Dinsman (Artikel 291, 20/2)
MKDT versi Bob Lokman di Kulai 25 Feb.
Alhamdulillah, setelah agak lama merancang, akhirnya pada 15 Februari bermulalah latihan teater saya bersama Bob Lokman dan Sani Sudin, bertempat di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur . Insya Allah kami akan berlatih setiap hari di situ sehingga 22 Februari, kemudian bersedia untuk pementasan pada 25 Februari di Kulai, Johor. Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) versi baru. Barangkali pementasan yang ke-50, atau lebih, saya kurang pasti.
Ada beberapa permintaan untuk MKDT sebelum ini yang terpaksa ditolak, dan ada yang terpaksa dibatalkan, kerana Sabri Yunus sebagai pelakonnya kebetulan perlu berada di tempat lain kerana komitmennya dengan program lain, terutama selepas dia pun sudah menjadi pengarah drama TV dan filem (dan menang anugerah pula), di samping masih terus berlakon, menjadi pengacara dan sebagainya.
Bukanlah dia berhenti terus daripada berlakon teater ini. Masih lagi dia menjadi Kaab bin Malik, misalnya dalam persembahan di Masjid Jamek Mengkuang 12 Februari lalu, dan insya Allah pada 6 Mac nanti di UIA, Gombak.
Kedua-dua mereka adalah tokoh popular yang sedang sangat sibuk dengan jadual komitmen masing-masing. Jadi kita perlu menyesuaikan masa mereka dengan permintaan. Sesiapa di antara keduanya yang kebetulan lapang pada tarikh yang diperlukan, maka dialah yang akan melakonkan watak Kaab itu.
Manakala pemain muziknya masih lagi Sani Sudin. Dia yang mengiringi lakonan Sabri, dan dia juga yang akan mengiringi lakonan Bob Lokman. Bukan bermakna Sani Sudin tidak ada aktiviti seninya yang lain. Dia masih menyanyi dengan Kopratasa, dan dia juga masih dipanggil untuk lakonan televisyen dan filem. Kalau kebetulan bertembung tarikhnya, seperti yang pernah terjadi beberapa kali sebelum ini, dia tak dapat hadir untuk pementasan, maka terpaksalah kita mendapatkan pemuzik lain untuk menggantikannya.
Demikianlah, terima kasih kepada Hj Hisham, YDP PAS Kawasan Kulai kerana memulakan permintaan untuk lakonan Bob Lokman sejak beberapa bulan lalu, yang turut menjadi faktor bagi Bob Lokman melapangkan masanya selama seminggu untuk latihan ini. Maklumlah, setiap malam jadualnya penuh dengan ceramah, maka dia perlu menjadualkannya dua atau tiga bulan lebih awal.
Kami bertemu buat pertama kalinya untuk perbincangan dan bacaan skrip pada 1 Januari (setelah saya menawarkan dia berlakon pada 15 Oktober, dalam suatu forum kesenian Islam di Kulai), dan setelah itu pada 15 Februarilah kami bertemu semula untuk sesi latihan.
MKDT versi Bob Lokman – apakah keistimewaannya? Atau apakah perbezaannya dengan versi Sabri Yunus? (Saya teringat kepada versi A Samad Said yang diharap-harapkan dan ditunggu-tunggu itu, tetapi kemudiannya dibatalkan kerana sebab-sebab tertentu – amatlah sayangnya!)
Sebenarnya setiap pelakon yang berpengalaman (seperti Sabri Yunus dan Bob Lokman) mempunyai keistimewaannya masing-masing. Sabri ada keistimewaannya, dan Bob Lokman juga setelah dua kali latihan dengannya saya yakin dia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Tidak salahlah saya kepada Cikgu Soliha apabila dia bertanya teater baru untuk dibawa ke sekolahnya di Seremban, saya katakan MKDT versi Bob Lokman. Dia kata mereka sudah bawa MKDT lakonan Sabri. Saya kata walaupun skripnya sama tetapi apabila dilakonkan oleh orang seperti Bob Lokman, ia akan menjadi sebuah teater baru, kerana ia akan membawa suatu pengalaman seni yang baru.
Benarlah teater itu suatu jenis seni yang ‘hidup’. Apabila ia dipentaskan dan diulang-ulang pementasannya ia tidak semestinya menjadi sama sahaja seperti yang sebelumnya. Akan berlaku sesuatu yang berbeza, apatah lagi kalau ia diarah oleh orang lain atau ia dilakonkan oleh orang yang berbeza. Akan lahir ilham atau inspirasi yang baru sewaktu dalam proses latihannya.
Dan barangkali muziknya juga akan berbeza. Barangkali. Siapa tahu! Misalnya saya mencadangkan supaya Sani ‘menyanyikan’ Selawat Nabi. Dia pun memberikan respon yang positif. Dan Bob pun menyokongnya.
Demikianlah, sebenarnya perbezaannya bermula daripada hal yang lebih dasar, iaitu motif.
Bob Lokman mengambil masa yang panjang sebelum menjawab tawaran saya, kerana katanya dia ingin mendapat kepastian terlebih dahulu daripada orang yang lebih berwibawa, apakah penglibatannya dalam teater ini suatu dakwah? Apabila dia mendapat kepastian itu daripada seorang gurunya, barulah dia bersetuju untuk berlakon. Ertinya dia berlakon ini sebagai berdakwah.
Berbeza dengan Sabri yang mengambil pendekatan sebagai profesional. Penglibatannya adalah suatu penglibatan profesional sebagai seorang pelakon. Namun perbezaan motif ini tidak bermakna akan menyumbang kepada mutu lakonan mereka. Mungkin pendekatan profesional itu lebih menjamin kualiti lakonan. Namun itu pun ada faktor lain juga lagi yang menentukan kualiti itu. Di sana ada pelbagai faktor. Tidak mengapalah. Yang pentingnya kelainan itu pasti ada sumbangannya masing-masing.
MKDT ini yang bermula dengan persembahan pertamanya di hadapan khalayak di Stor Teater DBP pada 26 Mac 2009, kini menghampiri usianya tiga tahun. Alhamdulillah, permintaan terhadap pementasannya masih belum berakhir. Ia benar-benar memberi suatu pengalaman teater yang berbeza.