KRITERIA MAJU:PERTUMBUHAN ILMU BARU
Kuliah
di Surau Jenaris Kajang malam 6 April lalu ialah yang keenam dalam siri Kuliah
Ilmu Jelajah Budaya Selangor (JBS) yang disampaikan oleh Prof Shaharir Md Zain,
berjudul “Bagaimana al-Quran kini menjadi sumber ilmu”. Kuliah yang disampaikan
selepas solat maghrib itu dihadiri oleh kira-kira 250 orang. Monograf yang
disediakan sebanyak 200 naskah terpaksa difotostat tambah.
Saya
mengikuti hampir semua kuliah dalam siri itu, bermula di Klang, diikuti di
Rawang, Tg Karang, Kuala Kubu Baru dan Sg Besar. Hanya yang di Sg Besar saya
tak hadir. Manakala JBS6 di USJ1 Subang Jaya pada 3 April memang tidak diadakan
Kuliah Ilmu. (Mungkin akan diadakan kemudian).
Kuliah
Shaharir yang dibawa bersama dalam setiap siri Jelajah Budaya Selangor (JBS)
anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu ialah mengenai ilmu, khasnya ilmu di
kalangan orang Islam. Sebagai seorang sarjana Shaharir terlebih dahulu
menjelaskan makna ilmu dan perbezaannya dengan makna ‘sains’ yang dipelopori
oleh masyarakat Barat, dan kebenaran di dalam kedua-duanya serta perbezaan
makna kebenaran di antara kedua-duanya.
Pentingnya
kuliah Shaharir ini kerana ia membawa penjelasan terhadap suatu perkara yang
selama ini tidak disedari oleh umat Islam di zaman moden ini, iaitu
kecenderongan di kalangan ramai ilmuwan Islam mencari dalil-dalil daripada
ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan penemuan-penemuan oleh ahli-ahli sains
Barat, yang kebanyakan mereka (saintis Barat itu) tidak percaya kepada Tuhan.
Shaharir
yang banyak menghasilkan buku-buku sains, matematik dan kepemimpinan itu
menjelaskan bahawa penemuan di bidang sains bukanlah sesuatu yang pasti benarnya;
sedangkan kebenaran yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran itu adalah kebenaran
yang pasti, kerana ia wahyu daripada Allah SWT. Maka kenapa kita menggunakan
ayat al-Quran untuk membenarkan sesuatu yang belum pasti kebenarannya?
Dan
soalan yang lebih penting lagi: Kenapa kita menggunakan kebenaran al-Quran yang
mulia dan suci itu untuk menyokong penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh
para saintis barat yang tidak percaya kepada Islam?
“Sepatutnya
kita menggunakan ayat-ayat al-Quran ini untuk mengkritik penemuan-penemuan
sains yang dibuat oleh saintis bukan Islam itu dan dalam masa sama kita juga
hendaklah mengemukakan penemuan atau penyelesaian kita berdasarkan ilmu-ilmu
dari al-Quran,” kata Shaharir.
Dan
Shaharir bukanlah sekadar bercakap. Dia telahpun membuktikan dan mempraktikkan
cakap-cakapnya itu.
Malam
6 April di Surau Jenaris Kajang itu saya dapati Shaharir agak berbeza daripada
sebelumnya. Dia bukan sahaja mengkritik dan mempersoalkan sikap
ilmuawan-ilmuwan Islam yang selama ini menggunakan ilmu-ilmu al-Quran secara
salah, dan menunjukkan jalan betul yang sepatutnya diambil; malah dia juga menyeru
agar ilmuwan-ilmuwan Islam mengambil langkah untuk berada di hadapan.
Bukan
mentafsir ayat-ayat al-Quran bagi menyokong dan membenarkan penemuan-penemuan
yang dibuat oleh saintis Barat, tetapi menggali ilmu-ilmu yang masih rahsia di
sebalik ayat-ayat al-Quran itu bagi membuat penemuan-penemuan baru, mendahului
para saintis bukan Islam di seluruh dunia.
Dalam
konteks itulah Shaharir mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai masyarakat
maju selagi kita bersikap sekadar membenarkan penemuan-penamuan ilmu yang
dibuat oleh orang lain (bukan Islam). Kita hanya akan mencapai tahap masyarakat
maju sekiranya kita mampu untuk melahirkan penemuan-penemuan baru kita sendiri,
ataupun melahirkan ilmu-ilmu baru.
Shaharir
juga menjelaskan bahawa makna kemajuan dan tahap negara maju itu pun, mengikut
al-Quran berbeza dengan yang difahami oleh kebanyakan orang sekarang. Bukan
pendapatan tinggi yang menentukan sesebuah negara dan masyarakat itu telah
mencapai taraf maju atau tidak. Bagi beliau sendiri, kriteria yang menentukan
sesuatu masyarakat itu maju ialah kemampuan masyarakat itu untuk melahirkan
ilmu-ilmu baru.
Sebelum
itu beliau telah menjelaskan makna dan perbezaan makna ilmu di dalam Islam dan
di dalam tamadun Barat. Di dalam Islam, kata Shaharir, ilmu itu mendekatkan
manusia kepada Tuhan. Maka masyarakat yang maju itu ialah masyarakat yang mampu
melahirkan ilmu-ilmu baru, yang boleh mendekatkan manusia kepada Tuhan (Allah)
Memang
Shaharir menyampaikan kuliahnya itu berdasarkan teks yang telah disediakannya,
yang diterbitkan oleh Paksi dalam bentuk monograf, dan disebarkan kepada
khalayak pada setiap sesi kuliahnya. Namun sebagai seorang sarjana yang kreatif
Shaharir tidaklah bergantung sepenuhnya kepada teks yang disediakan lebih awal
itu. Teks itu hanya panduan sahaja kepadanya, dan supaya menjadi rujukan kepada
khalayaknya.
Barangkali
khalayak di Surau Jenaris itu pun agak berbeza juga daripada khalayak-khalayak
sebelum ini. Terdapat ramai golongan ilmuwan juga di kalangan khalayak surau
itu. Itulah agaknya yang mendorong Shaharir untuk mewarnai kuliahnya seperti
yang saya jelaskan di atas itu.
Apa
pun, malam itu saya melihat Shaharir telah menanam suatu benih yang saya
percaya akan tumbuh dan membesar untuk memberi manfaat kepada umat Islam hari
ini. Shaharir juga telah membuka suatu medan
baru untuk kita. Apakah itu dilakukannya sempena dengan menjelangnya PRU13? Wallahu-ak’lam!