PERSOALAN KONSEP DALAM PEMIKIRAN KITA
Dinsman
(Artikel 348, 12/10)
Persoalan konsep dalam
pemikiran kita
Ada
beberapa perkara menarik, timbul dalam wacana buku Ab Shukur Harun (Gelombang di Pesisir Waktu) yang
dipimpin oleh Kassim Muhamad, Ahmad Lutfi Othman dan Arif Atan di Perpustakaan
Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam, Khamis 4 Oktober lalu.
Lutfi
mempersoalkan mengapa negeri yang ditadbir oleh PAS tidak membentuk enakmen
yang memberi kuasa kepada rakyat, yang bertembung langsung dengan kuasa
kerajaan BN yang tidak kita senangi sekarang itu? Misalnya kerajaan negeri
Selangor meluluskan enakmen yang berhubung dengan kebebasan maklumat; manakala
para exco kerajaan Pulau Pinang membuat pengisytiharan harta. Sedangkan ini
tidak berlaku pada kerajaan PAS walaupun telah mentadbir Kelantan lebih 21
tahun.
Hasni
Abas menyokong kenyataan Lutfi itu; manakala Razali Endun menyatakan impiannya
akan suatu suasana “politik budiman” yang beretika di negara ini.
Persoalan
yang ditimbulkan oleh Lutfi itu mengingatkan saya kepada dua peristiwa yang
berkaitan. Pertama kepada suatu wacana mengenai integriti yang dibuat akhir
tahun lalu, yang juga mempersoalkan kepemimpinan PAS apakah mereka berintegriti
atau tidak? Peristiwa kedua pula secara kebetulan sehari sebelumnya kawan saya
Kassim mempersoalkan minat saya terhadap kepimpinan Nik Aziz yang dikhuatirinya
boleh sampai ke tahap taksub. Maka dia bertanya apakah saya akan mengkritik Nik
Aziz kalau diperlukan?
Saya
menegaskan bahawa buat masa ini saya memilih untuk tidak mengkritik Nik Aziz
walaupun kadang-kadang ada perkara yang boleh dipersoalkan. Sebab apa? Kerana
saya melihat ada banyak lagi perkara yang dibuat oleh kepimpinan Nik Aziz yang
belum diangkat secara sewajarnya hingga ia dapat memperlihatkan keunggulan
Islam yang sebenar.
Maka
mengapa kita harus memilih kritikan, sedangkan apresiasinya pun belum terungkap
sewajarnya? Malah di sini bukan sekadar apresiasi, tetapi tanggungjawab untuk
sama-sama mengangkatnya, kerana dengan mengangkatnya kita juga akan mengangkat
semula Islam untuk diletakkan di tempatnya yang tinggi, mengatasi yang
selainnya.
Inilah
yang saya cuba
lakukan, dan dalam tempoh sebulan-dua lagi akan terbitlah buku baru saya
mengenai kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, berjudul “Kelantan 21 tahun: Bukti Kejayaan”. Insya Allah.
Memang
ada kebimbangan saya, melihat kecenderungan di kalangan kita untuk membuat
penilaian berdasarkan pemikiran dan pemahaman yang bukan berasal dari khazanah
Islam, yakni al-Quran dan Sunnah. Apabila kita menggunakan istilah dan konsep
dari tamadun dan pemikiran Barat, untuk menilai Islam dan orang Islam, saya
bimbang kita akan membuat kesilapan yang tidak kita sedari.
Memang
konsep kebebasan maklumat itu bagus, dasar pemimpin mengisytiharkan harta itu
bagus, dan begitu juga konsep integriti. Lalu mengapa Tok Guru Nik Aziz tidak
melaksana-kannya dalam pentadbirannya di Kelantan? Apakah itu satu kelemahan
beliau yang perlu dikritik?
Saya
tidak ada jawapannya, dan saya tidak pasti apakah amalan yang dipersoalkan itu
terdapat dalam pentadbiran Islam di zaman Rasulullah saw dan khulafa’
ar-rashidin; atau merupakan pemikiran yang berasaskan al-Quran dan Hadis.
Sejak
berjinak-jinak dengan pendekatan yang digunakan oleh Prof Shaharir dalam
beberapa wacananya, saya agak terpengaruh dengan kaedahnya yang menelusuri asal
usul sesuatu istilah dan konsep yang digunakan. Penting diperiksa asal usul
makna sesuatu istilah dan konsep itu untuk kita fahami nilai dan pemikiran yang
mendasari dan membangunkannya. Kalau ia tidak ada di dalam khazanah Islam,
tentu ada sebabnya.
Manakala
mengikut pendekatan dan kaedah pemikiran Nik Aziz pula, Islam itu adalah paling
sempurna. Kesempurnaan Islam itu pula dengan sendirinya menafikan keperluan
kita kepada yang lain, seperti Nik Aziz telah menolak nasionalisme dan
sosialisme, misalnya.
Saya
timbulkan hal ini dalam wacana buku Shukur Harun itu semata-mata untuk bersikap
berhati-hati, agar kita tidak terjebak dalam perangkap pemikiran sekular Barat.
Berhubung
dengan pandangan Razali Endun mengenai “politik budiman” itu, saya mempersoalkan
apakah di zaman Rasulkullah saw dulu wujud “politik” seperti yang kita
maksudkan hari ini. Apakah Nabi Muhammad juga berpolitik seperti kita
berpolitik hari ini? Atau bagaimanakah sebenarnya politik di dalam Islam?
Wujudkah
apa yang dikatakan “politik budiman” itu? Berdasarkan realiti yang sedang
berlaku sekarang, baik di Malaysia
mahupun di dunia amnya – tidakkah politik itu dipenuhi dengan perebutan kuasa,
manipulasi kuasa dan penipuan untuk berkuasa semuanya? Dalam kata lain, politik
itu sudah tidak ada lagi wajahnya yang elok dan bersih. Yang ada semuanya hodoh
dan jahat belaka.
Kecuali
di mana-mana yang terdapat kuasa bukan politik yang mampu memberi imbangan
kepada kuasa politik, maka di situ akan wujud suasana politik yang agak baik,
seperti yang dimaksudkan “politik budiman” oleh Razali Endun itu.
Politik
semata-mata tidak akan melahirkan politik budiman. Kita memerlukan kuasa bukan
politik untuk mengimbangi kuasa politik. Di sinilah saya menekankan betapa kita
memerlukan golongan agamawan yang berfungsi, dan budayawan yang berfungsi, yang
tidak tunduk kepada kepentingan politik. Maka akan lahirlah masyarakat yang
tidak didominasi oleh kuasa orang-orang politik semata.
Merujuk
kepada kepimpinan Rasulullah, ia bukanlah semata-mata kepimpinan politik.
Demikianlah juga kepimpinan Nik Aziz ,
ia bukanlahsemata-mata kepimpinan
politik.