Sudahkah dimanfaatkan surau di rumah pangsa?
Dinsman
(Artikel 346, 5/10)
Sudahkah dimanfaatkan
surau di rumah pangsa?
Saya
ingin lanjutkan sedikit perbincangan mengenai komuniti rumah pangsa yang pernah
saya wacanakan dalam beberapa keluaran lalu. Masih ingat? Kata Wakil Rakyat
kawasan itu kepada saya, komuniti itu adalah komuniti gejala sosial. Sebutlah apa
jua jenis gejala sosial, semuanya ada di situ. Begitulah istimewanya komuniti
itu.
Memang
istimewa. Mengikut kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim
(dalam satu wawancara untuk sebuah majalah), rakyat Selangor lebih ramai yang
tinggal di rumah pangsa dan pangsapuri, berbanding dengan yang tinggal di rumah
biasa (teres, banglo dan sebagainya). Maksudnya, perhatian perlu diberikan
lebih kepada kelompok ini, bagi mengatasi masalah-masalah yang berbangkit di sana .
Saya
bukan nak bincang masalah gejala sosial itu. Saya anggap semua kita tahulah apa
masalahnya apabila disebut gejala sosial itu, ‘kan ! Jadi tak payahlah nak buang masa lagi
berbincang hal itu. Elok kita fokus kepada apa yang perlu kita buat, apa yang
wajar, patut dan boleh kita buat, bagi membantu mengatasi masalahnya atau
memperbaiki keadaan hidup di persekitaran yang dimaksudkan.
Merujuk
kepada komuniti rumah pangsa yang saya maksudkan itu, majoritinya adalah orang
Melayu-Islam, walaupun orang India
bukan Islam juga agak ramai di situ. Saya ingin fokus perbincangan ini kepada
komuniti Melayu-Islam sahaja. Lagipun, bukankah ini kelompok yang menjadi
sasaran persaingan sengit antara Umno dan PAS, dalam merebut pengundi bagi PRU-13
yang dinanti-nantikan itu?
Ya,
inilah kelompok atau masyarakat yang menjadi sasaran dan rebutan untuk menang
dalam PRU-13, iaitu orang Melayu-Islam. Dan mereka ini, selain terkumpul di
kawasan Felda, mereka juga terkumpul di kawasan rumah pangsa. Di Selangor tidak
banyak kawasan Felda. Yang banyak ialah kawasan rumah pangsa. Maka
sepatutnyalah tumpuan kita diarahkan ke sana .
Soalannya – apakah selama ini kita memberi tumpuan ke sana ?
Kalau
ditanya kepada Iskandar Abd Samad tentulah jawapannya ya, sebab dia memang exco
yang dipertanggungjawabkan untuk perkara seperti itu, iaitu Exco Perumahan,
Pengurusan Bangunan dan Setinggan. Tetapi apakah pihaknya sudah memberi
perhatian yang cukup dan sewajarnya kepada permasalahan di rumah pangsa?
Saya
pasti jawapannya tidak. Maksudnya belum mencukupi. Bahkan kalau kita perhatikan
betul-betul ke sana ,
kita akan nampak seolah-olah mereka kurang diberi perhatian. Kenapa? Kenapa mereka
kurang diberi perhatian, sedangkan undi daripada kelompok mereka ini amat diperlukan
untuk menang dalam PRU nanti?
Pun
bukan jawapan kepada soalan itu yang saya fikir kita perlukan, dalam
perbincangan ini. Biarlah apa pun jawapannya, yang pasti keadaan kebanyakan
masyarakat di rumah pangsa di Selangor hari ini, khasnya komuniti Melayu-Islam,
adalah jauh daripada memuaskan. Maka saya ingin membuat satu cadangan, iaitu
manfaatkanlah surau-surau di rumah pangsa sehingga ia menjadi pusat dakwah
Islamiyah yang berkesan bagi komunitinya.
Bagaimanakah
caranya? Saya fikir isunya di sini bukanlah masalah caranya, kerana caranya itu
tidaklah susah. Isunya di sini ialah “kesedaran” kita untuk bertindak dan
berusaha bagi memanfaatkan surau-surau berkenaan. Saya perhatikan selama ini
kesedaran ini yang kurang.
Bukan
kita hendak pergunakan tempat ibadat yang mulia ini untuk kepentingan politik.
Tidak! Tujuan kita ialah untuk dakwah Islamiyah, untuk menghidupkan minat
terhadap agama, untuk menunjukkan betapa agama itu mempunyai peranan yang besar
dalam membangun kesejahteraan hidup masyarakat. Itu saja.
Caranya?
Surau bukan hanya menjadi tempat untuk orang-orang yang sudah mempunyai
kesedaran dan kemahuan untuk solat berjemaah, sahaja. Surau mesti diaktifkan
menjadi wadah atau instrumen atau prasarana untuk membina kesejahteraan hidup
masyarakat melalui agama. Surau mesti diisi dengan aktiviti-aktiviti yang
sesuai dengan tujuan itu.
Misalnya,
aktifkan kelas mengaji al-Quran dan Fardhu Ain untuk kanak-kanak. Bila disebut
“aktifkan” maksudnya bukanlah sekadar mengadakannya sahaja, dan berasa cukup dengan
hanya beberapa orang kanak-kanak datang belajar. Aktifkan bermaksud kelas ini
mestilah boleh menarik minat ramai keluarga di sekitar situ menghantar
anak-anak mereka belajar di kelas ini.
Bagaimanakah
hendak menarik minat keluarga-keluarga di situ menghantar anak-anak mereka
mengaji al-Quran dan Fardhu Ain di surau? Inilah persoalannya yang entah
mengapa tidak pernah difikirkan secara serius selama ini. Ataupun mungkin telah
difikirkan, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak ada dana.
Masalah
biasalah tu – dana! Kenapa ia harus menjadi masalah? Kenapa pihak Kerajaan
Negeri tidak boleh menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan tersebut?
Jawabnya, kerana selama ini kita hanya melihat perkara ini sebagai perkara
agama dan Fardhu Ain sahaja. Tidak lebih daripada itu. Sedangkan yang saya ajak
anda bincang sekarang ini bukannya dari sudut agama, tetapi dari sudut
kemasyarakatan.
Kita
memanfaatkan aktiviti agama bagi menyelesaikan masalah kemasyarakatan, masalah
gejala sosial, yang sedang membarah dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat
rumah pangsa.
Memang
kelas mengaji al-Quran dan Fardhu Ain itu kelas agama. Tetapi kelas itu dalam
masa yang sama dapat berfungsi untuk mengatasi masalah gejala sosial. Maka
kerajaan yang bertanggungjawab mestilah menyediakan dana yang mencukupi untuk
itu. Misalnya untuk menarik minat para keluarga kepada kelas al-Quran di surau,
kita perlu membuat kempen yang berkesan; dan aktiviti kempen itu memerlukan
dana.
Itu
satu contoh. Contoh yang kedua ialah mengaktifkan siri tazkirah selepas solat,
secara terancang, dan boleh menarik minat orang-orang Islam di kawasan itu
hadir mendengarnya. Pun memerlukan dana. Dan lebih penting lagi ialah membina
pasukan pengurusan yang akan melaksanakan semua program yang terlibat. Semuanya
memerlukan peruntukan. Inilah yang saya maksudkan dengan “kesedaran” di atas
tadi.