Dah pergi ke Pameran Kartun Zunar?
Dinsman
(Artikel 339, 7/8)
Dah pergi ke Pameran
Kartun Zunar?
Saya
dah pergi. Awal-awal lagi. 1 September. Pameran dibuka pada 1 hingga 9
September. Saya pilih pergi awal sebab ada perasmian oleh Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pada jam 11 pagi. Lagipun, kuratornya
sendiri, Nur Hanim Khairuddin, menjemput saya datang ke majlis perasmian. Di
samping SMS daripada Zunar.
Memang
kita tahu Zunar telahpun mengadakan pamerannya di luar negeri, sebelum ini. Di
Bilbao, Sepanyol pada tahun 2011 dan di London
pada awal tahun ini. Pameran di Galeri Shah Alam Selangor ini ialah pamerannya
yang pertama di Malaysia, negaranya sendiri. (Zunar dilahirkan di Pendang,
Kedah pada tahun 1962 dan diberi nama Zulkiflee SM Anwar Ulhaque).
Kita
juga tahu yang Zunar telah menerima beberapa anugerah atau award, di luar negara, kerana keberaniannya mengkritik dan
menyindir pihak berkuasa dengan menggunakan bakatnya melukis kartun-kartun yang
sangat kreatif dan imaginatif itu – seperti anugerah Courage in Fighting Censorship oleh Festival Against Censorship, di
Bilbao, Sepanyol, 2011; dan Courage in
Editorial Cartoon (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh Cartoonists
Rights Network International (CRNI), Washington, Amerika, pada Julai 2011.
Begitulah
lumrahnya kita. Apabila orang luar memberi pengiktirafan kepada mana-mana
individu di kalangan kita maka barulah kita pun sibuk nak buat ini atau itu
untuk menunjukkan yang kita pun tak mahu tertinggal mengiktirafnya. Padahal
memang dah ketinggalan pun, ya? Tapi, dalam hal Zunar ini barangkali berbeza.
Kita mungkin tidak ketinggalan. Hanya pihak luar itu yang agak cepat mendahului
kita.
Apa
pun, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini, atau berdasarkan cerita Tan Sri
Khalid ketika merasmikan pameran ini adalah inisiatif beliau bersama Setiausaha
Akhbarnya Arfa’ezah Ab Aiz, memanglah patut dipuji dan dihargai. Pameran
lukisan kartun solo seperti ini memang jarang-jarang kita dengar pun. Saya tak
pastilah, tapi rasa-rasanya macam tak pernah ada pun.
Namun
apa pun, kita memang sudah lama kenal Zunar, khasnya melalui Harakah, sejak zaman awal Reformasi
dulu. Dia antara orang yang memberi pengisian kepada semangat Reformasi 1998.
Bukan sahaja melalui kartun-kartunnya yang selalu disiar dalam Harakah, tetapi juga melalui aktivitinya
menganjurkan atau mengisi majlis-majlis seni-budaya yang membawa semangat
Reformasi, termasuk menganjurkan pementasan teater Tok Ampoo karya Hishamuddin Rais.
Tapi
akhir-akhir ini dia nampaknya memfokus hanya kepada melukis, dan meninggalkan arena
persembahan. Ini bagi saya agak merugikan dunia seni-budaya kita, kerana saya
masih ingat lagi beberapa majlis persembahan yang saya bersama dengan dia,
seperti di Kota Bharu (di Dataran MPKB yang sekarang sudah tiada) dan di
Kampung Raja, Besut, Terengganu. Dia melukis kartun sambil berceloteh. Suatu
persembahan (show) yang sangat
menarik.
Setakat
ini hanya dia sahaja yang boleh melakukan begitu. Tak ada orang lain yang boleh
buat begitu. (Atau ada seorang lagi iaitu Lat). Sambil melukis karikatur Mahathir
atau karikatur Pak Lah, misalnya, dia melontarkan komen-komen yang sangat
pedas, berani dan tepat mengena ke muka orang-orang itu. Dia melakukannya
dengan begitu bersahaja. Dan penonton pun ketawa dengan rasa puas dapat
berkongsi luahan perasaan yang sama.
Itu
hanya nostalgia sayalah. Lama tak lihat Zunar beraksi demikian. Maka apabila
menerima jemputan ke pamerannya ini saya terfikir – apakah sebenarnya yang akan
saya saksikan dalam pameran Zunar ini? Lukisan-lukisan kartunnya itu barangkali
semuanya atau hampir semuanya sudah saya lihat. Akan adakah kartunnya yang
baru, yang special, khas untuk
pameran ini, yang berbeza daripada kartun-kartun yang pernah kita lihat selama
ini?
Nur
Hanim pula yang menjadi kuratornya. Nur Hanim bukanlah sekadar seorang kurator
yang terkenal, yang antara lain pernah menjadi kurator pameran-pameran berbeza
seperti karya Sulaiman Esa, Raja Shahriman, A. Samad Said (Kata Luhur) dan ‘Mea
Culpa’ dari cerpen-cerpen Amirul Fakir, tetapi beliau sendiri juga adalah
seniman Reformasi yang tentunya sangat mengerti dan menghayati roh dan semangat
karya-karya Zunar.
Lalu,
apakah yang istimewanya Pameran Kartun Zunar ini?
Ya,
kita mungkin sudah pernah melihat kesemua atau sebahagian besar daripada 147
karya yang dipamerkan itu. Tetapi kita melihatnya dalam suasana dan sekitaran
yang berbeza. Kita melihatnya terpisah-pisah, satu dan kemudian satu dan
seterusnya, dalam akhbar atau internet. Atau kita melihatnya di dalam buku.
Suasananya berbeza.
Di
sini kita berdiri dalam ruang yang luas dan di sekeliling kita adalah
kartun-kartun Zunar (sebahagiannya lebih besar daripada yang biasa kita lihat)
yang berbicara mengenai pelbagai isu, khasnya isu politik mutakhir negara kita,
dengan ‘suara’ yang sangat berani, sinis, lantang dan kelakar. Beraninya bukan
setakat ‘mengata’ Perdana Menteri dan isterinya, tetapi juga hakim di dalam
mahkamah pun.
Lakaran-lakaran
visualnya pula begitu kreatif dan imaginatif, yang sebahagiannya tak pernah
terjangkau oleh otak kita. Tak pernah pun kita membayangkan demikian. Tetapi Zunar
membawa kita ke dimensi yang begitu. Dimensi fikiran seorang kartunis, yang mengikut
Ahmad Lutfi Othman - seorang yang genius.
Anda
bersetuju atau tidak dengan Ahmad Lutfi Othman itu terpulanglah kepada anda.
Tetapi satu perkara saya bersetuju dengan TS Khalid – bahawa kartun-kartun
Zunar bukan sahaja mudah difahami mesejnya, ia bahkan boleh membantu
orang-orang yang tak faham isu-isu penting negara, untuk memahaminya. Makanya
beliau bercadang untuk membawa karya-karya Zunar menjelajah.
Akhirnya
saya mencadangkan kepada anda yang belum datang, eloklah datang. Galeri Shah
Alam terletak di pinggir tasik Shah Alam, tidak jauh dari kompleks PKNS.
Lokasinya pun cantik. Hari Sabtu ini, 8 September, pukul 2 hingga 6 petang ada
majlis dialog dengan Zunar. Juga ada demonstrasi melukis karikatur oleh
kartunis dari Kelab Kartunis Independen (KKI).