medan polemik - kendalian ROZAN AZEN MAT RASIP MOHD AFFANDI HASSAN dan GAGASAN PERSURATAN BARU - Wajah-wajah Pandirisme di Sebalik Baju Intelektual Palsu
medan polemik - kendalian ROZAN AZEN MAT RASIP
MOHD AFFANDI HASSAN dan GAGASAN PERSURATAN BARU
JUMAAT, Disember 30, 2011
Wajah-wajah Pandirisme di Sebalik Baju Intelektual Palsu
Kepercayaan melampau kepada sastera/karya sastera adalah tinggalan dari daki puaka realisme dalam sastera Melayu. Daki-daki puaka realisme ini mempersendakan realisme hakiki seperti golongan Jahiliah dahulu mempersendakan isra' dan mi'raj. Golongan puaka realisme ini tidak saja biadab, tetapi berusaha keras untuk menjadikan kebiadaban itu budaya arus perdana sebagai asas pembentukan nilai dalam masyarakat beragama. Inilah yang akhirnya melahirkan pandirisme dalam kesusasteran Melayu moden, dalam politik, kebudayaan, pendidikan, bahasa, dan dunia akademik. Kata pengampu (ampu berarti sokong; pengampu=pendukung) pandirisme, ujian sebenar harga diri manusia ialah kemanusiaannya. Menurut mereka, kemanusiaan adalah konsep bumi, yang menjadi realiti kehidupan manusia, oleh itu tidak kena mengena dengan semangat "alien" dari angkasa (ukhrawi). Itulah inti-pati faham sastera yang menjadi pegangan para sasterawan di Malaysia. Mereka menolak adanya konsep ilmu yang benar, kerana penerimaan kepada konsep itu secara automatis mengikat mereka kepada nilai-nilai yang bersifat ukhrawi, yang kata mereka tidak berakar di bumi, oleh itu merupakan nilai-nilai asing yang tidak perlu diberi perhatian oleh manusia yang mempunyai sifat kemanusiaannya. Mereka tidak sedar, pendirian begitu adalah puncak pandirisme yang tidak layak diberi perhatian kerana hanya akan membuang masa. Dalam konteks inilah disiarkan kembali dua posting lama untuk difikirkan kembali.
Wednesday, June 16, 2010
Perubahan Nilai Yang Merugikan Tamadun Melayu
Ketika menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk “Pengarang-pengarang Melayu di Saingapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa, no. 7, akhir 1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus) menunjukkan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular sehingga pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang” untuk judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan tua yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri mereka “sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai “sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri, dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam. Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50), mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan 1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50 memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini akan dibincangkan kemudian.
Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.
Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?
Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.
Posted by Mohd Affandi Hassan at 2:28 AM
Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan, 1/11/2011.
Mohd Affandi Hassan
Mohd. Affandi Hassan hanya seorang penulis yang biasa-biasa saja. Tidak ada apa-apa keistimewaan. Beliau menulis kerana ada perkara yang perlu dikemukakan untuk perhatian pembaca yang berminat. Jika ada yang bersetuju dengan pendapat beliau, bagus. Jika ramai yang tidak bersetuju, maka itu lebih baik. Tandanya mereka mempunyai fikiran dan pandangan kritis. Mohd. Affandi Hassan ingin membina persuratan Melayu yang kritis dan segar dari segi pemikiran.