MENGANGKAT KELANTAN DALAM SIDANG SERANTAU
Dinsman
(Artikel 374, 19/4)
Mengangkat Kelantan dalam
sidang serantau
Beberapa
orang kawan mengajak bantu mereka berkempen untuk PRU-13 yang sekarang ini
sedang rancak di mana-mana. Bukan selepas Parlimen dibubarkan 3 April itu
tetapi lebih awal lagi daripada itu. Berceramah, berforum, berpuisi dan
sebagainya. Ada
yang saya terima dan ada yang tak dapat diterima kerana sebab-sebab tertentu.
Walau
bagaimanapun kepada mereka kebanyakannya saya nyatakan bahawa tidak ada kempen
yang lebih berkesan boleh saya lakukan melainkan melalui buku yang sengaja saya
terbitkan sempena PRU ini, iaitu Kelantan
22 Tahun Bukti Kejayaan.
Dulu
sempena PRU-12 saya terbitkan buku 100
Fakta Kelantan Mengubah Malaysia .
Alhamdulillah, bukan sahaja ia banyak digunakan dalam kempen tersebut tetapi
saya menerima maklum balas daripada beberapa orang yang menceritakan
keberkesanan buku itu hingga dapat mengubah sikap dan pendirian beberapa
golongan pengundi.
Buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan ini
pun alhamdulillah, telah banyak disambut melalui majlis-majlis pelancaran dan
bicara buku. Dalam siri membincangkan kandungan dan mesej buku ini dengan
kawan-kawan, timbul pula idea untuk mengangkat apa yang saya sifatkan sebagai
“produk bermutu yang telah dihasilkan oleh kepimpinan Tok Guru Nik Aziz”, iaitu
Kelantan sebagai model pentadbiran negara Islam itu – untuk dilihat kualitinya
di peringkat antarabangsa.
Idea
ini telah banyak kali timbul dalam perbincangan dengan kawan-kawan. Puncanya? Kebanyakan
mereka terkejut apabila dikatakan bahawa Kelantan adalah model terbaik
pentadbiran negara Islam, dan ia juga adalah pentadbiran negara yang terbaik di
dunia pada hari ini. Betulkah? Mereka bertanya. Kau ni serius ke?
Kalau
bukan Kelantan, negara mana lagi dalam dunia sekarang yang pentadbirannya boleh
kita terima sebagai model pentadbiran Islam terbaik pada hari ini? Tanya saya,
menyebabkan mereka terdiam sambil memikirkan jawapannya, dan akhirnya mengakui
tidak ada.
Kebanyakan
mereka juga mengakui tidak menyedari wujudnya banyak perkara mengenai
pentadbiran Islam di Kelantan seperti yang dipaparkan dalam buku Kelantan 22 Tahun itu. Dan mereka pun
kehairanan mengapa selama ini mereka tidak menyedarinya.
“Kerana
kita tidak mahu mengambil tahu,” kata saya. “Tok Guru Nik Aziz telah bersusah payah
membina sebuah pentadbiran Islam, melaksanakan setiap yang diperintah oleh
Allah dan Rasul-Nya dalam pentadbiran negeri; sedangkan kita nak mengambil
tahunya saja pun kita malas. Itulah sebabnya.”
Padahal
‘Model Islam Mentadbir’ di Kelantan itu adalah suatu model pentadbiran yang
bertaraf dunia – hujah saya lagi. Seperti saya tegaskan dalam buku itu
(hal.91): “Dunia hari ini sedang mencari-cari sesuatu yang dapat menyelamatkan
tamadun manusia, yang kini sedang menuju kehancuran. Dan ‘Model Islam Mentadbir’
yang telah dibangunkan oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan itu adalah
suatu Formula yang dapat digunakan untuk menyelamatkan tamadun manusia hari
ini.”
Dan
demikianlah, menyedari bahawa Kelantan yang ada sekarang itu adalah suatu
produk Islam kontemporari yang sangat berkualiti, saya cuba
menimbulkan kesedaran ini pada setiap kesempatan yang ada. Tak kiralah di mana
pun dan dalam majlis apa pun, sehingga kawan saya Kassim selalu menyindir –
‘Dinsman dengan Tok Guru Nik Aziznya,’ katanya.
Memang
ya, betul, saya seperti obsess dengan perkara ini. Mengapalah ulama,
cendekiawan dan para ilmuwan Islam di negara ini tidak menyedari akan suatu
hakikat yang wujud nyata di depan mata ini! Kita lebih mudah terpesona dengan
sesuatu yang diketahui secara tidak jelas, yang wujudnya jauh di Turkey atau di Iran
sana ; sedangkan
yang di depan mata kita ini adalah jauh lebih baik!
Sekarang
ini musim berkempen pilihanraya. Bagi saya inilah bahan kempen yang terbaik
untuk PAS. Maka seperti biasa, dalam satu pertemuan dengan seorang sahabat pada
suatu pagi Ahad 14 April lalu, saya timbulkan lagi perkara ini. Sahabat ini
seorang tokoh yang aktif bergerak dengan beberapa badan NGO peringkat serantau
dan antarabangsa. Dengan mudah sahaja dia bersetuju. Ya, mari kita angkat
perkara ini ke dalam suatu persidangan serantau.
Persidangan
serantau ini akan melibatkan tokoh-tokoh akademik dan penulis yang
berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan dari negara-negara seperti Indonesia , Thailand ,
Filipina, Kemboja dan Brunei ,
disamping Malaysia .
Buat masa ini persidangan itu dirujuk sebagai “Persidangan Model Kerajaan Islam
Dulu dan Kini”.
Persidangan
ini tidak sahaja akan menumpukan perbincangannya mengenai pentadbiran negeri
Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, tetapi akan melihat juga
ciri-ciri pentadbiran di negeri-negeri Islam zaman lampau seperti Acheh di
kurun ke-16, Kesultanan Melaka, negara Islam Patani, Campa dan sebagainya.
Mungkin
terlalu awal untuk saya hebahkan lebih lanjut mengenai persidangan yang
dicadangkan akan dibuat di Kuala
Lumpur pada minggu pertama Julai 2013 ini. Tetapi saya
begitu teruja dengan prospek persidangan ini, kerana mengharapkan ia akan
menimbulkan kesedaran yang lebih luas terhadap pentingnya “negeri Islam
Kelantan” itu, untuk dilihat sebagai model sebuah pentadbiran yang patut
dicontohi oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.
Mahu
saya kalau boleh tentulah sebuah persidangan antarabangsa yang melibatkan
wakil-wakil daripada Amerika, London , Jepun , Iran
dan sebagainya. Tetapi sedar juga bahawa perkara ini masih di peringkat awal, dan
tokoh-tokoh ilmuan di negara kita sendiri pun hanya beberapa kerat sahaja yang
menyedarinya. Maka eloklah ia dimulakan di peringkat rantau kita ini dahulu
Inisiatif
ini pun dibuat, setakat ini, tanpa pengetahuan pihak kerajaan negeri Kelantan.
Tetapi memang mereka akan dimaklumkan. Apa pun, cukuplah dulu maklumat untuk
setakat ini. Sekarang musim orang berkempen untuk pilihanraya. Seorang AJK
Paksi dikatakan turut bertanding. Tetapi sewaktu saya menulis ini namanya belum
diumumkan lagi.