JBS UBAH TANGGAPAN NEGATIF KEPADA POSITIF
Dinsman
(Artikel 366, 4/2)
JBS ubah tanggapan negatif
kepada positif
Tak
tahu yang mana nak saya wacanakan dalam tulisan ini. Sembilan program atau
acara, berlangsung di enam lokasi berbeza; dan ada lagi acara sampingan,
seperti ziarah ke rumah pelukis Mansor Ab Aziz melihat koleksi lukisan-lukisan
cat airnya itu, ziarah ke rumah Antares (Kit Lee) di perkampungan orang asli di
Pertak; juga ziarah ke rumah Hj Mohd Idris Mohd Yusoff, rumah Tok Empat Hairi
Mohd Sab dan rumah Dr Napie Mat sebagai sebagian proses kajian mencari Tokoh
Budaya Daerah.
Kisah
perjalanan hidup Hj Idris Mohd Yusoff yang dipilih sebagai Tokoh Budaya Daerah
Hulu Selangor itu sendiri pun, sangat menarik. Dan hebat kisahnya. Dia pernah
menjalankan usaha penerbitan album lagu-lagu Melayu di bawah labelnya sendiri,
syarikat Gedung Muzik Nusantara. Penyanyi-penyanyinya seperti Taufik Hj Ali,
Nik Sinar Suria, S Ahmad. Dan sekarang di usia 78 tahun masih gigih mengusahakan
kraf tulisan khat di atas daun ara.
Kisahnya
panjang, seperti dibacakan oleh Kassim Muhamad dari tulisan Nasser Mohamed pada
‘Malam Jelajah Budaya’ yang dilangsungkan di atas jalanraya pekan Kuala Kubu
Baru, 29 Januari, dalam suasana pasar malam itu. Anugerah disampaikan oleh Yang
Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor sendiri, Tukiman Nail – seorang pentadbir
yang minatnya terhadap seni-budaya sangat terserlah dalam penglibatannya
menjayakan JBS-4.
Demikian
juga dengan komitmen Ridzuan Mohd Idris dari persatuan Sesama – daripada detik
dia mencetuskan idea untuk membawa JBS ke Kuala Kubu Baru dua bulan dahulu
hinggalah ke saat dia memeluk saya sebaik sahaja selesai sesi terakhir pada
tengahari Khamis (Himpunan Rumpun Melayu), kerana berasa sangat lega dan
gembira berakhirnya kerisauan dan kebimbangan mendepani pengurusan program ini.
Dialah,
dengan dokongan kuat YDP Tukiman Nail, faktor utama yang mencorakkan kelainan
program JBS di Kuala Kubu. Tanpa mereka berdua tak mungkin ada acara seperti
Pameran Lukisan, Himpunan Rumpun Melayu, dan juga Majlis Pelancaran (yang
disempurnakan oleh YB Senator Syed Shahir Syed Mohamud).
Banyaklah
sebenarnya perkara yang menarik dan penting telah kami kutip dan rekodkan
sepanjang program di Kuala Kubu, juga sepanjang empat siri JBS setakat ini. Lebih
banyak daripada yang dijangkakan. Saya jadi sedar perkara ini ketika berbincang
santai dalam sesi Dialog Budaya yang diadakan di Rumah Rehat KKB, petang hari
pertama. Turut hadir Prof Shaharir Mohd Zain, yang sebelum itu telah
menyempurnakan sesi kuliah ilmunya di Darul Quran.
Memang
banyak cabarannya. Dan setiap kali kami berbincang bagi menghadapi
cabaran-cabaran itu, Ridzuan selalu menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikannya.
Terima kasih Ridzuan!
Sesi
berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar
KKB, bersama Siti Zainon Ismail, Kassim Muhamad, Pyanhabib dan Nasser Mohamed, dalam
sesi Wacana Buku di Perpustakaan KKB, juga suatu pengalaman yang sangat
menarik, meriah dan berfaedah. Pertama kali diadakan dalam JBS, dengan
kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pejabat Pelajaran
Daerah (PPD). Menyemai bibit-bibit cintakan sastera, bahasa yang indah, di kala
mereka masih rebung – ternyata suatu program yang perlu diteruskan lagi dalam
siri JBS seterusnya.
Teater
Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) yang
sudah berkali-kali dipentaskan itupun, mendapat kesegarannya kembali di
Auditorium Darul Quran malam 30 Januari, walaupun itu mungkin kali yang ke-60
ia dipentaskan. Mengapa? Pertama, kerana ia dilakonkan oleh seorang pelakon
baru yang sangat berbakat; dan kedua, kerana ia tidak diarahkan oleh Dinsman
tetapi kali ini diarahkan oleh Sani Sudin (yang sudah 60 kali bermain bersama
Sabri Yunus dan Bob Lokman).
Saya
sudah melihat bakat besar pelakon baru ini, Nizam Yamin, sewaktu dia melakonkan
watak Sultan dalam teater Tamu Dari Medan
Perang awal Disember lalu. Maka saya menawarkan dia watak Kaab dalam MKDT.
Dia menyambutnya, tetapi saya pula kebetulan tak dapat memberikan waktu yang
cukup untuk latihan. Syukurlah Sani Sudin menyanggupinya.
Dan
malam itu adalah pementasan pertama bagi mereka. Saya juga menontonnya buat
pertama kali. Dan saya sangat gembira dengan hasilnya. Sangat memuaskan.
Terutamanya pada adegan Kaab bermunajat dan bertaubat memohon ampun dan
menyerah diri – pasrah – kepada Allah. Nizam menyebut setiap patah perkataan
dalam adegan itu dengan jelas dan sarat emosi. Dan dia mengambil masa yang
lebih lama daripada pelakon-pelakon sebelumnya. Ternyata sangat mengesankan.
Hanya
satu sahaja komen yang ingin saya nyatakan di sini. Lakonan sedihnya itu agak
berlebihan. Ada
tempat-tempatnya yang dia sepatutnya tak perlu bersedih. Biar penonton yang
merasakan kesedihan itu. Jangan pelakon terlalu menonjolkan kesedihan.
Tetapi
itu pementasan pertama. Berbeza dengan pementasan pertama Sabri Yunus dulu, dia
kurang menunjukkan kesedihan. Namun selepas itu sedikit demi sedikit berlaku
penyesuaian pada emosi dan penghayatannya. Nizam barangkali akan mengalami
proses yang sebaliknya.
Demikianlah,
sembilan acara dalam satu program Jelajah Budaya, yang berbeza dari kebiasaan.
Suatu proses untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap seni-budaya, berubah
daripada yang negatif kepada yang positif. Insya Allah!