Nik Aziz mahu artis manfaatkan bakat
Dinsman
(Artikel 362, 11/1)
Nik Aziz mahu artis
manfaatkan bakat
Sempena
sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar
Kelantan mencadangkan satu agenda baru untuk dibuat di Kota Bharu, iaitu agenda
yang belum pernah dibuat sebelumnya bagi menyambut hari mulia itu, dan agenda
baru ini melibatkan artis-artis dan selebriti yang ramai menyertai parti PAS
akhir-akhir ini.
Telah
beberapa kali disuarakan oleh beberapa pihak mengenai artis-artis pelakon dan
penyanyi yang apabila masuk PAS mereka disambut dan diraikan di sana sini, dan
mereka diminta berceramah atau bersyarah di depan umum, tidak berlakon atau
menyanyi, seolah-olah mereka sudah meninggalkan bidang yang bakat mereka di
bidang itulah asalnya menyebabkan mereka menjadi mereka, iaitu insan seni yang
dikenali dan diminati ramai.
Demikianlah
selalunya. Banyak orang atau pihak yang menyuarakan atau menyatakan tak puas
hati terhadap sesuatu. Tetapi jarang ada orang atau pihak yang mahu tampil
menganjurkan atau melakukan sesuatu yang relevan dengan apa yang disuarakan
itu, termasuklah hal artis-artis yang ramai menyertai PAS ini. Rupa-rupanya Tok
Guru Nik Aziz jugalah yang tampil dengan idea dan cadangan melakukannya.
Bagi
memanfaatkan kehadiran ramai golongan artis pelakon dan penyanyi itu, Tok Guru
Nik Aziz mencadangkan supaya dilakonkan suatu kisah atau peristiwa di zaman
Nabi, dan Tok Guru Nik Aziz sendiri telah memilih peristiwa yang difikirkannya
sesuai untuk tujuan tersebut, iaitu peristiwa menantu Rasulullah saw, Abul ‘As (yang
berkahwin dengan Zainab puteri sulung baginda) yang pada mulanya enggan
menyahut seruan Islam tetapi kemudian telah membuat kejutan di kalangan
orang-orang kafir Quraisy dengan mengisytiharkan dirinya memeluk Islam di
hadapan mereka.
Mendengar
rancangan ini diceritakan oleh Wan Nik (Setiausaha Politik kepada Menteri Besar
Kelantan) di Kuala Lumpur
baru-baru ini, saya jadi terharu. Tidak menduga bahawa perkara seperti ini pun
harus datang daripada ‘orang tua’ itu juga. Mengajak artis-artis berkumpul bagi
menjayakan sebuah program yang boleh ditonton oleh orang ramai. Pun tidak ada
orang lain yang boleh menggerakkannya. Mesti Tok Guru Nik Aziz juga yang
melakukannya!
Saya
terharu, sangat gembira dan dalam masa yang sama berasa sedih juga. Sangat
gembira kerana Tok Guru Nik Aziz mengemukakan suatu idea yang begitu berani dan
bererti dalam dunia seni-budaya yang menjadi bidang perjuangan saya.
Juga
sangat gembira kerana saya boleh menganggapnya sebagai suatu sokongan dan
dokongan daripada Tok Guru Nik Aziz terhadap perjuangan saya dan rakan-rakan
dalam Seniman Paksi Rakyat, lebih-lebih lagi pada waktu yang Paksi sedang berasa
direndahkan oleh pihak pimpinan politik tertentu (yang membuat keputusan semula
mengurangkan bajet ke atas keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya).
Dan
dalam masa yang sama saya berasa sedih juga kerana masih tidak ada orang lain
selain Tok Guru Nik Aziz yang mampu tampil dengan idea seni-budaya yang begitu
berani dan radikal. Sepatutnya idea yang berani begitu datangnya daripada orang
muda. Apalagi ini bidang seni-budaya, yang menyentuh dunia artis-artis di
kalangan orang muda. Di mana perginya tenaga-tenaga muda di dalam PAS dan
Pakatan Rakyat?
Tidak
mengapalah. Apa pun, saya bersyukur dengan perkembangan terbaru ini. Mengikut
cerita Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Tetapi katanya
Tok Guru Nik Aziz sudah menyebut nama-nama seperti Bob Lokman, Hairi Othman,
Abby Abadi, Aishah dan beberapa orang lagi, bahkan juga Sasterawan Negara A
Samad Said, yang diharapkannya boleh menyumbang ke arah menjayakan rancangan
tersebut.
Saya
tidaklah begitu teruja sangat dengan kemungkinan akan menonton artis-artis
tersebut berlakon teater. Pada tahun 80-an dulu lagi saya sudahpun terlibat
dengan artis-artis berlakon teater apabila pelakon-pelakon asal filem “Esok
Untuk Siapa” semuanya melakonkan semula watak-watak mereka dengan cara dan gaya teater, dalam
pementasan “Esok Untuk Siapa – dari filem ke teater”.
Artis-artis
yang terlibat dalam teater arahan saya waktu itu ialah Jins Shamsuddin, Noor
Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Latiff Ibrahim, Norizan, Umi Kalthum dan S Romai
Noor.
Sekarang
apa yang menjadikan saya teruja ialah penglibatan Tok Guru Nik Aziz itu sendiri
dalam dunia teater. Seorang tokoh politik dan tokoh ulamak. Dalam usianya yang
begitu lanjut pula! Dan dia bercakap mengenai perkara ini, perkara seni-budaya
ini, pada waktu orang-orang lain khasnya orang-orang politik tengah sibuk
bercakap soal politik dan pilihanraya umum ke-13, dan soal Pakatan Rakyat akan
menawan Putra Jaya.
Ketika
orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai tokoh-tokoh pembawa masadepan
Malaysia yang baru itu sedang sibuk dengan hal-hal politik dan ambilalih kuasa
sebuah negara, sehingga tidak ada waktu walaupun sekejap untuk bercakap atau
berbincang soal seni-budaya, tiba-tiba Tok Guru Nik Aziz seorang yang dari
kalangan tokoh-tokoh itu juga, mengajak para artis, seniman dan budayawan untuk
sama-sama bekerja menjayakan sebuah pementasan teater, sempena sambutan
Maulidur Rasul.
Oh
alangkah absurdnya, dan Avant-garde sungguh! Apakah teater yang dirancangkan
itu akan menghasilkan sebuah karya yang hebat atau tidak – itu satu soal lain.
Apabila saya menceritakan perkara ini kepada Kassim Muhamad, dia juga teruja
dan bertanya bagaimana Paksi mungkin dilibatkan? (Saya pun tak tahu).
Ya,
seperti yang diceritakan oleh Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal
perancangan. Namun kita maklum Maulidur Rasul tarikhnya sekitar 24 Januari.
Tidaklah lama lagi. Hanya dua minggu sahaja lagi. Mungkinkah dihasilkan sebuah
“teater yang teater’ berdasarkan kepada cerita di kalangan anggota keluarga
Rasulullah saw itu?
Sama-samalah
kita nantikan perkembangannya!