JUALAN AWAL SALINA EDISI 50 TAHUN
Dinsman
(Artikel 350, 19/10)
Kulit Buku Edisi 50 Tahun Novel Salina |
Jualan
awal Salina edisi 50 tahun
Saya
diberitahu melalui SMS, begini: “Pak Samad mengundang teman-teman dari Paksi
hadir ke majlis jualan awal Salina edisi terhad pada hari Ahad 14 Okt, jam 5-7
petang, di restoran Mydin, Bangsar. Makan dan minum atas perbelanjaan sendiri.”
Restoran
Mydin? Atau pasaraya Mydin? Setahu saya di Bangsar tak ada pasaraya Mydin. Agaknya
ada Restoran Mydin yang baru dibuka di Bangsar. Saya membayangkan sebuah
restoran mamak yang baru dibuka, yang barangkali agak canggih atau mewah
daripada restoran mamak yang biasa. Sesuailah dengan acara ‘pelancaran buku’.
Akhir-akhir
ini ada beberapa acara pelancaran buku yang agak istimewa, dibuat di tempat
istimewa, di hotel, convention center, lake club dan sebagainya. Tokoh yang
merasmikannya pun tokoh pimpinan yang utama. Manakala yang ini pula buku karya
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bukunya yang paling popular dan yang
mempopularkan nama A Samad Said kira-kira 50 tahun yang lalu itu, Salina, tentulah majlisnya pun tak
kurang hebatnya.
Apatah
lagi belum sebulan A Samad Said dianugerahi Sasterawan Tamu Negeri Selangor
oleh Kerajaan Negeri Selangor, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar
Selangor dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia .
Tetapi
waktu hendak ke majlis itu, apabila ditanya di manakah Restoran Mydin di
Bangsar itu, rupa-rupanya ia sebuah restoran mamak biasa, yang terletak tidak
jauh dari kediaman A Samad Said. Dan apabila sampai di situ saya dapati tak ada
sesiapa pun orang-orang yang biasanya dijemput membuat perasmian acara budaya
yang seperti itu. Yang ada hanya kawan-kawan biasa – Kassim, Hasni, Uthaya,
Helmy dan beberapa orang anak muda peminat sastera, di samping A Samad Said dan
isteri.
Okeylah.
Memang sangat okey. Seperti biasalah. Seperti selalu – berjumpa dengan Samad
Said di restoran di KL Sentral atau di Railway Station. Tak ada yang istimewa.
Tetapi itulah istimewanya.
Dan
saya pun menunggu untuk acara dimulakan. Tidak nampak pun mikrofon di mana-mana
untuk acara berucap. Tak mengapalah, mungkin dibuat secara kecil dan sederhana,
tanpa mikrofon. Dan seketika kemudian, tiba-tiba Helmy membawa empat atau lima naskah Salina berkulit
keras edisi terhad itu ke meja Samad Said. Dan kemudian beberapa orang bangun
berkerumun ke meja itu untuk mengambil gambar.
Sebentar
kemudian Samad Said berpusing ke meja
saya (di belakangnya) menunjukkan buku Salina yang
telah ditandatangan dengan sedikit catatan dan nama saya, sambil berkata:
“Dakwatnya belum kering lagi.” Saya pun menyambut buku istimewa itu, yang
terbuka kerana dakwatnya masih basah, tercatat tulisan tangannya di bahagian
atas: “Siri 060”.
Dan
seterusnya dia menandatangani pula untuk Kassim, untuk Hasni dan kemudian untuk
yang lain-lain, sehinggalah tiba Pyanhabib, Nikbinjidan, dan kemudian Siti
Zainon Ismail dan ramailah lagi. Jadi meriahlah juga. Dan rupa-rupanya memang
begitu sahaja. Tak ada ucapan. Tak ada perasmian.
Alhamdulillah!
Cantik dan sangat istimewa. Sebuah peristiwa seni-budaya yang sepenting itu
dilangsungkan di tempat yang sesederhana itu. Di sebuah kedai mamak biasa, yang
dipilih bukan kerana apa-apa, hanya kerana kebetulan ia paling hampir dengan
kediamannya.
Sungguh
tulen. Sungguh marhaen. Seorang Sasterawan Negara yang juga Sasterawan Rakyat
ini menyambut genap 50 tahun karya ulungnya, (Salina diterbitkan pertama kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun
1961), dengan menerbitkan sendiri edisi khas terhad sebanyak 500 naskah (oleh
syarikatnya bersama anaknya Helmy – Wira Bukit Sdn Bhd), disamping edisi biasa
yang akan diedarkan oleh Kedai Buku Populer.
Ia
bukan majlis pelancaran atau perasmian sebenarnya. Ia hanya majlis ‘jualan awal
edisi terhad’. Namun apa pun, ia sebenarnya adalah suatu saat yang sangat
bersejarah dan bermakna. Ia sambutan 50 tahun penerbitan sebuah karya sastera
yang penting, yang disambut oleh pengarangnya sendiri. “Takkan begini saja?”
Saya berbisik kepada Kassim dan Hasni.
Betul,
sambutan di kedai mamak itu memang sangat istimewa. Tetapi apakah khalayak
sastera di Malaysia tidak berbuat
apa-apa untuk novel sepenting Salina
itu, ketika pengarangnya sendiri menyambut 50 tahun pengkaryaannya? Dan Paksi juga,
sebagai sebuah badan seni-budaya yang menghargai kesenimanan A Samad Said dan
sumbangannya kepada seni-budaya kita selama ini, takkan cukup sekadar begitu
sahaja, tanpa apa-apa aktiviti khas bagi menghargai detik bersejarah itu?
Ya,
insya Allah kita akan usahakan sesuatu. Sementara itu marilah kita melawat
semula ke Kampung Kambing di Singapura pada tahun 50-an abad lalu itu. Nikmatilah
sekali lagi ayat pertama novel yang monumental dan kontroversil tersendiri ini.
Ayat pertama yang telah terpahat dalam
kebanyakan minda peminat sastera Melayu sekian lama:
“Mentari
sudah hampir kesembilan puluh darjah tegaknya ketika sebuah lori kecil dan
buruk masuk perlahan-lahan, tapi bising, ke jalan kecil berlekak-lekuk itu.”
Tentu
gambaran Kampung Kambing itu sudah mula hidup kembali dalam imaginasi kita.
Tetapi saya tersangkut pula pada catatan terkini oleh A Samad Said pada
permulaan edisi baru ini. Katanya:
“Ramai
pembaca – khususnya mereka yang lahir selepas zaman pemerintahan Jepun – tidak
tahu tentang dunia ‘Salina ’
ini. Dan kesan yang sangat biasa ialah kesan negatif seorang watak yang
mewarnakan seluruh kehidupan novel tersebut. ‘Salina ’ tampaknya sentiasa diingat orang
sebagai wanita terhina, padahal dia adalah wakil daripada penderitaan manusia
yang tidak bermaya mengatasi kelemahan atau kekurangan dirinya.”
Saya
kira catatan pendek Samad selepas 50 tahun karya itu dibaca, dinilai dan
dihukum itu adalah suatu cabaran untuk kita menelaah semula novel itu. Ya,
marilah!