BAWA TEATER KANAK-KANAK KE RUMAH PANGSA
Dinsman
(Artikel 341, 14/9)
Bawa teater kanak-kanak
ke rumah pangsa
Ahad
lalu teater Menunggu Kata Dari Tuhan
(MKDT) dipentaskan lagi buat kali yang entah ke 50-berapa, saya pun tak berapa
pasti. Dilakonkan oleh Bob Lokman, bersama Sani Sudin dengan biolanya. Dan
seperti biasa, kami juga membawa aktiviti sampingan, iaitu menjual buku.
Sudah
lama aktiviti sampingan ini kami lakukan. Bukan sahaja sebagai sampingan kepada
pementasan teater, tetapi juga sebagai sampingan kepada aktiviti-aktiviti lain
seperti bicara buku, persembahan puisi, seminar, bengkel penulisan dan
sebagainya. Sebab apa? Sebagai khidmat membawa buku kepada pembaca, promosi
budaya membaca buku kepada masyarakat, menggalakkan orang membaca buku, dan
menolong mereka yang kebetulan inginkan buku-buku berkenaan tetapi sukar
mendapatkannya di kedai-kedai buku biasa.
Tidaklah
banyak judul buku yang dibawa. Biasanya yang ada kena mengena dengan aktiviti
utamanya, di samping buku-buku yang diterbitkan oleh Paksi dan Kaab, seperti Menunggu Kata Dari Tuhan, Kumpulan Esei
Budayawan Bertindak, Antologi Puisi 56 Penyair, Pemikiran dan Perancangan
Seni-Budaya; juga buku-buku karya SN A Samad Said, Shaharir Mohd Zain,
Azizi Hj Abdullah, Syed Husin Ali, Ahmad Lutfi Othman dan Zaaba.
Semestinyalah
tidak ada buku-buku kisah cinta remaja yang digemari oleh anak-anak muda itu.
Kami mempromosi buku-buku yang kira-kira ada kaitannya dengan ideologi dan
perjuangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi); yakni buku-buku seni-budaya yang kami
percaya patut dibaca oleh masyarakat.
Dalam
konteks inilah saya sudah beberapa kali menyebut bahawa masyarakat di sekitar
Masjid Batu di Permatang Pauh itu agak unik dan istimewa, kerana mereka paling
banyak membeli buku apabila kami membuat promosi buku di sana. Sudah beberapa
kali.
Dan
pada Ahad lalu kami bertemu pula satu lagi kelompok masyarakat yang unik dan
istimewa, tetapi berbeza dengan masyarakat di sekitar Masjid Batu. Kalau
masyarakat sekitar Masjid Batu itu suka dengan buku, kelompok masyarakat yang kami
temui sewaktu mementaskan MKDT Ahad lalu adalah sebaliknya. Mereka langsung
tidak berminat. Langsung tidak menunjukkan minat.
Daripada
sekitar hampir seribu orang yang hadir untuk menonton dan berhibur dengan
persembahan artis-artis pujaan mereka itu (termasuk Bob Lokman), tidak seorang
pun mampir ke meja buku. Mereka sekadar memandangnya dari jauh dan melintas
sahaja di depan meja buku. Langsung tidak menunjukkan ada minat kepada buku.
Kami
sampai ke kawasan rumah pangsa itu sejurus sebelum maghrib. Melihat kepada
suasana dan orang-orang yang ditemui di sekitar kawasan lapang dan padang mainan di antara
blok-blok rumah pangsa itu, serta orang-orang yang mulai datang ke tempat
pementasan, pihak petugas yang akan menjual buku pun mulai khuatir, apakah ini
tempat yang sesuai untuk mempromosi buku?
Demikianlah
akhirnya tanpa menunggu selesai pementasan, buku-buku yang dipamerkan itupun
segera dikemaskan ke dalam kotak untuk disimpan ke dalam kereta.
Pulang
dari pementasan itu otak saya asyik terfikirkan persekitaran hidup masyarakat
di kawasan perumahan rumah pangsa itu. Dengan anak-anak kecil yang masih
berkeliaran walaupun waktu sudah malam, anak-anak muda lelaki perempuan yang
berpeleseran, beberapa orang lelaki yang menghampiri kami dalam keadaan seperti
orang mabuk dan sebagainya itu. Dan saya pun terfikirkan visi dan gagasan
seni-budaya Paksi. Apakah yang wajar dibuat dalam situasi yang seperti itu?
Tiba-tiba
pagi Isnin itu ADUN kawasan tersebut, yang menjemput kami membuat persembahan
MKDT itu dan dia juga turut menonton pada malam itu, menelefon saya dan
menceritakan keadaan kelompok masyarakat di mana MKDT dipersembahkan itu.
Rupa-rupanya tepat seperti yang sedang saya fikirkan.
“Sebutlah
apa saja yang kita katakan gejala sosial itu, semuanya ada di situ,” kata YB
tersebut. “Dan di situlah anda membuat persembahan cerita Kaab bin Malik itu.
Saya tak pasti mereka yang menonton itu dapat memahaminya atau tidak.
Sebahagian daripada mereka itu orang India bukan Islam. Saya tengok
mereka menonton juga…”
Rupa-rupanya
ADUN berkenaan sangat maklum dengan
situasi yang tidak menyenangkan itu. Dia sengaja membawa teater Islam kisah
sahabat Nabi yang bertaubat setelah membuat kesalahan itu ke tempat begitu –
tentulah ada sebab dan alasannya. Tetapi pagi Isnin itu dia menelefon saya
untuk berbincang perkara lain.
Apa
pun, yang pentingnya dia telah mengesahkan jangkaan saya mengenai sekitaran
hidup masyarakat yang langsung tidak berminat dengan buku itu, lalu memudahkan
saya untuk terus memikirkan apakah yang boleh dibuat oleh seni-budaya di situ.
Melihat
kepada ramainya anak-anak muda yang berkeliaran di situ, saya segera
terfikirkan kepada teater kanak-kanak. Barangkali sesuai dan ada faedahnya
kalau sebahagian kanak-kanak itu diajak menyertai kumpulan teater kanak-kanak
yang boleh ditubuhkan di situ, dengan dibimbing oleh orang yang pakar atau tahu
mengenai teater kanak-kanak.
Tidak
ramai orang yang tahu dan pakar mengenai teater kanak-kanak di Malaysia hari
ini. Boleh dibilang dengan jari. Itu pun, yang ada seorang dua itu pun, tidak
dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang sebenarnya sangat memerlukan tenaga
pakar mereka. Saya harap kali ini (sekurang-kurangnya) kita boleh mencuba
menghidupkan aktiviti seni ini, bagi memanfaatkannya kepada situasi hidup di
rumah pangsa yang kurang menyenangkan itu.