Background

bicara tokoh DR. KASSIM AHMAD - RAYUAN KEPADA PEMIMPIN DAN CENDEKIAWAN MELAYU

RAYUAN KEPADA PEMIMPIN
DAN CENDEKIAWAN MELAYU


Oleh: Kassim Ahmad
27 Januari, 2012

Sebenarnya, saya amat risau tentang keadaan dan kepimpinan masyarakat Malayisa sekarang. Maka itu saya menulis esei ini.
Walaupun saya menanggotai sebuah parti politik (tidak aktif sejak 1995), saya tidak taksub kepada mana-mana parti. Saya anggap diri saya seorang patriot. Saya cinta kepada bangsa dan nusa kita, tanpa saya melebihkan bangsa dan nusa kita melebihi bangsa-bangsa lain. Semua bangsa, kecil atau besar, sama. Yang melebihkan sesuatu bangsa itu ketakwaannya kepada Tuhan.
Saya merayu kepada pemimpin dan cendekiawan Melayu, kerana mereka masih memainkan peranan definitive (mentakrifkan sifat negara-bangsa) dalam masyarakat Malaysia yang sedang kita bina.
Biar saya senaraikan kerisauan saya.
Pertama, soal perpaduan. Saya nampak perpaduan yang kita bina sangat rapuh. Ia tidak boleh tahan bila ribut taufan yang kuat melanda. Lebih banyak propaganda dariapa meletakkan asas-asas perpadua yang kukuh. Sebagai contoh, kita sekarang (dulu tidak ada) mengamalkan “Rumah Terbuka”) untuk sesuatu perayaan sehingga sebulan lamanya, majlis makan semata-mata! Bukankah ini membazirkan wang dan masa? Dua puluh tahun dulu, kita merayakan hari raya masing-masing kaum dua tiga hari saja. Tidak ada rumah terbuka, kerana pada waktu perayaan-perayaan ini rumah kita senantiasa terbuka.
Perpaduan mesti diasaskan kepada pemerintahan yang adil dan telus, bukan majlis-majlis makan.
Kedua, pendidikan anak bangsa. Jika kita umpamakan masyarakt kita kepada sebuah keretapi, kita perlu memastikan kepala kereta api dalam keadaan baik. Kepala keretapilah yang akan menarik keretapi itu. Kepala keretapi dalam masyarakat kita itu parti, kerana parti dianggotai oleh anggota-anggota masyarakat yang bersemangan pejuang. Mereka memasuki parti secara sukarela. Hari ini keadaan ini tidak berlaku lagi. Anggota-anggota parti memasuki parti tanpa mengetahui tujuan perjuangan. Ketua cawangan mengambil anggota daripada ahli-ahli keluarganya untuk membolehkan ketua cawangan mendapat habuan material (projek Kerajaan). Dengan demikian, cawangan (dan seteruskan bahagian dan ke atas) tidak ada konsep perjuangan; yang ada mahu habuan!
Bolehkah sistem parti seperti ini menjadi kepala keretapi yang baik bagi negara dan masyarakat kita?
Ketiga, oleh kerana perkara kedua di atas, negara dan masyarakat kita tidak bergerak di atas prinsip. Yang di bawah membodek yang di atas untuk mendapat habuan. Kritikan tidak ada. Bolehkah negara maju dalam keadaan ini? Rasuah dan penipuan menjadi-jadi. Perhimpunan Agung parti selalu ditangguh ke selepas pilihanraya umum untuk mengelak rebutan jawataan yangsengit, yang boleh menejejaskan kekuatan parti. Maka itu, parti, yang sepatutnya bergerak sebagai kepala keretapi yang baik, sebagai pemimpin yang dinamik, menjadi permainan kaum elit!
Saya merayu kepada pemimpin dan cendekiawan Melayu supaya menghentikan proses kemerosotan ini segera. Segera ambil tindakan-tindakan untuk membaiki kepimpinan negara dan masyarakat kita supaya kepimpinan itu berjalan di atas prinsip. Ini sahaja yang boleh menyelamatkan kita akhirnya.

-------------------

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

kendalian ROZAN AZEN MAT RASIP

Categories: Share

Leave a Reply