Ustaz Azizan tak kenal wajah sebenar Gapena? Posted on Monday, February 13 @ 05:43:54 PST by paktam |
Hampir mustahil Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS dan Dato` Seri Diraja Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar, tidak mengetahui wajah sebenar GAPENA. Adalah satu penghinaan kepada Ustaz Azizan dan penasihat-penasihat yang mengelilingi beliau jika dianggap mereka tidak tahu siapa pemimpin Gapena, apa perjuangannya, dan bagaimana Gapena menampilkan diri sepanjang empat dekad dalam isu-isu kenegaraan.
Ya, mustahil mereka tidak tahu yang Gapena itu adalah satu bahagian daripada Umno. Jikapun mereka tidak begitu mengenali Gapena dek kurang minat tentang isu persuratan dan bahasa, yang kononnya diperjuangkan oleh Gapena selama ini, sudah pasti mereka tahu juga di mana Gapena berada semasa hangat isu PPSMI, atau apabila orang kuat Gapena menikam Mat Sabu dalam isu Mat Indera!
Tetapi jika mereka tahu dan sedar, mengapakah Kerajaan Negeri Kedah masih sanggup bersekongkol dengan Gapena untuk mengadakan Simposium Empat Dekad Gapena (bukan simposium bahasa dan persuratan!)
Pada 27-29 Januari, bertempat di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, Gapena dan Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, dan ASASI, telah menganjurkan Simposium yang bertemakan `Kemelayuan dan Keislaman di Nusantara`.
Simposium ini disertai oleh lebih seratus peserta yang terdiri dari ahli kerabat Gapena, termasuk beberapa wakil dari Indonesia, Brunei dan Thailand.
Sebanyak 14 kertas kerja telah dibentangkan di bawah empat bidang kelompok tajuk: 1. Gapena dan Pembinaan Tamadun Bangsa; 2. Gapena dan Pemerkasaan Bahasa dan Sastera Kebangsaan; 3. Gapena dan Penyatuan Melayu Nusantara; 4. Gapena dan Penyatuan Diaspora Melayu; dan satu sesi forum di bawah tajuk Gapena dan Cabaran Globalisasi. (Entah kemana hilang `keislaman` seperti yg dinyatakan sebagai temanya)
Adalah zalim jika kita sengaja memfokus acara besar Gapena ini sekadar dari sudut penganjuran sahaja: siapa menganjur dan mengapa dengan kerajaan PAS Kedah yang sanggup menganjur dengan curahan belanja wang rakyat yang tidak kurang lumayan itu.
Begitu hebat makalah dan pemakalah yang membentang idea dan kajian mereka, maka sepatut dan sewajarnya di tumpu kritikan atau ulasan. Namun bagi para peserta yang terdiri dari penulis-penulis besar, budayawan dan pemerhati kritikal, persoalan penganjuran itu juga yang merusuh minda mereka.
Setengah pula beranggapan Gapena mula menopeng wajah baru sementelahan terkilan apabila Perdana Menteri menabur fulus melalui tangan PENA, yang dilihat seolah mahu menyarung topeng lama mereka. Tetapi rata-rata peserta yang lebih matang lebih mahu melihat sudut kematangan dan keilmuan Ustaz Azizan dalam mentadbir sebuah negeri secara penuh hikmah dan berhemah.
Apapun anggapan atau teori di atas semuanya beralasan kukuh: Apabila Kerajaan Kedah sanggup berbelanja duit rakyat bagi menganjur acara ini; apabila Ustaz Azizan dalam ucapan perasmian pada malam pembukaan mengatakan dia menolak 2-3 acara lain kerana amat bangga dan mahu bersama pada malam itu sambil memuji Gapena dan `Cik Mey`(Tan Sri Ismail Hussein) yang asal sekampung dengannya; apabila YB Hamdan (Pengerusi Majlis Kebudayaan dan Exco Kebudayaan Negeri Kedah) mengisytiharkan Tan Sri Ismail Hussein sebagai anak Kedah yang amat berjasa yang akan diberi layanan istimewa berstatus tetamu negeri: maka benarlah andaian bahawa Gapena yang menang dalam permainan `la la li tamplung` dengan PAS.
(Ada rakan bertanya, adakah YB Hamdan tahu dan kenal siapa mereka yang berada dalam Majlis Kebudayaan Negeri Kedah yang dipengerusinya itu?)
Namun sesiapa yang mengenali Ustaz Azizan dan sudah biasa dengan stail dan pendekatan yang diambilnya dalam menangani isu-isu besar, akan tahu bahawa inilah cara Azizan mahu memenangi hati orang, sehingga kadang-kadang kita tidak dapat menduga. Dan dalam banyak keadaan beliau telah berjaya mengatasi masalah atau isu yang dihadapi sambil menempelak pemimpin BN.
Dalam ucapan perasmiannya dia menumpukan tentang kepentingan seni dan budaya dalam ketamadunan manusia dan kepentingan Ilmu dalam Islam dan tamadun yang dibawa melalui pentadbiran Islam.
Walau apapun, beberapa peserta yang cenderong kepada PAS berasa kerajaan PAS Kedah kurang pintar jika dengan menganjur Simposium Gapena ini PAS berharap akan berjaya menunjukkan PAS mentadbir lebih profesional dari Umno, kerana tidak memilih bulu.
PAS akan kecewa jika berharap dapat mengubah set-minda pemimpin Gapena yang sudah tegar dengan mentaliti Umno yang tidak dapat dikikis walau dengan berus tembaga sekalipun.
Persoalan timbul, jikapun kerajaan PAS Kedah berdegil mahu menganjur simposium tersebut, mengapa tidak Ustaz Azizan dan YB Hamdan mengambil kesempatan berdakwah sedikit secara nyata dengan menyeru bahawa sudah sampai masanya setelah lebih empat dekad Gapena mengubah menjadi NGO yang benar-benar berjuang untuk bahasa dan budaya dengan membuang imej keUmno-annya.
Perkara ini haram sedikit tidak disentuh, sehingga membuat pemimpin PAS yang memimpin Kerajaan Negeri yang terlibat dalam penganjuran simposium ini dilihat tak lebih sebagai pegawai kerajaan yang diarah menganjurkan program kerajaan Persekutuan.
Namun apapun kita mengharapkan agar sedikit sebanyak semua pihak belajar dari episod ini: Kerajaan PAS Kedah harus belajar bahawa jangan terlalu gairah `mengampunkan` orang atau `mentulikan` telinga terhadap kritikan, atau sekurang-kurangnya buat sedikit kajian dan bertanya kepada orang yang tahu tentang siapa kawan siapa lawan.
Pemimpin Gapena pula yang selalu benar menonjol kecendekiawanan mereka, sudah semestinya dapat melihat bagaimana hebatnya ilmuan dan pimpinan berteraskan Islam yang begitu berhikmah dan berjiwa besar, sanggup menjadi tuan rumah walaupun berlainan ideologi (yang tidak pernah wujud di kalangan pemimpin Umno) dan sentiasa memusuhi PAS.
Sewajarnyalah Gapena benar-benar dapat menilai diri, seperti keikhlasan Setiausaha Dua Prof Madya Dr Hashim Ismail lewat kertas kerjanya di simposium tersebut, yang bernuansa kritikan kendiri apabila beliau mengungkit tentang Gapena dengan`sindrom orang pencen` dan `siri berjalan-jalan` ; ` tidak mengutamakan Islam dalam objektif utama`; program-program `yang masih tidak berjaya mendominasi ciri Gapena berbanding dengan gerakan “Mencari Melayu”—mencari pupu-pupu yang hilang`; pesta-pestaan—kenduri kampung; kepimpinan Ismail Husein yang terlalu panjang, unsur feudalisma dalm kes diarak menaiki gajah di Kampung Sungai Limau Dalam; `rakan baik Umno`; “ketidakrelevanan” Gapena dll.
Apapun, sedikit sebanyak Gapena mula membuka ruang apabila dalam sesi soaljawab dalam simposium tersebut peserta mula mempunyai ruang untuk bersuara menyatakan pandangan mereka terhadap masa depan Gapena, sambil menyeru agar Gapena di bawah peneraju baru lebih lantang dan berani. Namun seorang rakan membisik, “Jika mereka ada maruah harus berundur secara en masse dan bagi orang baru memimpin Gapena, barulah boleh lebih lantang dan berani!”
Begitulah Simposium Empat Dekad Gapena yang lebih merupakan sesi “Selamat Bersara dan Terima Kasih” kepada pemimpin NGO yang paling lama mencurahkan bakti dalam memperjuangan bahasa, sastera dan budaya, yang dianjur dengan bangganya oleh Kerajaan PAS Kedah dan Gapena.
(Tulisan ini ialah seperti yang tersiar di www.detikdaily.net pada 13 Feb 2012)