Background

Perginya Azizi penulis rakyat


Dinsman (Artikel 248, 26/8)
Perginya Azizi penulis rakyat

Malam itu, sambil berbincang mengenai program yang akan diadakan di Labu, Negeri Sembilan, Kassim bercerita betapa dia sangat sedih dan pilu sewaktu menziarahi Azizi di Hospital Pulau Pinang, sehari sebelumnya “Dia nak bercakap dengan saya, tapi tak boleh bercakap,” kata Kassim.

Sudah empat bulan Azizi terlantar di hospital. Sewaktu saya bersama kawan-kawan menziarahinya beberapa hari selepas dia menjalani pembedahan kerana masalah jantung, awal Mei, dia masih belum sedar (akibat pembedahan). Dan selepas itu saya belum sempat lagi menjenguknya.

Kali terakhir bersama dengan dia ialah pada 26-27 Februari, ketika dia masih bertenaga untuk menguruskan suatu “pertemuan penulis kritis” anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang dibuat di Recsam, Pulau Pinang. Selepas itu pun dia masih lagi bertenaga menguruskan Bengkel Penulisan CAP-Paksi di Titi Hayun, Yan, Kedah.

Tetapi dia hanya sempat menguruskannya sahaja, termasuk memilih peranginan Titi Hayun sebagai tempat bengkel, dan menguruskan persiapan tempat tersebut. Beberapa hari sebelum tarikh bengkel, 13-18 Mei, dia sudah terlantar di hospital.

Sewaktu Kassim bercerita betapa dia sedih dan sebak melihat keadaan Azizi itu, saya hanya mendengar dengan rasa kesal di dalam diri kerana belum sempat menjenguknya. Dan pulang dari mesyuarat malam itu, keresahan di dalam diri akhirnya telah menyimpulkan beberapa cadangan.

Selepas bersahur, saya sms kepada Kassim: “Saya fakir kita buat himpunan penulis-budayawan di Masjid Batu, kita buat baca puisi dan solat hajat, juga kumpul derma untuk Azizi – Paksi, BB, 2PNP, Asasi, Teras dll. Macamana?”

Kassim jawab selepas Subuh: “Setuju. Kena tanya Cikgu Anuar Asmadi. Dan maklum kepada Cikgu Azmi. CAP kena libatkan.” Saya pun setuju, dan terus sms kepada Anuar Asmadi dan Cikgu Khairuddin, Pengerusi Masjid Batu, menyatakan cadangan tersebut.

Anuar jawab, “2PNP tak ada masalah. Kita jayakan. Dah bagitau Cikgu Khairuddin?” Cikgu Khairuddin pula jawab: “Bila tarikhnya?” Saya balas, “Minta cikgu cadangkan tarikhnya.” Dan Anuar bertanya: “Bila kita nak jumpa dan susun acara?”

Sementara itu Kassim pula sms: “Adakah kita nak gunakan kesempatan atau peluang orang-orang utara balik beraya? Apa kata Cikgu Khairuddin tentang program dan tarikhnya? Pak Samad kena dimaklumkan. Doa kawan-kawan Indonesia kita, Herry Nurdi, digemblengkan. Kita minta Amni war-warkan dalam FB. Harakah elok tahu. Kita mohon semua bermunajat bersama.”

Kassim juga panjangkan sms itu kepada kawan-kawan yang terlibat, termasuk Hasni, Lutfi, Alinor dan Herry Nurdi di Indonesia. Dan saya tiba-tiba teringat sesuatu lalu sms kepada Kassim: “Kita patut minta kerajaan Ustaz Azizan di Kedah bagi apa-apa kepada Azizi. Macamana nak buat? Kassim boleh atur?”

Kassim mencadangkan supaya minta Cikgu Azmi tolong aturkan, kerana dia tidak biasa dengan pihak kerajaan negeri Kedah. Tetapi demi untuk kawan, katanya, kalau perlu, dia bersedia untuk pergi berjumpa dengan sesiapa pun.

Hanya setakat itu sahaja kami sempat ber-sms pada pagi itu. Aliran komunikasi sms itu tiba-tiba diputuskan oleh Anuar Asmadi. Dia menghantarkan deringan telefon, yang apabila saya jawab, saya seperti tidak percaya. Atau apakah saya tersilap memahami kata-kata Anuar itu? Maka dia menjelaskannya sekali lagi: “Azizi sudah meninggal.”

“Bila?”

“Baru sekejap.”

Dan tak lama kemudian tiba sms daripada telefon Azizi sendiri: “Saya Anita, anak kepada Azizi. Kira-kira pukul 7.50 pagi tadi, bapa telah menghembus nafas terakhir.” Saya jawab sms itu, “Kami dalam perjalanan ke Kulim.”

Saya bersama Kassim dan Nordin sampai di Taman Bersatu, Kulim, sekitar pukul 3 petang. Kelihatan van jenazah di pekarangan Masjid Jamek al-Makmur, Kulim. Tetapi tidak kelihatan orang ramai. Mungkin pengkebumian telah selesai. Ya, memang pengkebumian telah selamat disempurnakan selepas solat Zuhur tadi.

Kami pun membaca Fatihah dan berdoa di atas kuburannya. Mohon Allah yang Maha Pengampun mengampunkan segala dosanya, dan menempatkan dia bersama orang-orang soleh. Dan semoga keberkatan Ramadhan juga menyediakan kelapangan bagi rohnya di alam kubur. Amin!

Di rumahnya, di samping berjumpa isteri dan anak-anaknya, kami mencari-cari juga wajah kawan-kawan penulis. Yang ada hanya penyair Puzi Hadi yang datang dari Alor Setar. Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan Muhammad Hj Salleh, kata Anuar, telah datang lebih awal, dan turut mengiringi jenazah ke kubur.

Siapakah yang mewakili Kerajaan Negeri Kedah atau pihak PAS negeri Kedah? Saya ingin tahu, bagi menjelaskan tanda tanya yang bertanya-tanya di dalam diri – sejauh manakah Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Ustaz Azizan Razak memberi perhatian kepada penulis dan budayawan berjasa besar seperti Azizi?

Mengikut Anuar Asmadi, dia tidak nampak sesiapa yang boleh dikira sebagai mewakili Kerajaan Negeri Kedah mahupun PAS Negeri Kedah, yang datang menziarahi atau menzahirkan hormat terakhir kepada novelis Malaysia yang paling produktif itu (mengikut perkiraan Shukur Harun).

Memang kami di kalangan Paksi sudah lama mengalami hal terpinggirnya golongan penulis dan budayawan daripada pihak pimpinan kerajaan negeri Kedah. Maklumat dari pemerhatian Ketua Satu, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) itu, mengesahkan kekhuatiran kami itu. Maka kesedihan dan kepiluan yang dirasakan oleh Kassim itupun menjadi semakin terasalah lagi sedih dan pilunya.

Semoga pihak kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan tidak sampai menafikan bahawa Sasterawan Rakyat yang bernama Azizi Haji Abdullah ini adalah seorang insan yang cukup besar sumbangannya kepada negeri dan juga ummah.

Sewaktu dalam perjalanan ke Kulim, saya berkata kepada Kassim dan Nordin, “Kita hanya ada beberapa orang sahaja penulis yang berani berkata benar di Malaysia. Dengan perginya Azizi, menjadi semakin kecillah bilangan kita. Bukannya mudah nak mengharapkan untuk lahir seorang baru bagi menggantikan yang hilang ini. Menggantikan Azizi lagilah, memang tak mungkin!”

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply