Background

Bukan sekadar menentang PPSMI

Dinsman (Artikel 293, 27/2)
Bukan sekadar menentang PPSMI

Tujuh Mac 2009 ialah tarikh kita beramai-ramai turun ke jalanraya Kuala Lumpur berjalan dari Masjid Negara ke Istana Negara dan menyedut gas pemedih mata dan penyesak nafas yang ditembak oleh FRU di hadapan Istana Negara, dan apabila berpatah balik ke Masjid Negara disambut pula oleh tembakan air kimia yang meninggalkan gatal-gatal di badan.

Sekitar 100 ribu orang kita semuanya, kata mereka. Turun kerana menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Turun atas anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dipimpin oleh Datuk Dr Hassan Ahmad (pulang ke rahmatullah pada 31 Ogos 2011).

Mac 2010 kita menyambut ulangtahun demo bantah PPSMI itu dengan mengadakan majlis pertemuan di Auditorium Muzium Negeri Selangor di Shah Alam. Dan sempena dengan sambutan itu kita melancarkan buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, Menyokong Perjuangan A Samad Said. Pada tahun berikutnya tidak ada sambutan ulangtahun kedua.

Tahun ini Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam (Cikgu Ishak Surin dan Soleh) cadang supaya kita sambut dan buat di surau mereka. Oleh kerana 7 Mac jatuh pada hari Rabu, kurang sesuai, kita tunda ia ke hari Sabtu berikutnya, 10 Mac.

Kata Hasni Abas, Setiausaha GMP, “Kita buat pertemuan pejuang-pejuang bahasa, kita buat sedikit majlis ucapan oleh beberapa orang tokoh bahasa, kemudian ada juga bacaan puisi, dan yang pentingnya ialah pelancaran ‘Madrasah Seni’ anjuran Pemuda Madrasah Tarbiyah dan Seniman Paksi Rakyat.”

Kata pula Soleh, Pemuda Madrasah Tarbiah, “Untuk pelancaran Madrasah Seni, selain daripada bacaan puisi oleh pelajar-pelajar kita juga ada acara melukis oleh Rahmat dan Yeoh, pelancaran buku, paluan kompang, dan ada acara istimewa daripada Benz dan rakan-rakan.”

Ertinya ada dua agenda penting pada hari itu. Satu, sambutan ulangtahun demo bantah PPSMI; dan kedua, pelancaran Madrasah Seni. Sempena dengan itu juga khabarnya Siti Zainon Ismail akan mengadakan lagi Pameran Seni Warisan, seperti yang pernah diadakannya sekali dulu di situ.

Madrasah Seni sebenarnya telahpun dimulakan sesinya dengan Bengkel Penulisan pada 15 Januari lalu. Kemudian bengkel ini yang dipimpin oleh Kassim Muhamad dan saya, akan diadakan terus pada setiap bulan, iaitu pada hari Ahad minggu yang keempat. Manakala Bengkel Lukisan pula akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan, dengan dipimpin oleh Rahmat Harun dan Yeoh.

“Buat permulaan ini,” kata Cikgu Ishak Surin, “Madrasah Seni akan tumpukan pada dua bengkel ini dulu – penulisan dan lukisan. Apabila dua bengkel ini sudah berjalan dengan baik kita akan tambah pula dengan bengkel-bengkel seni yang lain seperti seni lakon, seni suara, seni kraftangan dan sebagainya.”

Itulah dia. Sesuatu yang agak unik. Sebuah surau menganjurkan kursus-kursus kesenian, sehingga ia boleh dipanggil “Madrasah Seni”. Barangkali satu-satunya surau yang sepertinya di negara kita.

Bukan sekadar mengadakan kelas dan kursus-kursus kesenian, malah ia sudah pun lama bermula sebagai sebuah surau yang aktif menganjurkan program-program seni-budaya, sehingga Paksi pun menjadi begitu rapat dengannya. Telah banyak program Paksi diadakan di situ. Malah GMP pun pernah mengadakan pertemuan diskusinya di situ, yang dipengerusikan oleh Prof Shaharir Mohd Zain, dan turut dihadiri oleh Sasterawan Negara Kemala dan Ketua Pengarah DBP sekarang, Dr Awang Sariyan.

Maka demikianlah ulangtahun demo bantah PPSMI kali ketiga ini terjadinya di situ; kerana pihak surau itu (namanya Madrasah Tarbiyah) sanggup menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan; daripada susunan kerusinya, pentasnya, siarayanya hinggalah kepada publisiti serta makan dan minumnya. (Apalagi yang kita mahu!)

Cikgu Ishak Surin selaku Imam surau tersebut dan Ketua Kampung di situ sangat mengharapkan agar para pejuang bahasa dari seluruh negara akan sudi datang memeriahkan sambutan bantah PPSMI ini. “Walaupun kita tidak berdemo dan berarak di jalanraya seperti pada tahun 2009 itu,” katanya, “kita perlu berkumpul ramai-ramai, biar seramai-ramainya, tak mengapa, kita ada tenaga anak muda surau untuk mengendalikannya. Yang pentingnya kita mesti tunjukkan semangat kita sanggup pertahankan kedaulatan bahasa kita.”

Paksi pula memang amat menghargai dan menjunjung tinggi semangat juang yang tak mengenal usia, yang ditunjukkan oleh Cikgu Ishak Surin itu. Memang perjuangan bahasa bukan sekadar cukup dengan menentang PPSMI, tetapi banyak lagi perkara yang mesti dibuat, memandangkan masih ramai rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu sendiri, yang sudah kehilangan jatidiri dan rasa cinta kepada bahasa dan budaya sendiri.

Atas alasan itulah saya selalu menyatakan kurang berminat untuk berbahas atau berdialog atau memberi respons secara langsung kepada puak-puak yang menyokong, mendokong dan menyanjung dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran di sekolah, kolej dan universiti itu. Masalah kita sebenarnya, atau yang lebih serius, ialah masalah kehilangan jatidiri Melayu.

Puaslah nanti kita berbahas, berdialog dan memberi respons dengan golongan itu, namun mereka tidak akan nampak lojik dan kewajaran hujah-hujah kita, kerana mereka tidak ada perkara jatidiri yang menjadi asas kepada kewajaran pemikiran kita itu. Mereka berbahas bukan sebagai orang Melayu (dan Islam) walaupun mereka itu orang Melayu.

Maka seperti harapan Cikgu Ishak Surin, kami Seniman Paksi Rakyat juga mengharapkan kawan-kawan para pejuang bahasa sebenar (bukan para oportunis yang tak malu untuk mengaku berjuang setelah melihat hasilnya yang positif) akan hadir beramai-ramai ke Madrasah Tarbiyah pada hari Sabtu 10 Mac ini. (Tak perlulah tunggu jemputan rasmi, kerana memang tak ada jemputan rasmi. Datang sahajalah sebagai kawan seperjuangan!)

Categories: Share

Leave a Reply