GELOMBANG DI PESISIR WAKTU PAK SHUKUR
Dinsman
(Artikel 345, 1/10)
‘Gelombang di Pesisir
Waktu’ Pak Shukur
Itu
judul sebuah buku, karya Abdul Shukur Harun, kolumnis tetap akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu
(setelah bersara daripada jawatan Pengarang di Harakah) dan masih menyumbang
hingga kini. Berusia 74 tahun. Muda sedikit daripada SN A Samad Said (77) dan
tua sedikit daripada Razali Endun (70). Di kalangan AJK Seniman Paksi Rakyat (Paksi)
dialah yang paling veteran.
‘Gelombang
di Pesisir Waktu’ – bunyinya seperti judul sebuah novel atau sebuah puisi,
tetapi tidak. Ia judul sebuah buku kumpulan esei yang pernah tersiar dalam
kolum ‘Cetusan Idea’ oleh A Shukur Harun, dalam akhbar Harakah. Di bawah judul itu di kulit depan buku itu disebut
“Kumpulan rencana politik, gerakan Islam, kesusasteraan dan kehidupan”.
Secara
umumnya itulah tiga kategori tulisan dalam buku ini – politik, gerakan Islam, dan
sastera dan kehidupan. Dan itulah tiga bidang yang digemari oleh editor akhbar
yang mempunyai pengalaman luas dan lama dalam bidang kewartawanan dan
persuratkhabaran ini, seperti dicatatkan di kulit belakang buku itu:
Beliau
“mula bekerja di beberapa percetakan di Singapura termasuk di Utusan Melayu
Singapura dan Kuala Lumpur
pada tahun 1963. Selepas itu berpindah sebagai penyunting di Berita Harian
Kuala Lumpur selama 23 tahun hingga bersara. Kemudian menjadi Pengarang 2 dan
Pengarang 1 Harakah selama tujuh tahun hingga bersara kali kedua.”
A
Shukur Harun, menurut catatan itu lagi, “menulis lebih kurang 250 rencana, 40
cerpen, lima
novel. Memenangi tiga kali Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Hadiah
Esso-Gapena, Hadiah Penulisan Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam JPM, dan
beberapa hadiah penulisan lain.”
Itulah
A Shukur Harun, yang lebih dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan
Pak Shukur. Seorang penulis veteran yang masih aktif menulis saban minggu, dan hampir
seperti A Samad Said yang selalu ke sana
ke mari menunaikan jemputan untuk berceramah dan membaca puisi, beliau juga
demikian. Masih aktif ke sana
ke mari menunaikan jemputan.
Pada
2 Ogos lalu misalnya, saya bersama dengan beliau ke Masjid Batu di Permatang
Pauh, Pulau Pinang, kerana dijemput melancarkan buku beliau “Gelombang di
Pesisir Waktu” ini, dan buku saya “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”, khas
untuk jemaah masjid itu (yang minat dengan buku).
Tetapi
berbeza dengan A Samad Said yang tidak pernah terlibat secara langsung dengan
politik parti, Shukur Harun terlibat. Dia pernah menjadi YDP PAS Kawasan Subang
tidak lama dulu. Kini setelah mengundur diri untuk memberi peluang kepada orang
yang lebih muda, dia masih aktif menyumbangkan idea, pemikiran dan tenaganya
kepada parti.
Seorang
yang kuat dan banyak membaca, pemikirannya kelihatan agak terbuka, dinamis dan
sentiasa mengikuti peredaran zaman. Makanya beliau pun turut aktif bersama
dengan aktiviti-aktiviti seni-budaya Paksi. Tiga daripada 32 esei dalam buku
ini turut merakam aktiviti Paksi, seperti “Himpunan terbesar karyawan Paksi di
Felda” (hal.139-143); “Sasterawan Paksi berkarya untuk Rakyat” (hal.145-149);
dan “Mengapa A Samad Said kagumi novel Dr Zhivago” (hal.121-125).
SN
A Samad Said dalam Kata Pengantar buku ini menulis: “Bisikkan sajalah kepadanya
di mana akan ada majlis ceramah budaya yang merangsang, di mana boleh dijumpa
buku sastera yang mencabar dan di mana pula dapat ditemui watak pendakwah yang
mengilhami. Jika dirinya sihat, dan masanya terluang, kita akan terserempak
dengannya.
“Dan
apa yang berlaku ini benar pada dekad lima
puluhan abad lalu, dan tampaknya masih benar juga pada dekad awal abad ini.
Abdul Shukur Harun seorang seniwan berbadan kecil bervisi besar, akan berupaya
hadir di mana-mana saja terbentang ladang ilmu duniawi dan madrasah agama
ukhrawi.”
Demikianlah
pentingnya buku ini hingga saya membuat sorotan istimewa ini ialah kerana pada
pagi Khamis 4 Oktober ini, akan berlangsung majlis membicarakan buku ini, oleh
orang yang tidak asing lagi, iaitu Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi
Othman. Majlis akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, PPAS, Shah Alam.
Saya
menjangka dan berharap Ahmad Lutfi akan memberi perhatian kepada bahagian
pertama buku ini, iaitu 10 esei yang membicarakan politik PAS. Bolehlah kita
melihat bagaimana pandangan Ahmad Lutfi terhadap garapan dan analisa politik
Shukur Harun. Makanya saya juga berharap untuk melihat sosok aktivis PAS di
kalangan hadirin yang akan memenuhi ruang wacana ilmu di perpustakaan Selangor
yang sangat cantik dan menarik ini (yang diurustadbirkan oleh seorang tokoh
wanita PAS sendiri)
Majlis
bicara buku ini adalah lanjutan daripada siri Wacana Ilmu bulanan Paksi di
PPAS, yang dimulakan sejak Februari 2011 lagi, dengan buku “Kumpulan Esei
Budayawan Bertindak” (karya 29 penulis) dan “Ranum” (kumpulan cerpen Razali
Endun). Sejak itu telah banyaklah buku yang diwacanakan, termasuk buku-buku
karangan Prof Shaharir Mohd Zain, Dr Hassan Ahmad, dan Prof Syed Hussein
Alatas.
Mulai
bulan September, Paksi membawa aktiviti wacana ilmu ini keluar daripada
pusatnya di Shah Alam, untuk dibuat pula di peringkat daerah, bermula dengan 9 September
lalu di Rawang, iaitu bertempat di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan buku “Rindu
Ibu”, kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja oleh A Samad Said.
Aktiviti
bicara buku peringkat daerah yang kedua akan berlangsung di Masjid Nurul Amin,
Kg Delek, Klang, pada 12 Oktober ini (selepas solat maghrib). Bukunya ialah
“Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karya Shaharir Mohd Zain, dengan pembicara
utamanya Dr Mat Rofa Ismail (UPM).
Kembali
kepada buku Gelombang di Pesisir Waktu karya A Shukur Harun. Selain Ahmad Lutfi
Othman, buku ini juga akan dibicarakan oleh Arif Atan, seorang penulis dan
ilmuan muda yang mempunyai kolum tetapnya di akhbar bertulisan Jawi – mingguan
Utusan Melayu (sisipan Utusan Malaysia. ).
Datanglah.
Wacana ini terbuka kepada semua orang.