PESTA MAKANAN APA PULA KITA SELEPAS INI!
Dinsman
(Artikel 343, 21/9)
Pesta makan apa pula
kita selepas ini!
Dalam
satu hari sampai lima-enam atau tujuh-lapan jemputan untuk majlis rumah terbuka
Hari Raya Eidul Fitri. Itu untuk orang biasa. Untuk orang yang tergolong dalam
kalangan tokoh pemimpin atau VIP, banyak lagilah. Dan yang mengadakannya atau
penganjurnya pula termasuk masjid-masjid dan surau-surau. Pun buat rumah
terbuka. Parti-parti politik tak usah kiralah. Semua berlumba-lumba, untuk
mendapatkan pengunjung yang lebih ramai. Sampailah ke hari-hari terakhir bulan
Syawal. Dan barangkali ada yang terlajak ke bulan berikutnya.
Maka
tiba-tiba saya pun terfikir –amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini.
Asyik dengan pesta makan tak habis-habis. Lepas satu, satu. Sudahlah bulan
Ramadan yang sepatutnya kita kurangkan makan-minum selama sebulan itu telah
kita ubah menjadi pesta membeli-belah makanan pada setiap petang. Bulan Syawal
pula kita sambut dengan pesta makan yang lebih besar lagi.
Amboi
hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Sudah jadi umat yang kaya-raya.
Berbeza sekali dengan umat di zaman Rasulullah saw dulu, yang tidak pernah
kenal pun dengan pesta makan-minum seperti yang menjadi kegemaran kita hari
ini. Seolah-olahnya kita sudah tak ada perjuangan yang perlu kita lakukan lagi.
Maka
marilah kita berpesta makan dan minum. Lepas satu pesta ke pesta yang lain
pula. Kita makan dan makan, jangan risau. Kita memang ada banyak duit untuk
dibelanjakan. Marilah mari, kita berpesta! Kita eratkan silaturrahim sesama
kita dan bersama orang bukan Islam juga. Kita umat yang baik dan suka menjamu
tetamu.
Baguslah.
Mengeratkan silaturrahim sambil bermaaf-maafan, baguslah. Bagi orang politik
pula dapat meluaskan dan memperbaharui pengaruh, memang bagus. Bagi orang
bisnes pun sama, dapat meluaskan jaringan dan mengembangkan pengaruh. Bagi
orang agama pun begitulah juga agaknya.
Bagi
masjid dan surau? Bolehkah jamuan hari terbuka raya itu menarik orang yang tak
pernah datang ke masjid/surau supaya datang menunaikan solat berjemaah di masjid/surau
slepas mereka menghadiri jamuan hari terbuka raya itu? Kita harap-harapkan
begitulah.
Tetapi
dalam pada itu apabila saya sendiri diajak kawan-kawan dan pihak tertentu
supaya hadir ke majlis demikian pada suatu hari itu sampai beberapa tempat, saya
terfikir – apakah kita tidak melakukan pembaziran dalam perayaan yang seperti
ini?
Menyambut
Hari Raya Eidulfitri itu memang tuntutan agama. Laa raiba fihi. Tidak ada sebarang keraguan pun di situ. Buatlah
berapa banyak majlis jamuan pun pada Hari Raya itu sendiri, tidak mengapa.
Tetapi apabila satu hari raya dirasakan tidak mencukupi, maka ditambah pula
beberapa hari, dan terus ditambah dan ditambah hingga penuh satu bulan Syawal,
nak puasa sunat enam hari Syawal pun sudah jadi susah – maka itulah saya
terfikir: Apakah yang sedang kita raikan ini sebenarnya?
Kita
sedang meraikan kemenangan kerana berjaya melawan nafsu pada bulan Ramadan,
ataupun kita sedang meraikan kemenangan nafsu itu sendiri? Kita sedang
memperbaharui silaturrahim sesama ummah, ataupun kita sedang lagha dan melupakan perjuangan yang
sebenarnya wajib kita lakukan? Kita sedang meraikan tuntutaan Islam agar
menjamu tetamu, ataupun kita sedang melakukan pembaziran?
Makan
bukannya kerana perlu makan, tetapi makan kerana dijemput dan meraikan
kawan-kawan; sedangkan pada masa yang sama ramailah lagi kawan-kawan kita yang
sedang bergelut dengan masalah kemiskinan dan tidak cukup makan, di sana dan di sini. Mereka
itu tidak kita pedulikan pun sedangkan mereka itulah yang wajib kita pedulikan.
Selama
satu bulan kita sibuk dan menyibukkan diri dengan majlis-majlis jamuan
makan-minum ini – kalau dikumpulkan sudah berapa banyakkah wang yang boleh dibelanjakan
untuk agenda perjuangan ummah yang lebih perlu dan mendesak?
Berapa
banyakkah masa dan tenaga yang telah kita bazirkan di situ, yang sepatutnya
boleh kita tumpukan dan sumbangkan ke arah perjuangan yang lebih diperlukan,
demi mengangkat maruah ummah yang sedang terbenam dalam lumpur kehinaan akibat
dipijak oleh musuh-musuh Islam itu?
Lihatlah
bagaimana orang Islam hari ini berbelanja untuk makan-minum dan lain-lain
perbelanjaan untuk hiasan diri, rumah dan kenderaan! Siapa kata orang Islam
miskin dan tidak cukup kewangan untuk mempersiapkan perjuangan bagi menuntut
kemenangan ke atas orang-orang bukan Islam? Bagi merealisasikan janji bahawa al-Islam ya’luu wala yu’laa ‘alaihi.
Bahawa Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Demikianlah
saya terfikir – barangkali kita sudah terlanjur tanpa kita sedari. Kita begitu
ghairah mungkin hendak mencari pengaruh politik parti masing-masing hingga tak
sedar kita telah terlanjur sampai ke hujung garis sempadan yang sewajarnya dan bahkan
hingga melampaui sempadan lalu masuk ke daerah membazir, lagha dan melupakan perjuangan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan
agenda hidup Muslim hari ini.
Dan
tak lama lagi akan tibalah pula musim korban. Maka sekali lagilah kita akan
berpesta dan berlumba-lumba – masjid manakah yang lebih banyak menumbangkan
lembu. Para pemimpin pun akan bersaing untuk
menyumbangkan lebih banyak lembu untuk disembelih oleh rakyat.
Syarikat-syarikat korporat pun akan turut sama berlumba. (Entah bilalah pula
agaknya ada hukum yang mewajibkan atau mensunatkan syarikat-syarikat korporat
dan masjid-masjid membuat korban menyembelih lembu!)