MERDEKA KALI KEDUA
Dinsman
(Artikel 340, 10/9)
Merdeka kali kedua
Orang
yang buruk akhlak dan berkelakuan jahat seperti musyrikin di zaman Jahiliyah
itu sememangnya ada. Barangkali sentiasa ada di dalam masyarakat. Hanya
kelihatan atau tidak kelihatan saja. Dan itu tidaklah bermakna yang masyarakat
itu keseluruhannya sudah rosak. Tidak. Yang rosak hanya sekumpulan kecil
beberapa orang itu sahaja. Namun kadang-kadang yang sekumpulan kecil itu pula
mempunyai pengaruhnya yang besar, hingga kelihatan seolah-olah seluruh masyarakat
sudah kembai ke zaman Jahiliyah.
Yang
sebenarnya tidaklah begitu. Tetapi masalahnya hari ini teknologi komunikasi dan
media sudah begitu canggih-manggih, dan perkembangannya pula berlaku dengan
begitu cepat sekali hingga seolah-olah mesin (machine) itu yang mengambilalih dan menguasai serta mengawal
manusia; bukan lagi manusia yang mengawal mesin. Dan kalau manusia yang masih
mengawal mesin pun manusia itu biasanya terdiri daripada golongan mereka yang
juga menguasai kewangan.
Kebenaran
pun sudah lama terbenam, dan kelihatannya amatlah sukar untuk dibangunkan
semula. Masyarakat seolah-olah tidak berminat lagi dengan kebenaran. Apatah
lagi bila ia sudah berjaya diubah dan ditransformasi hingga kehilangan bentuk
dan wajahnya, kecuali yang keliru dan mengelirukan serta bercelaru (haru-biru)
atau kabur dan tidak jelas. Dan apabila demikian, bagaimanakah kebenaran boleh
berfungsi?
Pemandangan
kini menjadi kabur dan berdebu. Memerlukan kacamata istimewa, atau hanya mereka
yang mempunyai mata batin yang bersih sahaja yang mungkin dapat melihat
pemandangan dengan jelas.
Inilah
situasinya. Ramai orang mengambil sikap tidak peduli sahaja, dan mereka terus sahaja
menjalani kehidupan biasa hinggalah sesuatu terjadi ke atas mereka. Kalaulah
terjadi. Kalau tidak pun tidaklah, dan mereka pun teruslah tidak peduli.
Memang,
dari sudut tertentu suasananya adalah suasana perang. Sebahagian orang
melibatkan diri secara aktif di dalam peperangan ini. Sebahagiannya dengan
senjata yang canggih dan ketangkasan berlawan, manakala sebahagian lagi tidak.
Tak
tahulah bagaimana keadilan boleh dicapai, kerana mereka yang bertugas di
mahkamah pun nampaknya terdiri daripada manusia yang sama-sama terperangkap
dalam pemandangan yang berdebu dan mengelirukan itu juga – di mana lagi? (Zunar
memberikan gambaran yang jelas. Seorang hakim dibaling kasut, dan seorang hakim
dibaling seguni wang. Bagaimanakah reaksi mereka? Semua orang tahu.)
Penipuan
dan pembohongan pun sudah lama menguasai cara hidup kemenangan di bumi ini.
Penipuan dengan segala alat dan mesin canggih yang ada pada hari ini tidak lagi
mempeduli-kan orang mengetahuinya ataupun tidak. Pedulikan orang tahu! Asalkan
mereka tidak boleh berbuat apa-apa, biarlah mereka melalak. Yang pentingnya
kemenangan terjamin di pihak kita. Itu saja.
Dan
apabila suasana sudah bercelaru dan bercampuraduk antara yang benar dan yang
salah, antara yang baik dan yang jahat, antara yang cantik dan yang hodoh,
antara yang lucah dan yang sopan, antara yang tipu dan yang sah, dan
macam-macam lagi – maka mudahlah kerja mereka untuk memanipulasi dan
mentransformasi. Memang. Belajarlah daripada mesin Transformer yang berbagai-bagai itu. Hebat!
Dan
di pihak yang lain pula seperti hukum rimba pula jadinya. (Teringat pada aksiom
Cakravantin itu). Mereka yang kuat – dialah berkuasa. Tak kira bagaimana pun
caranya. Rasuah pun satu daripada kepandaian. Matlamat menghalalkan segala. Apa
saja, asalkan menang – selamat dan tidak ditawan.
Kalau
kalah, akan merengkoklah di dalam penjara kesengsaraan Kerana memang semua orang tahu siapa yang
bersalah. Hanya selama ini kuasa di tangan mereka itu sahaja yang membenarkan
mereka dan memenangkan mereka. Jatuh kuasa itu jatuhlah semuanya. Maka itulah
mereka berikrar akan mempertahankan Putrajaya itu hingga ke titisan yang
terakhir.
Itu
ikrar yang begitu memang tidak pernah ada dalam mana-mana buku pun kecuali buku
penjajahan. Itulah maka mutakhir ini tiba-tiba kedengaran di sana sini orang bercakap pasal penjajahan dan
kemerdekaan kali kedua. Seolah-olah sedang masuk ke suatu fasa baru perjuangan.
Bukan
perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi perjuangan untuk memerdekakan negara
dari cengkaman penjajahan bangsa sendiri. Mereka itu menjajahlah itu namanya
kalau begitu cara mereka memerintah negara. Menjadikan negara seperti khazanah
harta pusaka mereka, sedangkan mereka hanya diberi amanah untuk mentadbir
sahaja. Apabila mengecap nikmat kuasa, mereka lupa segala amanah.
Ya,
sekarang kita berjuang untuk kemerdekaan kali kedua. Melihat SN Samad Said dan
Maria Chin keluar dari Balai Polis Dang Wangi petang tadi (Khamis), kerana
dipanggil untuk siasatan kes di malam Janji Demokrasi 30 Ogos lalu – ya, itulah
sebahagian dari perjuangan untuk kemerdekaan kali kedua.