“Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”
Dinsman
(Artikel 347, 8/10)
“Ilmuan Budaya Bersama
Rakyat”
Barangkali
kita telah memulakannya pada 1 November 2008 dulu, di Kuala Pahang, apabila
kita bekerjasama dengan nelayan-nelayan perahu kecil di sana menganjurkan beberapa acara seni-budaya.
Kemudian kita bersolidariti dengan ahli-ahli qariah surau Madrasah Tarbiyah, Kg
Banda Dalam, Disember 2010. Ramailah seniman muda hadir dengan bakat mereka yang
pelbagai – puisi, muzik, lagu, menyatakan sokongan kepada perjuangan penduduk kampung
di pinggir Kuala Lumpur
itu.
Dan
pada November 2011 ketika 360,000 hektar tanah Felda diberitakan akan tergadai,
kita berhimpun pula di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor. Pun ramai kawan-kawan
seniman yang hadir memberi sokongan.
Sekarang
Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sedang membuat persiapan untuk satu lagi program
yang seakan-akan demikian, tetapi dengan skala yang lebih besar. Menteri Besar
Tan Sri Khalid Ibrahim pun, dalam pertemuannya dengan Paksi pada 9 Ogos lalu,
telah menyatakan persetujuannya untuk membiayai.
Kebetulan
pula sebelum itu akhir April lalu Paksi telah berbincang dengan Dr Halimah Ali,
mengenai beberapa program budaya, yang satu daripadanya adalah program “Ilmuan
Budaya Bersama Rakyat”. Lebih kurang sama.
Itulah
– kita telah bersetuju mengenai tarikhnya, 10 dan 11 November. Tempatnya di
Kelang, dan akan dibuat bersama dengan Majlis Perbandaran Kelang. Tetapi
lokasinya yang sebenar belum ditetapkan lagi. Kita sedang mencari tempat yang
paling sesuai dengan tujuan program ini diadakan, iaitu untuk menghidupkan
kesedaran seni-budaya dan kecintaan kepada ilmu di kalangan rakyat. Kita ingin
berada di tengah-tengah rakyat, dan sama-sama menghayati seni-budaya dan ilmu.
Selain
itu kita juga akan menyampaikan Anugerah Budayawan Tempatan. Paksi akan
bekerjasama dengan pihak tempatan, termasuk Majlis Bandaran dan persatuan-persatuan
seni-budaya, bagi memilih seorang tokoh budaya yang paling layak untuk diberi
penghargaan melalui anugerah ini. Memang jumlah wang dari anugerah ini tidak
besar. Tetapi bukan itu yang menjadi nilainya. Nilainya adalah penghargaan itu
sendiri.
Kita
namakan program ini “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Sebelum ini kita sebut
“budayawan bersama rakyat”. Mengapa sekarang “ilmuan budaya”? Sebabnya kerana
kita hendak timbulkan kesedaran terhadap menghargai ilmu dan ilmuan. Kita tidak
sekadar hendak berpesta dengan aktiviti-aktiviti seni sahaja, tetapi kita juga
mengisinya dengan ilmu.
Makanya
kita telahpun berbincang dan mendapat persetujuan daripada SN A Samad Said dan
Prof Shaharir Mohd Zain untuk bersama-sama dalam program ini; masing-masing
akan menyampaikan ilmu dan kepakaran masing-masing, kepada kumpulan sasaran
yang sesuai di kalangan rakyat setempat.
Program
yang dijadualkan dibuat di Kelang pada 10 dan 11 November ini adalah program
yang pertama bagi satu siri Jelajah Budaya yang akan dibuat di daerah-daerah di
seluruh Selangor. Ia dimulakan di Kelang kerana, seperti saya sebut tadi,
kebetulan Paksi telahpun berbincang perkara ini dengan Adun Selat Kelang, Dr
Hjh Halimah Ali, sejak April lalu.
Dan
sejak itu kita telahpun mengadakan beberapa aktiviti seni-budaya di Kg Delek
dan Seri Perantau, bersama dengan Dr Halimah. Antaranya ialah pementasan teater
Menunggu Kata Dari Tuhan, dan bacaan
puisi. Pada 12 Oktober ini akan diadakan Bicara Buku, bertempat di Masjid Nurul
Amin, Kg Delek. Buku yang akan dibicarakan ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karangan Prof Shaharir Mohd Zain.
Pembicara utamanya ialah Dr Mat Rofa Ismail (UPM).
Sengaja
saya hebahkan berita ini awal-awal (lagi sebulan tarikh 10 dan 11 November
itu), kerana beberapa sebab. Antaranya untuk memberi ruang waktu yang selesa
kepada kawan-kawan seniman, penulis, budayawan dan ilmuan yang berminat untuk
hadir, bagi membuat perancangan yang perlu, agar dapat hadir menyertai program
ini.
Kedua,
memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengemukakan cadangan-cadangan
yang sesuai, sebagai pengisian program ini, terutama dalam pemilihan tokoh
budayawan yang akan diberi anugerah, dan juga kumpulan seni yang akan dibawa
membuat persembahan dalam acara kemuncak program ini.
Dalam
perbincangan awal kami dengan pihak Dr Halimah, mengenai aktiviti yang
difikirkan sesuai dan menarik untuk dibawa ke dalam program ini, telah timbul
pelbagai maklumat yang sangat menarik, mengenai aktiviti seni-budaya rakyat
tempatan, yang berkemungkinan kalau diizinkan oleh faktor kewangan, akan
menjadikan program ini lebih besar daripada yang dirancang pada mulanya.
Kemungkinan!
Kemungkinan juga tidak. Walau apapun, bagi saya rancangan ini sangatlah
menarik. Seolah-olah satu penerokaan baru dalam memajukan seni-budaya kita.
Saya belum menceritakan semua aspeknya lagi. Kita tunggu dulu dan lihat
bagaimana perkembangannya. Insya Allah, sangat menarik!