TERTUBUHNYA GERAKAN INTELEKTUAL RAKYAT (GATERA)
Dinsman
(Artikel 376, 29/4)
Tertubuhnya Gerakan
Intelektual Rakyat (Gatera)
Hari Rabu malam, 17 April, telah
berlangsung satu pertemuan beberapa orang ilmuwan dan ahli akademik dari
universiti serta beberapa orang sasterawan, penulis dan aktivis sosio-budaya,
di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, Kuala
Lumpur . Kebanyakan yang hadir itu dijemput oleh Prof
Dr Shaharir Mohd Zain, seorang ilmuwan yang sangat disegani, kini berkhidmat di
Universiti Malaya .
Tidak ramai. Sekitar 20 orang begitu. Ada yang biasa dan ada
yang baru. Prof Shaharir, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Dr Alinor, Dr Tajul
Ariffin, Hasni Abas, Kassim Muhamad, Kamaruzaman Mohamad, Faisal Aziz – ini
nama-nama yang pernah aktif dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dulu. (Faisal
Aziz kini dalam AJK Abim).
Syed Ibrahim, nama yang dikenali sebagai
Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dr Maszlee Malik, dikenali kerana
penglibatannya sebagai moderator dalam forum-forum politik anjuran Karangkraf. Manaka
Dr Zaid Ahmad (sarjana ketamadunan) dan Mohd Tarmizi Hasrah (sarjana
linguistik) pernah terlibat dalam aktiviti anjuran Seniman Paksi Rakyat
(Paksi). Mohd Nasser Mohamad pula memang bendahari Paksi.
Prof Muhammad Hj Salleh, seorang
Sasterawan Negara. Ini barangkali orang baru dalam gerakan perubahan (reformasi).
Begitu juga Prof Wan Ramli (Presiden Akademi Sains Malaysia – Asasi), Prof Mohd Nazari
Ismail (sarjana pentadbiran perniagaan antarabangsa), dan Prof Mokhtar Abdullah
(sarjana statistik). Atau mereka memang pernah terlibat sebelum ini. Hanya saya
yang tak tahu?
Sasterawan Negara A Samad Said tidak
dapat hadir pada pertemuan pertama itu, kerana komitmennya dengan Bersih.
Begitu juga Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras, yang sibuk dengan pelbagai
programnya. Seorang lagi Sasterawan Negara ialah Prof Emeritus Shahnon Ahmad,
kerana masalah kesihatan. Namun mereka bersetuju untuk bersama mendokong perjuangan
dan tujuan penubuhan Gatera.
Turut dihubungi beberapa orang lagi
Sasterawan Negara yang tidak mengalami masalah kesihatan. Ada yang langsung tidak memberi respons.
(Tidak pasti samada dia menerima jemputan atau tidak). Seorang mengatakan dia
tidak mahu berpihak, manakala seorang lagi mengatakan “biarlah saya dengan cara
saya” dan “saya percaya kepada kunfayakun”.
(Tak tahulah apa maksudnya, kerana saya pun percaya juga kepada kunfayakun. Dan itu memang kepercayaan
orang Islam, ‘kan !).
Tidak mengapalah. Kita pun bukannya
hendak memujuk atau mempengaruhi mereka. Kita sekadar bertanya untuk memberi
ruang dan peluang kepada mereka. Itu sahaja. Maka kita sangatlah mengalu-alukan
kehadiran Muhamad Hj Salleh ke dalam gerakan atau kumpulan baru ini.
Tidak lama. Seminggu selepas itu, dalam
suasana hangat kempen PRU13, pada Selasa 23 April, Gatera pun menyatakan
kehadirannya kepada masyarakat umum, melalui sebuah sidang akhbar yang
diadakannya di hotel di Jalan Raja Laut itu. Prof Shaharir bertindak sebagai
Ketua kumpulan ini – kumpulan intelektual rakyat.
Mari kita perhatikan isi kandungan
kenyataan akhbar yang diedarkannya pada sidang akhbar tersebut:
“Gerakan Intelektual Rakyat ditubuhkan
pada hari Rabu, 17 April 2013, pukul 10.45 malam di Kuala Lumpur, oleh
sekumpulan ilmuwan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat
masyarakat. Ringkasnya gerakan ini dipanggil GATERA, yang bermakna sudut pandangan.
Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik
yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.
“Kami melihat persekitaran politik Malaysia
kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju
Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 ini. Sebahagian daripada para pemimpin,
ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni
masyarakat ini.
“Demi meraih kuasa dan mengekalkan
kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian,
keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan,
keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama
dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun.
“GATERA bertekad tampil ke medan masyarakat untuk
mengemukakan segala kebobrokan di atas dan menolak mereka dan amalan yang
menghalalkan budaya ini.”
Gerakan Intelektual Rakyat. Sangat
menarik namanya. “Intelektual Rakyat” itu – barangkali ini pertama kali ‘intelektual’
diberi katasifat atau adjektif ‘rakyat’. Biasanya ‘intelektual’ itu cenderung
sifatnya kepada elitis atau orang-orang istimewa yang terpelajar. Mereka
bukannya golongan rakyat biasa. Mereka orang-orang istimewa yang duduknya di
‘menara gading’.
Tetapi dengan lahirnya istilah
‘intelektual rakyat’ ini, yang dicipta sendiri oleh mereka, nampaknya golongan
istimewa terpelajar atau ilmuwan ini sudahpun mengambil sikap yang baru, yang
berbeza – yakni ingin turun kepada rakyat, atau turun untuk bersama dengan
rakyat, atau bersikap peduli rakyat, atau ‘merakyat’.
Alhamdulillah, syukur, dan tahniah Prof
Shaharir! Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita
sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan
berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau
intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.
Dan beberapa orang baru lagi yang hadir dan
ikut serta pada pagi sidang akhbar itu. Nampaknya gerakan ini akan segera
berkembang. Insya Allah!