PENGURUSAN SENI BUDAYA PATUT DIAJAR DI UNIVERSITI
Dinsman
(Artikel 349, 15/10)
Pengurusan Seni-budaya
patut diajar di universiti
Saya
didatangi lagi oleh pelajar-pelajar universiti, berbincang mengenai karya
teater saya yang akan mereka pentaskan sebagai kerja yang akan dinilai untuk
peperiksaan mereka bagi tahun akhir. Satu kumpulan buat Tamu Dari Medan Perang (TDMP), satu kumpulan lagi buat Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).
Tak
mengapalah. Itu sudah jadi biasa kepada saya. Sudah agak lama juga. Dan saya
pun sudah agak lama juga memikirkan satu perkara ini. Tapi belum pernah saya
tulis mengenainya. Kali ini saya akan tulis.
Teater
itu diterima sebagai satu bidang ilmu, yang diajar di universiti-universiti.
Ada pecahan-pecahannya lagi – penulisan skrip, lakonan, pengarahan, pengurusan,
rekabentuk set, rekaan cahaya, rekaan kostium, muzik, tarian, suara, mekap,
publisiti, pemasaran, kritikan dan beberapa lagi. Padahal teater itu bukanlah
besar sangat. Tapi ia telah diterima sebagai satu bidang ilmu yang agak besar.
Maka
saya terfikir apa? Saya terfikir seni-budaya. Jauh lebih besar bidangnya.
Teater hanya satu cabang sahaja di dalam seni-budaya. Tetapi apakah seni-budaya
telah diterima sebagai satu bidang ilmu dan diajar di universiti? Setahu saya,
tidak.
Yang
diajar di universiti ialah teater, drama, tarian, muzik, nyanyian dan
pengurusan teater. Dan kalau itu sudah diajar di universiti, tidakkah itu
bermakna seni-budaya juga sudah diajar di universiti? Kenapa saya katakan
seni-budaya tidak diajar di universiti?
Saya
katakan demikian kerana berdasarkan pemerhatian selama bertahun-tahun, berpuluh
tahun, ada aspek-aspek dalam seni-budaya itu yang tidak terdapat dalam
bidang-bidang ilmu yang diajar di universiti itu, menyebabkan aktiviti atau
program seni-budaya tidak banyak dibuat di negara kita. Mengapa ia tidak banyak
dibuat? Kerana tidak ada orang, yakni pegawai kerajaan, yang mempunyai ilmu
tersebut, yang dipelajarinya sewaktu dia belajar di universiti.
Paling
ketara sekali lihatlah pada Jabatan Kebudayaan atau Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian di kementerian, atau di majlis perbandaran, bandaraya dan daerah (atau
Pihak Berkuasa Tempatan – PBT). Di setengah-setengah tempat hanya diwujudkan
unit kebudayaan/kesenian di bawah Jabatan Korporat atau Jabatan Kebudayaan dan
Sukan. Apa yang ada di sana ?
Apa yang mereka buat?
Yang
ada di sana
ialah penari, pemuzik dan penyanyi. Dan aktiviti yang selalu mereka buat ialah
persembahan muzik, nyanyi dan menari. Itulah tiga cabang seni-budaya yang
selalu dibuat dan dipersembahkan oleh jabatan-jabatan tersebut. Dan biasanya
aktiviti itu dibuat sebagai menyediakan hiburan kepada hadirin dalam
majlis-majlis jamuan dan yang seumpamanya.
Dan
itu sahajalah fahaman orang-orang kerajaan atau pegawai kerajaan kita apabila
disebut kebudayaan dan kesenian. Status dan imej kebudayaan dan kesenian yang
wujud dalam fikiran orang-orang kerajaan hanya setakat itu sahaja. Tak lebih
daripada itu. Maka bagaimanakah kita nak mengharapkan lebih daripada itu? Bagaimanakah
kita nak mengharapkan suatu perancangan seni-budaya daripada mereka?
Apakah
yang saya maksudkan dengan aktiviti ‘seni-budaya’, yang saya katakan tidak
diajar di universiti itu?
Mudah
saja. Kita ambil satu contoh, iaitu wacana ilmu, atau lebih khusus lagi –
bicara buku. Yang ada diajar di universiti ialah kritikan buku, sebagai satu
cabang daripada ilmu sastera, atau penulisan. Manakala ‘bicara buku’ yang kita
maksudkan sebagai satu aktiviti seni-budaya ini bukannya satu cabang daripada
ilmu penulisan atau ilmu sastera itu. Yang kita maksudkan di sini ialah
aktiviti penyampaian atau pembentangan pendapat (ilmu) terhadap sesebuah buku,
yang memerlukan kehadiran sejumlah orang sebagai peserta atau pendengar, di
samping pembicaranya.
Ia
suatu aktiviti sosio-budaya, yang harus dilihat fungsinya bukan sekadar sama
dengan ilmu penulisan atau sastera. Ia mempunyai fungsi sosial, seperti yang
saya istilahkan kepada ‘lanskap tanah’ dan ‘lanskap minda’ itu. Ia harus
dilihat sebahagian daripada lanskap minda, yang selama ini diabaikan oleh para
perancang di pihak PBT. Mereka begitu sekali penting-kan ‘lanskap tanah dan
pokok’, tetapi mereka langsung tidak menyedari akan pentingnya lanskap minda –
bagi melahirkan keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat.
Bicara
buku itu hanya satu contoh. Melakukannya tidaklah susah. Yang susahnya ialah
melakukannya secara berterusan dan berkala, misalnya dibuat pada setiap bulan,
untuk menimbulkan keberkesanannya. Ini tidaklah mudah. Pihak perancang atau
pengurusnya mestilah mesra dengan dunia buku dan para ilmuan, dan tahu
menguruskan publisiti dan promosinya.
Contoh
lain mari kita lihat siri program Jelajah Budaya Selangor yang akan dibuat oleh
Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bermula di Klang pada 10 dan 11 November ini. Apa
aktiviti yang ada dalam program dua hari itu? 1) persembahan Puisi dan Lagu; 2)
persembahan teater; 3) persembahan gamelan dan cempuling; 4) persembahan oleh
kumpulan OKU; 5) dialog budaya dengan Sasterawan Negara; 6) kuliah ilmu oleh
tokoh ilmuan; 7) silat Serante dan silat Selambam; 8) peraduan melukis dan
mewarna untuk kanak-kanak; 9) demonstrasi menulis khat; dan 10) pertandingan
membuat tanglung.
Itu
semua program seni-budaya. Sebahagiannya ada diajar di universiti dan
sebahagiannya tidak. Pengurusan dan proses mempersembahkan semuanya itu kepada
khalayak dalam suatu program yang melibatkan pelbagai pihak dalam masyarakat,
itu mungkin tidak diajar di peringkat kolej mahupun universiti.
Kenapa
saya timbulkan perkara ini? Kerana pengalaman Paksi berurusan dengan pelbagai
pihak yang berkenaan untuk membuat sesuatu program seni-budaya, memperlihatkan
keadaan yang begitu. Dan sebenarnya ada banyak lagi permasalahannya. Kita akan
bincang lagi perkara ini dalam kesempatan yang lain, insya Allah.