Dinsman (Artikel 292, 24/2)
Perhatian pada penulis-budayawan veteran
Setelah agak berpuas hati dengan model dan perjalanan beberapa siri bengkel penulisan ke arah melahirkan penulis baru yang sedang dijalankan sekarang, dan beberapa lagi yang akan bermula tidak lama lagi, kami di dalam Paksi terus berbincang mengenai masalah penulis dan penulisan di negara ini. Antara yang dibincangkan dalam pertemuan terbaru agak menarik.
Apakah yang perlu dilakukan oleh persatuan-persatuan penulis, dalam usaha untuk memajukan bidang penulisan kita, samada sastera mahupun bukan sastera? Apakah cukup dengan sekadar mengulang-ulangi majlis persembahan puisi dan lagu, serta seminar mengenai isu-isu tertentu dalam sastera dan budaya sahaja?
Entah kenapa saya tiba-tiba teringat kepada beberapa orang kawan-kawan lama penulis. Sebahagiannya nama-nama penting dalam sastera dan budaya. Ada antaranya sudah lama tidak berkarya. Mereka ini adalah penulis-penulis yang sudah terbukti berkebolehan menulis dan pernah menghasilkan buku karya masing-masing. Mengapa mereka tidak menulis lagi?
Tidakkah masyarakat kita kerugian hasil penulisan daripada orang-orang yang terbukti berbakat itu? Mereka boleh menulis, tetapi kini tidak lagi menulis – mengapa? Kehilangan idea atau ilham untuk menulis? Kehilangan dorongan dan motif untuk berkarya? Sibuk dengan pelbagai urusan kehidupan yang lain? Atau apakah faktor sebenarnya?
Mengapa kita melupakan penulis-penulis veteran yang berpengalaman ini, dan pada waktu yang sama kita sibuk menganjurkan bengkel-bengkel penulisan untuk melahirkan penulis-penulis baru, yang belum tentu akan menjadi? Manakala dari sudut yang lain pula kita asyik berdebat dan berhujah mengenai soal-soal politik penulisan dan sebagainya, yang nampaknya tidak membawa kita ke mana-mana pun.
Demikianlah maka saya teringat, ada di antara kawan-kawan penulis veteran itu yang pernah menyatakan beberapa hambatan yang menghalang mereka daripada menulis. Bukan mereka kehilangan idea atau ilham untuk menulis.
“Idea dan ilham tidak pernah tidak ada. Sentiasa ada. Yang tidak ada ialah dorongan untuk duduk dan memberi tumpuan kepada kerja menulis itu. Kau tahulah, untuk menghasilkan sebuah buku bukannya boleh disiapkan dalam masa seminggu atau sebulan. Kadang-kadang ada yang perlu buat kajian lagi…”
Pernyataan begitu, saya masih ingat lagi waktu muda-muda dulu saya anggap sebagai alasan orang yang malas menulis. Tetapi sekarang saya memahaminya dalam konteks yang berbeza. Saya rasa saya mengerti kedudukan dan masalah sebenarnya. Apatah lagi apabila menyedari ada ramai juga kawan-kawan yang begitu.
Nampaknya mereka seperti tidak kisah pun lagi dengan soal menulis atau tak menulis itu. Mereka seperti tidak berkepentingan atau tidak memikirkan apa-apa kepentingan pun lagi. Tetapi apabila kita ajak mereka bercakap, kita akan terasa bahawa ada sesuatu yang kehilangan, dan ada sesuatu yang patut dilakukan dengan mereka, atau untuk mereka, dan untuk kita juga.
Saya menghubungkannya dengan usaha kita memajukan sastera dan persuratan, dengan menganjurkan bengkel, seminar dan sebagainya itu, yang semuanya memerlukan sejumlah peruntukan kewangan. Saya juga menghubungkannya dengan usaha yang melibatkan jumlah kewangan yang besar di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang tujuan akhirnya ialah untuk menghasilkan karya yang bermutu. Maka mengapakah kita tidak memberi perhatian kepada penulis-budayawan veteran yang saya maksudkan ini?
Bagaimanakah caranya? Mudah saja. Saya telah menemui sekitar 10 orang daripada mereka, secara berasingan, yang apabila kita bercakap-cakap kita akan tahu yang mereka itu masih mahu menulis, malah ada yang sudah menulis beberapa bab tetapi terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, seperti tidak dapat memberi tumpuan dan sebagainya.
Apabila perkara ini dibawa ke dalam perbincangan Paksi (Seniman Paksi Rakyat) baru-baru ini, kawan-kawan lain juga bersetuju. Masing-masing menyebut beberapa nama penulis dan budayawan yang patut dibawa semula ke tengah medan , melalui dorongan dan rangsangan, agar mereka menghasilkan karya baru. Caranya?
Antara cara yang kami fikirkan ialah dengan menyediakan kemudahan untuk mereka berkarya dan sehingga terbitnya buku hasil karya mereka itu. Memang, menyediakan kemudahan itu bermaksud menyediakan sejumlah peruntukan kewangan, di samping kemudahan-kemudahan lain seperti mencari bahan, menyemak tulisan, berbincang, menguruskan penerbitan dan sebagainya.
Dan apabila kami bincangkan cadangan ini, kami dapati kos yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah buku yang bermutu oleh penulis yang berpengalaman, amatlah kecil, berbanding dengan kos projek-projek lain yang banyak dilakukan dan dibelanjakan oleh pihak kerajaan kita, yang akhirnya faedahnya untuk rakyat dan negara tidaklah sebanding sebuah buku yang dihasilkan oleh seorang budayawan berpengalaman, iaitu sekitar RM20 ribu ke RM25 ribu sahaja.
Kalau secara bandingan yang pernah saya sebut dalam Wacana Budaya saebelum ini ialah sama dengan kos memotong dan merapikan pokok sebanyak 25 pokok sahaja, yang selalu dibelanjakan oleh majlis-majlis perbandaran kita.
Tetapi mahukah kerajaan kita memikirkan dan meluluskan peruntukan walaupun sekecil itu, untuk membina seni-budaya kita, yang juga membina tamadun bangsa dan negara kita? Atau siapakah yang sepatutnya memikirkan hal-hal seni-budaya seperti ini? Atau kita menganggap tugas ini sudahpun diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, maka biarlah mereka yang menguruskannya. Kita tidak perlu lagi memikirkan hal itu.
Dan kalau ada penulis dan budayawan veteran kita yang tidak lagi berkarya kerana kita tidak prihatin menghulurkan sedikit dorongan seperti itu, biarkan sajalah, kerana mereka sendiri pun malas berusaha, atau mereka sendiri pun tak mahu lagi berkarya!