Background

Harapan pada Awang Sariyan di DBP

Dinsman (Artikel 289, 13/2)
Harapan pada Awang Sariyan di DBP

Tiba-tiba sahaja seperti harapan kembali pulih dan segar, apabila diberitahu yang Dr Awang Sariyan telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Pulih dan segar setelah bertahun-tahun harapan itu layu dan patah longlai. Alhamdulillah.

Bolehlah kita bercakap semula mengenai bahasa dan sastera Melayu seperti kita pernah bercakap mengenainya dulu-dulu. Lama dulu. Tak ingatlah berapa tahun lamanya. Tapi terasa lama betul kehilangan ghairah untuk bercakap mengenai DBP.

Syukurlah akhirnya orang seperti Awang Sariyan ini dipilih juga untuk mengetuai organisasi budaya yang penting seperti DBP. Apakah ini ada perhitungan politiknya di pihak Muhyiddin Yassin atau di pihak Najib Razak, itu kita ketepikanlah dulu buat masa ini. Apa pun, hakikatnya orang seperti Awang Sariyan ini sekurang-kurangnya mengembalikan semangat kita untuk berfikir dan berbincang semula mengenai hal-hal bahasa dan sastera Melayu di negara Malayusia kita ini.

Kali terakhir berjumpa dengan beliau sewaktu mesyuarat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam, tak berapa lama dulu. Kemudian, kita membaca tulisan beliau menjawab dan menangkis ‘tohmahan’ dan ‘racauan’ seorang profesor dari Pulau Mutiara yang ‘terbangun dari tidur’, dalam akhbar ini.

Ya, kita mengharapkan bukan sahaja pada kepakaran seorang tokoh bahasa untuk memimpin sebuah organisasi budaya yang pernah menjadi tonggak perjuangan kebangsaan Melayu di tahun-tahun awal kemerdekaan itu. Tetapi kita juga mengharapkan pada pemikirannya dan pendiriannya yang bebas, berani dan berjatidiri, untuk diterapkan kepada persoalan bahasa dan sastera kita hari ini.

Itu yang kita perlukan sebenarnya. Pemikiran dan pendirian yang bebas, berani dan berjatidiri itu. Kerana yang itu yang kita kekurangan malah kehilangan sekarang. Bukan kepakaran dalam bahasa dsan sastera Melayu. Itu banyak terdapat di universiti-universiti. Tetapi pemikiran dan pendirian yang bebas, berani dan berjatidiri itu di universiti-universiti pun susah untuk ditemui sekarang.

Barangkali antara perkara paling utama yang perlu ditangani oleh Ketua Pengarah DBP yang baru ini ialah masalah PPSMI atau penghapusannya di sekolah-sekolah. Yakni memastikan bahawa dasar PPSMI itu benar-benar dihapuskan, dan kita kembali kepada dasar seperti sebelum PPSMI itu diperkenalkan. Mendaulatkan semula penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Samada perkara itu berada di bawah bidang kuasa DBP atau tidak, bukanlah sangat persoalannya. Memang ia bukan kuasa DBP, tetapi DBP mempunyai hak untuk bersuara. Dan semestinya ia akan bertembung dengan beberapa kepentingan politik pihak-pihak berkuasa politik yang sedang berkuasa. Pertembungan bukan bererti perlawanan untuk menang dan kalah, tetapi untuk mencari penyesuaian dan penyelesaian yang berfaedah untuk rakyat bagi jangka panjang.

Pengertian dan pemahaman sebegini pun boleh dikatakan tidak ada juga di kalangan para pimpinan pentadbiran hari ini. Paling takut untuk bertembung, kerana bertembung dianggap sebagai berlawan. Akhirnya hilanglah segala suara. Tinggal hanya suara politik penguasa. Demikianlah maka layu dan patah longlainya segala harapan seperti saya sebutkan di awal tulisan ini.

Maka itulah saya katakan kita memerlukan bukan sahaja kepakaran seorang tokoh bahasa,
tetapi pemikirannya dan pendiriannya yang bebas, berani dan berjatidiri untuk menghadapi persoalan-persoalan bahasa dan sastera Melayu hari ini.

Di samping persoalan bahasa dan sastera yang banyak menanti untuk ditangani, juga persoalan penerbitan dan penjualan buku sastera dan budaya, khabarnya DBP juga mengalami banyak masalah dalamannya yang agak kronik, khasnya persoalan penswastaan yang berhubungan dengan syarikat Dawama dan lain-lain. Saya kurang arif sangat dalam hal ini. Hasni Abas yang lebih arif.

Apa pun, kita berharap akan dapat melihat perubahan segera berlaku di DBP. Mungkin Seniman Paksi Rakyat (Paksi) tidak perlu lagi berkumpul di warong bucu di depan bangunan lama DBP (yang kami panggil Warong Rakyat) untuk membaca puisi berkaitan DBP persoalan budaya.

Sudah beberapa kali kita berkumpul di situ, bukan sahaja membaca puisi. Kali pertama kita berkumpul di situ kita membaca Yasin, memohon doa kepada Allah SWT agar menyelamatkan institusi penting bahasa dan sastera Melayu itu. Kini alhamdulillah, barangkali berkat bacaan Yasin serta doa kita itulah maka kini DBP mendapat pengemudi yang kita percaya layak mengemudinya.

Samada acara di Warong Rakyat itu perlu diteruskan lagi selepas ini atau tidak, terpulanglah kepada aktivis-aktivis Paksi untuk menentukannya. Mungkin juga elok diadakan lagi bagi merayakan perkembangan baru yang menghidupkan semula harapan kita terhadap bahasa dan sastera Melayu ini. Bagaimana Khalid Salleh? Setuju?

Sementara itu kita menunggulah langkah awal yang akan dibuat oleh Dr Awang Sariyan bagi menyelamatkan institusi budaya penting kita yang hampir-hampir hanyut dan karam dibawa oleh pengemudi dahulu yang ternyata gagal mengemudinya itu.

Tugas dan cabarannya memang besar dan berat. Kita semua maklum. Banyak komplikasinya. Daripada sebuah institusi bangsa yang sangat penting suatu masa dahulu kini ia seperti hendak dipinggirkan sahaja oleh generasi politik yang baru. Malah ada yang menganggapnya sebagai bebanan yang perlu disingkirkan saja.

Demikianlah, harapan dan cabaran yang perlu ditempuh oleh Awang Sariyan. Kita doakan beliau diberi kekuatan dan ketabahan untuk menanganinya. Yang penting – keberanian dan jatidiri. Insya Allah!Dinsman (Artikel 289, 13/2)

Demikianlah, harapan dan cabaran yang perlu ditempuh oleh Awang Sariyan. Kita doakan beliau diberi kekuatan dan ketabahan untuk menanganinya. Yang penting – keberanian dan jatidiri. Insya Allah!

Categories: Share

Leave a Reply