Hanipa, terokai lagi hujah Hudud itu
Dinsman
(Artikel 336, 27/8) 13
Hanipa, terokai lagi
hujah Hudud itu
Betul
Hanipa! Saya setuju dengan garis hujahan Sdr dalam kolum Prima Facie 13 Ogos, berkenaan undang-undang Hudud dan penentangan
Karpal Singh terhadapnya. Sdr kelihatannya tidak berputus asa dengan sikap
keras dan tegar yang ditunjukkan oleh Karpal, bahkan sdr menunjukkan sikap yang
sangat positif pula terhadap kemungkinan bagi Karpal untuk menerima kewajaran
undang-undang Hudud, lambat laun, suatu hari nanti.
Keluaran
berikutnya juga Hanipa masih meneruskan wacananya mengenai hudud. Tambah meriah
lagi isu hudud ini dengan Nasharuddin yang meracau dan disambut Karpal itu.
Tapi itu semua tidak menarik buat saya, apatah lagi dalam suasana Eidul Fitri.
Wacana Prime Facie 13 Ogos itu lebih
menarik.
Kali
kedualah ini saya menulis dalam Wacana Budaya bagi menyokong tulisan Hanipa
Maidin. Dia pakar dan fasih dan tahu serba-serbi selok-belok undang-undang. Ada hal-hal yang kita
terpaksa berhenti kerana terasa sudah sampai ke sempadan dan tak boleh nak
berhujah lagi, tetapi Hanipa masih boleh, dan dia tolong mengubah sempadan itu
untuk kita.
Demikianlah
saya percaya ramai orang sudah melihat tertegaknya pagar sempadan harapan untuk
Karpal Singh menerima kewajaran atau bersetuju untuk undang-undang Hudud
dilaksanakan di negara ini. Tak boleh nak berhujah lagi dengan dia. Pegangannya
terhadap kewajaran undang-undang sekular begitu kuat sekali. Kita hanya boleh
berharap pendirian DAP terhadap hukum Hudud akan berubah apabila Karpal Singh
sudah tiada nanti.
Tetapi
berbeza dengan Hanipa. Dia masih mempunyai hujah dan rasional yang dapat
dikemukakannya lagi kepada Karpal. Menggunakan rasional dan dalil-dalil yang
pernah diterima oleh Karpal sendiri, yang mungkin Karpal pun tidak menyedari
hubungannya dengan kewajaran dalam undang-undang Hudud, seperti dia pernah
membela seorang wanita Islam untuk berpurdah, dan juga membela Sukma Darmawan
untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Kata
Hanipa: “Mungkin ramai yang tidak tahu semasa membela Sukma, Karpal pernah
membangkitkan hujah di depan hakim Mahkamah Sivil supaya kes liwat Sukma
dibicarakan di Mahmakah Syariah atas alasan kesalahan liwat adalah di bawah
bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hujah Karpal tersebut menunjukkan Karpal
mengiktiraf kewujudan kesalahan jenayah liwat dalam Islam, sekaligus
mengiktiraf Mahkamah Syariah untuk mengadili orang Islam yang dituduh dengan
kesalahan tersebut.
“Justeru
menggunakan hujah yang sama, Karpal sepatutnya melebarkan pengiktirafan beliau
untuk kesalahan-kesalahan jenayah yang lain seperti jenayah zina, minum arak,
qazaf, hirabah (merompak) dan jenayah murtad untuk diadili juga di Mahkamah
Syariah.”
Demikianlah
– paling pentingnya, saya melihat jalan yang diterokai oleh Hanipa Maidin itu.
Masih ada jalan! Atau tetap ada jalannya! Hanya kita perlu terus meneroka,
perlu mencari ikhtiar-ikhtiar baru, perlu mendapatkan alat-alat baru untuk
menganjak sempadan lama.
Maka
saya pun terfikir – apakah selama ini kita berusaha ke arah itu? Maksud saya, berusaha
secara terancang dan berterusan meneroka kemungkinan-kemungkinan baru,
strategi-strategi baru, agar dapat membuka minda, kefahaman dan kesedaran
pihak-pihak yang selama ini menolaknya.
Dalam
masa yang sama kita juga harus sedar bahawa penolakan terhadap Hudud itu juga
adalah sebahagian daripada kempen dakyah dan fitnah pihak-pihak tertentu bagi
memburukkan dan menempelkan warna negatif terhadap Islam keseluruhannya, di
peringkat negara kita dan juga di peringkat dunia. Bukan sahaja dalam bab Hudud
tetapi dalam hal-hal lain juga, termasuk seni-budaya dan hiburan.
Maka
Hanipa patut meneruskan usaha ini. Bukan sekadar bersendirian, tetapi bersama
dengan satu kumpulan yang pakar dalam bidang berkenaan, bagi meneroka
strategi-strategi dan hujah-hujah baru ke arah membina kefahaman baru terhadap
hukum-hukum Islam.
Barangkali
istilah “hudud” itu sendiri mempunyai stigmanya, yang menyebabkan orang langsung
berprasangka negatif terhadapnya. Maka kalau demikian barangkali istilah itu
tidak perlu ditonjolkan dulu buat masa ini, sebaliknya kandungannya sahaja
perlu diungkapkan secara beransur-ansur ke dalam sistem perundangan yang sedia
diterima umum. Barangkali.
Cara
dan pendekatan yang diambil oleh Hanipa terhadap Karpal Singh itu menunjukkan
bahawa di sana
terdapat banyak lagi kemungkinan usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan. Dan
dalam konteks ini saya juga melihat kemasukan atau penghijrahan ramai golongan
artis ke dalam parti PAS akhir-akhir ini adalah juga satu kemenangan penting
kepada Islam.
Betapa
golongan aktivis seni dan hiburan boleh berubah sikap dan pandangan mereka
terhadap kedudukan seni dan hiburan dalam Islam. Bahawa Islam tidak lagi
dilihat sebagai anti-hiburan dan anti-kesenian. Walaupun ada hal-hal yang
nampaknya masih kabur, tidak menentu dan agak mengelirukan di sana sini, namun fenomena ini adalah sesuatu
yang menunjuk arah kepada kemenangan untuk Islam. Terpulanglah caraa kita
menyambutnya.
Kena
caranya kita menyambut dan meladeninya, baiklah ia. Dan kalau kita tersalah
cara menyambut dan meladeninya, akan rosaklah ia.
Demikian
juga saya membaca kenyataan baru yang diucapkan oleh bekas seorang menteri Umno
yang kita pun tak pernah terfikir dia akan berubah fikirannya terhadap PAS –
iaitu Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Katanya sekarang orang Melayu yang terbaik ada
dalam PAS. Manakala dalam Umno tidak ada lagi orang Melayu yang layak untuk
menjadi pemimpin.
Nampaknya
ada satu gelombang baru yang sedang membentuk untuk suatu perubahan penting di
negara ini, yang berkaitan dengan PAS dan Islam. Apakah Karpal Singh dan mereka
yang sependirian dengannya akan terus bersikap keras menolak pelaksanaan
undang-undang Hudud di negara ini?
Saya
sangat optimis dengan hujah dan usaha yang dibuat oleh Hanipa Maidin.
Bayangkanlah apabila Karpal Singh mengubah pendiriannya terhadap Hudud!