BERKEMPEN ATAU BEREKSPRESI SENI?
Dinsman
(Artikel 372, 8/4)
Berkempen atau
berekspresi seni?
Pengumuman
pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 3 April disambut
dengan begitu bersahaja oleh rakyat Malaysia yang telah letih menunggu.
Tidak ada kejutan dan tidak ada keceriaan. Sesuailah agaknya dengan wajah
suram-muram yang ditunjukkan oleh Najib sendiri sewaktu membuat pengumuman itu.
Kenapa
muka Najib begitu suram-muram? Ia menjadi bahan perbualan kawan-kawan ketika minum-minum
selepas acara “Santai Seniman Rakyat” di Flat Seri Angsana, USJ1, Subang Jaya,
pada malam itu. Senator Syed Shahir antara yang perasan dengan warna wajah
Najib sewaktu membuat pengumuman itu.
“Seolah-olah
ada tekanan supaya dia bubar.” “Macam bukan kehendak dia sendiri.” Itu antara
pandangan. Namun apa pun biarlah hal itu begitu. Sampingan saja. Yang pentingnya
parlimen telah dibubar. Dan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia menarik nafas lega setelah
sekian lama menunggu dan berteka-teki bodoh.
Sekurang-kurangnya
sudah berlalulah suatu musim yang penuh kedunguan, kekarutan dan kebengongan
itu. Lama sungguh kita dipaksa berteka-teki hal yang sebenarnya tak perlu itu.
Dan kebetulan pula ia bersesuaian sangat dengan tema Malam Jelajah Budaya
Selangor (JBS-6), yang dipilih oleh Syed Shahir iaitu “Malam Santai Seniman
Rakyat”. Memang suasana santai itu terasa sepanjang persembahan yang diisi
dengan bacaan puisi, lagu dan muzik dan celoteh serta ceramah pendek.
Sengaja
Paksi (Seniman Paksi Rakyat) memilih kawasan flat, dan membuat persembahan di
kawasan letak kereta di tengah-tengah antara bangunan-bangunan flat, bagi
program Jelajah Budaya Selangor ke-6, di daerah Petaling. Sebahagian besar
rakyat Selangor memang tinggal di rumah flat. Dan suasana tempat itu memang
patut dimanfaatkan dengan persembahan seperti yang dibuat pada 3 April lalu itu
(konsep persembahan santai).
Ia
dimulakan dengan persembahan muzik oleh kumpulan band yang dianggotai oleh
orang-orang muda yang tinggal di flat itu sendiri (diketuai Jalani Hussin).
Memang mereka bukan pemuzik profesional. Peralatan mereka pun, termasuk sistem
bunyinya juga tidaklah bertaraf profesional. Tetapi cukuplah, untuk memeriahkan
suasana dan menarik perhatian penghuni-penghuni flat yang lapan menara (blok)
12 tingkat itu.
Selepas
band itu memainkan dua lagu, ditampilkan seorang pemuda tempatan juga, yang membaca
sebuah ‘warkah’ (katanya). Kemudian S/U Paksi sendiri, Kassim Muhamad,
menyampaikan beberapa buah pantun dan sajak. Dan kemudian tampil penyanyi
lagu-lagu reformasi yang pernah saya perkenalkan di ruangan ini akhir Februari
lalu – Nik Jidan.
Saya
perkenalkannya begini: “Setelah mendengarnya berulang kali dan berulang kali,
saya jadi bertambah yakin – inilah album untuk PRU13. Nik Jidan – “Dendang Anak
Muda”. Album wajib. Mesti diperdengarkan ke seluruh negara. Nik Jidan mesti
dibawa ke seluruh negara untuk memperdengarkan jeritan-laungan-dendangannya
melalui enam lagu reformasi ini.”
Memang
tujuan kami hendak menggemakan protes, jeritan dan pernyataan fakta kejahatan
penguasa Umno-BN yang terkandung dalam lagu-lagu Nik Jidan itu. Kami fikir inilah
cara paling berkesan bagi menyampaikan mesej ke arah perubahan yang kita
hasratkan. Kita gemakan di tengah-tengah ruang letak kereta itu. Sebahagian
mereka hadir di depan pentas. Lebih ramai lagi yang menjenguk atau mengintai di
balik tingkap rumah mereka.
Apa
pun kedudukan mereka, kita pasti mesej itu sampai ke pendengaran mereka. Dan
memang ada suara jerit-pekik mereka yang nakal cuba mengganggu perjalanan
persembahan santai itu. Tak mengapa. Kita pun sudah biasa dengan gangguan nakal
begitu. Asalkan tidak berebihan, ia menambahkan suasana meriah sahaja.
Kemudian
tampil pula anak muda berambut panjang dari Johor, yang memang sudah dikenali
di pentas-pentas politik dan seni-budaya alternatif, dengan serak suaranya yang
tinggi dan sedap itu. Siapa lagi? Amni Jagat. Dengan sajaknya “Satu Malaysia
Sia Sia” yang sudah tiga kali saya dengar dia membacanya, tapi masih lagi saya
mahu mendengarnya.
Maka
barulah Bob Lokman naik ke pentas. Sepatutnya dia naik sejak awal lagi sebagai
pengacara. Tetapi dia memaklumkan akan sampai agak lewat sebab selepas solat
maghrib tadi dia menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Puchong. Tugasnya
sebagai pengacara digantikan sementara oleh seorang pemuda berbakat di situ,
Azmarul Ab Aziz.
Setelah
berceloteh, bercerita mengenai lagu-lagu Melayu yang tercipta dari kehidupan
lelaki dan perempuan, dia kemudian menjemput Rozan Azen membaca puisi. Selepas
Rozan membaca beberapa buah puisi, Senator Syed Shahir pula dijemput “membaca
15 puisi” – kata Bob Lokman berjenaka.
Syed
Shahir selaku tuan rumah menyampaikan ucapan aluan yang ringkas sahaja dan
kemudian melafazkan sebuah puisi spontan bertajuk “Musim Apakah Ini?” Kemudian
saya membaca sebuah puisi “yang mudah difaham”, kata saya, berjudul “Bangun
Pagi Setiap hari”; membuatkan Prof Shaharir (duduk di kerusi depan) tergelak
mendengar judul yang mudah difaham itu.
Dan
malam santai itu diakhiri dengan penampilan Nik Jidan sekali lagi. Kali ini dia
bergabung kreativiti dengan kumpulan band Flat Seri Angsana, menyampaikan lagu
“Subhanallah” dan “Asal Bukan Umno”. Memang riuhlah jadinya apabila lagu “Asal
bukan Umno, kami ikut” itu didendangkan dengan jeritan blues oleh Nik Jidan.
Mesejnya
terus menusuk ke dalam minda dan jiwa. Anda bersetuju atau tidak, terpaksa
dengar. Terus terang tanpa selindung. “Umno memerintah cara kuku besi!”
Bersetuju atau tidak, tapi itulah kata Nik Jidan. “Umno membunuh imam di
Memali,” jeritnya lagi.
Adakah
kami sudah mula berkempen untuk Pakatan Rakyat pada malam itu, sempena
pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri siangnya? Iyakah?
Berkempenkah itu? Atau itu sekadar ekspresi seni para seniman rakyat? Syed
Shahir dan Prof Shaharir tentu boleh menyimpulkan jawapannya.