan waktu yang cukup untuk latihan. Syukurlah Sani Sudin menyanggupinya.

Dan malam itu adalah pementasan pertama bagi mereka. Saya juga menontonnya buat pertama kali. Dan saya sangat gembira dengan hasilnya. Sangat memuaskan. Terutamanya pada adegan Kaab bermunajat dan bertaubat memohon ampun dan menyerah diri – pasrah – kepada Allah. Nizam menyebut setiap patah perkataan dalam adegan itu dengan jelas dan sarat emosi. Dan dia mengambil masa yang lebih lama daripada pelakon-pelakon sebelumnya. Ternyata sangat mengesankan.

Hanya satu sahaja komen yang ingin saya nyatakan di sini. Lakonan sedihnya itu agak berlebihan. Ada tempat-tempatnya yang dia sepatutnya tak perlu bersedih. Biar penonton yang merasakan kesedihan itu. Jangan pelakon terlalu menonjolkan kesedihan.

Tetapi itu pementasan pertama. Berbeza dengan pementasan pertama Sabri Yunus dulu, dia kurang menunjukkan kesedihan. Namun selepas itu sedikit demi sedikit berlaku penyesuaian pada emosi dan penghayatannya. Nizam barangkali akan mengalami proses yang sebaliknya.

Demikianlah, sembilan acara dalam satu program Jelajah Budaya, yang berbeza dari kebiasaan. Suatu proses untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap seni-budaya, berubah daripada yang negatif kepada yang positif. Insya Allah!

Dinsman (Artikel 363, 15/1)
Jelajah Budaya di Kuala Kubu akhir Januari

Alhamdulillah, ketika program Jelajah Budaya Selangor menjelang siri ketiganya di Tanjung Karang hari itu, seorang aktivis budaya dari Kuala Kubu Baru (kumpulan Seni dan Sastera – ‘Sesama’) menghubungi saya, menyatakan hasratnya hendak membawa teater MKDT ke Kuala Kubu Baru. Kali kedua. (MKDT pernah dipentaskan di situ pada 6 Ogos 2010).

Saya katakan kepada dia, Redzuan Idris namanya, elok buat terus program Jelajah Budaya Selangor (JBS), kerana JBS itu satu daripada acaranya ialah pementasan teater MKDT. Redzuan bersetuju. Maka sejak itu kami pun telah berjumpa dan berbincang tak kurang lima kali. Tarikh pun telah ditetapkan, iaitu pada 29 – 31 Januari.

Saya memang menanti-nanti untuk buat JBS di Kuala Kubu Baru. Sebab apa? Pertama, kerana bandar di kaki Bukit Frazer itu sendiri sangat mempesonakan. Ternyata apabila Kassim ke bandar itu untuk perjumpaan pertama dengan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), dia pun terus jatuh hati dengannya. Tambah-tambah pula Redzuan menyatakan: “Di sini kita boleh buat 10 perkara pada satu pagi.”

Waduh, boleh buat 10 perkara dalam satu pagi. Bayangkan itu! Betapa mewahnya waktu. Tidaklah terkejar-kejar kerana kesuntukan waktu seperti kehidupan di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Tetapi bukan keadaan “waktu yang bergerak lambat” itu yang menyebabkan bandar Kuala Kubu Baru itu menarik. Ada beberapa faktor lain lagi. (Kita bincang hal itu dalam kesempatan lain, kalau ada).

Atau sebaiknya anda datanglah pada 29 – 31 januari. Malam persembahan puisi dan penyampaian anugerah Tokoh Budaya akan dibuat di tengah-tengah bandar, di atas jalanraya yang di kirinya barisan kedai-kedai dan di kanannya barisan kedai-kedai. Di tengah-tengahnya akan didirikan pentas untuk acara utama JBS, yang akan berlangsung pada hari pertama.

Biasanya acara kemuncak ini dibuat pada hari kedua, tetapi di sini ia dibuat pada hari pertama kerana kebetulan malam itu ada pasar malam di bandar KKB. Memang tema JBS pun “ilmuan budaya bersama rakyat”. Di mana terdapat rakyat ramai berkumpul di situlah kita menghadirkan seni-budaya. Di tengah-tengah bandar yang mempunyai perwatakan tersendiri ini. Biarlah seni puisi dan muzik bergetar dan mengalir bersama keriuhan rakyat di pasar malam itu.

JBS pertama di Klang ia dibuat di laman sekolah. JBS kedua di Rawang ia dibuat di laman masjid dalam suasana riuh karnival. JBS ketiga ia dibuat bersama kenduri kahwin di sebuah kampung di Tanjung Karang. Kali ini ia dibuat pula dalam suasana pasar malam di tengah-tengah sebuah bandar yang istimewa.

Oh ya, saya tadi bercerita mengenai sebab mengapa saya menanti-nanti untuk buat JBS di Kuala Kubu Baru. Itu tadi sebab pertamanya, kerana bandar KKB itu sendiri. Sebab kedua, kerana saya ingin bekerjasama dengan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor itu.

Sudah lama saya menyimpan keinginan demikian. Sejak menyertai satu majlis dialog mejabulat mengenai seni-budaya yang dianjurkan oleh MDHL dan Sesama, kira-kira tiga tahun lalu, diadakan di Rumah Rehat KKB, dan YDP Tukiman bin Nail itu menjadi pengerusi majlis tersebut.

Selepas itu pada pertengahan tahun lalu saya berjumpa pula dia dalam majlis penyampaian hadiah peraduan menulis puisi dan cerpen anjuran PAS Hulu Selangor, yang diadakan di Rumah Seni Sesama, KKB. Dia hadir sebagai peminat sastera dalam majlis itu.

Berapa kerapkah kita boleh bertemu dengan seorang YDP majlis daerah atau majlis perbandaran hadir dalam majlis atau aktiviti seni-budaya? Apatah lagi mempengerusikan satu majlis dialog mejabulat mengenai seni-budaya!

Orang mungkin tidak merasakan kepentingannya, tetapi saya sangat merasakannya. Mengapa? Sebab bersama kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kami sekian lama mencari-cari pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang faham kepentingan seni-budaya dan mahu menganjurkan program seni-budaya. Kami tak berjumpa kecuali seorang di Kulim, Kedah; dan seorang di Kuala Kubu Baru.

 Ruangan Wacana Budaya inipun pernah berbicara mengenai pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh Majlis-majlis Daerah, Perbandaran dan Bandaraya dalam memajukan aktiviti seni-budaya di negara ini. Tak perlulah ia diulangi lagi di sini. Program JBS pun dianjurkan, satu daripada tujuannya ialah untuk menggerakkan PBT supaya turut sama terlibat menganjurkan aktiviti seni-budaya di daerah masing-masing.

YDP Tukiman Nail nampaknya sangat memahami maksud Paksi itu. Awal-awal lagi beliau bersedia berbincang mengenai JBS dengan kami. Dan melihat pada pemahaman dan komitmen beliau itulah barangkali Redzuan pun berani membuat pengakuan dalam mesyuarat yang dipengerusikan YDP itu minggu lalu: “Saya nak jadikan Jelajah Budaya di Kuala Kubu Baru ini sebagai yang terbaik di antara 9 daerah yang menganjurkannya di Selangor.”

Alhamdulillah! Sepertimana syukurnya kami dapat bekerjasama dengan YDP Tukiman Nail bagi memajukan aktiviti seni-budaya di daerah-daerah di Selangor, begitulah juga syukurnya kami dapat bekerjasama dengan aktivis seni-budaya yang berdedikasi seperti Redzuan Idris.

Beberapa acara tambahan, yang tiada dalam JBS sebelum ini, akan diadakan di Kuala Kubu Baru, atas inisiatif Redzuan dan Tukiman. Acara-acara tersebut ialah pameran lukisan, bicara buku, dan pertemuan beberapa etnik rumpun Melayu yang terdapat di Hulu Selangor. Acara pertemuan rumpun Melayu ini akan diadakan pada hari ketiga, 31 Januari.

Manakala acara-acara JBS yang lain seperti teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), kuliah ilmu Prof Shaharir, peraduan mewarna kanak-kanak, dan dialog budaya, tetap akan diadakan seperti biasa.

Dinsman (Artikel 362, 11/1)
Nik Aziz mahu artis manfaatkan bakat

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan mencadangkan satu agenda baru untuk dibuat di Kota Bharu, iaitu agenda yang belum pernah dibuat sebelumnya bagi menyambut hari mulia itu, dan agenda baru ini melibatkan artis-artis dan selebriti yang ramai menyertai parti PAS akhir-akhir ini.

Telah beberapa kali disuarakan oleh beberapa pihak mengenai artis-artis pelakon dan penyanyi yang apabila masuk PAS mereka disambut dan diraikan di sana sini, dan mereka diminta berceramah atau bersyarah di depan umum, tidak berlakon atau menyanyi, seolah-olah mereka sudah meninggalkan bidang yang bakat mereka di bidang itulah asalnya menyebabkan mereka menjadi mereka, iaitu insan seni yang dikenali dan diminati ramai.

Demikianlah selalunya. Banyak orang atau pihak yang menyuarakan atau menyatakan tak puas hati terhadap sesuatu. Tetapi jarang ada orang atau pihak yang mahu tampil menganjurkan atau melakukan sesuatu yang relevan dengan apa yang disuarakan itu, termasuklah hal artis-artis yang ramai menyertai PAS ini. Rupa-rupanya Tok Guru Nik Aziz jugalah yang tampil dengan idea dan cadangan melakukannya.

Bagi memanfaatkan kehadiran ramai golongan artis pelakon dan penyanyi itu, Tok Guru Nik Aziz mencadangkan supaya dilakonkan suatu kisah atau peristiwa di zaman Nabi, dan Tok Guru Nik Aziz sendiri telah memilih peristiwa yang difikirkannya sesuai untuk tujuan tersebut, iaitu peristiwa menantu Rasulullah saw, Abul ‘As (yang berkahwin dengan Zainab puteri sulung baginda) yang pada mulanya enggan menyahut seruan Islam tetapi kemudian telah membuat kejutan di kalangan orang-orang kafir Quraisy dengan mengisytiharkan dirinya memeluk Islam di hadapan mereka.

Mendengar rancangan ini diceritakan oleh Wan Nik (Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan) di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya jadi terharu. Tidak menduga bahawa perkara seperti ini pun harus datang daripada ‘orang tua’ itu juga. Mengajak artis-artis berkumpul bagi menjayakan sebuah program yang boleh ditonton oleh orang ramai. Pun tidak ada orang lain yang boleh menggerakkannya. Mesti Tok Guru Nik Aziz juga yang melakukannya!

Saya terharu, sangat gembira dan dalam masa yang sama berasa sedih juga. Sangat gembira kerana Tok Guru Nik Aziz mengemukakan suatu idea yang begitu berani dan bererti dalam dunia seni-budaya yang menjadi bidang perjuangan saya.

Juga sangat gembira kerana saya boleh menganggapnya sebagai suatu sokongan dan dokongan daripada Tok Guru Nik Aziz terhadap perjuangan saya dan rakan-rakan dalam Seniman Paksi Rakyat, lebih-lebih lagi pada waktu yang Paksi sedang berasa direndahkan oleh pihak pimpinan politik tertentu (yang membuat keputusan semula mengurangkan bajet ke atas keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya).

Dan dalam masa yang sama saya berasa sedih juga kerana masih tidak ada orang lain selain Tok Guru Nik Aziz yang mampu tampil dengan idea seni-budaya yang begitu berani dan radikal. Sepatutnya idea yang berani begitu datangnya daripada orang muda. Apalagi ini bidang seni-budaya, yang menyentuh dunia artis-artis di kalangan orang muda. Di mana perginya tenaga-tenaga muda di dalam PAS dan Pakatan Rakyat?

Tidak mengapalah. Apa pun, saya bersyukur dengan perkembangan terbaru ini. Mengikut cerita Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Tetapi katanya Tok Guru Nik Aziz sudah menyebut nama-nama seperti Bob Lokman, Hairi Othman, Abby Abadi, Aishah dan beberapa orang lagi, bahkan juga Sasterawan Negara A Samad Said, yang diharapkannya boleh menyumbang ke arah menjayakan rancangan tersebut.

Saya tidaklah begitu teruja sangat dengan kemungkinan akan menonton artis-artis tersebut berlakon teater. Pada tahun 80-an dulu lagi saya sudahpun terlibat dengan artis-artis berlakon teater apabila pelakon-pelakon asal filem “Esok Untuk Siapa” semuanya melakonkan semula watak-watak mereka dengan cara dan gaya teater, dalam pementasan “Esok Untuk Siapa – dari filem ke teater”.

Artis-artis yang terlibat dalam teater arahan saya waktu itu ialah Jins Shamsuddin, Noor Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Latiff Ibrahim, Norizan, Umi Kalthum dan S Romai Noor.

Sekarang apa yang menjadikan saya teruja ialah penglibatan Tok Guru Nik Aziz itu sendiri dalam dunia teater. Seorang tokoh politik dan tokoh ulamak. Dalam usianya yang begitu lanjut pula! Dan dia bercakap mengenai perkara ini, perkara seni-budaya ini, pada waktu orang-orang lain khasnya orang-orang politik tengah sibuk bercakap soal politik dan pilihanraya umum ke-13, dan soal Pakatan Rakyat akan menawan Putra Jaya.

Ketika orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai tokoh-tokoh pembawa masadepan Malaysia yang baru itu sedang sibuk dengan hal-hal politik dan ambilalih kuasa sebuah negara, sehingga tidak ada waktu walaupun sekejap untuk bercakap atau berbincang soal seni-budaya, tiba-tiba Tok Guru Nik Aziz seorang yang dari kalangan tokoh-tokoh itu juga, mengajak para artis, seniman dan budayawan untuk sama-sama bekerja menjayakan sebuah pementasan teater, sempena sambutan Maulidur Rasul.

Oh alangkah absurdnya, dan Avant-garde sungguh! Apakah teater yang dirancangkan itu akan menghasilkan sebuah karya yang hebat atau tidak – itu satu soal lain. Apabila saya menceritakan perkara ini kepada Kassim Muhamad, dia juga teruja dan bertanya bagaimana Paksi mungkin dilibatkan? (Saya pun tak tahu).

Ya, seperti yang diceritakan oleh Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Namun kita maklum Maulidur Rasul tarikhnya sekitar 24 Januari. Tidaklah lama lagi. Hanya dua minggu sahaja lagi. Mungkinkah dihasilkan sebuah “teater yang teater’ berdasarkan kepada cerita di kalangan anggota keluarga Rasulullah saw itu?

Sama-samalah kita nantikan perkembangannya!